Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Thursday, February 24, 2022

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rintu 31

...Yang Terakhir : Part 2

Saat jenazah Alfi diturunkan ke liang lahat dan disambut oleh beberapa orang rakan sekolah mereka termasuk Farhan dan Alfi, Nadya sempat memandang sekeliling. Mencari satu susuk tubuh yang sepatutnya ada di situ. Nadya tersenyum nipis kepada Andi yang sempat memandang ke arahnya selepas memanjat keluar dari liang lahad selepas membantu menurunkan jenazah Alfi.

Farhan yang kelihatan tenang bermula dari saat Alfi ditemui sehinggalah saat jenazah Alfi diturunkan ke liang lahad kini mengalirkan air mata. Seluar dan baju yang penuh dengan selut tidak menjadi hal bagi Farhan yang terduduk di tepi pusara. Farhan mengepal tanah dan memasukkan tiga kepalan tanah ke dalam pusara sambil membaca doa sementara air matanya semakin laju mengalir. Mungkin mula menyedari yang itu adalah kali terakhir dia dapat melihat dan memegang Alfi. Dia terus menatap jenazah di tepi lubang kubur sehinggalah ditutup perlahan-lahan dengan tanah.

Nadya terus mengalihkan pandangannya dari Farhan sambil cepat-cepat menekup mulutnya agak tidak mengeluarkan bunyi tangisan yang kuat. Simpatinya tumpah apabila melihat tingkah Farhan yang kini berseorangan menghantar Alfi.

Andi terus mencangkung di sebelah Farhan dan menepuk bahu lelaki itu. Dia juga sempat memandang ke arah Nadya dengan mata basah. Andi mengelap airmatanya dengan lengan baju yang masih bersih dari selut.

“Ressa…” Nadya memandang ke arah seorang wanita yang berdiri agak jauh dari kawasan pengebumian. Selesai pusara ditimbus, wanita tersebut pun terus berlalu dari situ.

Andi memandang ke arah Nadya dengan dahi yang berkerut apabila Nadya seakan terkhayal memandang ke satu tempat.

Nadya pandang Andi dan kemudian menggelengkan kepala dan tersenyum nipis. Dia mengelap mata yang terasa berat kerana tidak berhenti menangis sejak pagi tadi. Mulanya dia terasa ralat bila Alfi hanya dihantar oleh Farhan walhal waktu dulu, Farhan, Ressa dan Alfi seperti belangkas. Di mana-mana pun mereka akan bertiga. Rupanya Ressa hanya mampu menghantar pemergian Alfi dari jauh.

Bab terakhir Alfi kini berakhir selepas talkin selesai dibaca. Farhan orang terakhir yang melangkah pergi dari pusara Alfi. Itupun setelah Andi menepuk bahu Farhan untuk menyedarkan Farhan yang seakan terkhayal lama di tepi pusara.

Are you okay?” tanya Ashrul kepada Nadya yang mendekati keretanya. Dia terpaksa menunggu di kereta untuk menjaga anak kembar mereka yang kepanasan di bawah terik matahari.

Nadya memandang Ashrul dan kemudian menggeleng kepala.

Ashrul terus menarik Nadya ke dalam pelukannya.

I’m sorry… I tak tahu macam mana nak buat you berhenti menangis.” Kata Ashrul perlahan ke telinga Nadya.

Nadya menekupkan mukanya ke dada Ashrul dan menangis lagi.

I’m sorry…” ulang Ashrul lagi sambil menggosok bahu Nadya dan membiarkan Nadya bertenang di dalam pelukannya.

~~~~~

“Aku sangka aku akan jumpa dia lagi dan hari ni cuma mimpi yang buruk.” Farhan tersenyum nipis sambil memandang kopi ais yang dipesan olehnya. Farhan menarik nafas panjang sebelum memandang sekeliling kedai makan. Persinggahan mereka selepas majlis pengebumian Alfi.

“Aku masih berharap yang Alfi akan muncul bila-bila masa je dari sekarang dan minta maaf dengan aku sebab biarkan aku sorang-sorang jaga Ressa,” Farhan meramas rambutnya sebelum tergelak kecil, “Ressa sendiri pun tak nak datang tengok Alfi untuk kali terakhir. Dia masih percaya yang Alfi masih hidup.” Mata Farhan berkaca apabila mengatakan yang Alfi masih hidup.

“Dia ada datang.”

Andi pandang Nadya yang duduk di sebelah Ashrul.

“Ressa ada datang sekejap tadi. Dia pulang sebelum bacaan talkin.” Jelas Nadya bermain dengan gelasnya.

Farhan tersenyum nipis.

“Aku tak tahu apa nak buat dengan dia.” Farhan menelan air liur kesat, “selepas pemergian mak dan ayah dia, Ressa abadikan hidup dia untuk mencari Alfi. Dan sekarang…” Farhan mengeleng kepala, “aku tak tahu apa lagi yang tinggal untuk dia. Mungkin dia akan terus mencari Alfi atau mungkin...” Farhan seakan tersedar sesuatu dan terus menutup mulutnya sebelum mengeluh panjang.

“Dia akan terima juga nanti. Mungkin kau patut bagi dia masa untuk terima semua ni.” Andi menepuk bahu Farhan.

Farhan tersenyum kecil dan menganggukkan kepala.

By the way, tadi Datuk Bandar ada datang ke majlis pengebumian. Dia ada kaitan dengan arwah ke?” tanya Andi setelah mereka semua lama terdiam.

Farhan terdiam sambil merenung air kopi yang semakin berkurang.

“Ramai juga rombongan yang dia bawa tadi.” Tambah Nadya pula.

“Oh, Dato tu kebetulan ada di Pekan ni. Jadi dia tahu mengenai kes Alfi. Sebab tulah dia sempat melawat tadi.” Jelas Farhan sebelum memasukkan tangannya ke dalam poket baju melayu yang tersarung di badannya.

“Aku perasan ada dua orang lelaki berbaju kot hitam dengan kaca mata hitam mengiring Dato tu tadi. Siapa diorang tu?” Andi pandang Farhan tanpa menyedari Nadya memandang ke arahnya dengan dahi yang berkerut.

Farhan mengerut kening.

“Mungkin pengawal peribadi Dato. Dato selalu pergi mana-mana dengan dua pengawal dia tu. Kenapa? Kau kenal diorang ke?” tanya Farhan pula.

“Oh. Tak ada apa-apa. Aku cuma tanya je,” Andi terus menjongket bahu sebelum terpandang Nadya yang masih memandangnya.

Why?” tanya Nadya kepada Andi dengan gerak bibir tanpa mengeluarkan suara.

Andi hanya tersenyum sebelum menggelengkan kepala sebagai jawapan untuk soalan Nadya.

~~~~~

“I dah hired orang untuk bawa kereta you balik. You balik dengan I.” Jelas Ashrul sewaktu Nadya menghulurkan beg pakaian kepadanya.

“Okay.” Jawab Nadya sebelum memandang ke lobi hotel. Dia masih tidak nampak Andi sejak mereka masing-masing naik ke bilik untuk berkemas.

“I nak beritahu sesuatu dengan you…” Ashrul yang baru selesai menyusun beg pakaian, memandang ke arah Nadya. Ashrul turut memandang ke lobi sebelum memandang ke arah Nadya semula, “you nak tunggu dia?” tanya Ashrul.

Nadya pandang Ashrul dengan muka serba salah.

“Boleh tak tunggu sekejap?” tanya Nadya sebelum menggigit bibirnya.

Ashrul memandang Nadya buat seketika. Bibirnya seakan ingin berkata sesuatu. Namun akhirnya Ashrul hanya menganggukkan kepalanya dengan rasa berat hati.

Nadya tersenyum lebar.

Thank you. You tunggu kejap ya.” Kata Nadya sebelum ingin berlari masuk ke dalam lobi.

Ashrul memegang tangan Nadya.

“Dia minta I beritahu you tadi. Dia tak jadi balik hari ni.” Kata Ashrul apabila berjaya menahan Nadya dari pergi.

Senyuman di bibir Nadya terus hilang. Nadya terus mencari kereta sewa Andi di tempat letak kereta tersebut. Dia juga mencari motorsikal milik Andi. Namun ternyata tiada lagi kesan Andi di motel tersebut.

“Apa you cakap dengan Andi?” Nadya terus menatap Ashrul dengan tajam. Rahangnya diketap kuat.

“Apa maksud you tanya I macam tu?” tanya Ashrul pula.

You tu… apa yang you cakap dengan Andi sampai dia pergi tanpa jumpa I? You cerita pasal kita kan? Pasal perjanjian dua tahun kita?” Marah Nadya dengan air mata yang mula membasahi pipinya. Rasa takut mula menyelubungi hatinya. Takut kehilangan Andi lagi.

Or you bagitahu dia yang I masih lagi isteri you?” Nadya mendongak memandang Ashrul. 

Bersambung...

Next Week lagi ya.. In shaa Allah. 

Xoxo.

IKLAN Tiada Drama Di Kampus


Wednesday, February 23, 2022

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu - 30

 Yang Terakhir

Andai satu hari realiti tidak memihak pada kita, ingatlah yang aku pernah ada - Andi

Nadya kelam kabut membuka beg baju milik anak-anaknya. Mencari baju yang sesuai untuk dipakai buat majlis pengebumian Alfi. Pengebumian Alfi… Nadya menggenggam baju dalam pegangannya. Kejadian kehilangan Alfi dan penemuan tulang di belakang sekolah bermain-main di kepalanya seperti video rosak. Dia terkaku seketika di hadapan beg pakaian yang terbuka luas. Alfi sememangnya sudah tiada. Harapan yang tinggal 1% kini telah lenyap.

"Atleast, kalau aku takde.. Farhan ada"

Suara Alfi terngiang di telinga Nadya.

“Dya…” Ashrul memegang bahu Nadya. Nadya hanya diam sejak mereka naik semula ke bilik.

Bagi peluang dengan budak gila tu.”

Nadya tidak sangka yang dia masih ingat senyuman Alfi ketika lelaki itu memujuknya untuk menerima Andi. Biarpun raut wajah Alfi kini sudah samar-samar di ingatannya.

"Aku pergi dulu."

Mungkin itu kali terakhir. Dia dan Andi hanya sempat melihat belakang Alfi ketika Alfi berjalan meninggalkan mereka selepas habis SPM. Kini tiada lagi Alfi yang jadi pendamai antara dia dengan Andi. Tiada lagi Alfi, jurugambar remaja mempunyai potensi yang tinggi. Tiada lagi Alfi, kawan yang setia kepada Ressa dan Farhan.

Alfi tidak sempat keluar pun dari Pekan ni. Tidak sempat mencipta nama luar dari Pekan Teluk. Selama bertahun, Alfi masih di sini. Bersendirian dan menanti masa untuk ditemui.

“Um, I tak masukkan baju kemeja putih untuk Afiq. Kalau baju ni sesuai tak? Ah… ke baju T-shirt hitam ni?” Nadya menyelongkar semua isi di dalam beg pakaian tersebut sebelum Ashrul memegang kedua-dua bahu Nadya.

It’s okay. I urus anak-anak. You pergi bersiap.” Kata Ashrul perlahan sebelum mengelap air mata yang mengalir di pipi Nadya.

Nadya seakan baru tersedar air mata di pipinya. Dia cepat-cepat menyapu air mata tersebut dengan muka yang cukup keliru.

“I balik bilik,” Nadya terus berdiri dan meluru ke arah pintu. Nafasnya terasa pendek. Dadanya berdegup kencang. Nadya berulang kali cuba menarik nafas sambil memegang dadanya.

“Dya… you okay tak ni?” Ashrul menarik pintu bilik agar anak-anak mereka tidak kerisauan melihat Nadya.

rasa…” Nadya menarik nafas panjang, “hurm…” Nadya menepuk dadanya. Tangannya mula menggeletar dan kakinya seakan tidak berpijak ke lantai. Nadya terus memegang erat lengan Ashrul agar dia tidak terjatuh ke lantai.

It’s too loud.” Adu Nadya sambil menepuk kedua-dua telinganya.

Apa dia?” Ashrul memegang pipi Nadya.

Nadya tercungap-cungap sambil mencengkap bajunya.

“Dya, what’s wrong?” Sepanjang bersama Nadya, Ashrul belum pernah melihat Nadya seperti ini. “I’m calling the ambulans.” Ashrul mengeluarkan telefon bimbit dari poket dengan kelam-kabutnya bila Nadya terbatuk-batuk tanpa henti.

Namun belum sempat Ashrul mendail, dia melihat Andi mendekati Nadya.

Andi mendekati Nadya dari belakang sebelum menekup mata Nadya dengan tangannya.

Ashrul menggenggam telefon di tangannya. Terkaku memandang Andi membisikkan sesuatu kepada Nadya.

“Nady…Ini aku, Andi.”

It’s okay. Tarik nafas panjang-panjang…dengar suara aku,” Tangan kiri Andi memegang erat tangan Nadya.

“Aku ingat dia dah keluar dari Pekan ni…” suara Nadya mula pecah dan matanya terasa panas. Dia jadi malu kerana mementingkan masalah dirinya walhal Alfi lebih memerlukan bantuan. Dia tidak sepatutnya terasa penat sewaktu mencari Alfi. Dia berhenti terlalu awal. “Kalau kita cari dia…”

“Syyy Nady… kita dah cuba yang terbaik. Kita dah cuba cari dia. It’s okay Nady… kita dah jumpa dia.” Andi menarik nafas panjang, jarak dia dan Nadya yang agak rapat membuatkan dia dapat melihat betapa menggeletarnya tubuh Nadya ketika itu. “Nady tengok bawah… kaki kau masih boleh berpijak di atas lantai,” Andi perlahan-lahan mengangkat tapak tangannya dari mata Nadya.

Nadya menyapu airmatanya. Dia perlahan-lahan menunduk memandang lantai. Dia tahu apa yang Andi cuba lakukan. Nadya berpaling ke arah Andi.

“Nad…” Andi menepuk bahunya apabila Nadya memandangnya, “ini bahu aku. Tempat kau boleh bersandar selalu,” Andi tersenyum nipis kerana dia sedar selama bertahun, dia gagal menjaga Nadya, Andi mendongak menandang siling, “Nad, itu lampu. Biarpun lampu ni hidup segan, mati tak nak… tapi kau masih nampak cantik di bawah sinaran lampu ni.” Andi tersenyum lagi apabila Nadya memberi respon kepadanya.

Seperti dipukau, Nadya mendongak memandang lampu yang ditunjukkan oleh Andi.

Dalam masa yang sama, lif di hujung koridor terbuka. Seorang lelaki yang memakai baju seragam motel tersebut menolak troli menyusuri koridor. Sebuah fon telinga dipasangkan pada telinga sebelum lelaki itu mula menyapu koridor.

Andi mengerut dahi seperti cuba untuk mengingati di mana dia melihat wajah lelaki tersebut. Kemudian satu nama muncul di memorinya.

“Nady, itu Sofian. Bekas playboy Kampung Pisang. Tengok je, jangan dekat.” Tunjuk Andi ke arah Sofian yang sedang menyapu koridor sambil mendengar musik.

Pada mulanya, Nadya mengerut dahi bila mendengar trivia rawak dari Andi. Namun kemudian senyuman terukir di bibirnya. Dia teringat memori ketika Andi cuba menenangkan dirinya selepas mendengar pergaduhan ibu dan ayahnya. Andi sentiasa ada cara untuk membuatnya mengukir senyuman.

Andi menarik nafas lega apabila Nadya mula tersenyum. Dia menggosok rambut Nadya dengan perlahan.

“Dan ini aku. Aku yang akan cuba sehabis daya untuk selalu ada dengan kau.” Andi pandang Nadya. Berharap Nadya akan terima janji barunya itu. 

P/S: Bukan Ending ya... hehe. 

Bersambung...


Iklan TDDK

Jom baca bab awal Tiada Drama di Kampus.
Kisah Feralina dan The Four Hot Guy yang mencarca marbakan misi hidupnya untuk hidup secara low profile ketika di Kampus.
Bersama The Four Hot Guys juga, Feralina mula menyiasat tragedi yang menimpa keluarganya beberapa tahun lalu tanpa menyedari ada yang sedang memerhati Feralina dan memastikan tragedi itu terus terkubur.


Thursday, February 17, 2022

Cinta yang Akan Selalu Aku Rindu - 29

Lari 

Larilah sejauh yang mungkin dan selaju yang termampu… malah sehingga sampai ke hujung dunia sekali pun. Realiti akan tetap sama. Mengejar seperti anjing yang baru dilepaskan selepas tersepit - Nadya

Ashrul masih menekapkan telefon di telinga. Dia mengetap bibir bila mendengar cerita mamanya di hujung talian. Dia mula penat dengan tingkah Kak Longnya. Entah apa saja yang boleh memuaskan hati Kak Long.

“Nadya ada dengan Ash sekarang ni,” Ashrul mengeluh lagi, “dia nak serang Nadya pula apasal pula? Tiba-tiba nak ajak Nadya bergaduh. Semua dia nak salahkan Nadya. Dah anak dia tu nakal sangat. Kenapa nak salahkan Nadya?” Ashrul terdiam lagi bila Mamanya cuma menenangkan dirinya.

“Ma, Ash penat nak layan perangai Kak Long tu lah. Dia nak apa lagi? Ma, rumah tangga Ash dah hancur sebab dia. Sebab mulut dia tu. Nasihatkan la Kak Long tu ma. Sudah-sudahlah. Dah bertahun dia tak terima Nadya. Cukuplah.” Ashrul menggenggam telefon bimbitnya dengan kuat.

“Hurm… kami tinggal di sini sehari lagi. Biarlah Kak Long tu sejuk hati dulu. Kalau dia nak tunggu juga, biar dia berkampung kat depan rumah tu. Tapi bila kami balik nanti dan Kak Long masih nak serang Nadya. Ash tak teragak-agak nak telefon polis.” Kata Ashrul dengan tegas sebelum menamatkan panggilan telefon.

~~~~~~~~

“Ehem…” Afiq memandang tajam ke arah Andi yang masih tersenyum memandang mamanya.

Andi menggaru kepala sambil tersenyum janggal. Baru tersedar yang dua pasang mata sedang menghakiminya ketika ini. Andi menegakkan tempat duduk.

“Mama dah ada papa.” Kata Ashraf sambil menarik muncung dan memeluk tubuh untuk menunjukkan ketidakpuasan hatinya bila Andi tidak mengendahkan amarannya tadi.

“Oh ya? Uncle pula ada lollipop.” Andi mengeluarkan senjata rahsianya. Dua batang lolipop ditarik keluar dari poket seluarnya.

“Kami tak terima rasuah. Mama tak suruh.” Kata Afiq sambil menguyah mee goreng yang disuap oleh Nadya.

Nadya mengetap bibir untuk menahan tawanya. Mujur dia sempat mengajar si kembar selepas kejadian Andi memberikan biskut Chipsmore kepada mereka sebelum menjamah makan malam.

Andi menjongket kening sebelah sambil memandang Nadya.

Nadya menjelir lidah kepada Andi yang masih lagi memandang ke arahnya. Tak puas hati lah tu.

Okay, fine. Uncle jelah yang makan.” Andi membuka pembalut lolipop.

Ashraf menelan air liur bila melihat lolipop di tangan Andi.

“Tapi papa kata kita tak boleh tolak rezeki.” Kata Ashraf apabila Andi hampir memasukkan Lolipop ke dalam mulut.

“Kan? Tak baik tolak rezeki.” Andi menghulurkan lolipop kepada Ashraf.

“Wei!”

“Sebatang lolipop takkan buat gigi anak kau rosaklah Nady…” pintas Andi sebelum sempat Nadya membebel. Dia membuka satu lagi lolipop buat Afiq.

“Andi… diorang tengah makanlah.” Nadya mengeluh bila Afiq memandangnya dengan penuh harapan apabila Andi menghulurkan lolipop kepada Afiq. “Urgh! Fine. You can eat the candy,” kata Nadya yang terpaksa mengalah.

Andi tersenyum nakal.

By the way… kenapa kita kena panggil dia, Ressa?” tanya Andi dengan tiba-tiba selepas kedua-dua anak Nadya dapat menikmati lolipop.

Nadya pandang Andi.

“Sophia. Kenapa kita panggil dia dengan nama Ressa dah sekarang?” Andi menerangkan soalannya semula.

Nadya mengeluh sebelum menjongket bahu.

“Mungkin itu cara dia nak lepaskan diri dari masa lalu. Lagipun Ressa tu dari singkatan nama dia juga kan.” Jawab Nadya sambil memandang Andi. Ada rasa takut melanda hatinya. Takut kalau-kalau Andi tiba-tiba berubah dan sekali gus jauh darinya.

“Andi, lepas ni kita balik. Lagipun Ibu Suri pun dah jarang di Pekan ni. Kau tu je yang rajin berulang alik ke sini. Padahal tak ada apa pun dah kat Pekan ni.” Kata Nadya dengan nada sedikit sebal.

“Ada je.” Jawab Andi sebelum berbalas pandang dengan Nadya. “Masih ada memori kita.” Andi tersenyum nipis bila Nadya mengeluh dalam senyuman.

“Kita balik hari ni.” Kata Nadya dengan tegas.

“Kita balik besok,” Ashrul pula menyampuk sebelum mengambil tempat duduk di antara Afiq dan Ashraf. “I nak juga melawat Pekan tempat you membesar. Dah lama I ajak you balik ke Pekan ni tapi you taknak. Tiba-tiba kali ni senang pula you balik sini.” Tambah Ashrul lagi.

“Jangan mengarut. Kita check-out lepas makan ni.” Nadya pandang Ashrul dengan tajam.

“Kenapa you kelam-kabut sangat? Sehari je pun. Kita stay sehari lagi. I masih penat memandu seharian semalam.” Pujuk Ashrul serta cuba memberi alasan.

Then hired pick-up driver untuk bawa kereta you balik. You naik kereta I.” Nadya memberi cadangan. Langsung tidak menerima alasan Ashrul tadi. Dia mahu keluar dari Pekan ini sekarang juga.

“Bukan tu maksud I, Dya…” Ashrul mengeluh perlahan.

Why are you being difficult? I nak balik. I dah beritahu berulang kali dengan you yang Pekan ni bukan tempat I lagi. I want nothing from this town.” Nadya merenung Ashrul sambil mengetap rahang.

Ashrul menukar posisi menghadap Nadya. Dia tidak mahu Nadya tahu mengenai Kak Long yang bersedia menyerang Nadya jika mereka balik hari ini.

I’m not being difficult Dya… Kita dah di sinikan. So why not…” Ashrul cuba merendahkan suaranya agar Nadya tidak terasa yang dia saja mencari gaduh di tengah-tengah kedai makan itu.

“Why not, what? Enough Ash… Stop trying so hard. You takkan dapat jawapan apa-apa pun kalau kita lama-lama di sini. Biarpun you pusing satu Pekan semata-mata nak kenal dengan diri I yang dulu.” Nadya menggigit bibirnya dengan geram.

This is me now. Siapa I sebelum ni dah tak releven.” Bukan sekali dua Ashrul cuba untuk mengorek kisah lamanya. Dia hanya menceritakan serba sedikit kepada Ashrul. Selainnya, banyak yang dia pendam sehingga membuatkan Ashrul berkali-kali ingin datang ke Pekan Teluk. Tempat semuanya bermula untuk lebih mengenali Nadya.

Biarpun kata-kata itu ditujukan oleh Ashrul, Andi yang sedang mendengar dan melihat bibit-bibit pergaduhan antara Nadya dan Ashrul seakan terpukul sekali. Dia juga masih berharap Nadya yang dulu. Andi memandang Afiq dan Ashraf yang mendiamkan diri apabila Nadya mula bertikam lidah dengan Ashrul.

“Nad.” Panggil Andi dengan tegas. Seakan memberi amaran kepada Nadya.

Nadya pandang Andi. Dia seakan terlupa yang Andi juga ada di situ.

“Anak-anak kau ada di sini.” Kata Andi bila Nadya memandang ke arahnya.

Kata-kata Andi seakan tamparan ke muka Nadya. Melihat riak kecewa yang tergambar di wajah Andi membuatkan Nadya terkenang saat-saat Andi memujuk dirinya setiap dia selepas dia terdengar pergaduhan kedua-dua ibu bapanya. Nadya mengetap bibir sebelum menunduk memandang kedua-dua anaknya. Jadi malu dengan Andi. Dia turut rasa bersalah dengan anak-anaknya.

Ashrul meraup mukanya.

“Kita balik esok je. Hari ni kita kena pergi majlis pengebumian Alfi.” Andi membuat keputusan.

“Apa?” Dahi Nadya terus berkerut, “tapi Farhan kata lama lagi nak pastikan samada itu Alfi atau bukan.”

“Ressa beritahu aku subuh tadi. Tak ada apa nak dipastikan lagi. Tanda nama, beg sekolah… semua milik Alfi.” Jelas Andi.

“Semudah itu?” kata Ressa yang seakan tidak dapat menerima berita yang baru didengarinya itu. Walhal otaknya belum sempat memproses apa yang terjadi malam semalam.

“Polis mungkin disuruh tutup kes dengan cepat.” Sampuk Ashrul yang sedang memegang telefon bimbitnya. Dia pandang Nadya yang masih terkejut, “Sebab pilihanraya kecil yang akan berlangsung tak lama lagi. YB yang ikut bertanding nanti, orang Pekan ni.” Kata Ashrul sambil menunjukkan video majlis pencalonan calon melalui telefon bimbitnya.

Dan sebaik sahaja Andi melihat wajah-wajah di video tersebut. Sesuatu mengetuk memori Andi. Samar-samar namun cukup membuatkan jantungnya berdegup laju. 

Author's note: Sorry kalau chapter minggu ni tak berapa best.. berapa minggu ni agak kosong sikit kepala. Tak tahu nak tulis apa. 

Btw, Tiada Drama di Kampus boleh di dapatkan di E-Sentral / Google Playstore dengan harga RM 15 ya. 

Sedutan Bab TDDK: 

Feralina memandang sekeliling rumah yang cukup asing baginya. Dadanya berdebar-debar sehingga dia melihat Kafi. Dia tersenyum lega dan berjalan mendekati Kafi. Langkah kakinya terhenti apabila melihat seorang lelaki yang diikat pada kerusi.

“Apa korang dah buat? Siapa dia ni?” Feralina memegang dadanya yang terkejut sebelum memandang keempat-empat jejaka di dalam rumah itu.

Kafi dan yang lain mengerut dahi dan berpandangan sesama sendiri.

“Kau tak ingat?” tanya Kafi yang mula bingung.

“Ingat apa?” tanya Feralina sebelum perlahan-lahan memorinya mula bercantum kembali. Dia mengundur perlahan-lahan, “bukan aku yang buat.”

Kafi kemudiannya memandang ke arah Feralina yang sedang menggigit ibu jari. Feralina sering begitu jika dia sedang menyembunyikan sesuatu.

“Apa Yna? Apa yang kau sembunyikan dari aku?” tanya Kafi sambil berjalan mendekati Feralina namun Sayd menghalang dengan memegang bahunya.

Feralina terundur sehingga ke dinding. 

The missing piece. Powerful only when you know the reason behind its existence,”


Wednesday, February 16, 2022

Cinta Yang Akan Selalu Aku RIndu - 28

 Teduh

Ada yang berlari mencari teduh ketika hujan turun, ada yang belajar menari di dalam hujan - Andi

Andi memadam mesej dari bekas isterinya yang memaksa dia kembali bekerja dan menyelesaikan projek-projek yang terbengkalai. Terasa bagai dikejar oleh cikgu kerana tidak menyiapkan kerja rumah. Andi jadi lelah dengan setiap pesanan ringkas yang diterimanya dari hidup yang tiada dalam memorinya.

"Uncle Andi!"

Andi mengangkat pandangan apabila mendengar dua suara kecil serentak memanggilnya. Kelihatan Afiq dan Ashraf berdiri di tepi Ashrul yang sedang memegang dulang makanan. Andi memandang sekeliling kedai makan yang terletak bersebelahan motel yang disewa oleh mereka. Ternyata tiada lagi meja kosong di kedai makan tersebut. Sekali lagi Andi pandang Ashrul.

Ashrul mengeluh keras. Mahu tak mahu, dia terpaksa duduk semeja dengan Andi. Dengan muka selamba, Ashrul meletakkan dulang makanan di atas meja dan kemudian menarik kerusi buat anak-anaknya.

"Afiq nak mee goreng," kata Afid yang sudah bersedia dengan sudu dan garpu biarpun tangannya masih berbalut.

"Ashraf punya nasi goreng dengan nugget," Ashraf menarik pinggan yang berisi nasi goreng sewaktu Ashrul membetulkan kedudukan kerusi Afid supaya tidak jauh dari meja.

Andi mendekatkan badan pada meja apabila melihat pinggan yang ditarik oleh Ashraf hampir terbalik.

"Careful Ashraf," tegur Ashrul yang cekap menyelamatkan pinggan nasi goreng daripada terbalik sebelum meletakkan pinggan tersebut di hadapan Ashraf.

Andi menyandarkan badan di kerusinya semula setelah melihat Ashrul mampu menguruskan Afiq dan Ashraf tanpa sebarang bantuan. Dia memandang sekeliling. Susuk tubuh yang dinanti masih belum kelihatan.

"Nadya mana?"

Ashrul dan Andi berpandangan selepas mereka sama-sama mengajukan soalan yang sama. Mereka berdua kemudiannya mengeluh bila mengetahui mereka sama-sama tidak tahu di mana Nadya menghilang di awal pagi begini.

Telefon Ashrul berbunyi ketika dia sedang menyuapkan mee goreng kepada Afiq. Ashrul mengeluh perlahan sebelum meletakkan garpu ke dalam pinggan.

"Papa angkat call dulu ya," kata Ashrul kepada Afiq, "tengokkan diorang sekejap," katanya kepada Andi pula dan kemudian berlalu sebelum sempat Andi berkata apa-apa.

Andi melihat Ashrul melangkah pergi sebelum berpaling semula ke arah si kembar yang memandang dirinya dengan mata yang bulat.

"Uncle girlfriend mama ke?" tanya Ashraf.

"Boyfriendlah. Bukan girlfriend. Tu kan untuk perempuan." Sampuk Afiq pula sambil cuba untuk menyuapkan dirinya mee goreng.

"Eh! Boyfriend," Ashraf menepuk dahi, "tapi uncle tak boleh jadi boyfriend mama tau. Sebab mama dah ada papa." Kata Ashraf sambil menguyah nasi goreng.

Andi meneguk air kopi ais perlahan-lahan. Mulut budak-budak ni tak ada filter. Sama macam Nadya. Bisik Andi di dalam hati.

"Oh, mama!" Afiq melambaikan tangan apabila melihat Nadya yang baru melangkah masuk ke dalam kedai makan.

Andi mengeluh lega apabila si kembar seakan terus terlupa dengan kehadirannya selepas melihat Nadya. Dia kemudiannya bangun dan menarik kerusi kosong buat Nadya.

Nadya menghadiahkan jelingan tajam buat Andi sebelum dia melabuhkan kerusi yang dibawa oleh Andi.

"Wa...what? Apa aku dah buat?" Andi kebingungan dengan sambutan Nadya yang agak dingin itu.

"Nothing." Jawab Nadya ringkas sebelum mengambil garpu dari Afiq dan menyuapkan anaknya.

Ashraf pandang Andi yang kelihatan bingung bila mendengar jawapan Nadya.

"Nothing means everything kata papa." Bisik Ashraf kepada Andi dengan perlahan.

Nadya mengetap bibir untuk cuba menyembunyikan senyuman dibibirnya. Geli hati mendengar bisikan anak bongsunya itu. Semakin hari semakin bijak berkata-kata.

Andi tergelak kecil. Baru sekejap tadi Ashraf menghalangnya dari terus mendekati Nadya. Kini anak itu juga yang memberi nasihat kepadanya. Andi menelengkan kepala untuk memandang ke muka Nadya. Sengaja memandang wanita itu dengan agak lama sehingga Nadya jadi tidak sedang duduk.

"What Andi?" Nadya mendengus sebelum meletakkan garpu ke dalam pinggan.

"Nady... kau bertambah cantiklah bila kau marah." Andi tersenyum lebar bila Nadya menghadiahkannya jelingan tajam selepas mendengar komennya tadi.

"Bertambah gorgeous bila kau menjeling macam tu. Ah," Andi memegang dadanya seakan terkena serang jantung, "aku tak tahu kalau jantung aku yang dah tua ni boleh bertahan setiap kali kau menjeling. Boleh masuk hospital sebab terkejut nampak bidadari menjeling dengan gorgeousnya." Andi merapu sambil memandang Nadya dengan pandangan yang redup. Biarpun sedang bergurau, kelihatan jelas keikhlasan tergambar di matanya.

Ashraf dan Afiq ternga-nga melihat Andi mengayat mamanya.

Nadya yang pada mulanya cuba mengekalkan muka ketat tidak dapat menahan diri. Tersembur gelak apabila melihat tingkah Andi.

"Okay... kau menang." Nadya menjeling lagi tapi kali ini diiringi dengan senyuman.

Andi tersenyum kemenangan.

"Kau tahu kan aku tak suka tengok muka kau macam asam kecut yang jual di kedai Apek Jason. Aku nak kau sentiasa senyum macam..."

"Joker?" Nadya menjongket kening sebelah. Mahu mencabar Andi untuk menghabiskan ayat tersebut.

Andi tersenyum nakal sebelum menganggukkan kepala.

"My lovely joker. Always and forever dalam hati aku...kata Andi sambil memegang dadanya sambil memandang Nadya.

Nadya tidak dapat berkata apa-apa. Andi terlalu pandai bermain dengan ayat sehingga membuatkan jantungnya berdegup dengan kencang. 

Bersambung... 

Iklan TIADA DRAMA DI KAMPUS


Thursday, February 10, 2022

Cinta yang akan selalu aku rindu - 27

 Resah

Hanya dua implikasi bila bercerita tentang cinta dan rindu, senyuman atau air mata - Nadya.

“Dia pernah lamar I,” Nadya berkata sambil menyelimutkan Afiq yang sedang lena tidur di atas katil, “dan I terima.” Nadya pandang Ashrul yang duduk berdepan dengannya sebelum dia duduk bersila di atas katil dan menarik nafas panjang.

“Masa tu, my parents tak sabar nak lepaskan tanggungjawab untuk jaga I kepada orang lain. I beban untuk hubungan diorang berdua. So ya… Bila Andi ajak Ibu untuk lamar I, parents I terus terima,” Nadya menyandarkan badan di kepala katil.

Ashrul mendiamkan diri dan mengeluh perlahan.

“I tak pernah cerita dengan you tentang ni sebab I rasa macam pertunangan tu tak pernah jadi. Andi lamar I sebab tak nak I keluar dari Pekan ni. Jauh dari dia sementara dia masih…” Nadya terhenti seketika. Seakan susah untuk menyambung bicara bila mengenangkan detik itu.

“I tak tahu kenapa… tapi Andi, dia obses untuk cari Alfi. Tak kira Alfi hidup atau mati, dia mesti cari Alfi. Lepas berita kehilangan Alfi tersebar, I rasa Andi terus berubah 360 darjah. But now… bila Alfi dah dijumpai,” Nadya mengerut dahi sambil memandang Ashrul.

“Dia lebih fikirankan you daripada apa yang terjadi malam ni… atau keadaan Alfi,” Ashrul menyambung ayat Nadya.

Nadya mengangguk kepala perlahan.

“Macam ada sesuatu yang Andi dah lupa. Sesuatu yang berlaku selepas SPM dan sebelum kehilangan Alfi. Sesuatu yang buat dia obses untuk cari Alfi.” Kata Nadya perlahan sebelum mengalihkan pandangan ke arah anaknya, Ashraf yang membuka mata perlahan.

Nadya mengukir senyuman bila mata Ashraf memandang ke arahnya.

“Hai.” Tegur Nadya kepada Ashraf yang masih mamai.

“Mama…” Ashraf menghulurkan tangan kepada Nadya.

Nadya tersenyum sebelum mencium tangan Ashraf.

“Tidur lagi. Masih malam ni.” Pujuk Nadya.

Ashrul tersenyum memandang keletah Ashraf yang cuba memeluk tangan Nadya sebelum menutup mata semula.

“Andi, dia tak ada kawan baik yang lain ke? Seseorang yang dia percaya untuk ceritakan apa-apa masalah yang dia ada?” Ashrul cuba memanjangkan cerita mereka. Masih tidak mahu Nadya keluar dari bilik itu.

Nadya menggeleng kepala untuk menjawab soalan Ashrul.

“Dia beritahu I semua masalah dia dan apa yang dia fikirkan sepanjang hari. Andi, pada I, dia adalah seorang yang open book. Tak banyak berahsia. Bila dia rindu arwah ayah dia, dia cerita dengan I. Bila dia sedih, dia cerita panjang lebar kenapa dia sedih. Even, bila roti bakar dia lebih hitam dari selalu pun dia akan cerita.”

Nadya tersenyum bila mengingati betapa lucunya saat Andi sering mengadu semua benda dengannya tak kira biarpun hal itu sekecil hama.

Ashrul mengetap rahang bila melihat senyuman Nadya. Tapi dia rasa senang bila Nadya lebih banyak cerita tentang hidup di Pekan Teluk.

“Dan dia berhenti bercerita dengan you selepas kawan korang hilang?” tanya Ashrul yang mula berminat untuk tahu tentang apa yang berlaku di Pekan Teluk.

“Dia jadi pendiam. Selalu termenung. Kerap marah bila I dan Ibu nasihatkan dia untuk berhenti cari Alfi. Balik-balik cakap yang kami tak kan faham tapi dia tak pernah cuba untuk jelaskan supaya kami faham.” Nadya menggigit bibir. Biarpun detik itu sudah pudar dan kini hanya cebisan-cebisan pada memorinya, namun sakit di hatinya tetap terasa sama seperti beberapa tahun lalu.

Afiq merengek sedikit apabila tidak dapat memusingkan badannya dengan selesa. Keadaan itu menyebabkan Nadya dan Ashrul sama-sama mendekati Afiq untuk membuat anak mereka selesa tanpa sedar bahu mereka berlaga sesama sendiri. Nadya dan Ashrul berpandangan agak lama.

Rengekan Afiq untuk kali kedua membuatkan Nadya dan Ashrul tersedar dan melarikan pandangan. Nadya berundur dan memberi ruang untuk Ashrul membetulkan tangan Afiq yang berbalut.

“I keluar dulu,” Nadya bingkas berdiri. Muka terasa panas. Tiba-tiba bilik yang mempunyai penghawa dingin seakan panas selepas adegan sedetik tadi.

Ashrul ingin membuka mulut untuk menegah.

“Mama…” Ashraf mula merengek dengan mata yang bertutup bila menyedari tangan Nadya tiada lagi di dalam pegangannya.

Nadya terhenti melangkah.

Ashrul memandang anak-anaknya.

“Tak apa. Pergilah balik bilik you. Rehat. Kejap lagi dah nak subuh.” Kata Ashrul sebelum menepuk-nepuk Ashraf untuk kembali lena. Dia tidak mahu mengangkat muka untuk memandang ke arah Nadya yang masih berbelah bagi. Ashrul takut nanti dia pula yang merengek kerana tidak mahu Nadya keluar dari bilik itu.

“Jumpa esok pagi ya,” kata Nadya sebelum berjalan ke arah pintu.

Nadya menarik pintu bilik dengan perlahan. Dia menyandarkan badan pada pintu dan menenangkan diri di koridor.

Kedengaran bunyi pintu ditutup tidak jauh dari bilik Ashrul. Nadya mengangkat pandangan dan terkaku di hadapan pintu apabila melihat Andi.

Andi berdiri di hadapan sebuah bilik dan berbual dengan seorang wanita sebelum kedua-duanya melangkah ke lif untuk turun ke bawah.

Nadya memerhatikan kedua-dua susuk tubuh itu sehingga pintu lif tertutup. Tiada tanda-tanda Andi perasan kehadirannya di koridor motel tersebut. 

Bersambung...

Jangan lupa Vote + Comment ya. 

XOXO


Iklan Tiada Drama Di Kampus

Kafi, Afid dan Sayd memandang dengan muka selamba apabila Lokman disimbah dengan air teh lemon sejuk milik Afid. Mereka kembali menjamah makanan tanpa mengendahkan Lokman mahupun Jenny yang baru sahaja meletakkan gelas kosong di atas meja.

You know what Lok? It’s fine. You nak Shima ke, Cassandra ke, I tak kisah. I tak ada masa nak berebut dengan diorang. Kita putus,” kata Jenny dengan tegas.

Kafi perlahan-lahan menolak gelas miliknya ke arah Jenny. Dia berbalas pandang dengan gadis itu sebelum muka Lokman sekali lagi basah lencun. Kali ini dengan kopi susu sejuk. Kafi menyembunyikan senyuman apabila Lokman memandangnya dengan muka tidak puas hati.

“Oh! Budak tu yang berlakon teater seindah malam tahun lalu kan?” kata Sayd selepas Jenny berlalu dari situ. Sayd menguyah sandwich, “aku suka watak dia dalam teater tu,” tambah Sayd tanpa mengendahkan jelingan tajam dari Lokman.

“Tulah.. lain kali jangan jadi buaya sangat,” Afid membuka bungkusan nasi lemak sambil menahan senyum.

“Buaya,” tambah Kafi pula sambil menggeleng kepala.

Lokman mengeluh panjang sebelum mengeluarkan sapu tangan untuk mengelap mukanya.

“Eh Fera,” Sayd memandang gerai yang terletak di hadapan mereka yang agak padat dengan pelajar.

Afid, Kafi dan Lokman terus memandang ke gerai tersebut.

“Mana-mana?” Lokman siap mengecilkan mata untuk mencari kelibat Feralina.

“Masing-masing buaya,” jawab Sayd selamba sambil menyuapkan kentang goreng ke mulutnya. Senang sangat kawan-kawannya ditipu. Sayd menjongket kening apabila melihat seorang gadis menghampiri meja mereka dengan muka marah. 


Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37