Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Saturday, February 20, 2021

Cinta yang akan selalu aku rindu 12

Hanya Rindu

Semalam aku bermimpi berjumpa dengannya, mimpi yang mengirimkan satu rasa yang telah pudar. Sehingga membuatkan aku mahu terus terbuai dalam lena – Nadya.

"Wakey-wakey"

Nadya menggosok matanya dan menguap besar. Dia pandang jam yang melekat pada dinding. Mujur ketika ini minggu 'cuti'nya. Terbabas sampai tengah hari pun tak kisah. Telefon masih menekap ditelinganya.

"Andi, sekarang ni baru jam tujuh. Hari ahad" Nadya betul-betul bersyukur yang si kembar sekarang berada di rumah Ashrul. Jadi dia boleh sambung tidurnya yang terganggu dalam beberapa minggu itu.

"Aku dah ada kat depan rumah kau"

Nadya yang sedang mengaru kepala terus berlari ke arah tingkap miliknya. Dia menyelak sedikit langsir yang masih bertutup dan melihat di celah-celah langsir.

Andi mendongak memandang ke salah sebuah tingkap rumah Nadya. Kelihatan langsir bergerak-gerak di tingkat dua. Dia tersenyum dan melambaikan tangannya.

Dia! Dia yang selalu menganggu tidur malam Nadya. Sejak Andi hadir semula dalam hidupnya, pola hidup Nadya sudah tidak sama seperti selalunya. Biarpun dengan adanya si kembar, Nadya merasa hidupnya selesa dan senang diduga. Namun bila Andi hadir semula, jadual hidupnya menjadi tunggang langgang.

Ah! Ibu... mesti ibu yang beritahu alamat rumahnya kepada Andi. Nadya mengukir senyuman kecil apabila melihat Andi diluar rumah bersama motosikal berkuasa tinggi. Membuatkan Nadya terkenangkan motosikal kapcai yang sering ditunggang oleh Andi sewaktu sekolah dulu. Motorsikal yang sentiasa memberi seribu satu masalah.

"Nad, aku tahulah yang aku ni handsome lagi kacak,"

Suara di hujung talian membuatkan Nadya tidak jadi mengimbau memori lama.

"Tapi aku tak sarapan lagi ni. Kalau kau turun kat sini, kau boleh tengok muka aku dari jarak dekat. Sumpah! Free of charges"

Nadya menjulingkan mata. Beri kepada Andi untuk memuji ketampanan diri sendiri. Sikap narsistik Andi tidak ada ubatnya.

"Kita takde janji pun nak keluar hari ni" kata Nadya sambil duduk di bawah tingkap dan menyandar pada dinding.

"Oh sorry, aku tak tahu pun kalau nak keluar dengan Puan Nadya sekarang ni kena ada temujanji. Agaknya kalau aku nak book masa kau untuk minggu depan, aku kena start buat temujanji hari ni ke macam mana? Ada P.A yang aku boleh hubungi untuk buat temujanji?"

Nadya tersenyum sinis. Awal-awal pagi lagi menerima sindiran tajam dari Andi. Memang hidupnya tidak boleh dijangka dengan kehadiran Andi.

"Tak payah nak sarkastik sangat ya di pagi-pagi buta ni. Aku mandi kejap"

"Patut berbau sampai kat sini"

"Real mature Andi, real mature" Nadya tersenyum lebar apabila mendengar Andi ketawa besar di hujung talian. Dia mencium baju tidurnya, hidung ternaik sedikit. Bau air liur basi. Dia terus menamatkan panggilan dan terus menarik tuala yang tergantung di rak pengantung baju.

~~~~

Andi mengeluh lagi untuk kesekian kalinya sementara Nadya tersenyum lebar melihat keadaan Andi seperti itu.

"Andi, kalau kau nak rasa angin sepoi-sepoi bahasa tampar ke muka kau, kita boleh buka tingkap." Nadya menekan butang untuk membuka cermin kereta yang ada di tepi pintu, "wah! Sejuknya angin pagi" tambahnya apabila Andi menjeling tajam ke arahnya.

Nadya tergelak kecil. Dia menang. Andi kalah. Kerana itulah Andi bermuka cemberut di kerusi penumpang.

"Kalau motor aku hilang kat rumah kau, kau bayar dua kali ganda" kata Andi sambil memeluk tubuh.

Nadya mengetap bibir namun bahunya menggigil kerana menahan gelak.

"Okay, kita nak pergi mana sebenarnya ni?"

Andi memandang ke arah Nadya. Dia tidak dapat menahan senyum melihat tingkah Nadya.

Nadya pandang seketika ke arah Andi sebelum fokus dengan pemanduannya semula.

"Andi?"

"Melaka."

Nadya membulatkan mata dan kemudian sempat mencuri pandang ke arah Andi.

"Aku teringin nak makan asam pedas" kata Andi tanpa menunggu soalan dari Nadya. Dia membuka beg sandang yang dibawanya dan mengeluarkan dua bungkus sandwich sardin, "ni sarapan kita" Andi membukakan sandwich buat Nadya.

"Andi, serius?"

"Waktu aku bangun dari koma, aku teringat yang kau pernah cakap dengan aku. Kita boleh tulis berjela-jela kertas rancangan, tapi tanpa keberanian dan tindakan, tiada apa yang akan jadi. Hidup adalah untuk dinikmati, bukan untuk dibazirkan dengan semua tanda tanya dan dilemma"

Andi pandang Nadya.

Nadya terkebil-kebil sambil memerhatikan jalan.

"Aku tak ingat pun yang aku pernah cakap macam tu" Nadya bermonolog sendiri sebelum memandang ke arah Andi yang sedang menguap.

"Kita pergi Melaka" kata Andi dengan yakin.

Nadya harus akui, kehadiran Andi memang membuat jadual hidupnya cacamarba. Andi seakan mencuba untuk menarik keluar Nadya dari tempat persembunyiannya. Nadya milik Andi yang sudah lama bersembunyi. Nadya mengeluh perlahan sebelum menetapkan destinasi GPS kereta.

~~~~

Nadya mengeluh lega apabila berjaya mendapatkan tempat meletak kereta selepas tiga puluh minit berpusing hampir separuh bandar. Nadya memandang penumpang disebelahnya yang senyap sepanjang perjalanan. Nadya mengecilkan mata apabila melihat Andi tidur dengan lenanya.

"Sebab tu aku kata lebih baik naik motor" kata Andi dengan mata yang masih bertutup.

Nadya menggeleng kepala. Percuma membebel dengan Andi. Nanti bertukar jadi debat yang dia sendiri tidak tahu bila hentinya.

"Baru jam 10.30. Awal lagi kalau nak makan tengah hari"

Andi mengeliat sebelum memandang ke arah Nadya.

"Kita dah sampai Melaka. Takkan datang untuk makan je" kata Andi sebelum menarik tali beg dan diletakkan pada bahu sebelum membuka pintu kereta, "sekarang, apa yang patut kita buat kalau sampai di Melaka?" Andi memandang sekeliling. Ada beberapa penarik beca yang sedang membawa penumpang. Andi pandang Nadya yang sedang mengunci pintu kereta.

Nadya menarik pemegang kereta untuk memastikan kereta berkunci dan melihat ke cermin hadapan keretanya untuk memastikan yang dia tidak lupa meletakkan kupon meletakkan kereta.

Andi mengeluh panjang.

"Apa dia?"

"Muka kau dah macam mangsa culik. Cuba ceria sikit" komen Andi.

Nadya menarik nafas panjang sebelum mengorek beg tangannya. Krim pelindung matahari dikeluarkan dari beg tangannya.

"Tangan,"

Andi mengerut dahi dan namun tetap menadahkan tangan.

"Sayang je datang Melaka kalau tak naik river cruise" Nadya menuangkan krim pelindung matahari di tangannya dan mengisyaratkan agar Andi ikut caranya menyapukan krim ke seluruh muka dan tangan, "okay, jom!"

Nadya sempat mencuri pandang ke arah Andi yang masih terpinga-pinga dengan perubahan mod Nadya. Nadya tersenyum melihat Andi. Wajah yang selama 16 tahun muncul hanya dalam mimpinya. 

~~~~~

2004

"Sekarang?"

"Ya" Nadya jawab dengan nada selamba.

"Sekarang ni? Jam lapan pagi, bertarikh 9 May 2004, bersamaan dengan hari Ahad? Sekarang ni kau bawa aku pergi Melaka?"

Nadya terkebil-kebil bila mendengar soalan Andi.

"Yaaa" ulangnya dengan muka selamba sebelum dia mengangkat plastik hitam di hadapan muka Andi, "Aku ada beli sandwich untuk bekal kita"

Andi mengaru belakang lehernya.

"Aku nak cuba lukis pintu gerbang Santiago dan hantar lukisan tu untuk masuk bertanding," kata Nadya sambil menunjukkan beg berisi dengan kelengkapan melukis.

"Nad, serius?"

Nadya mengeluh panjang.

"Andi, kita boleh tulis berjela-jela kertas rancangan, tapi kalau tak berani dan duduk diam je, habuk pun tak dapat. Hidup untuk kita enjoy, bukan untuk dibazirkan dengan macam-macam soalan dan dilemma. Be spontaneous-lah Andi"

Andi menarik nafas panjang. Malas bergaduh dengan mulut becok milik Nadya. Gerenti dia akan kalah.

"Okay, aku pergi beli tiket bas" kata Andi yang masih bingung dengan apa yang sedang berlaku. Tidak terfikir untuk mengisi hari minggunya dengan merentas sempadan negeri. Hanya dengan Nadya perkara-perkara itu boleh terjadi.

"Tadaa!" Nadya menunjukkan dua tiket bas kepada Andi, "nanti sampai sana baru beli tiket balik" tambah Nadya.

Andi menggelengkan kepala dan tersenyum geli hati.

Hanya dengan Nadya. Bisik hati Andi. 

Klik sini untuk bab lalu atau seterusnya 👉 CYASAR 11| CYASAR 13



Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37