Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Wednesday, February 28, 2018

...yang Hilang 10

“..Just telefon ke pejabat kalau laporan forensik dah siap. Nanti saya suruh sesiapa ambil laporan tu.. okay.” Dia hanya memakai baju t-shirt yang mempunyai logo PDRM pada hari itu dan baju seragam yang siap digosok disangkutkan pada pada kerusi.
“Pagi..” Dia memandang jiran sebelah mejanya. Mata Rafiq sembab dan meja lelaki itu dipenuhi dengan beberapa bekas minuman tin. Kopi.
Woah..Bila kali terakhir, kau tidur?” Dia tergelak kecil. Rafiq mengeliat dan melakukan senaman ringan.
“Mungkin empat hari yang lalu..” Kata Rafiq sambil menguap besar.
“Kalau kau terus kerja macam tu, aku rasa kita kena sedia garisan kuning keliling meja kau.. in case, you, drop dead.” Dia membulatkan mata dan kemudian tergelak kecil.
“Tak lucu. Aku dah lupa macam mana rupa tilam.” Dari suara sahaja sudah kedengaran yang Rafiq terlalu penat untuk berbalah dengannya.
“Em.. tilam bersegi empat dan…” Dia merenung ke arah Rafiq. Rafiq memandangnya dengan muka tak puas hati.
Thanks for the support, makcik.” Kata Rafiq dengan nada yang agak mendatar.
You’re welcome.” Dia tersenyum lebar.
“Kau nampak bertenaga untuk seseorang yang masih belum selesaikan kes. Makan gaji buta ke?” Rafiq berteleku di meja sambil memandang ke arah skrin komputer.
Choi!,” Dia mengeluarkan buku nota dari beg, “Aku makan gaji buta setiap bulan pun takkan dapat beli motosikal besar macam kau..” Dia menjongket kening beberapa kali apabila Rafiq mengerling ke arahnya.
“Tulah, kau tak pandai nak cari ‘lobang’.. kalau tak, kau dah hampir jadi billionaire dah.” Rafiq mengeluh perlahan dan menggunakan tenaganya yang hampir ke penghujung untuk menggerakkan tetikus komputer dengan perlahan.
Well, lepas ni aku boleh belajar dengan kau cara-cara korek ‘lobang’.” Jawabnya sambil menyusun semula nota-nota dari buku kecil ke komputer.
Seriously, apa dah jadi dengan kes kau tu?” Rafiq akhirnya membaringkan kepala di atas meja.
“Aku baru je balik dari pusat akuatik.”
Rafiq mengerutkan dahi.
“Wei, Mak cik. Aku tanya mengenai kes yang kau tengah siasat sekarang. Bukan cerita pasal kau makan gaji buta di pusat akuatik.”
Dia tergelak kecil.
“Aku pergi sana sebab kes itulah. Mangsa kes aku meninggal disebabkan Pulmonary Edema berpunca dari secondary drowning. Mangsa hampir lemas di pusat akuatik. Saksi beritahu yang mangsa diserang di sana,” dia berhenti menaip, “tapi pihak forensik tak ada jumpa bukti-bukti baru kecuali sejambak bunga ros kering yang tersadai di bawah kerusi. Siasatan aku tak dapat pergi mana-mana dengan bunga ros.” Dia mengeluh di hadapan komputer.
“Bulan ni ada hari valentine ke?” Rafiq kelihatan seperti berfikir panjang. Dia hanya mampu menggeleng dan mengeluh panjang bila mendengar soalan Rafiq yang lebih kepada monolog sendirian.
“Malang siapa dapat kau ni.” Dia berdiri dan mengambil baju seragamnya.
“Kau nak pergi mana?” Rafiq mengangkat kepala.
“Pergi mana lagi.. tukar uniform la. Nanti tiba-tiba pakcik tua tu datang untuk spotcheck pula. Dia bukan boleh nampak aku buat salah sikit.”
Dia mengemaskan baju seragamnya dan kemudian menolak pintu tandas namun pintu tandas tersekat dan tidak boleh ditarik. Peluh dingin mula merintik di dahinya.
“Janji dengan aku..,” Dia yang sedang teresak-esak mendongakkan kepala, namun wajah lelaki itu tidak kelihatan. Kelam. “Kau jangan keluar dari sini walau apapun yang berlaku.. walau apa pun yang kau dengar.. Faham.” Ada ketegasan dalam suara yang bergetar itu.
“Jangan keluar.. sampai aku buka pintu ni..” dia duduk memeluk kaki dengan rapat. Sesekali dia menganggukkan kepala bila lelaki itu memberi amaran sekali lagi.
Dia cuba memegang dinding atau apa-apa yang berdekatan dengannya apabila pandangannya mula kelam untuk beberapa saat. Nafasnya menjadi laju begitu juga degupan jantungnya. Dia hampir mengetuk pintu tandas untuk meminta tolong namun tangannya berhenti apabila sampai beberapa inci dari daun pintu.
“Jangan buat apa-apa bunyi, nanti diorang tahu kau ada di dalam,” suara itu berbisik lagi.
Dia menggenggam tangannya dan menyandarkan badan ke dinding. Nafasnya terasa sesak. Tangannya mencengkam dadanya. Mukanya mula basah dengan peluh. Dia mendongakkan kepala apabila terdengar sayup-sayup lagu dari luar pintu tandas. Dia memejamkan mata sambil jarinya mengetuk daun pintu dengan perlahan seperti sedang bermain piano mengikut alunan lagu yang sedang berkumandang.
-C B A, A B,B D C A,E EE EE, G# BC, A B,B D C A, E EE EE- Rentak jarinya mengetuk di daun pintu. Pernafasannya mulai stabil. Dia cuba menolak daun pintu sekali lagi namun apabila tangannya mahu sampai ke tombol pintu, pintu sudah ditarik dari luar.
Pintu almari tempatnya berkurung terbuka luas. Dia mendongak melihat siapakah gerangan yang membukakan pintu..
“Rafiq!” Jeritnya dengan muka lega.
“Farhan!” dia menangis dan memeluk lelaki itu.
Dia meraup wajah dan menarik nafas panjang.
Rafiq mengerut dahi.
“Pintu tersekat ke? Apasal kau tak jerit?”
Dia menggeleng kepala. Tidak dapat menjawab soalan dari lelaki itu. Dia hampir terduduk ke lantai namun Rafiq cepat memegang lengannya. Dia cuba berdiri tegak dan menarik nafas panjang. Dia perlahan-lahan berjalan ke pejabat dengan menyusur di dinding-dinding kali lima.
Rafiq cuba bercakap sesuatu namun telefon bimbit lelaki itu terlebih dahulu berdering.
“Kesan dos Heparin yang tinggi? Bukan tu racun tikus ke?Dia mendengar Rafiq berbual dalam talian telefon sambil berjalan ke mejanya. “Dah kenapa dia ambil racun tikus.Rafiq seperti bermonolog sendiri biarpun telefon masih menekap di telinga lelaki itu. Rafiq menamatkan panggilan telefon dan kemudian memandang ke arahnya.
“Kau okay ke?” Tanya Rafiq.
Okay.” Jawabnya perlahan sambil menarik sehelai tisu di atas mejanya dengan tangan yang menggeletar.

Wednesday, February 21, 2018

...yang Hilang 9

yang Hilang 9
Dia melakukan senaman ringan untuk melegakan lenguh-lenguh badannya. Meja sebelahnya kosong tanpa penghuni. Ren sedang membuka gambar-gambar bukti dari kes yang telah diselesaikan dari papan kenyataan.
“Pelik..”
Dia menjongket kening sebelah bila Ren memandangnya sambil memegang sekeping gambar.
“Gambar ni takde kaitan dengan kes tempoh hari.” Ren menyerahkan sekeping gambar tadi kepadanya. Gambar sebuah kereta kemalangan yang remuk selepas melanggar penghadang jalan.
“Ah… ni kes bulan mei. Break rosak. Kes ni tak tutup lagi,” Dia berdiri dan memandang sekeliling seperti mencari seseorang, “Max.. kemalangan di Jalan Anggerik bulan mei, kes kau kan?”
Pegawai yang bernama Max mendongak dari tempat duduk dan memandang ke arahnya. Max kemudian berdiri dan mendekati mejanya bila dia melambai-lambaikan gambar tadi.
“Memang aku punya kes. Tapi arwah Farhan.. dia nak kes ni. Tapi rasanya dah selesai. Mungkin gambar ni tertinggal waktu dia simpan barang di bilik bukti.” Max menyerahkan semula gambar tadi kepadanya.
“Aku sendiri tak faham kenapa Farhan suka sangat siasat kes macam ni, ” Max menguap besar, “Ala.. kau cari je kotak kes. Masukkan gambar ni kat dalam kotak. Tak payah nak banyak fikir. Aku dah dua hari tak balik rumah.” Max berlalu dari mejanya sambil menguap lagi.
Dia sekali lagi menatap gambar tadi. Tersenyum bila nampak susuk tubuh Farhan yang sedang memerhatikan keadaan kereta biarpun wajah lelaki itu kurang jelas. Kelihatan sejambak bunga ros terdampar di atas jalan dan ramai orang yang berkumpul di belakang garisan kuning polis.
“Inspektor Ressa.. Encik Masri bin Jamal dari Desir Holding dah sampai.” Dia menganggukkan kepala. Gambar tadi diletakkan di atas meja. Dia membawa buku nota bersama pen.
Lelaki berusia 20an sedang berdiri di tepi kaunter sambil membaca poster-poster yang ditampal di dinding balai polis itu.
“Encik Masri?” Lelaki itu berpaling dan kemudian menganggukkan kepala.
“Tolong ikut saya.” Dia membawa lelaki itu ke dalam bilik soal siasat kerana keadaan di bahagian depan balai riuh rendah dengan kehadiran orang awam yang mempunyai pelbagai urusan.
“Jadi, pada 17 haribulan.. Encik Kamal telah diserang ketika berada di pusat akuatik tapi dia tidak membuat sebarang laporan polis, kenapa ya?” Dia mencoretkan nota ke dalam buku.
Encik Masri mengerut dahi dan kemudian mengeluh.
“Kamal seorang yang sangat..” Encik Masri mengetuk jari di atas meja sebelum menyambung bicara, “saya tak nak bercakap buruk pasal arwah, tapi dia jenis yang sambil lewa, tak fikir panjang. Dia bercerita dengan sangat bangga bila dia dapat lepas dari orang tu dan tak rasa yang dia patut buat laporan polis.”
“Tiada tanda-tanda yang Encik Kamal sakit ke..apa ke sebelum kejadian?” Encik Masri menjongket bahu.
“Dia ada ambil mc selama dua hari kerana selesema, demam.. Pada hari jumaat dan sabtu. Hari ahad memang cuti, dia ajak saya ke pusat akuatik, Kamal suka berenang di sana. Tapi saya tak dapat pergi. Hari isnin dia cerita kepada saya mengenai peristiwa tu dan mengadu sesak nafas. Besoknya saya terima panggilan dari pihak polis,” Encik Masri mengeluh perlahan dan kemudian menggelengkan kepala, “semuanya berlaku dengan cepat. Macam mimpi..” Encik Masri tersenyum nipis.
Pintu bilik siasatan dibuka dari luar, Ren membawa dua gelas minuman dan diletakkan di atas meja.
“Ada tak Encik Kamal cerita apa-apa mengenai orang yang cuba lemaskan dia di pusat Akuatik?” Selepas Ren keluar, dia meletakkan segelas air di hadapan Encik Masri.
“Takde apa-apa yang begitu penting kecuali, orang tu pakai topeng ski, Kamal kata, dia melawan dan tertolak orang tu sehingga melanggar kerusi. Bila Kamal dan terlepas, orang tu berlari dengan kaki yang terjengket-jengket. Oh.. dan lagi..” Encik Masri diam seketika seperti cuba mengingati sesuatu.
“Kamal ada cakap sesuatu yang pelik bila saya suruh dia laporkan pada polis.”
“Apa dia?” Dia menjongket kening bila Encik Masri kelihatan serba salah untuk membuka mulut, “apa saja maklum yang boleh membantu siasatan, saya sudi mendengar.”
“Dia cakap sesuatu mengenai kredibiliti polis….”
Dia mendekatkan badannya dengan meja tanda dia berminat untuk mendengar dengan lebih lanjut.
“Kamal kata dia mungkin tahu siapa yang hantar orang tu dan polis pun di bawah telunjuk mereka..”
“Mereka?” Dia mengerut dahi.
Encik Masri membasahkan bibir dan memandang sekeliling.
“Saya yakin yang saya boleh percayakan Puan.. sebab itu saya beritahu dengan Puan sahaja..” Encik Masri kelihatan berjaga-jaga. Mata lelaki itu meliar ke sekeliling bilik sehingga pandangan lelaki itu berhenti di kamera litar di satu sudut bilik.
“Oh.. kamera tu digunakan ketika soal siasat suspek sahaja.” Katanya sambil menggosok hidung.
Encik Masri mendekatkan badan ke hadapannya dan bercakap dengan nada yang sangat perlahan, malah hampir berbisik.
“Desir Holding.”
Dia menegakkan duduknya dan matanya membesar dan bibirnya tersenyum. Tiada reaksi terkejut. Seperti dia sudah bersedia dengan jawapan yang diberikan oleh Encik Masri. 
“Desir Holding?” sengaja diulang untuk kepastian.
“Ya. Kamal selalu cakap besar yang dia kenal orang atasan Desir Holding dan mereka berhutang dengan Kamal. Saya dapat bekerja di Desir Holding pun atas bantuan Kamal.” Encik Masri masih lagi bercakap dengan nada perlahan sehingga dia terpaksa mendekatkan telinganya dengan lelaki itu supaya dapat mendengar dengan jelas.
“Terima kasih sebab sudi datang ke sini Encik Masri. Maklumat yang awak beri akan banyak membantu saya.” Perjumpaan mereka terpaksa disingkatkan kerana Encik Masri terpaksa kembali bekerja. Dia mengeluarkan telefon bimbit dan menutup aplikasi perakam suara.
Uncle nak saya berhenti siasat? He’s your son… uncle sendiri yang paksa doktor untuk buat bedah siasat.. dan sekarang..” 
Dia menjongket kening bila Rafiq lalu di hadapannya. Rafiq hanya mengangkat tangan untuk menyapa dirinya dan terus berlalu dengan telefon yang masih menekap di telinga. Dia mengerut dahi.
           “Uncle?” bisiknya perlahan.

Wednesday, February 14, 2018

...yang Hilang 8

Dia berjalan ke arah Rafiq selepas meletakkan kereta di bahu jalan.
Rafiq membuka sarung tangan putih dan memasukkan kedua-dua sarung tangan ke dalam poket seluar.  
“Apasal ni? Aku baru terima panggilan dari Ren.” Rafiq berhenti di hadapannya kemudian mereka berdua berjalan ke arah ambulans.
Dia memandang ke arah beberapa orang pegawai kesihatan yang sedang mengangkat satu tubuh yang terbaring di tepi jalan ke atas pengusung.
“Anak Dato Hamid meninggal baru tadi.” Jelasnya dengan ringkas.
Rafiq berhenti melangkah.
Dia mengerutkan dahi namun tidak mengambil berat dengan reaksi dari Rafiq. Dia mendapatkan sepasang sarung tangan putih dari pegawai yang berada di tempat kejadian dan mendekati pengusung yang sedang diangkat ke ambulans.
“Bila?” Rafiq mengikut langkahnya dari belakang.
“Tadi.” Jawabnya sambil menjongket kening sebelah apabila terpaksa mengulangi maklumat yang dikatakan baru sebentar tadi.
Seorang pegawai forensik yang sedang bertugas terlanggar bahu Rafiq sehingga Rafiq menjatuhkan buku nota dan pen yang dipegang oleh lelaki itu.
“Kau baru mula shift, takkan dah mengantuk.” Komennya selepas melihat Rafiq mengambil masa yang lama untuk menangkap pen yang tergolek di atas jalan.
“Jadi, mangsa 20an yang mengalami serangan jantung ketika majlis hari jadi tu Adif?” Rafiq mengerut dahi.
“Um.. ya.” Jawabnya sebelum turut memasuk ke dalam ambulans selepas pihak forensik selesai mengangkat mangsa menggunakan pengusung. Dia mengambil tempat duduk di tepi mangsa yang telah ditutupkan dengan kain putih.
Tolong terangkan mengenai keadaan mangsa.” Dia mengeluarkan buku kecil dari poket seluarnya dan memandang seorang pegawai kesihatan yang duduk di kerusi yang bertentangan dengannya.
“Kami menerima panggilan jam 8.30 malam tadi yang mengatakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20an pengsan di dalam kereta. Mangsa berhenti di lampu trafik, dan apabila lampu trafik bertukar hijau.. tiada tanda-tanda yang mangsa akan mengerakkan kereta. Pasukan kami dipanggil ke sini untuk melihat keadaan mangsa. Tapi mangsa dah meninggal dunia 5 minit sebelum kami sampai ke sini.” Dia menuliskan maklumat yang diberikan oleh pegawai kesihatan itu di atas buku notanya. Rafiq masuk ke dalam ambulans dan duduk di sebelahnya.
“Beberapa orang awam cuba bertindak awal dengan memecahkan cermin kereta dan mengeluarkan mangsa. Menurut beberapa saksi, mangsa sempat memuntahkah sedikit air sebelum.. berhenti memberi sebarang tindak balas.” Kata Rafiq sebelum mengoyakkan beberapa helai buku nota milik lelaki itu dan memberikan helaian yang sudah dikoyak kepadanya.
“Tu nota yang aku kumpulkan untuk kes ni. Nama-nama saksi juga ada dalam tu.” Sambung Rafiq. Dia mengambil beberapa keping kertas yang diberikan oleh Rafiq dan menyelitkan ke dalam buku notanya.
“Andaian awal mengenai punca kematian mangsa?” Tanyanya dan memandang ke arah pegawai kesihatan.
“Lemas.” Jawab pegawai itu dengan nada yang tidak pasti. Dia mengerut dahi.
“Disebabkan kekurangan oksigen dalam kereta? Carbon dioxide?atau…Dia mengerut dahi selepas memandang Rafiq dan pegawai kesihatan itu memandang sesama sendiri.
“Ianya lebih kepada lemas seperti kebiasaannya. Emm..” Kata pegawai kesihatan itu. Dia mengangkat kening sebelah dan kemudian memandang ke arah Rafiq. Rafiq menjongket bahu.
“Kebiasaan.. macam lemas dalam air?” Tekanya dengan dahi yang berkerut.
“Ya.” Jawab pegawai kesihatan itu. Dia mengetap mulut.
“Tapi mangsa lemas ketika memandu kereta?” Bertambah kerutan di dahinya. Dia memandang ke arah Rafiq dan kemudian menjatuhkan pandangan ke arah tubuh yang ditutup menggunakan kain putih.
“Saya nak tengok mangsa sekejap..” Dia meminta bantuan dari pegawai bertugas untuk mengangkat sedikit badan mangsa apabila dia terlihat sedikit kesan lebam di bahu mangsa.
“Kulit mangsa di kawasan ni berwarna biru.. hampir kepada ungu. Ini menunjukkan yang kesan ni dah ada dalam tempoh 24 jam sebelum mangsa pengsan di dalam kereta. Melihat kepada bengkak ni, macam kesan cengkaman..” Dia memandang ke arah Rafiq. Rafiq berdiri dan memandang ke arah bengkak yang dimaksudkan olehnya.
“Walaupun kita pegang bahu orang lain berdasarkan dengan berat badan dan kekuatan seseorang, mustahil jadi macam ni,” dia meletakkan tangannya di atas kesan bengkak di bahu mangsa, “kalau badan mangsa cuma ditarik atau bahu mangsa dicengkam sehingga bengkak, kesan bengkak takkan jadi seperti ni.” Tambahnya lagi.
Rafiq hanya menganggukkan kepala seperti ada sesuatu yang mengganggu konsentrasi lelaki itu.  
“Melainkan kalau,” dia menolak bahu Rafiq supaya lelaki itu memalingkan badan darinya. Dia mencengkam bahu Rafiq, “bahu mangsa dicengkam macam ni, kesan bengkak akan tertumpu dan terhasil dari tekanan jari oleh si pelaku.. tapi, kalau mangsa cuba untuk melepaskan diri, atau menolak bahunya ke belakang-”
Rafiq memberi kerjasama dengan cuba memberi tekanan pada tangannya dengan menolak bahu yang dipegang olehnya ke belakang, terasa tekanan penuh dari tangannya dengan bahu Rafiq.
“Tapi untuk menghasilkan kesan macam ni..” Rafiq tidak dapat meneruskan kata-kata bila dia menolak kepala Rafiq perlahan ke bawah. Rafiq memandang ke lantai dan mengerut dahi.
“Macam situasi seorang tebusan, berdasarkan posisi Tuan.. Mangsa duduk, dan si pelaku menahan mangsa dari bergerak atau berdiri dengan menolak bahu dan kepala ke bawah.” Kata pegawai yang berada di dalam ambulans bersama mereka. Pegawai tadi perlahan-lahan membaringkan mangsa semula.
“Betul. Macam situasi tebusan.. Tengok tangan mangsa,” Dia mencari kesan jerutan tali yang melilit tangan mangsa tapi selepas pegawai yang bersama mereka di dalam ambulans menangkat tangan mangsa, tiada sebarang kesan. “Pelik..” Dia mengerut dahi.
“Kita boleh tengok kalau-kalau mangsa ada buat apa-apa aduan di balai. Situasi macam ni boleh juga berlaku dalam rompakan.” Kata Rafiq.
Dia perlahan-lahan meletakkan semula tangan mangsa setelah meneliti di sekeliling pergelangan tangan mangsa. Dai memandang ke arah Rafiq apabila terdengar lelaki itu mengeluh.
“Kau nampak macam terganggu.” Katanya sebelum turun dari ambulans. Rafiq mengikut langkahnya.
“Aku kena gerak pergi hospital.” Kata Rafiq selepas membantu menutup pintu ambulans.
Okay.” Dia mencatat sesuatu dalam buku nota.
Rafiq bergerak ke arah motor berkuasa tinggi yang juga diletakkan di tepi jalan raya. Lelaki itu mengeluarkan kunci dari poket seluar.
Hey, Rafiq.” Laungnya sambil berjalan mendekati lelaki itu.
Rafiq yang sedang memegang topi keledar memandang ke arahnya.
Dia menggigit bibir.
“Terima kasih..” Mulutnya bergerak seperti mahu menambah sesuatu namun tiada suara yang terkeluar.
“Takz..”
Telefon Rafiq berbunyi.
Dia mengetap bibir bila Rafiq memandang ke arahnya ketika lelaki itu menjawab panggilan.
“Ya, aku dah tahu,” Rafiq menundukkan kepala dan mengeluh, “sekejap lagi aku sampai.” Rafiq memasukkan telefon ke dalam poket seluar selepas menamatkan panggilan.
“Apa dia?” Tanya Rafiq sambil memandang ke arahnya.
“Um?.. Tak ada apa-apa. Just, terima kasih dengan nota-nota yang kau bagi tadi.” Katanya dengan senyuman nipis.
Okay. Aku pergi dulu.” Dia menjongket kening melihat motorsikal berkuasa tinggi milik Rafiq menderu di atas jalan dan menjadi tumpuan petugas-petugas yang berada di situ.

Wednesday, February 7, 2018

yang Hilang 7

“Adif, my man…” Adif mengangkat tangan sambil tersenyum lebar bila disapa kemudian sambung menari bersama teman-teman lain seiring dengan musik yang berdentum sejak tadi.
“Adif, happy birthday!” Jerit seorang lelaki dari hujung sebelah kanan pula. Adif tergelak sambil mengangkatkan tangan kiri. Tangan kanan masih memegang gelas yang berisi air sambil menari. Seorang gadis memeluk pinggang Adif dan Adif mengeratkan lagi pelukan sambil meneguk air minuman. Bermula dari tersedak, Adif mula terbatuk-batuk sambil memegang jantungnya dan tercungap-cungap. Orang sekeliling sibuk menikmati musik yang masih rancak.
Are you okay?” Sayup-sayup kedengaran suara si gadis bertanya. Adif menganggukkan kepala dan cuba berdiri tegak namun tangannya masih memegang dada.
“Arrghhh!” Seorang dari tetamu tiba-tiba menjerit.
Adif memandang ke belakang bila terdengar jeritan dan kemudian menyeringai kesakitan sebelum jatuh terduduk sambil memegang dadanya.
***
“Dato Hamid?”
Dia cepat-cepat menutup laporan forensik yang sedang dibaca olehnya apabila suara Rafiq menyapa dari belakangnya. Dia membesarkan mata dan mengundur sedikit kebelakang bila Rafiq berdiri terlalu rapat dengannya.
“Pasal apa ni?” Rafiq mengambil laporan forensik dari tangannya.
“Eh, itu confidential-la” Terjengket-jengket dia cuba mengambil laporan tadi dari Rafiq apabila Rafiq sengaja mengangkat tinggi laporan itu sambil membaca isi kandungan laporan itu.
“Kau tengah siasat Dato Hamid? Hamid Omar Said?” Rafiq membulatkan mata memandang ke arahnya selepas selesai membaca isi kandung laporan forensik berkaitan dengan cap jari separa yang dijumpai di atas permukaan klip kertas yang dijumpai tempoh hari. Sekali lagi Rafiq melarikan laporan itu darinya apabila dia cuba mengambil laporan tadi.
Dia memandang sekilas meja kerjanya dan mengambil fail yang sempat digapai oleh tangannya.
“Hentikan siasatan.” Rafiq memandang ke arahnya dengan renungan mata yang tajam. Tiada nada jenaka juga pada suara lelaki itu.
“Kenapa? Dia keluarga kau ke?” Dia membesarkan mata. Sengaja melawan renungan lelaki itu.
Rafiq melarikan pandangan, ketika itulah fail yang sedang dipegangnya tadi hinggap ke belakang badan lelaki itu. Dia mengambil laporan forensik tadi ketika Rafiq mengadu sakit selepas dipukul menggunakan fail. Dia mengepit laporan forensik seperti dengan kedua-dua tangannya seperti sedang memeluk tubuh.
“Keluarga Omar Said, bahaya.” Kata Rafiq selepas menarik nafas panjang.
So what?” Dia mendongak memandang ke arah lelaki itu tanpa menampakkan sebarang reaksi terkejut atau takut dengan kenyataan Rafiq tadi.
“Ressa.. aku serius ni, keluarga tu bahaya.” Rafiq memandang ke wajahnya dan kemudian lelaki itu meraup wajah apabila dia tersenyum lebar.
“Aku dah berada di satu fasa di mana aku sudah penat untuk berasa takut.” Katanya tanpa mengelipkan mata.
Rafiq seperti mahu berkata sesuatu sebelum pintu pejabat dibuka dari luar dan seorang pegawai mendekati mereka.
“Ada aduan mengenai satu kejadian di Jalan Teo sekejap tadi.” Kata pegawai itu kepada mereka berdua.
“Biar aku pergi.” Kata Rafiq ketika dia mahu mengambil buku nota di atas meja. Dia memandang Rafiq yang mengambil beg galas yang diletakkan di atas kerusi lelaki itu.
Careful. Keluarga tu, ada semua orang di belakang diorang. Bermain dengan adil tak ada dalam kamus hidup diorang.” Kata Rafiq sebelum keluar dari ruangan pejabat.
“Siapa kata aku nak bermain dengan adil.” Bisiknya sendiri sambil memasukkan laporan forensik tadi ke dalam laci bersama dengan kotak kecil di atas meja yang mempunyai rantai berukir ukiran namanya.
****
Ketika melangkah masuk ke kawasan bilik kecemasan, kedengaran riuh rendah bunyi siren ambulans bercampur dengan tangisan beberapa orang ahli keluarga pesakit. Ren, salah seorang dari anggota yang berada di hadapan bilik kecemasan mendekatinya bersama buku nota kecil di tangan. Dia hanya melihat sekilas ke arah sekumpulan orang awam yang menunggu di hadapan bilik kecemasan.
“Jenazah dah boleh dibawa pulang, tapi keluarga mangsa masih berkeras nak buat bedah siasat.”
Dia mengerut dahi. Dia dalam perjalanan pulang apabila menerima panggilan dari Ren dan juga ACP Helmi yang berkeras mengerahkan dia untuk pergi meninjau keadaan. Walaupun dia telah mengarahkan Ren untuk mengambil keterangan dari keluarga mangsa.
“Doktor ada cakap apa-apa?” Pertanyaannya dijawab dengan gelengan kepala dari Ren.
“Setakat ni, Keluarga mangsa beritahu yang mangsa seorang yang sihat dan tidak mempunyai sejarah penyakit jantung. Laporan doktor juga mengesahkan yang mangsa adalah seorang yang sihat. Selain penyakit migrain, mangsa tidak mempunyai apa-apa penyakit. Kali terakhir mangsa membuat pemeriksaan doktor adalah dua bulan yang lalu. Doktor telah memberikan mangsa perskripsi untuk migrain.”
Seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 50an melintasi mereka. Mata dan hidung lelaki itu masih merah dan berair. Dia mengekori langkah lelaki itu sehingga lelaki itu berhenti di hadapan keluarga mangsa. Seorang wanita, yang berusia juga dalam lingkungan 50an meluru ke arah lelaki itu dan meraung. Lelaki itu menepuk-nepuk perlahan bahu wanita itu.
Dia menggigit bibir bila melihat lelaki itu.
“Siapa nama mangsa?”Dia yang sedang berdiri berdepan dengan keluarga mangsa, menukar posisi dengan membelakangkan keluarga mangsa dan berdiri di sebelah Ren.
Ren mengaru kepala bila mendengar soalannya.
“Adif Said bin Dato Hamid.”
Kedengaran raungan kuat di belakang mereka. Tersungil senyuman di pipinya untuk beberapa saat.
“Dato Hamid?” Dia menarik nafas panjang namun entah kenapa bibirnya terasa seperti sedang tersenyum.
“Telefon Rafiq, suruh dia datang sini” Dia memandang jam tangannya,  “Rafiq masih di jalan Teo kan?” Dia pandang Ren yang sedang mengerut dahi. 
Ren kelam kabut mendail nombor Rafiq bila dia membesarkan mata ke arah Ren dengan muka serius. Dia memandang seketika ke arah keluarga mangsa dan memalingkan wajah bila keluarga mangsa memandang ke arahnya. 

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37