Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Tuesday, June 19, 2018

Sumpahan Untuk Si Puteri Bab 8

Bab 8
Bukan kerana benci,
Dan bukan juga kerana aku pengecut,
6 syarat yang diberikan Sultan mampu
aku turutkan  walaupun terpaksa merentas hutan dan benua
asalkan dapat memiliki dirinya,
Tapi apakan dayaku sebagai seorang manusia,
 Syarat ke 7 itu terlalu sukar untuk aku tunaikan.
Aku tidak boleh menukar darah keturunan yang
hanya sebagai hamba ini kepada darah diraja.
Dahari Bahaman....
            “Itu catatan nenek moyang saya.”
            Kata Darul yang kini berdiri di belakangku. Tidak. Aku pasti ini bukanlah Dahari, kekasih hatiku. Dia tidak mungkin meninggalkan aku tanpa pesan. Aku yakin dia sudah lama mati dibunuh oleh orang-orang Sultan Melaka.
            “Dahari..”
            Aku berpaling melihat wajah Ayah Darul. Berharap agar dia menjelaskan semuanya. Wajah tua itu kelihatan muram. Kelihatan dia mengeluh sebentar sebelum berjalan mendekati lukisan besar di sebelah almari replika buku itu. Lukisan besar itu diturunkan dengan pertolongan Darul. Kelihatan sebuah peti besi yang terlekat di dinding. Ayah Darul memusing-musingkan tombol peti besi itu dan kemudian membuka peti itu. Kelihatan satu buku lama yang dibungkus dengan plastik.
            “Catatan ini telah diturunkan secara turun-temurun. Banyak catatan yang sudah hilang sewaktu merentas zaman. Dahari Bahaman. Seorang hulubalang yang ingin menyunting bunga di taman larangan istana.”
            Aku mengambil tempat duduk dihadapan ayah Darul, manakala Darul setia berada di sebelahku. Dia hanya mendiamkan diri walaupun terlukis diwajahnya perasaan hairan bila aku kelihatan begitu minat dengan cerita nenek moyangnya.
            “Puteri Gunung Ledang yang menggunakan bahasa yang sangat halus untuk menolak peminangan Sultan Melaka, begitulah juga yang dilakukan Sultan kepada si jejaka. Tapi syarat yang diberikan kepada Dahari lebih kepada kebongkakkannya sebagai seorang raja. Setahun sebelum peminangan Puteri Gunung Ledang berlaku, kerajaan  Melaka sudah mereka satu syarat yang sukar untuk ditunaikan. Tiada catatan mengenai enam syarat yang lain. Mungkin sudah hilang ditelan zaman. Cuma catatan di muka surat ini sahaja yang menyebut mengenai 7 syarat mustahil untuk memiliki bunga di taman larangan.”
            Dia menyerahkan buku yang hampir reput itu kepada aku. Setiap patah di dalam tulisannya aku baca sekali lagi. Aku terlalu naif. Semua perkara yang berlaku diluar pengetahuanku. Sementara aku terus meratapi kematian dirinya dan menyerahkan harga sebuah kehidupan untuk mencari pengganti dirinya. Dia pula sudah menjalani hidup yang aku impikan. Berkahwin dan berkeluarga.
            “Kalau bukan pengecut, nama apa lagi yang patut kita panggil untuk menunjukkan betapa bodohnya lelaki ini? Lari tanpa khabar berita.”
            Aku menolak semula buku kepada Ayah Darul dan cepat mengambil beg galasku.
            “Kenapa tidak kamu baca dulu halaman yang seterusnya. Kita tidak boleh mengadili tanpa mendengar cerita yang sebenar.”
            Dia menarik tanganku dan meletakkan buku di atas tangan yang ditarik perlahan tadi.
            “Bacalah. Fahami. Perselisihan faham ini sudah terlalu lama. Biarlah kita rungkaikan semuanya. Dan datanglah semua ke sini lagi kalau ada masa. Banyak lagi yang belum terungkai.”
            Aku melarikan pandangan apabila Darul berkali-kali cuba meminta penjelasan dariku. Akhirnya dia mendiamkan diri. Aku memandang ke arahnya yang sedang memandu kereta. Bagai melihat sekeping gambar. Kita dapat melihat. Tapi sebenarnya kosong. Banyak kata-kata yang mahu aku sampaikan kepada dia. Banyak persoalan yang tersimpan yang tidak mungkin dapat aku ajukan kepada Darul.  Kerana Darul dan Dahari bukanlah orang yang sama walaupun pun wajah mereka begitu seiras. 
Klik Untuk Bab Seterusnya 👉Bab 7👈  👉 Bab 9👈

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37