Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Thursday, January 28, 2021

Cinta yang akan Selalu Aku Rindu 11

 

Pergi...

Perginya dia membawa meninggalkan satu kerinduan yang tidak terhingga, ingin mengejar tapi kaki bagai terbenam ke dalam pasir jerlus. Semakin melawan, semakin dalam diri tertimbus - Andi

Andi tersenyum melihat gambar-gambar lama yang dikeluarkan dari stor. Album yang menyimpan seribu satu kisah remajanya. Di situ, Nadya selalu ada untuk dia dan dia ada untuk Nadya. Andi mengeluh perlahan. Di mana mulanya, semua berubah tiga ratus enam puluh darjah. 

“Andi tengok apa?” Ibu Suri datang mendekati anaknya yang sejak dari menghabiskan masa di dalam stor.

Andi tersentak sedikit dan kemudian dia tersenyum nipis bila ibunya tiba-tiba muncul dibelakangnya.

“Andi cuma tengok-tengok je” katanya sambil menutup album gambar dan masukkan ke dalam kotak.

“Ibu,” panggil Andi bila ibunya mahu melangkah pergi, “Nadya dengan Andi, apa sebenarnya yang berlaku?”

Ibu Suri mengeluh perlahan.

“Kenapa Andi tak tanya Nadya?” tanya Ibu Suri kemudian dia tersenyum nipis bila melihat Andi menundukkan merenung lantai.

“Nadya, macam buku yang mempunyai kulit buku yang sama tapi isi buku yang berbeza” jawab Andi sambil mengeluh.

Ibu Suri mengelengkan kepala.

“Salah tu”

Andi memandang Ibunya.

Ibu Suri tersenyum dan melabuhkan punggung di sebelah Andi. Album gambar yang disembunyikan oleh Andi tadi. Gambar-gambar lama ketika Andi masih bersekolah ditatap lama.

“Andi baca buku yang masih ditulis dan bukan buku cerita yang sudah ada penamat” Ibu Suri memandang ke arah Andi, “Nadya, masih buku yang sama, jalan cerita Nadya masih ditulis dan Andi hanya sempat baca ceritanya di permukaan”

~~~~

“Hey Nad!” Andi berlari-lari mengejar langkah Nadya.

Nadya memandang sekilas ke arah Andi yang masih mengejar dari belakang. Dia sempat menjeling tajam ke arah Andi sebelum cuba melajukan langkah. Namun usahanya hanya sia-sia apabila Andi sudah ada di hadapannya tanpa mengeluarkan peluh langsung.

“Kaki pendek, ada hati nak tinggalkan aku” sindir Andi dengan nada bersahaja.

Nadya menghentikan langkah dan kemudian berpaling ke belakang dan meneruskan perjalanan menuju ke arah bertentangan.

Andi mengerut dahi apabila menyedari Nadya tiada di sisinya. Dia berpaling ke belakang dan kemudian mengejar langkah Nadya.

Okay-okay”

Nadya menghentikan langkahnya. Dia berusaha menyembunyikan senyuman yang perlahan-lahan terukir di wajahnya.

Okay?”

Andi mengeluh panjang.

Okay,” Andi memandang sekeliling mereka. Memandangkan pasar pagi dibuka setiap hari ahad, keadaan sekeliling agak sesak. Bunyi motosikal dan kereta berselang seli melalui jalan besar di pekan tersebut.

“Aku jadi model kau” kata Andi dengan perlahan.

Nadya tersenyum lebar. Beg yang penuh dengan kelengkapan melukis diserahkan kepada Andi sebelum dia menarik tangan Andi menuju ke tasik buatan tidak jauh dari kawasan Pasar pagi.

“Kau duduk sini” Nadya menolak bahu Andi supaya lelaki itu duduk membelakangkan pemandangan Tasik. Kelihatan beberapa swan boat di atas tasik.

Andi mengaru belakang lehernya. Kelihatan beberapa orang sedang berjogging memandang ke arahnya yang disuruh berposing oleh Nadya.

“Andi, jangan gerak” Nadya memberi amaran sambil mengecilkan matanya.

Andi berdehem perlahan sebelum kembali ke posisi yang ditetapkan oleh Nadya.

“Lama lagi ke?” Peluh mula membasahi wajah Andi setelah hampir lima belas minit dia mengeraskan badannya untuk dilukis oleh Nadya. Andi menurunkan tangan apabila melihat Nadya leka memandang kertas lukisan. Dia menelengkan kepala untuk melihat wajah Nadya di sebalik buku lukisan Nadya. Andi ikut tersenyum apabila Nadya tersenyum. Andi melakukan regangan badan sebelum berpindah duduk di sebelah Nadya.  Senyumannya mengecut bila melihat kertas lukisan Nadya.

“Nadya!” Mata Andi menjengkil apabila melihat lukisan yang sedang disiapkan oleh Nadya.

Bahu Nadya terjongket sedikit dan matanya membulat bila sedar Andi sudah ada disebelahnya. Tanpa sebarang kata, dia lari bersama kertas lukis. Gelaknya pecah bila Andi gagal membaling kasut ke arahnya.

“Aku penat-penat posing!” Andi sempat mengambil kasut yang dibalingnya tadi sebelum mengejar Nadya.

“Pemandangan belakang tu lebih menarik dari kau” jerit Nadya dari jauh.

“Kau tunggu kat situ! Jangan lari”

“Dah petang, aku balik dulu” Nadya menjelir lidah sebelum berlari jauh dari Andi.

Andi mengeluh panjang sebelum kembali mengemaskan barang-barang Nadya yang tertinggal.

“Nah” Nadya memberikan sekeping kertas kecil yang mempunyai lakaran wajah Andi yang dilakar secara ringkas, “simpan tau. Lagi tujuh tahun, lukisan ni akan jadi mahal sebab ada tandatangan aku”

Andi menggelengkan kepala sambil mengeluh panjang. Namun kertas kecil itu tetap dilipat dan diselitkan ke dalam dompetnya. Dia memandang Nadya dan kemudian tangannya menggosok kepala Nadya dan sekali gus mengusutkan rambut milik gadis itu.

“Andi!” Nadya mahu membalas Andi dengan mencuba untuk mengusutkan rambut lelaki itu. Nadya menjengketkan kaki disebabkan tangannya tidak dapat mencapai ke kepala Andi.

Andi terus menjengketkan kaki bila Nadya cuba mencapai rambutnya.

“Pendek” kata Andi sambil menggosokkan kepala Nadya.

Nadya mendengus kuat. Nadya meniup kuat rambut yang berada di wajahnya dengan laju dia memanjat kerusi yang tersedia di pondok perhentian bas dan kemudian berpaut di leher Andi.

“Auch… Nad! Nad!”

Andi mengeluh perlahan sambil meniup rambut yang berada di hadapan wajahnya. Dia memandang riak wajah puas hati yang terukir di muka Nadya.

“Nad, you’re one of a kind” Andi mengeluh panjang.

Nadya tersenyum lebar bila melihat wajah kepenatan milik Andi.

~~~~

Andi berhenti melangkah biar dia terlihat susuk tubuh yang sangat dikenalinya sedang duduk di kerusi panjang bersama buku lukisan kecil. Andi memandang kertas lukisan yang mempunyai lakaran Swan Boat di tengah tasik.

“Lukisan kau masih tak berubah dari dulu”

Nadya berhenti melukis dan kemudian memandang ke arah pemilik suara. Dia tersenyum kecil.

“Cantik atau tidak?” Nadya beralih sedikit ke kiri untuk memberi ruang kepada Andi.

Andi menarik nafas dan memandang ke arah lukisan Nadya.

“Tak baik menipu” kata Nadya sebelum Andi sempat menjawab.

Andi tergelak kecil.

“Berapa aku dapat kalau aku jual ni?”

Nadya tersenyum nipis dan kemudian menjongket bahu.

“Rm10? Atau RM5?” jawab Nadya sebelum memandang ke arah Andi, “aku dah lama tak melukis, takde masa” tambah Nadya sambil meneruskan lakarannya.

“Kau kata lukisan kau mahal kalau aku jual”

Nadya tergelak kecil.

“Itu imaginasi budak baru nak up. Tak berpijak di atas tanah”

Andi memuncungkan bibir bila mendengar jawapan Nadya. Dia menggeleng dengan laju.

“Tak, aku rasa budak tu ada misi yang jelas”

Nadya mendengus kecil.

“Kau sokong dia sebab kau…” sayang dia. Nadya mengetap bibirnya dan kemudian berdehem perlahan “budak tu mahu terbang terlalu tinggi, sampai lupa taufan selalu ada”

“Kau yang takut. Angin bertiup perlahan, matahari masih terik dan langit berwarna biru. Tapi kau dah buka payung”

Nadya tergelak kecil.

“Seronok jadi kau” kata Nadya perlahan sebelum memandang ke arah Andi. Mereka berpandangan seketika sebelum Nadya mengalihkan pandangannya.

“Andi, aku pun rindu. Bukan kau je” Nadya tersenyum nipis, “tapi hidup ni kena terus ke depan”

“Nadya, gear reverse pada kereta ada kepentingan dan kegunaannya”.

Nadya tersenyum geli hati. Dia kalah. Kali ini dia kalah dengan Andi.

Klik sini untuk bab lalu atau seterusnya 👉 CYASAR 10 | CYASAR 12

Sunday, January 17, 2021

Cinta yang akan selalu aku rindu 10

 

Dia

Bagaikan perahu di atas lautan, terumbang-ambing melawan arus. Kadang ke kiri, kadang ke kanan. Tanpa pelaut yang mahir, maka karamlah ia - Nadya.

"Saya dah penat!" 

Suara dari arah dapur kedengaran ketika Nadya sedang memakai kasut di hadapan pintu rumah. Tangannya menggeletar sehingga kepayahan untuk mengikat tali kasut. 

"Perlahankan suara awak. Kalau Dya dengar, macam mana?" 

Walaupun suara itu berbisik, telinga tajam Dya masih dapat mengangkap perbalahan itu. 

"Macam mana dengan perasaan saya? Saya penat hidup macam ni.. hidup dengan awak" 

Ini bukannya kali pertama.. dan bukan juga yang kedua. Nadya menarik nafas panjang. Kasut yang masih gagal diikat dibuka semula dan dibuang untuk melepaskan rasa hati. 

"...dan Dya? awak nak letak dia kat mana? Eh, awak tu mak dia tau" 

Kasut sekolah yang dibuang tadi tiba-tiba di letakkan di hadapan Nadya yang sedang menunduk memandang lantai. 

Perlahan-lahan Nadya mendongakkan kepala. Kaki kanannya ditarik perlahan dan kemudian kasut tadi disarungkan ke kakinya. 

"Oh, sebab saya Mak dia. Saya yang kena jaga dia? dan awak? senang lenang dengan hidup awak?" 

"Siapa yang nak bersenang-lenang ni? Saya ke awak? tak boleh kena tegur.. setiap minggu outstation, pulang tengah malam.."

Nadya menundukkan kepala. Malu bila ada telinga lain yang mendengar perbalahan itu. Tali kasutnya diikatkan dengan kemas tanpa ada tanda-tanda yang putera kacak yang menyarungkan kasut sekolah jenama JAZZ Pallas di kakinya terganggu dengan perbualan di dapur.

"Eh! Saya kerja tau.. bukan suka-suka balik lewat. Jalan sana sini. Saya kerja!" 

Nadya dan Andi berpandangan selepas Andi mengetatkan ikatan tali kasut milik Nadya. 

"Jom" Andi menghulurkan tangan kepada Nadya. 

Nadya menyambut huluran tangan Andi dan suara perbualan di dapur semakin sunyi apabila mereka melepasi pagar rumah. 

"Nad.. itu awan" Andi mendongak ke atas langit ketika dalam perjalanan mereka ke arah perhentian bas. 

Nadya tersenyum nipis dan memandang seketika ke arah langit. Dia menarik nafas panjang. 

"Nad, itu pokok" kata Andi lagi apabila mereka hampir sampai di perhentian bas.

Senyuman Nadya lebar sedikit. 

"Nad, ini batu" Andi menendang perlahan kelikir ke arah kasut Nadya. 

Nadya dan Andi berdiri beberapa langkah dari perhentian bas. Beberapa pelajar yang menunggu bas memandang ke arah Andi dengan kerutan di dahi namun tiada sesiapa memberi tumpuan sepenuhnya dengan tingkah Andi. 

"Nad, itu Sofian. Playboy kampung pisang. Tengok je.. jangan dekat" 

Pelajar yang memakai walkman dan baju yang tidak di masukkan dengan kemas ke dalam seluar dan rambut depan yang disisir menutup mata sebelah kanan menjadi mangsa Andi seterusnya. 

Nadya mengetap bibir dengan kuat. Menahan gelak. 

Mujur pelajar yang dimaksudkan oleh Andi tidak dengar namanya disebut. 

"Nad... ini aku" Andi memegang tangan Nadya dan melihat tepat ke mata Nadya sambil membelai lembut tangan gadis itu. 

"Aku yang akan selalu dengan kau" tambah Andi sambil tersenyum.

Senyuman Nadya semakin melebar. 

"Bila kau sedih, atau suara di dalam kepala kau terlalu kuat sampai kau tak boleh fikir apa-apa. dan waktu tu aku tak ada dengan kau.. Kau ambil masa, tengok sekeliling. Tenangkan diri, tengok bawah.. kau masih berpijak di tanah. Ketepikan semua benda yang kau tak boleh kawal. Fokus kepada diri kau" 

Bas berhenti dan beberapa pelajar mula berebut untuk naik ke dalam bas sementara Nadya dan Andi masih berdiri di tempat yang sama. 

"Tarik nafas panjang-panjang. Jangan biarkan orang lain merosakkan hari kau" 

"Hoi! naiklah cepat" 

Hon bas berbunyi. 

Andi tergelak sebelum menarik tangan Nadya.

~~~~~~~~~~~

Nadya menarik nafas panjang. Dia masih belum keluar dari kereta biarpun kereta sudah di letakkan di garaj. Usai menghantar Andi pulang ke rumah, Nadya terus memandu pulang dengan seribu satu macam perkara di dalam kepalanya. 

"Nad...itu awan" 

Stereng kereta, bisik hati Nadya. 

Kasut, beg, cermin, botol air , Nadya memandang botol air milik Ashraf yang tertinggal di kerusi belakang melalui cermin depan. 

Tangannya memegang stereng kereta. 

Tarik nafas... 

"Aku penat Nad.. Aku sangat penat"

Tiba-tiba, suara itu hadir di dalam memorinya. 

Nadya menarik nafas panjang. Terasa sesak di dalam kereta. Dia cuba membuka pintu kereta yang masih berkunci dengan tangan yang menggeletar. Nadya mula tercungap-cungap. Dia kelam kabut membuka kunci kereta dan cepat-cepat menolak pintu kereta. Sekali lagi Nadya menarik nafas panjang. 

"Tolonglah faham Nad.. aku penat" 

 Nadya terduduk di atas lantai garaj dan mula teresak-esak. 

Klik Sini CYASAR 9 | CYASAR 11


Friday, January 8, 2021

Cinta yang Akan Selalu Aku Rindu 9

 

yang Hilang 2...

Cinta remaja itu sangat rapuh.. Ditiup angin pun boleh terhayun, apalagi bila dibadai gelora- Nadya

"Nadya tahu Andi ada di mana? Andi ada dengan Nadya tak?" tanya Ibu Suri selepas memberi salam. Nadya hairan bila mendengar soalan Ibu Suri. Jam di dinding sudah menunjukkan jam 9 malam. 

"Andi takde dengan Nadya sekarang bu.. kenapa ya?" tanya Nadya sambil memerhatikan anak kembarnya yang sedang bermain mainan yang baru dibelikan oleh Ashraf. Sekejap lagi waktu tidur mereka, Nadya memandang jam sekali lagi untuk memastikan dia tidak lupa untuk menyuruh si kembar bersiap untuk tidur. 

"Andi keluar rumah dari pagi tadi. Sampai sekarang tak balik-balik lagi" Kedengaran suara risau Ibu Suri di hujung talian, "tengah hari tadi dia ada telefon" kata Ibu Suri dan kemudian jeda. 

Nadya mengerut dahi. 

"Andi tanya pasal Alfi, budak yang..." 

Nadya menggigit bibir. Setelah meyakinkan Ibu Suri yang dia akan cuba menghubungi Andi, Ibu Suri mulai tenang dan menamatkan talian selepas memberi salam. 

Ibu minta maaf kalau menyusahkan Nad..

 Ibu tak tahu di mana nak cari Andi.

-Ibu Suri, 0915

"Boleh kita cakap sekejap?" tanya Alfi suatu ketika dulu sewaktu Nadya sedang cuba menyiapkan lukisan. 

Peperiksaan SPM akan bersambung 22 November untuk memberi ruang kepada perayaan Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri. Hanya beberapa pelajar sahaja yang hadir ke sekolah untuk menyiapkan kerja-kerja kokurikulum jika ada yang mahu markah tambahan untuk mendapat tempat di universiti ternama.Beberapa pertandingan kemahiran masih lagi berlangsung. Nadya meletakkan berus cat dan mengubah kerusi menghadap Alfi. 

"Kenapa Alfi? Jarang dapat bercakap dengan kau di kawasan sekolah selain di tepi gelanggang" Nadya dan Andi berkenalan dengan Alfi ketika melangkah masuk ke sekolah menengah. Alfi mempunyai dua orang kawan rapat ketika mereka mula berkenalan. Satu sekolah bercerita mengenai kisah percintaan tiga segi antara Alfi, Ressa dan Farhan. Namun sehingga kini ketiga-tiga Trio sekolah itu masih berkawan baik. 

"Apa pandangan kau tentang Andi?" tanya Alfi. 

Nadya mengerut dahi. 

"Dia.. agak gila.." jawab Nadya dengan dahi yang masih berkerut. Tapi menyenangkan hati. Tambah Nadya di dalam hati. 

Alfi tersenyum nipis. 

"Bagi peluang dengan budak gila tu" kata Alfi sambil tersenyum. 

Nadya semakin bingung. Kemudian sesuatu andaian hadir dibenaknya. 

"Andi ada buat salah apa-apa ke dengan aku sampai dia hantar kau untuk slow talk dengan aku? Dia hancurkan hati anak dara orang lagi ke dan guna nama aku sebagai alasan untuk putus?" Nadya mengetap bibir. Paint plate yang masih dipegang Nadya sejak tadi kini dihempas ke atas meja di sebelah kirinya. 

Alfi tergelak kecil. 

"Tak. Dia dah tak buat macam tu lagi. Kali ni aku yakin dia dah betul-betul bertaubat" jelas Alfi, "dia dah ajak kau pergi tengok funfair  yang baru buka di hujung Pekan tu ke?" tanya Alfi. 

"Ya.. dia ajak pergi malam ni. Kenapa? dia dah plan nak kenakan aku kan? Baik kau cakap betul-betul. Bulan puasa ni" Nadya mengecilkan mata sambil menunding jari telunjuk ke arah Alfi sebagai tanda amaran. 

Alfi tersenyum kemudian menggelengkan kepala. 

Nadya perasan, ada yang lain pada Alfi. Lelaki itu tersenyum, namun mata lelaki itu bagaikan tiada sinar. Di gelanggang pula, Alfi lebih banyak termenung dan jarang turut serta untuk bermain. 

"Dia lelaki yang baik" kata Alfi, "Dia memang gila-gila.. tapi mungkin bila dia dah serius mahukan seseorang, aku yakin dia akan jaga orang tu sebaik yang mungkin" tambah Alfi. 

"Bagi peluang dengan budak gila tu" Alfi berdiri dari kerusi dan mula menyandar beg sandang. 

Nadya mengeluh perlahan. 

"Dia mestilah buka mulut dulu kalau nak aku bagi peluang pun" bebel Nadya perlahan.

"Are you okay?"  tanya Nadya bila kelihatan jelas raut kemurungan di wajah Alfi. Takkan stress sebab SPM. Alfi berkawan dengan salah seorang budak yang terpandai di sekolah ini. Mestilah Alfi dengan senang dapat nota-nota berharga dari Ressa. 

"Ya. Aku okay" jawab Alfi dengan cepat, "aku kuncikan pintu ya. Bahaya kau sorang-sorang dalam bengkel ni" kata Alfi sebelum menekan punat kunci dan kemudian menarik pintu dengan perlahan dari luar. Bersendirian di dalam bengkel membuatkan Nadya teringat berita yang hangat yang sedang berlaku di Pekan itu. Kehilangan seorang pekerja dari satu-satunya kilang di Pekan yang masih belum dijumpai. Meremang bulu romanya, akhirnya Nadya terus mengemas barang-barang untuk balik. Namun tetap dia tertanya-tanya dengan kepelikan tingkah Alfi. 

"Kau dah cuci gambar tu kan? Al.." 

Langkah Nadya terhenti bila mendengar suara di hujung koridor. Kelihatan Alfi berdiri di hadapan tangga dan sedang bercakap dengan seseorang. Satu tangan menggenggam lengan baju Alfi. 

"Al please... kita lupakan pasal gambar tu" rayu suara seorang perempuan. 

"Kau rasa itu yang terbaik?" Alfi mula bersuara. 

"Ya" jawab perempuan itu dengan cepat. 

Nadya tidak mahu dituduh mencuri dengar perbualan Alfi dengan perempuan itu, lantas dia berpusing semula ke belakang dan turun melalui tangga sebelah kiri bangunan sekolah itu. 

~~~~~~~~~~~~~~

Nadya memberhentikan kereta di tepi jalan. Tidak sangka, selama bertahun-tahun jalan cepat untuk ke gelanggang sekolah masih ada cuma agak semak dan pagar juga hampir roboh. Agaknya pengurusan sekolah sudah tidak mengendahkan kawasan itu memandangkan mereka sudah membuka bangunan baru. Nadya memandang sekeliling, takut kalau ada pengawal sekolah menghalangnya dari masuk ke kawasan sekolah pada malam hari. 

Kedengaran bunyi lantunan bola dari luar gelanggang. Dia yakin yang itu Andi. Sebenarnya susah untuk dia berhadapan dengan Andi. Kerana itulah dia jarang pulang. Dia selalu mengelak dari Ibu Suri dan juga Andi selepas dia pindah keluar dari Pekan itu. Berjumpa dengan Andi yang sudah dewasa sudah rasa susah. Apatah lagi mahu berjumpa Andi yang memori terhenti pada saat mereka masih bersekolah. Dia mengambil bola yang berguling ke arah kakinya. Andi sedang mendongak memandang syiling.

"Itu kali terakhir aku bercakap dengan Alfi" kata Nadya menceritakan kejadian beberapa tahun lalu selepas Andi bertenang. Selepas cuti dan SPM bermula kembali, dia ada terlihat Alfi beberapa kali. Masih sentiasa bersama Ressa dan Farhan. Trio itu masih tidak dapat berpisah. Ada berita berlegar disekeliling sekolah. Ressa sudah mendapat tawaran untuk menuntut pengajian di luar negara. Andaian Nadya pada saat itu, mungkin kerana itu Alfi bersedih. 

"Semua orang cari dia di seluruh Pekan tapi sampai sekarang masih tiada berita pasal Alfi. Keluarga Alfi tidak mahu terima yang Alfi dah tiada" jelas Nadya menceritakan kembali kejadian yang menjadi penutup kisah mereka di sekolah menengah. 

"Dua minggu lepas tu, kedua-dua ibu bapa Ressa pula meninggal" tambah Nadya lagi, "Ressa tak pernah pergi jauh dari Pekan ni. Dia sambung pelajaran di Bandar dan kemudian kembali semula di Pekan ni"

"Dua bulan kau masih mencari Alfi, kau sentiasa cakap yang mungkin Alfi dah keluar dari Pekan yang membosankan ni dan dia baik-baik je. Tapi setiap hari, kau takkan keluar rumah tanpa poster Alfi. Kau akan keliling Pekan dan juga Bandar untuk edarkan poster dia" Nadya memandang Andi. 

"Kau kawan yang baik Andi" kata Nadya perlahan. 

"... dan kau?" tanya Andi. Terasa ada yang lain bila Nadya bercerita tanpa memandang ke arahnya. Bagai ada sesuatu yang masih Nadya sembunyikan. 

"Dah jam 11" Nadya memandang ke arah Andi, mereka bertentang mata untuk beberapa saat sebelum Nadya melarikan pandangan, "aku hantar kau balik. Ibu mesti dah tunggu lama" kata Nadya sebelum berdiri. 

"Kau di mana waktu tu Nad?" tanya Andi bila Nadya sudah berjalan ke depan. 

Langkah Nadya terhenti. 

"Ada" jawab Nadya perlahan sebelum meneruskan langkah. 

Klik sini 👉 CYASAR 8 | CYASAR 10


Tuesday, January 5, 2021

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 8

 

...yang Hilang

Dunia terasa begitu asing hanya kerana dia bukan lagi orang pernah aku kenal dulu.. Dia yang hilang ditelan masa - Andi

"Andi!" 

Andi berhenti melantunkan bola ke atas lantai sebelum membaling bola ke arah temannya yang berdiri di tepi gelanggang. Pandangannya dialihkan ke arah Nadya yang baru sahaja melaungkan namanya. 

Nadya melambai ke arah Andi sebelum berlalu mendekati Alfi, salah seorang kawan Andi yang selalu bermain bola keranjang bersama. Sayangnya Alfi tidak mahu menjadi ahli dalam pasukan sekolah mereka. Hanya bermain untuk suka-suka. Nadya berbual dengan Alfi, minat Alfi dan Nadya sama. Seni. Nadya suka melukis manakala Alfi lebih gemar mengambil gambar daripada menghabiskan masa bermain bola keranjang. 

"Tahniah, aku dengar kau menang peraduan gambar untuk hari Malaysia" kata Nadya sebelum duduk di bangku di tepi gelanggang. 

Alfi tersenyum sambil mengelap peluh. 

"Aku dengar kau tengah siapkan lukisan untuk pertandingan bulan 10 ni. Macam mana progress?" tanya Alfi sambil menzipkan beg. 

Riuh seketika gelanggang bila Andi berjaya membuat jaringan. Alfi bertepuk tangan sambil menunjukkan tanda bagus bila Andi memandang ke arahnya. 

"Slow.." jawab Nadya dan mengeluh perlahan, "aku tak macam puteri kebanggaan semua cikgu-cikgu di sekolah kita tu. Dia masuklah seberapa banyak pertandingan, tetap menang" tambah Nadya bagaikan mengadu. Mata Nadya memandang tingkah Andi yang tangkas melantunkan bola dan menangkap jaringan bola yang dihantar oleh rakan sepasukan Andi namun kepalanya melayang memikirkan pertandingan yang semakin mendekat. 

Alfi yang sedang menarik botol air dari tepi beg terus tersenyum bila mendengar luahan Nadya. 

"Ressa tak menang dengan mudah" kata Alfi sambil membuka penutup botol, "dia berlatih tanpa henti.. Di rumah dan di sekolah" tambah Alfi sebelum meneguk air yang masih berbaki sehingga kering air di dalam botol. 

Alfi, jejaka berkulit putih dan bermata sedikit sepet. Lelaki itu juga salah seorang jejaka idaman sekolah. Namun masa dan perhatian Alfi agak terhad, lelaki itu hanya fokus kepada hobi dan seorang gadis, yang bernama Ressa. Budak yang paling berbakat di sekolah. Pernah juga Nadya tanyakan kepada Alfi mengenai gosip perpindahan Ressa yang dijemput untuk belajar di universiti antarabangsa. Alfi hanya tersenyum dan mendiamkan diri. Namun jelas pertanyaan itu menganggu Alfi. 

"Mungkin kau patut ikut macam Ressa. Siapkan lukisan kau, fokus dan jangan pernah layan rasa nak kritik diri kau sebelum kau siapkan satu lukisan" Alfi pandang ke arah Nadya, " dan yang penting, jangan buang masa tunggu mamat tu di sini. Andi bila dah main bola keranjang, terus tak ingat masa" Alfi tersenyum bila Nadya menjeling tajam. 

"Kenapa kau tak main sama?" tanya Nadya bila melihat Alfi sudah berkemas. Walhal peluh setitik pun tidak kelihatan di wajah lelaki itu. 

"Aku ada janji dengan Ressa dan Farhan" jawab Alfi. 

Andi datang mendekat. Peluh membasahi bajunya dan diri mula termengah-mengah. Nadya terus menyerahkan botol air. 

"Thank you" Andi mengambil tempat duduk di sebelah Nadya. 

"Bertiga, tak terlalu crowded ke?" tanya Nadya sambil menjongket kening ke arah Alfi. 

Andi memandang ke arah Nadya dengan mengerut dahi kemudian memandang ke arah Alfi yang sedang mengapai beg sekolah di atas kerusi bersebelahan dengan Andi. 

"Atleast, kalau aku takde.. Farhan ada" kata Alfi perlahan. 

Nadya dan Andi sama-sama mengerut dahi bila melihat wajah Alfi yang tiba-tiba mendung. 

Alfi tersenyum nipis kepada Nadya dan Andi. 

"Aku pergi dulu" kata Alfi sebelum meninggalkan mereka berdua. 

Andi memandang Nadya sebelum menonyoh kepala gadis kesayangannya itu dengan perlahan. 

"Kan aku dah kata, diorang bertiga tu takde apa-apa. Cuma kawan. Tengok, kan dah emo kawan tu" bebel Andi. Kadang-kadang mahu juga dia gam mulut milik Nadya. Mujurlah gadis itu sudah menjadi suri di hatinya walaupun Andi belum menyatakan kepada Nadya. Dia masih lagi mencari masa yang sesuai untuk berterus terang dengan Nadya.  

"Kau saja buat-buat bodohkan sebab kau ada hati dengan Ressa?" Nadya mengecilkan matanya. Macam dia tidak perasan setiap kali mereka bertembung dengan Ressa di kantin, Andi jadi tak tentu arah. Mujur Ressa tidak selalu menunjukkan muka di kantin sekolah atau di kawasan sekitar sekolah. 

"Eh? aku ada hati dengan Ressa?" Andi menunjuk menunding jari ke arah dirinya sendiri, "kau ni kalau cemburu pun cuba cakap terus terang.. Aku sedia mendengar luahan isi hati kau.." usik Andi sambil menjongket-jongket kedua kening bila Nadya memandangnya dengan tajam. 

Andi tergelak bila Nadya menolak muka Andi dengan kedua-dua tangan.

~~~~~~~~~~~~~

Andi tersenyum nipis sebelum melontarkan bola ke tengah gelanggang. Bola melantun beberapa kali sebelum terguling ke tepi gelanggang. Andi mengeluh panjang. Dia belum dapat biasakan diri. Susah untuk dia hadam semuanya. Memori bertahun-tahun hilang begitu sahaja dan yang tinggal hanya memori ketika di sekolah menengah ketika bersama Nadya. Detik yang teristimewa dalam hidupnya. 

Andi menarik nafas panjang. Termenung memandang ke atas syiling gelanggang yang tinggi sebelum telinganya menangkap bunyi lantunan bola yang bergema. Kelihatan seorang wanita yang berdiri dibawah jaring dan cuba melontarkan jaringan. Bola melantun semula bila berlanggar dengan papan jaring. Wanita itu kelihatan hampa sambil memandang bola melantun ke atas lantai gelanggang. 

"Tanggalkan kasut tumit tinggi dan lompat bila melontar. Mesti dapat jaringkan" komen Andi sambil memerhati setiap langkah Nadya yang semakin mendekat. Kelentang kelentung bunyi kasut tumit tinggi datang mendekati Andi. 

"Ibu cari" kata Nadya yang berhenti semeter di hadapan Andi. 

"Aku dah 32 tahun. Takkan ada curfew lagi.." kata Andi sambil menyandarkan badan di kerusi. 

"Andi.. tak kiralah kau dah 50 tahun sekali pun. Seorang ibu tetap akan risaukan anak dia bila anak dia hilang dari rumah dari pagi sampai ke malam tanpa apa-apa pesanan" kata Nadya dengan serius sambil memeluk tubuh. Siaplah kalau si kembar berperangai begitu bila besar nanti. Pasti dibebel si kembar sampai anak-anaknya mendengar cakap. 

"Kau tau.. aku teringat sesuatu" kata Andi dengan keluhan sebelum menegakkan semula duduknya, "lepas kita jumpa di dataran, aku jumpa Alfi" Andi memandang Nadya yang mula melarikan pandangan. 

"Aku terlalu nervous, aku dah rancang nak berterus terang dengan kau tapi aku terlalu takut.. Macam-macam yang bermain di kepala aku.. Macam mana kalau kau tolak aku, apa aku akan buat lepas tu.. Aku luahkan dengan Alfi.. Alfi tepuk bahu aku, dia cuma cakap.. Hey, itu Nadya.. bukan perempuan lain.. Nadya. Dia akan terima kau. Aku yakin. Dia sanggup dengar luahan aku yang panjang lebar. Sanggup luangkan masa berjam-jam untuk yakinkan aku walaupun aku tahu, dia sendiri ada masalah" kata Andi dengan suara yang semakin serak. 

"Bagi semua orang, semua tu dah bertahun berlalu Nad.. Tapi bagi aku, macam benda tu semua macam baru semalam berlalu.." Andi meraup muka dan kemudian teresak-esak. Ada banyak perkara yang dia sepatutnya tidak patut lupa namun dia terlupa, dan ianya tanpa dia sedar menyakiti orang lain. Teringat riak wajah terkejut dan kemudian sedih terlukis pada wajah rakan sekolah mereka dulu ketika dia bertemu dengan Ressa di tengah pekan. Tanpa sengaja, dia menoreh luka lama milik wanita itu. 

Nadya mendekati Andi. Kasut tingginya dibuka sebelum dia duduk di hadapan Andi. Kepala Andi diusap perlahan sementara tangisan Andi semakin kuat. 

"Kau dah buat yang terbaik" kata Nadya perlahan bila Andi merehatkan kepala ke bahu Nadya. Kenangan, kadang kala adalah sesuatu yang menyejukkan hati. Namun kadang-kadang, ianya adalah sesuatu yang menyakitkan.. 

Klik sini CYASAR 7 | CYASAR 9

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37