Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Thursday, January 27, 2022

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu - 23

 Yang Muncul 

Hidup ini penuh dengan kejutan, kalau hari ini biru mungkin besoknya kuning. Kadang-kadang hanya hitam tanpa setitik warna putih- Nadya.

"Andi?" Nadya memandang Andi seakan meminta pendapat mengenai keadaan mereka ketika ini. Bersembunyi di ruangan yang sempit membuatkan mereka berdua berdiri bertentangan dengan rapatnya.

Di luar, kedengaran anjing masih menggonggong.

"Jom kita pergi tengok," kata Andi selepas beberapa minit menunggu pengawal menjumpai mereka. Mereka keluar dari sudut tepi kerusi penonton dengan muka bingung. Lampu gelanggang yang terpasang tidak menarik pengawal untuk datang memeriksa.

"Rasanya pengawal tu terus lari ke bukit belakang. Ada perompak ke?" Nadya menjengukkan kepala di pintu gelanggang.

Andi juga ikut terjengukkan kepala sebelum memandang kiri dan kanan sebelum seorang lagi pengawal berlari tanpa mengendahkan mereka berdua. Mereka terkebil-kebil melihat situasi itu sebelum mengambil keputusan untuk mengekori pengawal tersebut.

"Ini... budak yang hilang dulu tu ke?" Pengawal yang diekori oleh Nadya dan Andi mula panik. Tangan yang memegang lampu suluh menggeletar apabila pengawal itu berdiri dekat dengan tanah yang sempat dikorek oleh anjing jalanan tadi. Pengawal tersebut berpandangan dengan kawan sekerjanya yang telah terduduk di atas tanah.

Andi mengerut dahi dan berjalan mendekati dua pengawal tersebut. Kelihatan tulang manusia yang kering disebalik tanah yang lembap. Andi terundur selangkah disebabkan terkejut. Dia terus memegang kepala sambil menyeringai menahan sakit.

"Al..fian?" Suara Nadya menggeletar apabila salah seorang pengawal menghalakan lampu suluh ke arah satu tag nama berpin yang masih melekat pada serpihan baju lusuh pada tulang tersebut.

Nadya pandang Andi yang kini terkaku dan pucat sebelum dia turut berundur dan memuntahkan isi perutnya.

~~~~~~~

"Mungkin dah 5 tahun, 10 tahun... forensik akan bagi keputusan nanti." Farhan menghulurkan sepapan panadol dan air mineral kepada Andi dan Nadya yang masih pucat. 

Andi dan Nadya melabuhkan punggung di atas bangku panjang yang terletak di luar bangunan gelanggang bola keranjang.

Andi mengeluarkan sebiji panadol dan diberikan kepada Nadya sebelum mengeluarkan lagi tiga biji panadol buat dirinya.

"Andi..." tegur Nadya apabila melihat Andi menelan pil-pil tersebut sebelum meneguk air mineral.

"Ah, kepala aku kerap sakit sebelum dan selepas pembedahan. Jadi aku selalu ambil ubat tahan sakit. Dos biasa dah tak berkesan dengan aku." Jelas Andi sebelum menghulurkan air mineral kepada Nadya.

"Tapi kau pun rasa macam tu kan? Itu Alfi..." Andi pandang Farhan, bekas rakan sekolah mereka yang juga merangkap sebagai Inspektor polis di Pekan Teluk.

"Tag nama tu... sama dengan tag nama yang kita pakai waktu zaman sekolah. Sekarang ni budak-budak sekolah semua pakai tag nama kain yang berjahit di baju." Nadya pula menyampuk sambil memandang Farhan. Tag nama berpin masih melekat di ingatannya.

Farhan mendiamkan diri sebelum mengangkat pandangan ke arah Andi dan Ressa.

"Keputusan forensik akan ambil masa dua minggu atau lebih. Baik korang balik dulu. Kalau ada apa-apa, nanti aku call." Kata Farhan tanpa menjawab soalan mereka berdua.

Nadya dan Andi sama-sama mengerut dahi. Mereka tahu ada sesuatu yang disembunyikan oleh Farhan. Malah mereka berdua masih bingung melihat tingkah Ressa, yang juga seorang pegawai polis di Pekan itu.

Ressa terus meluru dan memeriksa tulang tersebut seperti sedang mencari atau memastikan sesuatu sebelum berlalu pergi biarpun penyiasat masih berlangsung. Mereka terpana melihat Farhan berlari mengejar Ressa sebelum menendang kuat batang pokok di bukit tadi.

Farhan seperti membuka mulut untuk berkata sesuatu namun tiada apa-apa yang terkeluar dari mulut lelaki itu.

"Keluar dari Pekan ni selagi boleh," kata Farhan sebelum melangkah menuju ke motorsikal yang diletakkan di tidak jauh dari bangunan gelanggang.

"Nady... waktu kita berpisah, kau rasa apa yang dah jadi?" tanya Andi dengan tiba-tiba.

Pada saat itu, kawasan tersebut mulai sunyi. Hanya ada beberapa pegawai polis yang masih mengelilingi kawasan bukit di belakang sekolah.

"Waktu tu?" Nadya pandang Andi sebelum cuba mengingati apa yang berlaku pada saat itu, "Banyak yang jadi waktu tu di Pekan ni. Jadi kita berdua termasuk dalam kekecohan yang berlaku. Mula dengan Alfi. Kemudian parents aku bercerai, lepas dari tu Ayah aku pula meninggal. Atau waktu tu kita masih terlalu muda. Tambah lagi dengan tekanan terjadi di kiri kanan kita... mungkin sebab tu, hubungan kita tak bertahan." Jawab Nadya dengan tenang. Seperti sudah menerima apa yang terjadi di antara dia dan Andi.

"Tak. Maksud aku... waktu bila kau mula perasan yang hubungan kita dah berubah?" tanya Andi lagi.

Nadya terkebil-kebil sebelum mengerut dahi.

"Kau mula menjauhkan diri lepas Alfi hilang. Kita janji untuk berjumpa di bakeri yang kita pergi pagi tadi sebab Alfi balik-balik promosi bakeri tu. Tapi kau tak datang." Nadya tersenyum nipis. Dah terlalu lama sehingga dia juga hampir terlupa mengenai perkara itu.

"Esoknya, kita dapat tahu yang Alfi tak balik rumah semalaman. Farhan dan Ressa juga. Tengah hari tu, Farhan dan Ressa muncul di sekolah, tapi Alfi masih hilang." Nadya memandang bukit di belakang sekolah, "dulu, kita semua cari dan meronda di sekeliling Pekan, Sekolah dan macam-macam lagi tempat. Memanggil dan menjeritkan nama Alfi berkali-kali. Tak sangka selama ni Alfi ada dekat situ," kata Nadya perlahan.

Andi turut memandang bukit yang kini mempunyai jalur kuning di beberapa kawasan. Dia masih tiada memori seperti yang diceritakan oleh Nadya.

"Aku dengar polis-polis tu kata kemungkinan Alfi tengah ambil gambar di bukit tu. Tapi waktu tu musim hujan macam sekarang ni. Alfi mungkin tergelincir dan kemudian tertimbus dengan tanah runtuh."

Lama mereka memandang bukit yang selama ini menyimpan sebuah kisah duka. Siapa sangka Alfi telah bersemadi lama di belakang sekolah.

"Dah, jom balik." Andi menghulurkan tangan kepada Nadya.

Nadya memandang tangan Andi. Gerak tubuh ringkas dari Andi membuatkan dia terimbau memori lama. Andi sering menghulurkan tangan kepadanya setiap kali selesai latihan bola keranjang. Bermaksud sudah waktunya untuk mereka balik. Dan kemudian, dia dan Andi akan menunggang motor Andi tapi kadang-kadang mereka akan berebut tempat di dalam bas yang penuh dengan belajar apabila motor Andi meragam. 

Berpegangan tangan dan berjalan menyelusuri bangunan gelanggang bola keranjang seperti dulu membuat Nadya terasa selamat. 

"Kau rasa apa yang jadi dengan Alfi, berkait dengan apa yang dah jadi dengan kita?" tanya Andi dengan tiba-tiba sewaktu mereka berjalan beriringan menuju ke kereta.

Nadya berhenti melangkah dan menunduk memandang tanah. Bibirnya diketap rapat. Andi menyoalnya soalan yang selama ini dipendam oleh Nadya.  

Bersambung...

IKLAN Tiada Drama di Kampus

"Dua belas tahun lalu?" Kafi berjalan ke arah meja makan dan mengambil dompet milik Farhan, "maknanya umur awak waktu tu.."

"Tujuh belas tahun. Baru lepas SPM," pintas Farhan, "sebab tu saya kata, saya sendiri terlibat dalam kes ini tanpa disengajakan. Tapi saya mungkin ada jawapan untuk apa yang berlaku dengan keluarga awak," Farhan pandang Feralina.

Feralina melabuhkan punggung di sofa.

"Apa kaitan keluarga saya dengan kes tu? Saya tak pernah dengar nama Pekan Teluk sehinggalah hari ni," Feralina memeluk tubuh. Masih berbelah bagi sama ada mahu percayakan pegawai polis bernama Farhan itu atau tidak.

Kafi mendiamkan diri. Mendengar kata-kata Feralina membuatkan dia teringat sesuatu.

"Pekan Teluk?" Kafi meletakkan tangan di bibir sementara dia menyelongkar memorinya. Kafi memandang Afid yang sedang membuka gula-gula Hacks.

Afid yang menyedari pandangan Kafi terus tersengih, "aku sempat curi sebiji dari Sayd."

"Tak. Gula-gula tu," Kafi pandang Feralina, "kita pernah pergi Pekan Teluk," kata Kafi kepada Feralina, "ingat tak kita tengok budak sekolah main piano di sebuah dewan," Kafi cuba untuk membantu Feralina mengorek memori gadis itu.

"Ala.. yang kita jumpa kucing jatuh dalam longkang dan ada seorang abang tolong selamatkan kucing tu. Dia siap bagi gula-gula macam ni dengan kita bertiga," tambah Kafi apabila Feralina seakan mengalami kesukaran untuk mengingati hari itu.

"Abang Alfi," satu nama tiba-tiba muncul di memori Feralina.

"Dia dah tak ada" pintas Farhan apabila mendengar sebaris nama terbit di bibir Feralina, "Dua belas tahun lalu, dia pun dilaporkan hilang," Farhan menelan air liur kesat. 

______

Author's note: TDDK dan CYASAR siri Pekan Teluk tapi standalone ya. Dua cerita yang berbeza namun ada cerita mengenai Pekan Teluk juga. 

TDDK hanya RM15 sahaja. 

Cerita lebih santai tapi masih bergenre Romance Thriller. 

XOXO.

XOXO


Wednesday, January 26, 2022

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu - 22

Yang Terkubur

Masa lalu, terkadang ia mengejar tanpa dipinta. Membongkar semua yang patut terkubur. Sejauh mana lagi kita boleh lari? - Nadya


Nadya baru selesai menghubungi anak kembarnya apabila loceng bilik motel berbunyi. Nadya menggeleng kepala apabila Andi muncul di hadapannya dengan membawa sebungkus plastik yang berisi makanan ringan.

"Andi, sekarang dah 9.30 malam..." Jawab Nadya apabila Andi mengusulkan agar mereka keluar menghirup udara malam di Pekan Teluk.

"Kenapa? Kau masih ada curfew ke?" Andi mengangkat kening sebelah, "masih buat laporan dengan si dia?" tambah Andi lagi.

Nadya pandang Andi yang mula mencebik. Dia hanya mampu tersenyum sebelum menggeleng kepala.

"Aku ambil kunci kereta kejap..."

"Eh, tak payah."

Nadya mengerut dahi. Namun tanpa sempat berkata apa-apa, Andi mengeluarkan segugus kunci dari poket seluar.

"Aku tahu kau dah jadi perempuan melayu terakhir. Dah tak nak naik motor kapcai aku... Dah jom!" Andi menarik tangan Nadya.

"Eh, kejap..." Sempat Nadya mengapai dompet dan kunci bilik sebelum mengejar langkah Andi.

Nadya pandang Andi apabila kereta yang dipandu lelaki itu berhenti di belakang sekolah lama mereka. Ternyata rancangan besar Andi untuk malam ini adalah untuk pecah masuk sekolah itu sekali lagi.

"Really Andi?" Nadya kini berdiri di tengah gelanggang bola keranjang sambil memandang Andi.

Andi membuka beberapa lampu di gelanggang sebelum mengambil sebiji bola keranjang dari raga bola sebelum membuat jaringan.

"Apa? Romantiklah..." kata Andi sambil melantunkan bola keranjang yang berjaya ditangkap olehnya semula selepas membuat jaringan.

"Ya. Lagi romantik kalau kita berdua kena tangkap sebab pecah masuk gelanggang ni bila pengawal datang sini nanti," Nadya membuka kasutnya sebelum duduk bersila di tengah gelanggang. Tangannya membongkar pelbagai jenis snek dan minuman yang disediakan oleh Andi tadi.

"Nady... Makcik Kantin kita dulu tu, sekarang dah kat mana ya?" soal Andi tanpa mengendahkan sindiran Nadya tadi.

Nadya menjulingkan mata apabila mendengar soalan Andi.

"Apasal? Kau nak cari dia ke?"Nadya mengangkat kening tinggi kepada Andi.

"Yelah... dia kan cinta pertama aku."

Jawapan Andi buat Nadya tersedak ketika sedang meneguk air minumannya. Kalau dibiarkan, memang Andi akan merapu sampai esok.

Andi tergelak sebelum melantun bola sekali lagi ke atas gelanggang dan kemudian melontarkan bola keranjang tersebut ke jaring tanpa kelihatan janggal biarpun sudah lama dia meninggalkan zaman persekolahan.

Nadya tersenyum kecil. Sudah cukup lama dia tidak melihat pemandangan di hadapannya itu. Andi yang sentiasa yakin membuat jaringan. Ikutkan hati, dia mahu bekukan saat itu sampai bila-bila.

"Kau jawab Ya." Kata Andi dengan tiba-tiba sambil matanya fokus kepada bola keranjang yang sedang dilantunkan ke lantai gelanggang.

Nadya mengerut dahi.

"Waktu pertama kali aku pinang kau... kau jawab ya." Andi memandang ke arah Nadya.

Nadya yang sedang memegang tin minuman terkaku apabila Andi memandang tajam ke arahnya. Ya... hubungan Andi dan dia lebih dari sekadar kawan dan juga kekasih. Dia fikir satu bahagian dalam hidupnya itu tidak akan diungkit lagi. Rupanya sesuatu yang telah lama berkubur kini memunculkan diri di permukaan. Jantung Nadya berdegup kencang bila Andi masih memandang ke arahnya.

Kesunyian yang dirasai di antara mereka terganggu dek gonggongan anjing bersahut-sahut di luar gelanggang. Nadya ingin membuka mulut namun terdiam apabila terdengar bunyi larian di kaki lima gelanggang.

Andi dan Nadya berpandangan. Ah! Pengawal sudah tahu yang mereka ada di situ. Andi cepat-cepat menarik tangan Nadya untuk bersembunyi.

"WARGHHHHHH! "

Sekali lagi mereka berpandangan namun kini dengan kerutan yang penuh di dahi apabila terdengar jeritan ketakutan sayup-sayup di luar gelanggang. 

Bersambung...


IKLAN : 

"Afid takkan berani buat benda-benda yang sakitkan hati you

"Afid takkan berani buat benda-benda yang sakitkan hati you. You pun tahu kan?" Afid pandang Eryn yang melarikan pandangan.

"Tak berdarah tak bermaksud tak sakit, Afid" mata Eryn mula berkaca.

"Jadi apa lagi yang perlu Afid buat? Eryn," Afid mengeluh panjang dan meletakkan sandwich semula di atas lapik pembungkus makanan di hadapan Eryn, "you buka telinga you dan dengar setiap apa yang kawan you cakap. You analisa I berdasarkan perspektif semua orang kecuali dari diri you sendiri. I would not leave you. I won't and I can't" kata Afid dengan perlahan. Dia sedar beberapa orang di dalam bengkel tersebut masih memasang telinga untuk mendengar perbualan mereka berdua, "you know why... kan," Afid menggetap bibirnya dan melarikan pandangan dari Eryn.

"I takkan buat macam tu lagi," Eryn mengelap matanya, "I takkan buat macam tu lagi!" tegas Eryn sambil memegang lengan Afid, "I minta maaf. You betul. I jadi gila sikit bila dengar gosip pasal you and I'm sorry. I janji takkan buat macam tu kat you lagi".

Apa jadi dengan Eryn & Afid selepas kehadiran Feralina di Universiti Angsana??

Jom dapatkan Tiada Drama di Kampus di E-Sentral / Google Playstore. 

Hanya RM15 Sahaja


Sunday, January 23, 2022

Tiada Drama di Kampus Extra : Bab 44

 Afid mengangkat baju T-shirt berwarna merah jambu yang diberikan oleh Lokman. Baju rasmi Karnival Pinky Promise anjuran Fakulti Lokman. Afid pandang Kafi. Mereka berpandangan seketika sebelum memandang ke arah Lokman yang sedang memakai Tshirt dengan rekaan dan warna yang sama.

Lokman sengaja memilih untuk memakai baju bersaiz kecil untuk menampakkan otot-otot di badan dan kelihatan cukup bangga dengan pemilihan baju tersebut.

"No."

Afid terus meletakkan baju T-shirt tadi di atas meja belajar milik Lokman.

Lokman pandang Afid yang sedang mengemas beg gim dan kemudian Kafi yang perlahan-lahan mengundurkan langkah, menjauhi baju T-shirt tersebut.

"Maaf. Aku ada cakap yang korang ada pilihan ke?" Lokman memeluk tubuh dan mengangkat kening sebelah kepada Afid dan Kafi.

Kafi dan Afid memeluk tubuh dan berpandangan sesama sendiri sebelum mengundur beberapa langkah dari Lokman.

"Aku baru lepas tukar ekzos kereta semalam," kata Kafi dengan nada berbisik, "kau?" tanyanya kepada Afid pula.

Afid mengeluarkan telefon bimbitnya dan memeriksa baki akaun miliknya, "Aku dah habiskan elaun aku bulan ni untuk buat surprise party untuk Eryn dan bayar duit shopping girlfriend Lokman," kata Afid.

Kafi kelihatan terkejut dan kemudian mengerut dahinya kepada Afid.

Afid mengeluh, "panjang ceritanya. Mamat ni tolong aku pujuk Eryn," jelas Afid dengan ringkas.

Kafi menganggukkan kepala. Tidak perlu dijelaskan kerana dia juga selalu terkena dan terpaksa menerima bantuan berbayar dari Lokman.

Afid mengucap panjang apabila melihat Lokman sengaja menunjukkan otot yang tertonjol di sebalik baju sendat berwarna merah jambu. Terasa seperti melihat sesuatu yang cukup tragis.

"Maggi Sayd cukup sampai hujung bulan ni kan?" Afid pandang Kafi dan kemudian matanya memandang beberapa kontena makanan milik Sayd. Dia kemudian mengeluh dan mengeluarkan buku cek dari laci mejanya. Dia memandang ke arah Lokman sebelum menarik nafas panjang sebelum menulis sejumlah amaun di atas helaian cek tersebut.

Lokman menjongket kening sebelah apabila dihulurkan sekeping cek dari Afid dan Kafi. Dia tersenyum penuh muslihat.

"Maaf. Kami tidak memerlukan sumbangan duit dari anda," kata Lokman namun matanya tetap melirik ke arah jumlah cek di tangan Afid sebelum merentap sehelai cek tersebut, "kami cuma perlukan bantuan dan khidmat anda," tambah Lokman sambil melipat cek tersebut dan menyelitkan sehelai cek ke dalam poket seluarnya.

"Korang tetap kena participate," kata Lokman dengan serius.

Kafi dan tercengang melihat cek yang kini bertukar milik.

"Aku tak nak pergi," ujar Kafi sebelum menarik kerusi belajar miliknya.

"Aku pun," tambah Afid dengan pantas sambil menzipkan beg gimnya.

"Wei! Program ni untuk komuniti setempat. Kumpukan derma untuk anak-anak yatim. Korang tak nak ke sucikan jiwa yang dah gelap tu?" Lokman mencekak pinggang melihat tingkah Afid dan Kafi.

"Kena pakai baju tu?" Kafi menggeleng kepala dengan laju, "takpe. Aku sedekah kat Masjid je hari jumaat minggu depan," tambah Kafi.

"Oh, okay. Tapi aku dah kata bantuan aku bukan percuma." Lokman mengeluarkan telefon bimbitnya sambil memandang ke arah Kafi, "Hello, Rey. Aku ni Lokman. Pasal kerja kursus kau tu," Lokman tersenyum sinis apabila telefon miliknya dirampas oleh Kafi.

"Kau menang," kata Kafi sebelum menyerahkan semula telefon bimbit Lokman selepas menamatkan panggilan. Dia mengambil sehelai baju merah jambu di atas meja Lokman.

"Sebab kerja kursus pun kau boleh kena ugut sampai macam ni. Memalukan," kata Afid sebelum berjalan perlahan-lahan ke meja Lokman dan menarik sehelai lagi baju merah jambu. Dia bertukar pandang dengan Lokman dan kemudian menganggukkan kepala seperti sedang mencapai persefahaman tanpa perlu berkata apa-apa. Hubungan dia dengan Eryn agak baik kebelakangan ini. Dia tidak mahu mengambil risiko.

Pintu bilik ditolak dari luar dan kelihatan Sayd bersama beg gim dengan muka lesu. Dia terus melabuhkan punggung di atas kerusi milik Afid.

"Sayd, baju pink tu kau kena pakai untuk karnival," kata Lokman sambil menunjuk ke arah sehelai lagi baju Tshirt merah jambu yang tinggal.

Sayd menganggukkan kepala, "okay, thank you. Tapi, aku lambat sikit nanti," jawab Sayd.

Kafi dan Afid memandang Sayd dengan muka muka penuh curiga.

"Apa yang kau dah buat untuk Sayd?" tanya Kafi sebelum melirik ke arah Lokman dan kemudian Sayd.

Sayd bertukar pandangan dengan Lokman dan kemudian menggaru belakang lehernya.

"Um, tak ada apa-apa," jawab Sayd sebelum bangun dan berjalan ke bilik air sementara Lokman tersengih bak kerang busuk dan terus keluar dari bilik tanpa memberikan peluang untuk Kafi dan Afid bertanyakan soalan.

Comment + Vote kalau tak keberatan ❤️

xoxo

xoxo


Thursday, January 20, 2022

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu - 21

Aku Masih Aku

Jangan pernah mengalah jika hanya gagal sekali atau beribu kali sekali pun. Kerana kegagalan adalah satu proses- Andi

"Andi..." Nadya pandang Andi sebelum mengetap mulutnya semula.

Andi terus tergelak kuat sebelum memandang Nadya yang terpinga-pinga. Dia menyembunyikan rasa disebalik senyuman apabila Nadya mengambil masa yang lama untuk menjawab soalannya.

"Kidding Nady..." Kata Andi sebelum mengosok rambut Nadya.

Nadya masih mendiamkan diri biarpun rambutnya telah kusut disebabkan Andi.

"Andi... aku," Nadya mendongak memandang Andi.

"Jom turun. Banyak tempat lagi kita nak pergi untuk buat aku ingat apa yang jadi bertahun yang lalu." Kata Andi terus menarik tangan Nadya perlahan. Sengaja dia tidak memberi peluang wanita itu memberi alasan atau lebih sakit, menolak lamaran yang dibuatnya tadi.

"Aku untuk kau Nady. So take your time..." Andi pandang Nadya yang berjalan perlahan di belakangnya, "Aku takkan biar kita jadi hanya sekadar memori lagi." Andi tersenyum bila Nadya memandangnya tajam.

"Senyumlah Nady!" Arah Andi sambil mencubit pipi Nadya.

"Auch! Andi! Pembuli!" Nadya mula mengejar Andi turun bukit bandaran. Bila tidak dapat Andi, dia membuka kasut dan membaling ke arah Andi.

"Wei!" Andi tunduk dengan cepat dan mengambil kasut Nadya yang jatuh ke atas rumput sebelum meninggalkan Nadya. Ketawanya bergema bila Nadya menjerit memanggil namanya.

~~~~~~

"So inilah bakeri yang Alfi selalu promosi dengan kita tu... Kita pernah datang sini tak?" tanya Andi apabila mereka masuk ke dalam satu-satunya bakeri yang ada di Pekan Teluk bertaraf restaurant hipster seperti di bandar-bandar besar.

"Kita tak sempat datang sini." Jawab Nadya sebelum memerhatikan pilihan bermacam jenis pastri di hadapannya. Kalau dia bawa kembar ke sini, gerenti satu bakeri diborong oleh anak-anaknya.

"Sebab?" Andi pandang mengambil dulang yang tersedia bersama penyepit makanan.

"Alfi hilang." Jawab Nadya dengan ringkas. Masih melekat diingatannya bagaimana kecohnya Pekan kecil itu apabila berita kehilangan Alfi tersebar. Apatah lagi berita kehilangan Alfi diketahui umum selepas seminggu kehilangan seorang lagi pengurus kewangan yang bekerja di sebuah kilang besar di Pekan Teluk.

"Oh," Andi mengangguk sebelum mengeluhperlahan.

"No, it's okay. Aku bayar." Kata Andi menolak tangan Nadya yang sedang berdiri di hadapan kaunter pembayaran sebelum menyerah kad kredit berwarna hitam kepada juruwang.

Nadya mencebik bila Andi menjongket kening ke arahnya.

"Show off." Sempat Nadya memberi komen sehingga membuatkan Andi tergelak kecil.

"Bagi can lah sikit. Kalau waktu sekolah, aku dapat belanja kau coki-coki di kedai Apek tu je," jawab Andi sambil mengangkat makanan mereka ke meja yang dipilih oleh Nadya.

"Hurm..."

Andi mengangkat kening bila Nadya seakan termenung memandang ke luar cermin bakeri.

"Apa?" tanya Andi sebelum menguyah croissant mini yang dipilih oleh Nadya tadi sambil memgacau sudu dalam air kopi susu yang baru dihantar ke meja mereka.

"Aku teringat..." Nadya pandang Andi, "beberapa hari sebelum SPM, Aku nampak dari luar bakeri, Alfi duduk sorang-sorang di sini sambil pegang beberapa keping gambar. Waktu tu Alfi dah macam lain sangat. Lebih banyak termenung."

Andi turut memandang ke cermin. Tertanya-tanya di manakah kawannya itu menghilang dan apa sebabnya.

Nadya menarik nafas panjang sebelum meneguk perlahan air teh miliknya.

Andi pandang Nadya. Terlalu banyak persoalan tanpa ada jawapan. Dia berharap agar dia dapat mengingati apa yang terjadi selama dia dan Nadya terpisah. Andi menguyah croissant namun ingatannya tertumpu kepada saat dia dan Nadya duduk di bawah pokok mangga sambil makan makanan ringan dari kedai Apek.

"Nady... biskut marie campur coki-coki lagi sedap bagi aku," kata Andi sambil meletakkan croissant di atas pinggan, "lagi senang nak sebut dari krosan ni."

Nadya ketawa perlahan mendengar komen Andi.

"Kwason lah Andi... memanglah rasa biasa. Sini," Nadya menyapukan mentega bersama jem blueberry ke atas croissant milik Andi, "nah," Nadya menghulurkan semula pastri tersebut kepada Andi.

"Sedapkan?"

Andi tersenyum sambil mengangguk. Dia gembira bila Nadya tidak lagi dari dia lagi. Dia gembira Nadya sanggup mengikutnya kembali ke Pekan Teluk. Ada segaris rasa tamak mengetuk hatinya. Andi tidak mahu detik bersama Nadya itu terhenti.

"Vivian, saya nak awak cari maklumat tentang seseorang. Nama dia, Nadya Hj. Farouk dan saya nak maklumat mengenai bekas suami dia." Andi membuat panggilan telefon kepada setiausaha peribadinya ketika Nadya meminta diri untuk ke tandas.

"Encik Ashrul Tan Sri Azam?" tanya Vivian di hujung talian.

Andi mengerut dahi.

"Ah, ya. Awak kenal dia ke?" Macam mana Vivian boleh dapatkan maklumat secepat itu?

"Encik Andi pernah suruh saya cari maklumat mengenai Puan Nadya dua tahun lalu. Saya masih simpan semua maklumat tu." Jawab Vivian.

Andi tersenyum sambil menggeleng kepala. Memang betul! Dia tidak pernah lupakan Nadya selama bertahun mereka terpisah.

"Ah... hujan lagi."

Andi terus mematikan panggilan apabila Nadya kembali ke meja mereka. Telefon bimbit disimpan kembali ke dalam poket seluar sebelum dia turut memandang hujan rintik- rintik di luar kedai sambil meneguk kopi yang masih panas.

~~~~~~

Hujan yang lebat menyebabkan tanah bertukar menjadi lumpur dan perlahan-lahan mengalir menuruni bukit di belakang Sekolah Menengah Pekan Teluk. Satu tag nama berpin yang mempunyai lambang Sekolah Menengah Teluk kelihatan disebalik lumpur. 

Bersambung...

Note: Panjang sikit bab kali ni.. Jumpa minggu depan ya.. :)


Iklan Tiada Drama di Kampus

Iklan Tiada Drama di Kampus


Sedutan: 

"Jen, pinjam payung," kata Lokman sebelum mengambil payung dari tangan Jenny. Lokman berlari mengejar pemilik baju sejuk berwarna biru yang sudah basah kuyup namun langkahnya terhenti apabila ternampak ada seseorang yang mendahuluinya dan memayungkan Feralina sehingga gadis itu berteduh di bawah perhentian bas.

Kafi menutup payung dan mengeluarkan sapu tangan untuk mengelap muka Feralina yang basah dan kelihatan pucat. Seluruh badan Feralina menggigil. Kafi mengeluh panjang sebelum membuka jaket miliknya sebelum disarungkan ke tubuh Feralina.

Lokman yang berteduh di bawah payung milik Jenny mengeluh perlahan sebelum beralih dari tempat itu apabila melihat Kafi yang hadir untuk Feralina.

"Kau memang suka main hujan," Kafi tergelak kecil sebelum mengeluh panjang.

Feralina mendongakkan kepala, memandang Kafi disebelahnya sementara menunggu bas yang tidak kunjung tiba.

Satu kenangan mula mengusik memori Feralina. Seorang lelaki, memayungi dirinya yang sedang menangis dalam hujan. Tuala milik lelaki itu diletakkan di atas bahunya dan Feralina menggunakan tuala tersebut untuk menyelimuti dirinya yang basah kuyup. Dia mendongak memandang wajah si pemilik tuala, namun matanya yang berkaca membuatkan dia tidak dapat melihat dengan jelas. Wajah lelaki itu kelihatan kabur. Cuma bau syampu yang melekat pada tuala lelaki sahaja yang masih melekat di ingatannya.

Feralina memeluk erat jaket milik Kafi.

Dapatkan di E-Sentral / Google Play ya... 


Wednesday, January 19, 2022

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu - 20

Cuma Kita 


I never saw you in the crowd anymore - Nadya

"Andi... please, dah basi dah cara tu tau! Aku tahu kau sengaja buat-buat penat supaya aku menang," Nadya mencekak pinggang sambil memandang Andi yang masih termengah-mengah mengejar langkahnya ketika mereka mendaki bukit bandaran.

"Bukit ni makin tinggi ke?" Andi berhenti seketika untuk mengambil nafas, "urgh! Aku tak pernah biasa dengan badan tua ni." Kata Andi sambil memandang badannya.

Nadya tergelak bila mendengar komen Andi. Baginya Andi masih seperti dulu. Tubuh Andi lebih berisi namun tegap berbanding sewaktu sekolah dulu. Raut wajah kematangan menambahkan ketampanan lelaki itu. Namun dia harus akui, mereka semakin tua. Malah dia juga rasa tidak seaktif dulu. Usia mengejar mereka.

"Ala... baru thirty series." Kata Nadya sebelum meneguk air dari botol yang dibawanya. Selesai membasahkan tekak, dia sedar Andi masih tidak berganjak dari tempat tadi. Renungan Andi terpaku padanya membuatkan muka Nadya terasa panas.

"What Encik Andi? Ada masalah ke?" Nadya cuba berlagak selamba dengan mengangkat kening sebelah biarpun dia terasa malu bila direnung sebegitu oleh Andi.

Andi mendekati Nadya sehingga menyebabkan wanita itu terpaksa mendongak memandang wajah Andi yang semakin dekat.

"Apa?" tanya Nadya yang mula panik. Dia rasakan yang Andi boleh mendengar bunyi jantungnya yang berdegup kencang tanpa menggunakan stetoskop.

Andi mendekat lagi.

Nadya mengundur selangkah. Air liur kesat ditelan perlahan. Andi nak buat apa? Nadya terkebil-kebil melihat wajah Andi yang semakin mendekat.

"Apasal kau habiskan air kita," kata Andi sebelum merampas botol minuman dari Nadya yang masih tersipu-sipu. Andi terus meneguk air yang masih berbaki namun hujung matanya memandang ke arah Nadya yang terpinga-pinga.

"Apa?" tanya Andi dengan muka angkuh sambil menutup botol air. Andi cuba menyembunyikan senyum. Dia geli hati melihat Nadya terpinga-pinga seperti itu. Sengaja dia menyembunyikan rasa gemuruhnya dengan mengusik Nadya. Lebih baik baginya untuk mengusik Nadya terlebih dulu sebelum Nadya mengenakan dirinya kerana terlalu asyik memandang kecantikan Nadya seketika tadi.

Nadya ternga-nga sebelum melihat senyuman yang cuba disembunyikan oleh Andi.

"Kau sengaja ek?" Nadya mula membuka langkah. Andi mungkin sudah lupa dengan tendangan hikmat darinya yang sudah bertahun-tahun tidak dipraktik.

Melihat Nadya membuka langkah, Andi cepat-cepat mengelak dan berlari menuju ke puncak bukit bandaran sambil tergelak. Dia memegang dada sambil termengah-mengah bila sambil ke atas bukit Bandaran.

"Andi kau memang pervert kan? Dari dulu sampai sekarang..." Nadya menunding jari terus ke muka Andi.

"Aku tak buat apa-apa pun dengan kau pun! Kau tu yang fikir bukan-bukan... sekarang ni siapa yang pervert?" Andi tak mahu kalah namun tetap mengekalkan jarak selamat. Satu meter dari tendangan Nadya.

"Lagi satu...apa maksud kau dari dulu? Aku ni pelajar paling contoh waktu di sekolah tahu tak? Cikgu-cikgu siap kata nak risik aku buat jadi menantu." Kata Andi sambil mendabik dada.

Nadya menjulingkan mata mendengar ayat Andi yang bagaikan tak pernah menjejakkan kaki ke tanah itu.

"Dah tu? Pergilah kau cari anak-anak cikgu tu sekarang. Apasal terkejar-kejarkan aku. Dah tak laku lah tu," Nadya menyapu bahu dengan muka angkuh.

"Sebab kau Nadya," kata Andi sebelum mencuri-curi mendekati Nadya dan mencubit lama hidung Nadya.

"Andi!" Nadya cuba menendang kaki Andi apabila lelaki itu tergelak kuat namun masih tidak mahu melepaskan hidungnya.

"Nady... jom kahwin?" kata Andi yang masih menarik perlahan hidung Nadya.

Nadya berhenti meronta dan menendang. Matanya membulat memandang Andi.

"Apa?" tanya Nadya dengan muka berkerut.

"Jom kahwin Nady..."

Bersambung...


Iklan Tiada Drama di Kampus

Feralina tersentak dan menyedari dia sudah berada di dalam kolam

Feralina tersentak dan menyedari dia sudah berada di dalam kolam. Kakinya sedang mengimbangkan badan di dalam air.

Go Yna!" Farish yang berdiri di tepi kolam menjerit ke arah Feralina.

Feralina memandang Farish dan kemudian lelaki berwajah kabur tersebut. Lelaki itu sedang memegang sesuatu dan dihalakan ke arahnya.

"Yna, Go!"

Sekali lagi terdengar jeritan dari Farish. Sebelum lelaki berwajah kabur menghalakan pisau ke arah Farish. Bunyi letupan kuat kedengaran sebelum Farish terjatuh d atas lantai.

"No, no,no, no," Feralina cuba berenang ke arah Farish namun semakin dia mencuba, semakin dia berenang jauh dari Farish, "abang!" jeritnya sambil sesekali tertelan air laut. Kesejukan air laut mula terasa, bibir Feralina mula menggigil. Sesekali dia memandang ke belakang dan melihat kapal layar yang semakin jauh darinya.

"Abang!"

Dapatkan di E-Sentral / Google Playstore. 

Hanya RM15. 

XOXO.


Thursday, January 13, 2022

Cinta yang akan selalu aku rindu 19 : part 2

"Papa!" Afiq muncul di muka pintu bertemankan Ashraf yang sedang berair mata.

Ashrul mengerut dahi melihat tingkah anak-anaknya. Baru sekejap ditinggalkan untuk bermain dengan sepupu yang lain. Kini anak sulungnya Ashrul teresak-esak berjumpa dengannya. Ashrul meletakkan telefon bimbit di atas meja solek yang tersedia di bilik chalet itu.

"What's wrong?" tanya Ashrul sambil mendekati Ashraf dan mengelap air mata Ashraf dengan bajunya.

"Abang Ayie pukul kepala Ashraf guna truck..." Afiq mengadu bagi pihak abangnya.

Ashrul hampir terbeliak mata mendengar kenyataan Afiq. Dia terus membelek kepala Ashraf. Rahang diketap kuat apabila melihat satu calar kecil di kepala Ashraf. Ayie, anak buahnya yang berusia 12 tahun memukul anaknya yang berusia 5 tahun.

"Sakit tak? Ala kasihannya... papa sapu ubat ya..." pujuk Ashrul sambil mencari peti bantuan kecemasan di dalam beg pakaiannya.

"Um.. Abang Ayie yang pukul." Ashrul hanya mampu melihat dari jauh tingkah Afiq yang memegang telefon bimbitnya dan mula mengadu dengan Nadya pula. Calar di kepala anaknya tidaklah teruk, namun untuk memujuk hati Ashraf, Ashrul meletakkan pembalut luka yang mempunyai gambar Robocar poli di atas calar tersebut.

"Um... diorang dua main dengan Ayie tadi. Takde apa-apa. Ashraf terkejut je kot. Nanti I cakap dengan Ayie." Kata Ashrul setelah mengambil telefon dari Afiq.

"You... janganlah marah Ayie. Ashraf tak ada apa-apa kan. Mungkin diorang main lasak sangat kot..." kata Nadya perlahan.

Ashrul mengetap bibir. Nadya akan jadi singa kalau ada sesiapa yang membuli kembar mereka. Namun sanggup menikus kalau anak-anak buahnya yang membuli si kembar semata-mata kerana tidak mahu dia bergaduh dengan adik beradik.

"Ayie tu dah besar... bergaduh dengan budak-budak yang kecil dari dia dah kenapa..." Ashrul mendengus geram.

"Dahlah... you dengan family tengah bercuti. Tak payahlah panjang-panjangkan. Kasihan kat mama. Dia ajak you adik beradik bercuti nak gembira. Nanti bergaduh lagi dengan Kak Long." Terus lupa mengenai kesedihan mengenai Andi, Nadya kini memujuk Ashrul agar tidak memanjangkan hal anak-anak.

"Okay." Jawab Ashrul sepatah. Masih menahan geram.

"Okay. I nak say good night dengan kembar." Pinta Nadya.

Ashrul menyerahkan telefon bimbit kepada Afiq.

Nadya memberi nasihat kepada si kembar agar tidak bergaduh dengan sepupu-sepupu mereka. Seteleh masing-masing selesai mengucapkan selamat malam telefon diserahkan semula kepada Ashrul.

"You... jangan marah lagi." Pesan Nadya sebelum menamatkan panggilan.

Ashrul menyiapkan si kembar untuk tidur. Biarpun hatinya masih belum puas kerana tidak dapat memarahi anak buahnya. Walhal waktu ditinggalkan sebentar tadi, kakaknya juga ada di ruang tamu. Takkan sengaja membiarkan anaknya dipukul seperti itu. Ashrul menahan hati yang sebal.

"Papa," Tangan kecil Ashraf membeli pipi papanya, "nanti kita bercuti dengan mama je. Tak nak dengan Abang Ayie lagi. Nanti bawa mama ya..." kata Ashraf dengan mata yang mengantuk.

Ashrul tersenyum. Sejuk sikit hatinya bila mendengar permintaan Ashraf.

"Okay. Tahun depan kita ajak mama ya." Ashrul mencium tangan anaknya sebelum meletakkan di bawah selimut. Dia menarik nafas panjang sambil memandang Ashraf dan Afiq yang perlahan-lahan tertidur. Tahun depan... Ashrul mahu waktu itu cepat berlalu. Agar Nadya segera pulang kepadanya. 

Bersambung....

Jangan lupa vote + comment ❤️

Thank you yang sudi membaca cerita CYASAR

Promo Ebook Tiada Drama di Kampus:

Sedutan Bab 5 : 

Feralina mengurut lehernya sambil berjalan melintasi Kompleks Renang untuk balik ke Kolej Kediaman. Dia memandang jam di tangan. Pagar Kolej akan tutup dalam beberapa minit lagi. Telinganya seakan terdengar bunyi kocakan air dari Kompleks Renang tersebut. Dia mengeluh panjang sebelum meneruskan perjalanannya.

"Eh, Kafi dah blah awalkan tadi? Dia balik tak malam ni?"

Langkah Feralina hampir terhenti apabila mendengar beberapa derapan kaki di belakangnya. Perlahan-lahan dia melangkah ke tepi untuk memberi laluan kepada beberapa orang lelaki di belakangnya.

"Dia kata dia balik juga nanti. Kalau dah lambat sangat, pandailah dia cari jalan nak masuk kampus nanti."

"Cakap kat dia supaya bawa balik makanan. Aku laparlah lepas latihan."

Feralina menundukkan kepala. Dia berjalan dengan perlahan seakan tidak mahu mengeluarkan sebarang bunyi.

"Opps!" Feralina menekup mulutnya apabila kakinya hampir tersadung batu. Feralina menundukkan kepala sambil menunggu jejaka-jejaka di belakangnya berjalan melintasi dirinya.

"Careful," kata seorang lelaki selepas memandang sekilas ke arah Feralina.

Feralina mengetap bibir dan menendang batu yang dilanggarnya tadi. Geram dengan kewujudan batu tersebut. Dia terjerit kecil dan terjengket-jengket selepas menendang batu yang tidak terkesan dengan tendangannya. Feralina mengangkat pandangan apabila mendengar seseorang tergelak kecil di hadapannya. Pipinya terasa panas.

Ternyata ada saksi yang menyaksikan dia membuli batu yang tidak bernyawa sebentar tadi. Seorang dari tiga orang jejaka itu menunjuk ke arah jam di tangan sebelum berlari mengejar kawan-kawannya.

Feralina mengerut dahi sebelum memandang jam di tangan. Mulutnya ternganga besar sebelum dia turut berlari terkedek-kedek dan tercungap-cungap sebelum pagar kolej ditutup. Dia cuma mampu tersengih senget apabila menerima renungan tajam dari pengawal keselamatan. Seperti sedang menyalahkan Feralina kerana tidak dapat menutup pagar tepat pada masanya.

"Cepat masuk! Lain kali balik awal sikit. Boleh pula suruh kawan pesan supaya jangan tutup pagar," bebel pengawal tersebut.

Aik? Feralina mengerut dahi. Bila masa dia pesan macam tu. Dia menjongket bahu dan berjalan menuju ke Kolej Cempaka yang dikhaskan untuk pelajar perempuan. 

Boleh dapatkan di Esentral / Google Play

Boleh dapatkan di Esentral / Google Play. 

Bab awal 1 - 43 boleh dibaca di Wattpad. 

XOXO. 


Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37