Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Tuesday, May 1, 2018

Cerpen : Dia

Dia

Sesekali begini, aku terasa tenang. Duduk di kedai kopi, sambil bercerita tentang kisah lalu bersama kawan-kawan. Aku tiada ramai kawan. Cuma ada empat orang. Selepas SPM, semuanya sibuk dengan urusan masing-masing. Kedai kopi ini, milik Dina. Ala-ala kedai hipster zaman sekarang. Tidak jauh dari tempat aku bekerja. Tapi disebabkan kerja, jarak yang dekat terasa jauh. Mungkin dua bulan sekali baru dapat berjumpa dengan Dina.
“Fikri? Dia dah kahwinkan?” Fira menjulingkan mata. Mungkin malas mahu bercerita tentang lelaki bernama Fikri. Kekasih hatinya sewaktu sekolah menengah.
“Dengar cerita dengan anak Dato..” Aida menambah minyak dalam api yang membara dihati Fira.
“O.M.G… stop cerita pasal jantan tu” Fira menjeling dan kemudian meneguk air kopi latte yang baru dihantar oleh Dina.
Korang ada jemputan dari Darul tak? Bulan depan?” Tanya Wati. Hanya yang sudah bergelar ibu kepada dua orang cahaya mata yang becok tapi comel.
Dina menggelengkan kepala sambil duduk disebelah aku. Fira mengerut dahi.
“Tak ada,” kata Aida pula.
Aku juga menggeleng kepala.
“Dia jemput semua orang rasanya. Di Facebook” Kali ini, kami semua mengerut dahi.
“Facebook ada lagi ke?” tanya Fira. Wati menjulingkan mata.
“Ibu-ibu je guna facebook” Jawan Aida pula. Saja bergurau. Kami ketawa. Kerana hanya Wati sahaja yang sudah bergelar ibu pada waktu itu. Dina pula baru berkahwin dan Fira baru bertunang.
“Oh ya..” Aida memandang ke arah aku. Aku mula rasa tidak senang. Seperti sudah tahu apa yang akan dia katakan. Aku mengangkat kening sebelah sambil memandangnya tanpa senyuman. Seperti memberi amaran agar dia tidak teruskan.
“Aku jumpa dia, minggu lalu” Fira dan yang lain berpandangan sesama sendiri. Aku tahu siapa ‘dia’ memandangkan Aida memandang ke arah aku sambil tersenyum penuh makna.
Aku merebahkan kepala di bahu Dina. Tidak menjawab apa-apa.
“Dia tanya pasal kau..”
“Siapa?” tanya Fira sambil mengerut dahi. Wati menjongket bahu. Dina seperti mula faham dan menepuk bahu aku. Aku hanya tersenyum.
“Masih hidup. Cakap kat dia kalau jumpa lagi.”
Aida tersenyum sambil menggeleng kepala bila mendengar jawapan aku. Tidak. Tidak pernah tertulis rasa benci untuk dia. Cuma, masa lalu itu biar di masa lalu. Tidak payah dibawa sehingga masa kini.
“Ohhh..” Reaksi Fira seperti sudah ingat siapa yang sedang Aida maksudkan, “Oh.” katanya sekali lagi dengan nada simpati. Aku mengerut dahi.
“Sudah 12 tahun, okay guys.. please, aku tak fikir pasal tu lagi.. dah lama okay.. plus, this..” aku mengangkat tangan sambil menunjukkan cincin yang tersarung di jari manis..
Mereka mula bergosip mengenai perkara-perkara semasa sementara aku termenung, mengingatkan hari-hari bersama dia yang mengajar aku tentang cinta.
~~~~~~~
“Hai” tegur aku tanpa segan ketika waktu rehat. Aku terus duduk di sebelahnya sambil Fira dan lain-lain melopong melihat aku dari meja di tepi tiang. Meja dia dan kawan-kawannya terus sunyi macam ada malaikat yang lalu.
Dia tidak jadi menggigit burger ayam ditangannya. Dia memandang kanan dan ke kiri. Mungkin untuk memastikan dia yang aku tegur.
“Hhai..” katanya sambil mengerut dahi.
Aku menepuk bahu Remi, masa tu aku belum kenal sesiapa yang ada di meja itu. Aku menyuruh Remi beralih dan memberi tempat untuk aku duduk di hadapan dia.
“Nah” Aku menghulurkan surat.
Dia meletakkan semula burger ayam di atas pinggan dan mengambil surat aku.
“Biodata aku dan nombor telefon” Kata aku dengan penuh keyakinan. Padahal waktu itu, aku sendiri tidak dapat mendengar apa yang aku sedang katakan. Kerana aku terasa jantung aku berdegup kuat. Bukan baru sekarang aku sedar dia ada. Dari dulu. Sejak tingkatan satu. Ketika itu, dia selalu latihan bola sepak di hadapan asrama perempuan. Jadi aku selalu tengok dia dari jauh.
“Wahh” komen kawan yang duduk semeja dengannya. Mungkin Fikri.
“Telefonlah kalau rajin” kata aku sebelum berlalu dari situ. Aku keluar dari kantin tanpa kembali ke meja kawan-kawan aku dan terus ke tandas. Mahu menjerit malu. Ini semua sebab Aida. Mencabar aku untuk buat macam tadi. Di fikiran aku sudah cuba merangka sekolah mana yang patut aku pindah. Mungkin juga Umi akan mengamuk sebab aku mahu pindah di tengah tahun .
“Lana!” Aku pandang pintu tandas. Suara Fira panggil aku.
“Dia balas surat” kata Dina lagi. Aku membenam muka ke dua-dua tangan. Macam mahu sorok muka untuk selama-lamanya.
“Aku baca..” laung Aida bila aku tidak keluar-keluar dari tandas. Aku terus cuak. Gila Aida. Takkan nak makcik yang jaga tandas pun dengar.
Dear Lana.. Aku tahu nama kau, aku tahu apa makanan kegemaran kau, aku tahu kesukaan kau. Tak payah biodata. Sebab aku dah tahu semuanya. Terima kasih. Sebab hari ni, aku juga tahu yang kau suka aku” Aida baca dengan kuatnya tanpa sempat aku tangkap surat atau sebetulnya kertas balut burger ayam yang diconteng mengunakan pen marker. Sampai sekarang aku masih simpan.
“Aku tak cakap yang aku suka dia..” kataku sambil cuba merebut kertas di tangan Aida. Tapi aku tak cuba untuk menarik kuat. Takut koyak. Sebab aku mahu simpan ‘surat’ itu sebagai kenangan yang paling bermakna.
~~~~~~~
“Hai” Kami semua mengangkat kepala. Dia berdiri di tepi meja kami. Kedengaran siulan kawan-kawannya. Meja yang tidak jauh dari kami. Mulut aku kembung. Penuh makanan. Hampir tercekik bila melihat dia di hadapan.
“Boleh kita duduk di meja lain?” tanyanya. Baru sedar, dia sedang memegang sepinggan mee goreng di tangan kanan dan ais lemon teh di tangan kiri. Aku tidak bergerak. Sempat berpandangan dengan kawan-kawan aku. Aku menggeleng bila mereka tersenyum jahat. Belum sempat aku cakap apa-apa, diorang semua tinggalkan aku. Kawan baik konon!.
“Minta maaf” katanya ketika kami sedang makan. Aku makan perlahan. Takut tercekik. Jantung juga berdegup kencang. Hampir tidak dengar apa yang dia sedang cakap.
“Kenapa?” tanyaku. Pelik. Tiba-tiba minta maaf.
“Sebab jadi pengecut selama ni,” jelasnya, “macam mimpi. Lana Aisya bagi surat.” Ah.. berhenti bercakap please.. aku malu. Pipi aku terasa panas membahang.
“Nah..” dia menolak cup yang berisi ais lemon teh kepada aku, “minum air, nanti tercekik” baru sedar, mulut aku masih penuh makanan dan aku tiada air. Memang selalu, aku akan beli air minuman selepas makan. Malas berebut dengan pelajar lain.
“Memang ada bantal busuk warna merah?” Aku terus tersedak. Dia tersenyum nakal. Siapa yang jadi radio karat niii.. Setelah beberapa bulan, baru aku tau.. Aida berjiran dengan dia dan ya, Aida yang menjadi radio karat.
~~~~~~~
“Terkena apa?” Aku singgah padang bola untuk tengok dia berlatih.. atau lebih tepat, untuk tengok dia dan cuma dia. Aku terkejut bila tengok lebam yang masih baru dipipinya.
“Bola” jawabnya sepatah. Aku tekan lebam tadi dengan jari telunjuk sampai dia mengadu sakit.
“Tipu..” kataku bila dia pandang aku. Dia tersengih.
“Kenapa ikut bergaduh?” Asrama siswi tidak jauh dari asrama siswa. Lampu asrama siswa ditutup semua, tapi boleh dengar kekecohan semalam sehinggalah Kumbang datang. Kumbang tu nama gelaran warden asrama. Warden tu yang mahu dipanggil kumbang. Pelik. Tapi biasa bagi kami, penduduk asrama.
“Merasa tamparan Kumbang tak semalam?” Dia tergelak dan menganggukan kepala.
“Padan muka” kataku dengan nada selamba. Dia buat muka sepuluh sen. Minta simpati. Aku menghadiahkannya jelingan tajam.
“Auch!” dia terus memegang dadanya seperti sedang menahan kesakitan.
“Kenapa?” Risau!
“Jelingan tadi menusuk ke jantung dan turun ke hati” Hampir aku panggil Kumbang dan menyuruh menamparnya lagi.
“Jangan ikut-ikut jadi samseng boleh takkkk..” Aku cuba mencubit tangannya dan dia cuba mengelak. Geram bila dia cuba mengubah tajuk.
“Janji, jangan ikut gaduh lagi..” dia terus mengangkat tangan seperti mengangkat sumpah.
“Janji!” katanya dengan yakin.
~~~~~~~~
“Lana.. ada surat” Fira yang sama kelas dengan aku memberikan sehelai kertas tisu berwarna pink. Aku menggeleng kepala. Sudah tahu dari siapa. Dia memang tidak kenal apa itu kertas mungkin. Kali ini tisu kantin menjadi mangsa.
“Dear Lana, Aku dan kau macam sesiku T dan Board.
Kerana, kalau tiada salah satu,
Maka, bersedialah terima hukuman dari Cikgu Edna..
P/S: cantik pemandangan di luar pagi tadi” T.
Aku tergelak kuat. Jadi sebab itu dia tercongok di luar waktu P&P (Pengajaran dan Pembelajaran). Disebabkan kelas kami berdepan, aku boleh nampak dia berdiri di luar, bersama Fikri. Aku pun tak pasti macam mana diorang boleh terlupa papan lukis yang sebesar 60cmx 80cm. Juga sesiku T yang saling bersangkut pada Board.
~~~~~~~~
“Siapa?” Aku mengunyah burger perlahan-lahan. Mungkin kalau aku buat dono, dia akan berhenti bertanya. “Siapa dia?” atau mungkin tidak.
“Kawan” jawab aku, pendek. Ada saja Radio karat yang tidak berhenti berbunyi. Kali ini aku tahu, bukan Aida. Tapi si Riri, budak kelas dia yang menganggap dia kepunyaan mutlak. Hak milik Riri. Aku mahu cakar muka dia, tapi janganlah. Muka dia pun dah buruk sangat. Jangan ditambah, bilang Wati masa aku mengadu di dorm lepas jumpa dia.
“Kawan tapi main tarik-tarik. Apa kelulusan dia tarik-tarik anak dara orang” Aku mula terkenang adegan memalukan tu. Siswa dan siswi di sekolah aku tidak sama waktu keluar bandar. Kalau minggu ni siswi, minggu depan siswa. Jadi dia tiada waktu jantan keparat itu menganggu.
Jantan tu bekas kekasih aku sewaktu tingkatan 3. Kalau boleh dia digelar kekasih. Cuma jumpa beberapa kali dan berbalas surat. Aku kenal dia ketika pertandingan puisi. Aku menjadi wakil sekolah. Tak sangka jumpa dia minggu lalu. Aku putus hubungan dengan jantan itu bila tahu dia ada kekasih lain. Aku tak suka menjadi pilihan. Sampai sekarang, aku tak suka menjadi pilihan. Pilih aku, dan tiada yang lain.
“Kelulusan untuk jadi manusia yang tidak bertamadun peringkat tertinggi” jawab aku dengan selamba. Muka dia kelihatan seperti baru menelan asam gelugor. Masam! “Aku tendang dia tepat di tempat berkenaan bila dia tarik aku. Pasa tu ada orang cerita?” Aku yakin Riri tak cerita pasal itu. Jantan itu terduduk di tengah-tengah pasar raya selepas menerima tendangan aku. Hasil dari kelas taekwondo yang aku ikut waktu sekolah rendah.
Aku nampak dia hampir tersenyum.
“Dia menjerit macam perempuan” tambahku lagi. Biar dia terus tersenyum.
“Panggil mak” Dia terus tergelak. Aku pun sama. Lucu bila teringat peristiwa itu.
~~~~~~~~
Kali ini, baru aku tau aktiviti kegemaran dia. Bukan bola sepak, tapi bergaduh. Aku menunggu di depan bilik cikgu disiplin, Kumbang. Ya, Kumbang juga guru disiplin. Walaupun di luar, aku terasa macam aku berada dalam bilik disiplin. Tak payah pakai mikrofon, suara Kumbang boleh dengar sampai ke kantin. Dia akhirnya keluar bersama kawan-kawannya. Aku mencelah masuk di antara dia dan Fikri.
“Kali ni sebab apa?” dia berhenti melangkah. Aku memeluk tubuh.
“Kumbang bosan tadi, jadi kami saja melawat dia” Boleh lagi bergurau. Aku pandang dia atas bawah. Kecik besar-kecik besar je aku tengok dia sekarang ni.
“Kenapa?” tanyaku sambil mengetap gigi. Cuba mengawal suara. Nanti dengan aku-aku kena angkut masuk ke dalam bilik disiplin.
“T, jalan dulu..” kata Fikri, “kami jalan dulu” kata kawannya yang lain.
“SPM nak dekat… kenapa masih nak cari masalah?” Dia menggaru belakang leher. Mungkin tidak tahu mahu jawab apa dengan aku.
“Macam mana nak attend Queensland University sama-sama kalau kau kena gantung sebelum SPM?” Bebelku lagi. Kali ini, dia mengeluh.
“Universiti di Malaysia kan banyak..” dia berjalan di depan. Dalam masa beberapa minggu ni, kami sudah sering berbincang pasal ini. Mungkin dia mula bosan. Tapi mungkin waktu itu, aku belum cukup matang. Jadi aku pandang rendah dengan orang yang mengambil lewa bila bercakap mengenai masa depan.
“Malaysia? Serious? Ugh.. your aims are so low” Dia pandang aku. Aku baru perasan luka di bibirnya dan lebam di matanya.
“Lana… aku penat. Kita bincang nanti, boleh” katanya dengan cukup tenang hingga buat kemarahan aku terus cair tapi keegoan masih terus meninggi.
Whatever” Itu kata-kata dari si ego bukan dari akal.
~~~~~~~~
Aku pernah tanya dia, kenapa suka bergaduh? Ketagih tahap perlukan terapi ke? Dia cakap, dia anak jantan. Takkan biarkan kawannya dipukul sorang-sorang. Jadi aku cakap lagi, jadi kalau kawan masuk lubang jamban? Nak ikut? Dia cakap, belum pernah lagi orang dewasa muat di lubang jamban, Houdini pun takkan dapat. Loyar buruk.
“Boleh tak jangan cerita pasal tahi di meja makan” Wati mendengus sambil menolak pinggan yang masih berisi. Dina membuat muka seperti sedang menghidu bau jamban. Aku dan dia berhenti berdebat bila ke empat-empat kawan aku berhenti menjamah makanan di hadapan mereka.
In my defense, kau mulakan dulu” katanya mahu melepaskan diri. Aku menarik muncung. Selalu mengelak bila aku sebut mengenai hobinya yang satu itu. Macam setiap bulan dia akan melawat Kumbang di bilik disiplin. Mungkin bosan belajar.
“Sudahlah. Malas. Bagus bercakap dengan dinding” Aku berpusing 90 darjah dari dia.
“Pelik” dia bersuara. Kawan yang lain hanya menjadi pemerhati.
“Pelik kenapa?” biar Aida yang melayan.
“Nampak macam normal. Tapi cakap dengan dinding. Nasib baik cantik” Dani hampir tersembur ketawa. Fira mengetap bibir, Aida dan Wati langsung tidak berlakon, terus saja ketawakan aku. Dia cepat-cepat lari dan bersembunyi di belakang Fikri yang baru selesai membeli makanan. Mungkin dia tiba-tiba teringat yang aku sudah lama tidak mempraktikkan tendangan tali pinggan hitam selepas peristiwa di pasar raya.
~~~~~~~~
“Hati-hati. Kalau jatuh, bangun sendiri” katanya ketika menghantar aku ke pintu asrama siswi dan dia ke padang bola untuk latihan.
“Kau pun, jangan jatuh!” kataku dengan serius.
“Jalankan rata, macam mana nak jatuh” 
Menjawab betul!. Aku mengetap bibir.
“Jangan jatuh cinta dengan orang lain” kataku dengan serius sambil aku menunding jari telunjuk dan jari hantu ke arah dia dan kemudian ke arah aku. Dia tergelak kecil dan memberi tabik hormat.
“Baik mem!”
~~~~~~~
“Sudah isi?” kataku sambil menunjukkan borang-borang berkaitan permohonan biasiswa dan kemasukan awal ke University of Queensland. Dia sibuk mengunyah burger sambil memandang television yang terpasang di kantin sekolah.
“T…., dengar tak?” aku mula geram bila dia buat acuh tak acuh. Apa lagi masalah? Keputusan percubaan dia, tip top. Biasiswa, in shaa Allah. Adik beradik pun ramai yang sudah berkerja. Jadi tiada isu untuk tinggalkan Malaysia untuk sementara. Untuk belajar. Bukan suka-suka.
“Apa masalah dengan Malaysia? Bidang pakar dalam bidang literature di sini pun ramai” katanya memandang ke arah aku dengan mulut kembung.
“Ambil pengalaman di negara orang T. Takkan terus terperuk ditempat yang selesa. Hidup kena ada cabaran” kataku pula. Dia mengeluh.
“Hujan emas di negeri orang Lana.. Hujan batu di negeri sendiri” katanya perlahan dan mendayu seperti cuba memujuk. Tapi begitulah dia bila sedang bercakap dengan aku. Nadanya perlahan. Nada romantik, Aida kata.
“Sampai sekarang aku masih tak setuju dengan peribahasa tu, siapa yang memilih emas dari batu? Cuba cakap? Kenapa mesti memilih sengsara dari kesenangan?” marahku. Jujur aku masih mempersoalan peribahasa itu. Kalau hujan emas di negeri orang, kenapa aku mesti bertahan di negara yang hanya memberi batu. Tiada nilai.
“Ada. Daud” Aku dengar cerita tentang Daud dari dia dan Aida. Daud tu orang yang selalu berlegar-legar di taman perumahan dia dan Aida. Nyanyok. Mungkin juga gila. Tertekan kerana isteri lari dengan orang lain dan sekarang di jaga oleh keluarga. Tapi selalu lari dari rumah dan menjadi ‘sekuriti’ taman.
Aku mengeluh. Ringan je tangan aku nak hempas kepala dia ke meja. Mujur aku ingat yang dia anak kesayangan Umi Lina.
“Jadi? Sekarang macam mana?” kataku dengan nada serius. Mula rimas dengan sikapnya yang acuh tak acuh atau sikap cintakan negara yang tidak kena pada tempat.
“Cari dalam Malaysia je” katanya perlahan. Mungkin ragu-ragu. Aku mengemas barang-barang. Tidak jadi untuk mengulang kaji bersama. Buat apa? Kan cuma belajar di dalam negara. Dapat B semua pun boleh masuk Uni.
“Lana…” panggil sampai sakit tekak pun. Aku malas nak layan. Aku terus balik ke asrama semula.
~~~~~~~
“Wah.. jauh ni, cikgu doakan Lana dapat masuk sini” Aku tersenyum. Teruja bila Cikgu Raihan memeriksa semua borang-borang yang patut diisi sebelum aku menghantar borang pemohonan ke Queensland. Aku isi seorang diri. Janji untuk belajar bersama-sama dengan dia aku tolak tepi. Dia dan aku, ternyata mempunyai visi dan misi yang berbeza dalam hidup.
“Hampir lengkap dah ni. Nanti Lana minta pengesahan untuk salinan keputusan percubaan ni ya” Aku mengangguk. Bila keluar dari bilik guru, aku bertembung dengan dia. Aku ke kiri, dia juga ke kiri. Aku ke kanan, dia juga ke kanan dan aku kiri lagi, dia juga ke kiri. Akhirnya aku berhenti. Aku tahu, dia sengaja menghalang jalan aku.
“Senyumlah. Kesian semut” katanya. Aku mengerut dahi. Apa kena mengena dengan semut?
“Sebab tak jumpa kemanisan senyuman kau” Aku mahu senyum. Tapi aku masih marah dia.
“T.. kau,” aku mengeluh dan menolak dia sedikit. Asal aku boleh menyelit di celah-celah supaya dapat meneruskan perjalanan ke kelas. Malas mau bercakap banyak.
Sebelum habis rehat, Dannial, ketua kelas kami memberikan surat. Kali ini, dia menggunakan kertas betul. Tapi dikitar semula dari kertas conteng ujian mathematik tambahan.
“Kalau emas ada banyak jenis, emas tulis, emas 999, emas korea, emas thailand.
Ada yang bernilai dan ada yang tiada.
Tapi kalau batu, tetap batu. Keras, kukuh. T”
Aku mendengus. Jadi? Emas apa yang rapuh? Keras dan kukuh juga. Aku lipat kertas tadi. Masuk ke dalam buku latihan. Percubaannya untuk kesekian kali itu gagal. Aku takkan berpaling dari keputusan yang aku sudah buat.
~~~~~~~~
Saat-saat mahu ke luar negara, Aku semakin beremosi dengan dia. Sebab biarkan aku sendiri. Keputusan SPM sudah dapat berapa minggu lalu. Bagasi semuanya sudah sedia. Aku masih berharap dia akan ikut.
“Sampai hati” kataku sayu. Cuba menarik simpatinya. Mana tau, dia tiba-tiba ubah fikiran.
“Sampai..” katanya perlahan, “sampai di rumah pakcik Mahmud dan terus ke hati anak sulung dia” Pakcik Mahmud tu nama ayah aku. Aku mencebik. Sampai waktu itu dia masih bergurau.
“Aku dah kemas barang” Senyap.
“Bagus” katanya perlahan.
“Tak ikut?” aku mencuba lagi. Gigih mencuba seperti dia yang gigih memujuk aku untuk tetap di Malaysia.
“Ikut” aku membesarkan mata. Hampir terjatuh dari katil. Teruja mendengar jawapannya.
“Kan sebahagian dari hati aku sudah menjadi milik kau. Jadi di mana kau pergi, sebahagian dari diri aku akan ikut kau.” Senyuman aku mengecut.
“T, serious sikit boleh tak?” Aku tengking dia. Sejak akhir-akhir ini, aku selalu melepaskan marah dengannya. Biarpun dia tidak membuat apa-apa salah. Aku menamatkan panggilan.
~~~~~~~~
Tapi betul. Biarpun rindu, aku rasa sebahagian dari dia ada sentiasa dengan aku. Tahun pertama, kami memanfaatkan perkembangan kelajuan internet di malaysia. Kalau dulu, Yahoo Messengger menjadi pilihan. Jarak masa Australia dan Malaysia tidak jauh beza. Tiada masalah untuk menetapkan masa untuk bervideo call dan chatting di Yahoo Messenger. Teringat buku yang keluar pada tahun 2009, mengenai Yahoo Messenger. Aku masih simpan dan berulang kali baca buku itu. Kerana ia membuatkan aku terkenang ketika zaman aku dan dia berjauhan.
Tahun kedua, aku mula sibuk dengan kerja kursus dan pelbagai projek. Dia pula sibuk dengan pengajian dia sendiri. Bakal menjadi jurutera. Mesti sibuk melawat site sana sini. Masa kami bersama agak kurang. Dia pernah juga melawat aku di Queensland. Tapi entah kenapa, aku juga sudah lupa sebabnya.. percutian itu menjadikan jurang antara kami semakin besar.
Tahun ketiga, dia mula menyepi. Aku sendiri juga tidak cuba untuk menghubungi. Aku pun sudah lama tidak menggunakan Yahoo Messengger. Waktu ini, bbm (blackberry messenger) meningkat naik. Ramai yang bertukar kepada telefon blackberry pada ketika itu.
Sebab aku mengambil A-level juga di sana, jadi hampir 5 tahun aku merantau. Dan di bulan-bulan terakhir aku berpijak di bumi orang, aku mula sedar sesuatu. Banyak yang telah aku tinggalkan selama aku di sini. Apa khabar Dina? Yang selalu tempat aku bermanja, atau Fira, sarkastik tapi baik hati, dan Wati? Aku dengar dia sudah bertunang, hanya mendengar khabar dari facebook, Aida? kawan yang selalu menyampaikan pesan dari dia. Tapi sudah lama tidak mendengar khabar. Dia pula? Aku rindu. Tapi entah. Mungkin sudah terlalu lama, sampaikan panggilan telefon tidak sesuai lagi untuk kami berdua.
Aku baru tersedar, aku berlari terlalu jauh.. mengejar sesuatu. Sehingga terlupa, tentang dia. Bulan-bulan akhir di perantauan, aku terasa sunyi. Dulu aku berpegang pada kata-kata Rudyard Kipling “He travels the fastest who travels alone”. Tapi Rudyard lupa, “he who travels alone, bear the loneliness”. Bila aku balik, aku dengar berita dari Aida. Aida terlepas cakap. Dia sudah ada penganti. Aida terserempak dengannya sewaktu dia membawa seorang perempuan berjumpa Umi Lina.
Kalau betul kata wikipedia, Kuala Lumpur bersaiz 94 sq batu dan mempunyai populasi melepasi 1.73 million. Kecil berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Tapi hairan. Bertahun-tahun setelah aku balik semula ke tanah air, aku tidak pernah bertembung dengannya. Walaupun begitu, dia tetap diingatan. Apatah lagi bila dia selalu muncul dalam mimpi. Membuat aku terkenang masa-masa dulu. Internet mengatakan yang kalau kita mimpikan seseorang, ertinya orang itu mimpikan kita juga. Aku mahu percaya yang dia juga merindui aku.
Aida mulai jarang membicarakan mengenai dia lagi. Mungkin juga kerana aku telah memblacklist kan dia dalam senarai perbualan kami. Aku takut cemburu. Kalau mendengar berita baru tentang dia dan penganti aku. Biarpun aku sudah ada Adam. Tetap juga aku cemburu. Kalau boleh, biar dia tidak muncul lagi dalam hidup aku. Sebab aku cemburu.
~~~~~~~~~
“Oh ya,” Fira memandang ke arah aku, “kau ingat Dannial? Ketua kelas kita. Dia jemput datang majlis cukur jambul anak dia” Aku angguk. Aku ingat Dannial. Aku dengar, dia berkahwin waktu sedang ambil diploma. Waktu aku balik sekejap dari Australia, Dannial menjemput aku ke majlis cukur jambul anak yang pertama. Kembar. Aku datang dengan dia. Waktu tu, aku dan dia masih okay, cuma jurang semakin terasa antara kami.
“Bila?” tanyaku sambil menghirup air kopi yang mula sejuk.
“Hujung minggu ni. Kau nak pergi sama-sama atau dengan Adam?” Aku diam sekejap. Adam, tidak begitu mesra dengan kawan-kawan aku. Keluarga aku pun dia hanya berbasah basi asal tidak digelar sombong. Tapi dia baik. Kata hatiku yang terdalam.
“Kita pergi sama-samalah, Adam outstation” Fira bersetuju. Mungkin tunangnya juga tidak dapat pergi.
Setelah habis bergosip sampai ke petang, kami mengikut haluan masing-masing. Kata Wati, kembali ke pangkal jalan. Aku sengaja membelokkan kereta menuju ke sekolah menengah dulu. Entah kenapa, aku rindu. Di pintu gerbang inilah aku pernah menendang dia bila aku tahu dia bergaduh lagi. Lucu. Kawan-kawannya terus memandang semacam. Kaki gaduh tapi kalah dengan perempuan. Dia nakal. Tidak boleh dikawal. Kumbang pun mula bosan tengok muka dia. Tapi pelajaran selalu tip top. Membuatkan guru-guru mengunci mulut masing-masing. Selalu kalau bergaduh, alasan dia untuk membela kawan.
Aku meminta keizinan untuk masuk ke dalam perkarangan sekolah dan tempat perhentian pertama adalah kantin. Tempat aku menegur dia buat kali pertama selama tiga tahun memandang dia dari jauh. Kalau disuruh buat seperti itu lagi, mati hidup semula pun aku takkan berani. Dengan Adam juga, bukan aku yang mulakan. Adam yang mula menegur. Kalau tidak, sampai sekarang aku masih sendiri.
Dan kemudian aku singgah ke padang bola. Tempat aku selalu menghabiskan mata memandang dirinya. Walaupun begitu, sampai sekarang aku masih tidak faham dengan peraturan-peraturan yang ada dalam permainan bola sepak. Aku duduk di bangku di tepi padang. Tempat aku selalu tengok dia. Nampaknya padang sekolah sedang ditambahbaik. Kelihatan scaffolding (kalau betul apa yang aku dengar dari dia satu ketika dulu) dicacak di tepi padang.
Aku membesarkan mata. Teruja melihat Kumbang dihujung padang. Aku dengar, dia dilantik menjadi guru besar sekolah. Sudah tiga tahun. Kumbang sedang berbual dengan seseorang yang memakai topi keselamatan. Mungkin jurutera yang bertanggungjawab untuk pembinaan kecil itu. Kumbang seperti akrab dengan jurutera itu, sambil menampar bahu dan tergelak kuat. Suara Kumbang memang tidak payah pakai mikrofon.
“Siapa tak kenal! Taqiuddin. Keluar masuk bilik disiplin macam rumah kedua” kuatnya suara Kumbang sampai ke telingaku. Nama itu membuat aku tersentak. Badanku terasa kaku. Bergegar mungkin. Ingin lari tapi hati terasa berat. Ingin terus di sana tapi aku takut. Macam budak yang sedang membuat salah. Bila mereka semakin hampir, aku kuatkan kaki melangkah dengan laju. Hajat hati baru bertegur sapa dengan Kumbang terus terbatal. Aku melalui laluan bilik guru. Jaraknya ke tempat letak kereta mungkin cuba sejengkal tapi terasa seperti jarak University Queensland ke Esplanade Park. Tempat pertama aku bawa dia ketika dia bercuti di Australia. Bila aku hampir sampai di kereta, aku mula terdengar bunyi orang berlari. Tapi aku tidak menunggu. Aku terus memandu kereta dan pergi dari situ.
Kalau itu dia, katakan pada dia… aku rindu, masa lalu. 9.06 AM   (Lana, 2018)

Extra (Scene dari Rumah Terbuka Sekolah Cinta 2018)
“Encik Taqiuddin Qawi.. awak memang tak boleh tinggalkan kerja awak walaupun untuk makan tengah hari ke?” kata Nieylla selepas duduk di hadapan meja Taqiuddin.
“Cik Daniella Allyssa, awak dah kenapa?” tanya Taqiuddin sambil merenung Nieylla, “dah lupa hari ni hari apa?” tanya Taqiuddin lagi bila Nieylla kelihatan terkebil-kebil.
What?” kemudian Nieylla mula teringat, “Oh! First puasa” Nieylla menepuk dahinya.
Taqiuddin tergelak lucu.
“Ni lupa sebab tak ada sahur ke atau dah buka puasa sebelum datang ke pejabat saya?” Taqiuddin tersenyum manis sambil mengemaskan dokumen-dokumen di atas meja. Lukisan pelan gelanggang bola jaring sekolah digulung dan diletakkan ke dalam rak di tepi meja.
Hello, saya puasa okay. Saya cuma terlupa” kata Nieylla sambil memegang bingkai gambar yang mempamerkan gambarnya dan juga Taqiuddin.
“T, ini gambar raya dua tahun lalu kan?” tanya Nieylla sambil mengangkat bingkai gambar tadi.
Taqiuddin memandang ke arah Nieylla dan kemudian ke arah gambar yang dipegang Nieylla.
“Oh my.. tengok betapa kurusnya saya waktu ni” kata Nieylla sambil menarik muncung selepas memandang gambar tadi.
Taqiuddin tergelak kecil.
Really? Tak ada beza pun” kata Taqiuddin selamba sambil mengemaskan dokumen-dokumen yang masih berselerak.
Seriously? Awak tak nampak ke? Tengok gambar ni dan tengok saya sekarang. Sangat berbeza” kata Nieylla sambil mengeluh dan meletakkan bingkai gambar kembali di atas meja Taqiuddin.
You look fine..” kata Taqiuddin tidak mahu memanjangkan cerita.
Anyway, my mum.. tanya pasal kita lagi” kata Nieylla sambil menongkat dagu sambil memandang Taqiuddin yang kembali duduk di hadapannya.
“Apa awak jawab?” Taqiuddin menjongket kening sebelah.
Nieylla melarikan pandangan dan kemudian menjongket bahu.
“Saya cakap yang saya dan awak masih nak fokus dengan karier dulu” kata Nieylla sambil mengetuk jari di permukaan meja sambil pandangannya meliar ke sekeliling bilik kecuali ke arah Taqiuddin.
“Kalau awak nak, saya boleh suruh keluarga saya datang jumpa keluarga awak” kata Taqiuddin.
Nieylla tergelak kecil kemudian menggeleng kepala.
“Kalau saya nak?” Nieylla mengetap bibir dan kemudian memandang ke arah Taqiuddin.
“Macam mana dengan awak, T? Apa yang awak nak?” tanya Nieylla lagi.
Taqiuddin mengusap dagu.
“Kenapa setiap kali perbincangan kita, awak mesti nak serang saya?” tanya Taqiuddin perlahan, “saya dengan awak. Mestilah saya nak awak” kata Taqiuddin lagi sambil jarinya diletakkan di bawah bibir seperti sedang menongkat dagu. Wajah Nieylla dipandang dengan penuh kerutan.
Well then, jom kahwin” kata Nieylla tanpa sebarang keterujaan. Dia menjongket bahu dan menyandarkan badan di kerusi bila Taqiuddin memandang ke arahnya.
~~~~~~
Azan mula kedengaran, Fikri mengangkat tangan untuk membaca doa sementara Taqiuddin mengeluh panjang.
“Aku nak bertunang” kata Taqiuddin dengan tiba-tiba.
Fikri tidak jadi mengangkat tangan untuk berdoa.
“Nasib aku tak makan kurma lagi tau, kalau tak mungkin dah arwah sebab tercekik kurma. Bagi mukhadimahlah dulu lain kali” kata Fikri sambil menggeleng kepala dan membaca doa dalam hati sebelum mengambil kurma yang tersedia di atas meja.
“Bila kau nak bertunang?” tanya Fikri selepas makanan yang dipesan mereka dihantar ke meja.
Taqiuddin mengeluh lagi.
“Raya ketiga” jawab Taqiuddin.
“T, kau nak bertunang tapi rupa kau macam kena panggil masuk ke bilik Kumbang pula, bilik disiplin yang paling menyeramkan” kata Fikri sambil tergelak.
“Aku tak tahu lah” kata Taqiuddin sambil mengoyakkan roti canai di hadapannya menjadi cebisan kecil.
“Apa yang kau tak tahu? Kau kena paksa ke?” tanya Fikri.
Taqiuddin menggeleng laju.
“Aku yang ajak dia kahwin” kata Taqiuddin setelah menguyah roti canai.
“Laa. Habis tu?” Fikri mengerut dahi. Mee celup di hadapannya dijamah.
“Aku pun tak tahu” kata Taqiuddin sambil tergelak paksa, “Nieylla tu, baik. Sangat baik” puji Taqiuddin kemudian meneguk air limau ais.
“Hidup ni T, kena sentiasa pandang ke depan” kata Fikri sambil memandang ke arah Taqiuddin.
“Aku terjumpa dia bulan lalu” kata Taqiuddin sambil menguyah makanannya.
Fikri menjongket kening sebelah.
“Waktu aku pergi melawat projek gelanggang bola jaring di sekolah lama kita tu, aku jumpa dia kat sana” kata Taqiuddin sambil tersenyum nipis.
“Kau cakap apa dengan dia?” tanya Fikri.
Taqiuddin menjongket bahu.
“Dia lari” kata Taqiuddin selamba.
Fikri tergelak kecil.
Move onlah T. Lagipun kau dah lama dengan Nieylla. Aku nampak korang okay je berdua” kata Fikri sambil meneguk air miliknya.
Taqiuddin tersenyum nipis.
Ya..kami memang okay” kata Taqiuddin sambil merenung roti canai yang masih tersisa. Perutnya terasa kenyang.
~~~~~
“Maaf” kata Lana untuk kesekian kali namun matanya masih memandang ke lantai. Terlalu malu untuk mengangkat kepala dan memandang ke arah lelaki di hadapannya. Lana mengelap mata yang basah dan kemudian menarik keluar cincin yang sekian lama di jari manis miliknya.

Okay” kata Adam dengan perlahan dan hampir tidak terkeluar. Adam menadah tangan apabila Lana menyerahkan cincin kepadanya semula. Cincin di atas tapak tangan direnung dan kemudian Adam mengeluh panjang.

“Cepat atau lambat, benda ni mesti berlaku juga” kata Lana yang masih mengelak dari merenung ke arah Adam.

“Ya” jawab Adam sambil mengenggam cincin di tangannya, “kita terlalu sibuk dan tiada banyak masa bersama. Saya faham” kata Adam sambil memandang ke arah Lana. Kesibukannya menyebabkan dia lupa tentang mereka. Namun itulah jalan terbaik setelah beberapa minggu perkara itu dibincangkan dan mereka masih menjumpai jalan penyelesaian kecuali perpisahan.

Well,” kali ini Lana menarik nafas panjang dan memandang Adam, “See you, when I see you, mr Adam” kata Lana sambil tersenyum nipis.

“Ya, see you, when I see you too. Ms Lana” kata Adam sambil menatap wajah Lana.  
Adam mengeluh bila Lana melangkah pergi, dia melangkah setapak ke belakang sambil memandang kereta Lana yang semakin menghilang dari pandangan.
~~~~
“Lana, kau nak apa?” tanya Dina yang mendekati meja kawan-kawannya.
“Sekarang ni?” tanya Lana sementara muka masih melekat di meja, “aku cuma nak tea” katanya tanpa semangat. Dia fikir bahagian yang susah ketika memutuskan pertunangan dengan Adam adalah, minta putus dengan Adam. Rupanya Lana belum lagi melalui bahagian yang paling sukar, berdepan dengan Makcik Bawang di pagi HARI RAYA. Lana memejamkan mata.
Kawan-kawan Lana terdiam seketika apabila mendengar kata-kata Lana.
Lana mengerut dahi apabila terasa meja mereka tiba-tiba sunyi sepi seperti ada malaikat lalu. Lana membuka mata dan mengangkat kepalanya.
What?” tanya Lana apabila semua memandang ke arahnya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.
“Kau dah gila?” tanya Fira dengan nada selamba.
“Fikir baik-baik Lana” kata Aida pula.
You shouldn’t do that” Wati memandang Lana dengan risau.
Lana mengerut dahi dan memandang ke arah Dina.
“Kau nak teh?” kata Dina sambil menjongket kening kepada Lana.
Yes.. aku nak teh. Green tea Latte. Kenapa korang serius sangat pasal teh?” kening Lana bertembung bila memikirkan gelagat kawan-kawannya.
Wati, Aida dan Fira tergelak dengan rasa janggal sambil memandang ke arah Lana yang masih tersenyum.
“Aku fikir dia nak..” kata Fira dengan berbisik dan memandang ke arah Wati.
Wati mengangguk laju.
“Jangan sebut nama tu” kata Wati dengan perlahan sambil memandang ke arah Lana yang mula termenung.
~~~~
“Cafe… ? Yang warna hijau tu kan?” tanya Taqiuddin sambil menekapkan telefon di telinga. Taqiuddin menekan kunci kereta sebelum berjalan masuk ke dalam cafe yang masih lengang. Jam di dinding baru menunjukkan angka 5 petang.
“Awak nak makan apa? Kita berbuka kat pejabat awak je kalau awak sibuk” kata Taqiuddin sambil berjalan ke arah kaunter sambil memandang menu.
“Um.. burger je?” Taqiuddin memandang ke arah penjaga kaunter dan kemudian mengerut dahi. Macam kenal, bisik hati Taqiuddin.
Okay, saya belikan awak burger ayam set” Taqiuddin menyimpan telefon ke dalam poket selepas menamatkan panggilan. Kemudian dia memandang kembali ke arah penjaga kaunter yang masih tersenyum ke arahnya.
“T?” tegur Dina sambil tersenyum.
Taqiuddin masih cuba mengorek memorinya.
“Saya, Dina. Satu sekolah dengan awak dulu” jelas Dina.
Taqiuddin menunjukkan ke arah Dina sambil tersenyum.
“Dina.. yes. Saya ingat” kata Taqiuddin yang masih tersenyum dan kemudian menarik nafas panjang. Terus memorinya teringat pada seseorang.
Dina tersenyum nipis bila senyuman perlahan-lahan hilang dari wajah Taqiuddin dan lelaki itu seakan termenung tiba-tiba.
“So.. nak order apa?” tanya Dina tanpa memanjangkan cerita.
“Ah.. um, set burger ayam tu,satu dengan fish and chips satu. Takeaways” jawab Taqiuddin sambil mengeluarkan dompet dari poket belakang.
“Um… kami ada satu campaign, drinks for others. Selalunya pelanggan akan bayar harga minuman, dan minuman akan diberikan kepada next lucky customer. Secara ringkasnya, sedekah. Khas untuk bulan puasa. Awak nak free coffee untuk buka puasa?” tanya Dina selepas menjelaskan kempen yang diambil dari budaya seberang.
Drinks for other (Suspended Coffee) adalah kebiasaan di luar negara, di mana seorang pelanggan kadang-kadang membayar harga untuk dua atau lebih minuman dan hanya mengambil satu untuk di minum. Minuman lain yang telah dibayar akan diberikan kepada orang-orang yang tidak berkemampuan.  
“Oh..macam suspended coffee.. no, tapi saya nak tambah dua lagi minuman dan dua-dua suspended” kata Taqiuddin sambil menambah jumlah duit yang telah dikeluarkan dari dompet.
Dina tersenyum.
“Satu minuman tu, buatkan green tea latte dan satu lagi, well up to you” kata Taqiuddin sambil tersenyum kepada Dina.
Green tea latte.. okay” kata Dina sambil menekan skrin di hadapannya, “dan satu lagi Americano, maybe?” tanya Dina kepada Taqiuddin.
Taqiuddin menganggukkan kepala.
“Boleh juga” jawab Taqiuddin.
Taqiuddin selesai membeli makanan dan mengangkat tangan kepada Dina yang sedang berada di dapur. Pintu Cafe ditarik dan Taqiuddin terus berjalan ke arah kereta tanpa memandang ke arah wanita yang sedang menolak pintu Cafe di sebelahnya.
~~~~~~
Lana menolak pintu Cafe milik Dina dan terus menuju ke kaunter.
Dina sedang menunggu dengan senyuman sambil meletakkan kain lap yang sedang dipegangnya ke tepi.
“Aku nak bungkus makanan. Hari ni kena stay kat ofis lagi” kata Lana sambil menarik menu di hadapan kaunter.
“Kau nak order apa?” tanya Dina selepas mengarahkan seorang dari pekerja Cafe untuk membuat minuman.
“Um.. Nasi goreng Cina je kot,” kata Lana sambil mengorek beg tangan dan mencari dompetnya.
Dina meletakkan cawan kertas yang berisi minuman panas di hadapan Lana.
“Ada orang dah bayarkan” kata Dina sambil selepas menerima bayaran makanan dari Lana.
Lana mengerut dahi.
“Apa ni?” tanya Lana.
“Tea,” kata Dina sambil menyerahkan resit kepada Lana, “Green Tea Latte” jelas Dina sambil tersenyum.
Suspended Coffee ke?” tanya Lana sambil memegang gelas kertas di hadapannya.
“Ya, tapi aku rasa yang ni memang untuk kau” kata Dina yang tersenyum penuh makna sehingga membuatkan Lana kehairanan.
Okay…” kata Lana dengan kening yang bertembung. Selesai membayar dan menunggu pesanannya, Lana keluar dari Cafe dan menolak pintu sebelah kiri. Sementara pintu sebelah kanan juga ditolak dari luar. Lana sibuk mencari kunci kereta di dalam beg tangan tanpa memandang ke sebelahnya.
~~~~~~~~~~
“Hai..welcome again,” tegur Dina sambil mengerut dahi namun bibir masih mengukir senyuman.
Taqiuddin melepaskan pemegang pintu dan berjalan ke kaunter sambil membalas senyuman Dina.
“Kat sini ada Salted Egg York Pasta?” tanya Taqiuddin sambil mengaru tepi kepala dan memandang ke arah menu yang terpamer di atas kaunter.
“Ya, Ofcouse. Nak order tu ke?” tanya Dina yang sudah bersedia menekan skrin di hadapannya.
“Ya, satu” kata Taqiuddin sambil menarik dompet dari poket seluarnya.
“Berbuka puasa dengan ‘cik adik’ ke?” tanya Dina setelah menerima bayaran dari Taqiuddin.
Taqiuddin tergelak kecil.
“Ya, just to make sure she eat right. Dia terlalu sibuk sampai kadang-kadang tak makan apa-apa waktu berbuka” kata Taqiuddin dan kemudian menggigit bibirnya. Seperti tidak mahu bercerita panjang mengenai kekasih hatinya kepada Dina. Tidak mahu cerita sampai ke pada si dia, mungkin. Bisik hati Taqiuddin yang terdalam.
“Saya dah bagi green tea latte yang awak bayar tadi kepada pelanggan” kata Dina sementara menunggu pesanan Taqiuddin siap.
Great” komen Taqiuddin.
“Ya, orang tu baru je keluar” kata Dina sambil memandang ke arah pintu, “yang tengah bertelefon kat luar tu” tambah Dina sambil menunjuk ke arah pintu depan Cafe.
Taqiuddin berpaling ke belakang melihat seorang wanita yang sedang membelakangkan pintu Cafe sebelum berpaling semula ke arah Dina.
“Dia pun beli takeaways, mesti berbuka puasa kat office juga” komen Taqiuddin selepas melihat belakang wanita yang sedang berbual di telefon.
Dina tersengih sambil menganggukkan kepala.
“Ya” jawab Dina. Di belakang skrin menu, Dina kemudian menggelengkan kepala.
Setelah menunggu beberapa minit, Taqiuddin mengambil pesanannya dan keluar dari Cafe sambil menolak pintu sebelah kanan sambil memandang skrin telefon bimbit. Pintu kiri pula di tarik dari luar ketika Taqiuddin masih memandang skrin telefonnya untuk membalas pesanan ringkas yang baru diterima dari kekasih hati.
~~~~~~~~
“Dina.. aku nak tambah order” kata Lana biarpun belum sambil ke kaunter.
Dina mencekak pinggang dan kemudian mengangkat kedua-dua tangan ke udara sambil membulatkan mata memandang kehadiran Lana.
Lana menghentikan langkah.
What? kau tak nak aku datang ke Cafe kau ke?” tanya Lana sambil menarik muncung.
Dina menggenggem ke dua-dua tangan dan memandang ke arah pintu. Kelihatan lelaki itu masih lagi di hadapan pintu dan sedang memandang ke arah telefon bimbit. Dina mengisyaratkan tangan ke pada Lana agar Lana berpaling.
Lana berpaling sambil memandang sekeliling dan memandang semula ke arah Dina bila dia tidak menjumpai apa-apa yang menarik untuk dipandang.
Dina memberi isyarat sekali lagi.
Lana sekali lagi berpaling dan hanya melihat seorang lelaki yang sedang membelakangi pintu Cafe dan sedang berjalan ke arah ruangan tempat letak kereta.
Dina menepuk dahi.
“T!” kata Dina dengan lantang kepada Lana yang sedang bingung melihat ke arahnya.
“Kau nak teh tadi ke? Ei.. buruk sikunya kau” kata Lana pula.
Dina mengeluh panjang sambil menggelengkan kepala. Tidak dapat berkata apa-apa.
Sementara Lana masih kebingungan dengan kerenah Dina yang tiba-tiba pelik itu. 

Untuk full story sambung cerpen Dia, boleh baca di sini : Open House Sekolah Cinta 2018 ðŸ‘ˆ

1 comment:

ayyn said...

terima kasih untuk cerpen ni. temanya sama, aku pun rindu masa lalu. kalau boleh, kalau boleh patah semula dah tentu keputusan aku berbeza. dan dia akan jadi sebahagian hidup dengan lengkapnya, bukan cuma bersama tapi takkan pernah boleh bersama sepenuhnya.

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37