Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Saturday, June 9, 2018

Sumpahan untuk Si Puteri bab 4

   Aku menghantar pemergiannya dengan rasa berat hati. Rombongan peminangan bertolak pada selepas subuh. Tun Mamat menjadi ketua rombongan, ditemani oleh Sang Setia. Aku menanti rombongan peminangan kembali dengan hati yang gundah. Ada sesuatu yang akan terjadi. Kata hatiku berkali-kali. Aku berlegar di ruang kamar. Rombongan peminangan dijangka akan kembali hari ini. Dia akan kembali. Hati ini tidak akan tenang selagi aku tidak melihat dia kembali ke istana dengan berdiri di atas kakinya sendiri.
            “Tuan Puteri..”
            Seorang dayang istana yang berada di hadapan pintu kamar tersenyum memanggil namaku. Aku berjalan mendekatinya.
            “Rombongan peminangan sudah berada di anjung.”
            Aku cuba mengawal kegirangan yang mahu memecahkan jantungku ini. Dia sudah kembali. Aku mesti memakai sesuatu yang cantik. Puteh mesti tahu apa yang patut aku pakai untuk berjumpa dengan dirinya sebentar lagi. Puteh? Mana Puteh?.
            “Puteh di mana?”
            Aku bertanya kepada dayang itu. Dayang mengerut dahi.
            “Hamba kurang tahu Tuan Puteri. Sejak dari kelmarin hamba tidak melihat Puteh.”
            Aku kehairanan. Kerisauan yang memenuhi hatiku selama Dahari tidak ada di istana membuatkan aku terlupa dengan keadaan sekeliling. Sehingga tidak sedar yang dayang yang selalu bersamaku tidak ada di sisi. Di mana Puteh pergi? Aku duduk di hadapan meja dandanan. Cuba memikirkan tempat mana yang mungkin Puteh akan pergi. Setelah puas berfikir, hanya satu tempat sahaja yang terbayang di fikiranku. Perigi.
            “Um.. Tidak mengapa. Kamu boleh pergi sambung kerja kamu. Biar beta cari Puteh.”
             Dayang itu mengangguk kemudian memohon diri untuk keluar dari kamarku. Aku berjalan ke arah pintu lama istana dan kemudian menyusup dari lubang besar yang terdapat berdekatan pintu itu. Satu-satunya jalan masuk untuk ke perigi itu. Aku berjalan dengan penuh berjaga-jaga. Tempat ini masih menakutkan seperti pertama kali aku datang ke sini.
            “Puteh...”
            Panggilku perlahan.
            “Puteh...”
            Panggilku lagi. Tapi kini, seperti ada seseorang yang mengulang panggilanku dengan suara yang cukup menyeramkan. Meremang bulu roma bila mendengar suara itu. Aku cepat-cepat menuju ke arah perigi.
            “Puteh..”
            Aku mencuba lagi.
            “Hahahahaha”
            Kedengaran suara dari hutan yang sedang tertawa kuat selepas aku memanggil nama Puteh. Tanpa berfikir panjang, aku berlari semula ke arah istana. Semakin dekat aku ke istana, semakin kuat suara itu mengetawakan diriku.
            “Raja Melaka, darah berdaulat. Pintalah sesuatu padaku.”
            Sayup-sayup suara itu kedengaran bila aku sampai ke kawasan istana. Aku termegah-megah. Walaupun aku sudah sampai ke kawasan istana, aku tetap terasa seperti diperhati oleh seseorang. Sungguh! Itulah kali terakhir aku akan menjejakkan kaki ke sana. Janjiku pada diri sendiri.
            “Dahari..”
            Baru teringat yang aku mesti berjumpa dengan kekasih hatiku. Mungkin nanti aku akan meminta pertolongannya untuk mencari Puteh. Aku mengemaskan diri sebelum masuk ke balairong seri dan duduk di sebelah salah seorang isteri kepada kanda Sultan, Puteri Onang Kening yang cuba menyembunyikan rasa sakit hatinya terhadap peminangan Puteri Gunung Ledang itu. Aku cuba mencari Dahari dikalangan hulubalang dan pembesar yang memenuhi ruangan balairong seri. Hairan bila aku tidak menjumpai dirinya. Aku tidak memberi tumpuan kepada perbincangan-perbincangan yang berlaku di sekelilingku.
            “Kumpulkan semua celik-celik pandai di Melaka ini, esok pagi kita akan urusankan syarat-syarat peminangan itu.”
            Aku tersedar bila ramai yang beredar dari balairong seri. Aku memulakan pencarianku di pelusuk Istana. Tidak mungkin Dahari terlupa dengan janjinya. Dia janji untuk kembali kepada aku. Aku bertanya ke seluruh ahli rombongan termasuk Sang Setia dan Tun Mamat. Tun Mamat kelihatan serba salah. Aku mula rasa ada sesuatu yang berlaku disebalik peminangan itu. Aku berjalan menuju ke kamar kanda Sultan.
            “Hah.. adinda, kebetulan dinda kemari. Mari bersantap bersama kanda.”
            Aku cuba mengawal amarah melihat Kanda Sultan beriak tidak bersalah.
            “Di mana dia kanda?”
            Kanda Sultan tersenyum.
            “Siapa yang dimaksudkan dengan dia itu dinda? Kanda kurang jelas dengan pertanyaan dinda tadi.”
            Aku duduk mendekati Kanda Sultan. Sultan Melaka itu bersantap dengan berseleranya. Senyuman tidak lekang di wajahnya.
            “Dahari. Hulubalang Dahari. Mana dia kanda?”
            Kataku dengan nada memohon simpati. Kanda Sultan tertawa. Seperti aku baru berkata sesuatu yang lucu.
            “Dinda...dinda.. Sudah banyak kali kanda katakan pada dinda, pipit tidak akan terbang bersama enggang.”
            Aku mengelap air mata yang jatuh. Sekarang aku pasti yang kanda Sultan sudah mengarahkan orang untuk mengapa-ngapakan Dahari.
            “Raja boleh mengahwini sesiapa pun yang dia suka. Tapi seorang puteri terpaksa mengahwini seseorang yang berkedudukan setaraf. Adakah itu adil Tunku Raja Melaka?”
            Kanda Sultan mendengus dan berhenti menyuap. Dia membasuh tangan dan meninggalkan aku tanpa sebarang kata. Cuma renungannya sahaja yang menyatakan kemarahan. Benar. Kanda Sultan tidak pernah berani mahu meninggi suara kepadaku sepanjang hidupku. Aku bangkit dari dudukku. Separuh dari jiwaku terseksa kerana kehilangan Dahari dan separuh lagi terseksa kerana bersikap biadap kepada Kanda Sultan. Tanpa kebenaran Sultan Melaka, aku membawa beberapa hulubalang untuk menemankan aku ke gunung Ledang. Aku mahu mencari Dahari. 

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37