Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Thursday, October 28, 2021

TDDK The Trailer 2

 


Kini boleh didapatkan melalui aplikasi 𝗚𝗼𝗼𝗴𝗹𝗲 𝗣𝗹𝗮𝘆 & 𝗘-𝗦𝗲𝗻𝘁𝗿𝗮𝗹
ROMANCE | THRILLER | MYSTERY

Sekarang ni tengah berehat sambil promosi Ebook TDDK. Dah mula terkenang watak Andi dan Nadya. Insha Allah, akan disiapkan tak lama lagi. 


Sunday, October 24, 2021

Tiada Drama di Kampus Extra: Bab 20

 "Jom kita wefie," Lokman mendekati Feralina dan mengangkat telefon bimbit yang telah ditukar kepada mod kamera, "okay senyum...auch!" Lokman menggosok kepalanya sebelum memandang ke arah Afid.

"Kau rabun ke buta?" tanya Afid apabila melihat paparan skrin telefon hanya memuatkan wajah Lokman dan Feralina.

"Ambillah gambar betul-betul," Sayd pula menampar belakang kepala Lokman.

Kafi memegang bahu Lokman dan memberi jarak antara Lokman dan Feralina.

"Wei sakitlah!" Lokman pandang Kafi, "Okay-okay. Semua senyum," kata Lokman sambil kepala tangan mengosok kepalanya dan sebelah lagi memegang telefon bimbitnya, "one.."

"Nasi lemak Ayam," Shen keluar dari kaunter sambil membawa sedulang makanan.

"Oh! Sini-sini," Sayd berdiri dengan teruja apabila melihat makan yang sedang diangkat oleh Shen.

"Weh! Ambil gambar dulu," Bebel Lokman sambil membetulkan sudut kamera untuk memasukkan kesemua mereka.

Kafi menolak bahu Sayd supaya duduk semula sementara Afid merangkul Sayd apabila Sayd kelihatan lebih fokus kepada Shen yang sedang memegang nasi lemak Ayam.

"Okay, one..two.." 

Jangan lupa Vote/ Share/ Comments ya.. Love you guys

Kini boleh didapatkan melalui aplikasi 𝗚𝗼𝗼𝗴𝗹𝗲 𝗣𝗹𝗮𝘆 & 𝗘-𝗦𝗲𝗻𝘁𝗿𝗮𝗹

Tiada Drama di Kampus Extra : Bab 18

 Kafi mengaru kepala dan mengeluh panjang apabila melihat meja yang penuh dengan buku dan kertas-kertas ujian. Dia mengurut leher dan memandang ke sekeliling perpustakaan yang kian penuh. Jam baru menunjukkan pukul 12.30. Kafi membuat regangan badan sebelum menyusun kertas-kertas nota yang bersepah di atas meja.

"Hai Kafi, kalau haus minum air ni ya," seorang pelajar perempuan meletakkan sekotak air kacang soya di atas meja Kafi.

Kafi tersenyum nipis dan mengucapkan terima kasih sambil mengemas barang-barangnya. Dia memandang sekilas ke belakang apabila terdengar bunyi kerusi diseret perlahan. Kelihatan seorang pelajar perempuan yang memakai pelitup muka mengambil tempat di belakang Kafi. Kafi menyandang beg dan mengangkat beberapa buku yang mahu dipinjam. Minuman air kotak tadi diserahkan kepada pelajar perempuan yang baru duduk di belakangnya.

"Ada orang bagi," kata Kafi sebelum meneruskan langkah untuk menuju ke kaunter.

"Kafi?"

Langkah Kafi terhenti. Dia berpusing semula memandang pelajar perempuan tadi. Dia kenal dengan suara itu. Terlalu kenal.

Feralina menelan air liur kesat. Habislah... Feralina menggigit bibir. Buku di atas meja terus dibuka untuk dijadikan penghadang. Dia menyembunyikan mukanya disebalik buku. Tangannya menepuk dahi.

Kafi menarik buku tebal yang dipegang oleh Feralina dan kemudian dia mendengus apabila Feralina menepuk mulut untuk menyelamatkan pelitup muka dari ditarik oleh Kafi. Pandangan mereka bertaut untuk beberapa saat sebelum Kafi mengundurkan langkah dan meninggalkan Feralina.

Feralina menarik nafas panjang. Dia sedar yang dia tak boleh berterusan seperti itu.

"No, Fie... Fie tunggu," laung Feralina sambil memegang begnya dan terus mengejar langkah Kafi.

Kafi meletakkan buku-buku di tangannya di atas troli buku sebelum keluar dari perpustakaan tersebut.

"Eh, Ms Clumsy?" Lokman yang berjalan seiringan dengan Afid kehairanan melihat Feralina yang sedang mengejar Kafi.

"Tu Kafi kan?" Sayd masih menguyah keropok Super Ring.

"Kafi tunggu dulu... auch!" Feralina terduduk di atas lantai sewaktu mencuba untuk mengejar Kafi. 

Kini boleh didapatkan melalui aplikasi 𝗚𝗼𝗼𝗴𝗹𝗲 𝗣𝗹𝗮𝘆 & 𝗘-𝗦𝗲𝗻𝘁𝗿𝗮𝗹

Tiada Drama di Kampus Extra : Bab 17

 Kafi berdiri di atas starting platform. Kompleks Renang hanya diterangi lampu yang suram. Dia menarik nafas dan membuat regangan ringan sebelum melakukan terjunan. Dia muncul dari permulaan air dan serta merta menekan jam randik selepas selesai dua pusingan.

"Kau lama lagi ke?"

Kafi yang sedang duduk di tepi kolam terus mengangkat pandangan. Kelihatan Afid sudah berkemas untuk balik ke Kolej Kediaman.

"Aku balik lambat sikit hari ni," jawab Kafi sebelum berdiri dan mengambil tuala yang diletakkan di atas kerusi panjang.

"Aku tengok kau beberapa hari ni macam banyak masalah je. Dahla Sayd kena marah sebab lari dari training pagi tadi. Kau pula monyok macam jasad kau je yang datang training. Ada apa-apa yang aku boleh tolong ke?" tanya Afid sambil menjongket kening.

Kafi menggeleng laju selepas mengelap mukanya.

"Tak ada apa-apalah. Bulan ni banyak sangat pop kuiz, ujian. Tu yang aku short-circuit sikit," jawab Kafi sambil tersenyum nipis.

Afid menganggukkan kepala biarpun tidak begitu percaya dengan alasan Kafi. Sudah tiga tahun berkawan dengan Kafi, setiap tahun pada tarikh yang sama, Kafi akan mengasingkan diri dari mereka. Dia memandang tarikh hari ini di telefon bimbitnya, masih belum masanya untuk Kafi datang bulan untuk tahun ini.

"Okay, aku balik dulu."

"Okay," Kafi membuka telefon bimbitnya. Tangkapan skrin dari artikel pagi tadi membuatkan dia mengeluh panjang. Dia tersenyum melihat tali telefon yang kian lusuh. Jarinya menggosok perlahan pada tiga huruf yang hampir terpadam.

Afid berhenti melangkah apabila melihat Feralina di hadapan Kompleks Renang. Gadis itu termenung sambil memandang ke atas siling Kompleks Renang. Afid mengerut dahi sebelum ikut mendongak. Dia tersenyum melihat biasan air kolam yang kelihatan pada siling Kompleks Renang.

"Orang akan ingat yang awak ni peminat kipas-susah-mati yang setiap malam mengintip pasukan renang Angsana," kata Afid kepada Feralina.

Pandangan mereka bertembung sebelum Feralina tertunduk malu. Kantoi lagi dia dengan lelaki itu hari ini.

"Sorry," Feralina berpaling dari Afid.

"Eh tunggu."

Feralina terpijak tali kasutnya dan membuatkan badannya melayang ke hadapan. Dia terkebil-kebil bila mendengar Afid mendengus perlahan.

Afid menyelamatkan gadis itu dengan menarik hoodie Feralina. Dia memendamkan rasa ingin membebel kepada gadis itu. Setelah memastikan Feralina kini berdiri dengan stabil, Afid duduk mencangkung di hadapan Feralina dan membantu gadis itu mengetatkan ikatan tali kasut milik gadis itu yang kini terbuka.

Tali kasut dimasukkan ke lubang kasut yang berada di tengah sebelum Afid membuat simpulan riben sebanyak dua kali. Klik. Afid mengerut dahi dan memandang ke arah kirinya apabila terasa ada pancaran lampu untuk beberapa saat.

"Terima kasih," Feralina menundukkan kepalanya. Pipinya mula terasa panas.

"Jalan slow-slow. Jangan lari, nanti jatuh lagi." Afid menggeleng kepala sebelum meninggalkan Feralina. Macam mana agaknya gadis itu boleh selamat kalau berseorangan. Afid mengeluh panjang sebelum mengerling ke arah Feralina yang berjalan perlahan di belakangnya.

"Awak ambil course apa kat sini?"

Feralina mendongak memandang Afid. Dia cakap dengan aku ke? Feralina berpusing ke belakang untuk memastikan tiada orang lain di situ selain mereka.

"Medik?" tanya Afid.

"Um tak," jawab Feralina.

Feralina menonong menuju ke pagar kolej.

"Tunggu."

Feralina terus terkaku sebelum berpaling ke arah Afid.

"Pagar tu dah tutup," kata Afid sebelum memberi isyarat agar gadis itu mengikut langkahnya.

Feralina terkebil-kebil namun kakinya ringan mengekori langkah lelaki itu. Mereka melalui sebuah taman yang dinamakan taman orkid. Terdapat satu pintu besi kecil yang menyambungkan taman tersebut dengan kawasan kolej. Afid mengeluarkan kunci dan membuka pintu tersebut.

"Kenapa saya rasa macam kita tengah buat benda yang haram bila masuk guna jalan ni?" Feralina padang Afid.

Afid membukakan pintu buat Feralina.

"Awak nak demerit sebab balik kolej lambat atau lalu jalan ni?"

Pilihan yang diberikan oleh Afid membuatkan Feralina berfikir seketika. Kalau markahnya habis dipotong sebelum habis semester, bermakna dia akan menerima tindakan tatatertib. Dia terus mengetap bibir dan berlagak seperti sedang menzipkan bibir sebelum melangkah masuk ke dalam kawasan kolej kediaman. 

Kini boleh didapatkan melalui aplikasi 𝗚𝗼𝗼𝗴𝗹𝗲 𝗣𝗹𝗮𝘆 & 𝗘-𝗦𝗲𝗻𝘁𝗿𝗮𝗹

Tiada Drama di Kampus Extra : Bab 16

 Feralina baru selesai mengelap kaunter dan terus mencapai telefon bimbitnya apabila mendengar bunyi notifikasi. Mungkin dari Refa yang kini rajin bercerita mengenai pelbagai perkara memandangkan mereka berdua sudah berbaik semula. Matanya membulat apabila melihat notifikasi tersebut adalah dari Angsana Chat. Telefon bimbitnya terus terhempas ke lantai.

"Ya Allah Fera. Kalau tak nak telefon tu, bagi aku." Shen tunduk mengambil telefon bimbit Feralina yang terbaring di atas lantai, "Yna Mirzan belajar di Angsana? Siapa Yna Mirzan?" soal Shen selepas membaca artikel pada telefon bimbit tersebut.

"Yna Mirzan, anak pemilik SMZ Corp tu kan?" kata Shen selepas beberapa saat dengan agak teruja.

Pintu kafe ditolak dari luar. Sayd masuk ke dalam Kafe sambil menguap besar dan menggaru kepala. Mukanya kelihatan bingung apabila Feralina dan Shen memandang ke arahnya.

"Kami belum buka lagi," kata Shen sambil meletakkan telefon bimbit Feralina di atas kaunter.

"Sayd nak order apa?" tanya Feralina sambil memberikan botol cecair pengelap meja dan kain lap kepada Shen.

"Um," Sayd terus memandang peti sejuk yang masih lagi kosong.

"Semua dah ada. Cuma tak susun je lagi. Hari ni kami ada bingka ubi cheese," Feralina berjalan menuju ke belakang kaunter setelah memasukkan telefon bimbit ke dalam poket apron. Feralina menyerahkan tisu kepada Sayd yang sedang berpeluh. Lelaki itu berlari ke sini ke?

Sayd mengambil tisu tersebut sambil tersenyum. Dia memilih kerusi nombor empat dari kanan di hadapan kaunter.

"Erna tak ada hari ni?" tanya Sayd sambil membelek buku menu.

"Erna kerja malam hari ni," jawab Feralina sambil menuangkan jus oren ke dalam gelas buat Sayd.

Sayd menganggukkan kepala, "terima kasih. Saya order bingka ubi cheese tu jelah."

Feralina terus mengambil pinggan kecil dan meletakkan beberapa potong bingka ubi keju yang dipesan oleh Sayd.

Shen yang baru selesai mengelap meja, memutarkan tanda di pintu daripada tutup kepada buka. Dia mengerut dahi. Hairan melihat tempat letak kereta di hadapan Kafe yang kosong. Dia ke arah Sayd. Dia datang sini dengan berlari ke apa? Bisik hati Shen.

"Awak ada dryland training ke hari ni?" Feralina meletakkan pinggan di hadapan Sayd. Dia memandang lelaki itu lengkap dengan jaket, seluar tracksuit dan kasut sukan.

Sayd yang sedang menyuap bingka ubi terkebil-kebil sebelum menepuk dahinya. Dia sememangnya ada latihan jam lapan pagi.

"Alamak! Saya baru teringat yang saya ada latihan hari ni. Boleh tak awak bungkus kuih ni," Sayd bingkas berdiri dan mengeluarkan dompetnya.

Feralina tersenyum kecil. Ternyata Sayd dengan makanan memang tidak boleh dipisahkan. Sampaikan lupa mengenai latihan yang sepatutnya dihadiri oleh lelaki itu.

"Goodluck," kata Feralina setelah membungkuskan makanan buat Sayd dan memulangkan duit baki milik Sayd. Dia hanya mampu menggeleng kepala melihat Sayd kelam kabut keluar dari Kafe selepas menerima baki duit.

"Dryland training tu apa?" tanya Shen yang kini berdiri di hadapan kaunter.

Pertanyaan Shen membuatkan Feralina terkebil-kebil. Dia sebut dryland ke tadi? Feralina mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia menekan semula pautan mengenai cerita Yna Mirzan dengan jari yang menggeletar. Dahinya berkerut apabila pautan tersebut tidak berfungsi lagi. Sudah dipadam? Secepat itu? Feralina mengerut dahi. 

Kini boleh didapatkan melalui aplikasi 𝗚𝗼𝗼𝗴𝗹𝗲 𝗣𝗹𝗮𝘆 & 𝗘-𝗦𝗲𝗻𝘁𝗿𝗮𝗹

Wednesday, October 20, 2021

Tiada Drama di Kampus: Promo! Promo!

 

 Kini di Google Playstore

https://bit.ly/3BBQiuu
~~~~~
Romantic | Thriller | Mystery

Feralina, seorang perenang remaja yang mempunyai potensi yang besar. Malah terpilih untuk menyertai pasukan renang negara. Namun semuanya hilang dalam sekelip mata selepas berlaku satu tragedi. Feralina menyembunyikan diri dari mata umum.

Lima tahun selepas itu, dia telah dibuang dari Universiti. Refa, Makciknya mendaftarkan Feralina ke sebuah Universiti terkenal di Malaysia, Angsana. Selama ini, Feralina sudah terbiasa melarikan diri. Melarikan diri dari kawan baiknya, media dan juga drama. Namun ternyata, Universiti Angsana adalah sesuatu yang berbeza. Apatah lagi bila dia termasuk ke dalam radar The Four Hot Guys, kumpulan perenang di Angsana yang semestinya menjanjikan hidup yang penuh dengan drama.

Feralina mula terasa selasa berada di Angsana. Tidak lagi seperti bunga semalu yang terus tutup apabila diganggu, Feralina kini lebih terbuka. Tanpa menyangka masa lalu yang ingin ditanam olehnya mula menghantuinya kembali.. atau peristiwa itu sememangnya tidak pernah jauh darinya. Sentiasa mengejar setiap kali dia melarikan diri.

“Saya terasa penat. Tersangat penat. Saya jadi penat memikirkan semua disekeliling saya. Kadang-kadang, makan pun jadi tugasan yang menyusahkan bagi saya apatah lagi mengemas. Saya jadi cepat marah. Marah dengan jam yang berdetik terlalu cepat. Marah dengan jiran di sebelah rumah. Marah dengan matahari yang terlalu terik,” Feralina menarik nafas panjang.

“Lebih menjengkelkan bila hari itu tiba tanpa sebarang tanda. Hari ini saya rasa sihat dan besoknya, saya menjadi satu kekecewaan terbesar bagi diri saya sendiri,” Feralina menjongket bahu sebelum tersenyum nipis.

Feralina mengangkat wajah dan memandang ke arah seorang lelaki yang duduk di sofa tunggal bertentangan dengannya.

“Saya kena ceritakan juga peristiwa tu ke? Permulaan semua ni…”


#ebookmelayu
#novelmelayu
#wattpadmalaysia
#ebookmalaysia




Thursday, October 14, 2021

How it started..

Nama asal ebook Tiada Drama di Kampus ni ialah No Drama in College. 

Bermula dari tahun 2015 😂

Lama sangat terbengkalai sebab sibuk dengan segala macam benda. 

Tahun ni baru selesai. Alhamdulillah.. kurang sikit rasa bersalah 😂. 

Next project:

1. Cinta yang Akan Selalu Aku Rindu. 

2. ...yang Hilang.

3. If. 



 



Tuesday, October 12, 2021

Tiada Drama di Kampus bab 15

 “Fera masih marah Auntie?”

Feralina tersenyum nipis apabila mendengar suara Refa di hujung talian. Dia mengeluh panjang.

“Fera rindu Auntie,” jawab Feralina dengan pendek. Dia memegang telefon bimbit sambil mendongak memandang skrin bas RapidKL yang memaparkan jadual bas. Lagi lima minit bas seterusnya akan tiba. Feralina menyandarkan badan pada tiang perhentian bas. Tempat duduk yang tersedia di perhentian bas itu masih basah disebabkan hujan sepanjang malam.

Auntie lagi rindu Fera.”

Feralina mengelap air mata yang basah. Sejak dari semalam, beban di hatinya terasa berat. Semalaman dia termenung sambil mendengar bunyi hujan yang begitu lebat.

“Fera tahu kan, Fera boleh balik kalau Fera rindu Auntie. Kalau Fera tak ada kelas, Fera baliklah.”

Feralina memandang kesan vandalisma di salah satu tiang perhentian bas itu. FFK Forever. Feralina tersenyum nipis. Ternyata masih kekal kesan torehan pisau tersebut. Fera, Farish, dan…

“Kalau Fera tak ada kawan nak berbual, Fera boleh call Auntie. Auntie janji akan jawab panggilan Fera bila-bila masa je. Malam, siang, pagi, petang.”

Feralina mengalihkan pandangan ke arah jalan apabila sebuah kereta sport berwarna biru dipandu dengan laju di atas jalan.

“Fera mimpikan Farish semalam,” kata Feralina perlahan, “Fera mimpi yang dia picit hidung Fera sebab Fera liat nak bangun pagi,” Feralina tergelak kecil sebelum mengelap air mata yang jatuh di pipinya.

~~~~~~

“Aku dalam perjalanan balik ke rumah aku,” Kafi yang sedang memandu laju terpandang seseorang gadis berdiri di perhentian bas yang terletak di hujung perumahan rumahnya.

“Baguslah macam tu. Sekurang-kurangnya Ms. Clumsy yang korang selalu cerita tu tahu perangai buaya kau,” kata Kafi sebelum memberhentikan kereta kira-kira seratus meter dari perhentian bas tersebut.

“Lokman, aku call kau balik.”

Sebuah bas berhenti di hadapan perhentian bas dan sekaligus menghalang pandangan Kafi. Dia terus menolak pintu dan keluar dari kereta. Bas tersebut kembali bergerak dan yang tinggal hanya perhentian bas yang kosong. Kafi meraup muka dan mengeluh panjang. Cuma imaginasi dia. Itu cuma imaginasinya. Kafi cuba meyakinkan hatinya namun dalam masa yang sama dia berharap itu bukan imaginasinya. Gadis itu sudah kembali. 

Klik sini untuk baca 👉Bab 14👈👉Trailer👈

Tiada Drama di Kampus Bab 14

Bab 14

Feralina berdiri di hadapan pintu Kafe. Kepalanya mendongak melihat hujan yang semakin lebat. Sesekali dia mengelak percikan air dari terkena kakinya. Kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket baju. Feralina mengeluh perlahan.

Sebuah kereta berhenti di hadapan pintu masuk Kafe.

“Kami tutup awal hari ni,” kata Feralina apabila melihat Lokman keluar dari kereta dengan memegang payung.

“Baru nak singgah beli supper tadi. Awak balik naik apa? Nak saya hantar balik?” tanya Lokman sambil menutup payung sebelum berdiri di sebelah Feralina. Lokman pandang Feralina yang kelihatan teragak-agak untuk menerima pelawaannya, “Saya hantar awak balik rumah,” katanya pula dengan yakin.

Feralina mengetap bibir. Dia memandang hujan yang semakin lebat. Mustahil untuk dia berjalan kaki menuju ke perhentian bas dan balik ke Kampus. Tapi dia juga tidak mahu Lokman atau Sayd tahu dia adalah salah seorang dari pelajar Angsana. Cukuplah dia terserempak dengan Afid dua malam yang lalu.

“Rumah saya empat puluh kilometer dari sini,” kata Feralina sambil memandang reaksi Lokman.

Okay, boleh.” Lokman menjawab dengan terus tanpa berfikir panjang. Dia tersenyum apabila Feralina seakan terkejut dengan jawapan yang diberikan olehnya.

“Jom,” Lokman membuka payungnya semula.

Feralina tersenyum. Dia mengeluarkan telefon bimbit dan mengambil gambar Lokman. Dia tersenyum apabila melihat lelaki itu terpinga-pinga.

“Saya hantar dengan Erna,” katanya sambil menghantar gambar tersebut melalui khidmat pesanan ringkas, “untuk keselamatan,” tambahnya.

Lokman tersenyum sambil menggeleng kepala. Dia memayungkan gadis itu sehingga masuk ke dalam kereta. Kemudian dia berlari ke tempat pemandu dan menyimpan payung di kerusi belakang. Lokman menghidupkan enjin kereta.

Feralina mengerut dahi. Terasa seperti dia terduduk sesuatu. Dia mengangkat punggungnya sedikit dan mengambil objek berbentuk silinder sebesar jari yang terbaring di kerusi tempat duduk.

Hampir tersembul mata Lokman apabila melihat objek yang dipegang oleh Feralina.

“Oh, kat situ rupanya,” Lokman menelan liur namun cuba mengekalkan senyuman, “adik saya bising cari gincu dia dari semalam,” Lokman tersengih ke arah Feralina. Minah mana pula yang tinggalkan gincu di dalam kereta aku ni, Lokman membebel di dalam hati.

“Awak boleh tolong simpankan kat gincu tu kat dalam glove compartment.” Berpeluh. Lokman tetap kelihatan tenang sambil memandu kereta biarpun jantung berdegup kencang.

Feralina menganggukkan kepala. Tangannya membuka ruang penyimpan yang dimaksudkan oleh Lokman, “oh..” Feralina tercengang melihat bendasing sewaktu memasukkan gincu tersebut. Dia memegang tali yang tergantung di tepi laci kereta dengan dahi yang berkerut.

Lokman yang sedang memandu kereta terus memandang sekilas ke arah Feralina yang sedang menarik sesuatu dari laci keretanya. Matanya terbeliak melihat objek tersebut. Kereta yang dipandu tersasar dari laluan untu beberapa saat. Peluh jantan membasahi dahinya.

~~~~~

“Kau dah masukkan kat benda tu dalam kereta dia?” tanya Afid yang sedang duduk di birai katil apabila Kafi masuk ke dalam bilik yang dikongsi bersama.

Kafi tergelak jahat sambil menganggukkan kepala, “petang tadi aku dah letak,” jawab Kafi sebelum bertepuk tangan dengan Afid.

“Wei, ‘cermin mata’ yang tercampur dalam laundry aku tadi korang letak mana? Korang jangan simpan benda tu kat dalam loker aku pula. Nanti ada spot-check, nahas aku,” kata Sayd yang tiba-tiba muncul di depan pintu bilik.

Pertanyaan dari Sayd membuatkan Kafi dan Afid bertambah gelak.

~~~~~~

Sorry, saya ada housemate yang gila. Entah bila masa diorang simpan benda tu dalam kereta saya,” kata Lokman selepas dia memberhentikan kereta di hadapan sebuah rumah.

Feralina masih tergelak kecil kemudian menggelengkan kepala. Dia tergelak lagi apabila teringat bagaimana cuaknya muka Lokman apabila melihat benda di tangannya, “terima kasih,” Feralina pandang Lokman, “saya dah lama tak ketawa macam ni,” katanya dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.

“Jadi, ini rumah awak,” selepas membukakan pintu buat Feralina, “kalau tak silap rumah kawan saya dekat-dekat sini juga,” tambah Lokman sambil memandang rumah yang gelap di hadapan mereka.

“Ya. Dulu," kata Feralina perlahan sambil merenung rumah di hadapannya. Kemudian dia mendongak ke langit. Mujur hujan sudah berhenti.

“Hah?” Lokman mengerut dahi apabila mendengar jawapan Feralina.

“Terima kasih sebab hantar saya. Jumpa lagi,” Feralina tersenyum sebelum berjalan menuju ke pagar rumah.

Lokman mengaru kepala namun tidak memikirkan panjang mengenai jawapan gadis tadi selepas melihat Feralina mula membuka pagar rumah. Lokman menghidupkan enjin kereta semula selepas melihat gadis itu melangkah masuk ke dalam rumah tersebut. 

Klik sini untuk baca 👉Bab 13👈👉Bab 15👈

Tiada Drama di Kampus Bab 13

Bab 13

Feralina turun dari bas yang terakhir di perhentian bas. Tidak jauh dari situ, kelihatan sebuah kereta sport berwarna biru berhenti di tepi jalan. Pemandu kereta itu menyandar di tepi kereta sambil menjawab telefon. Feralina memandang sekilas bayang lelaki itu sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Kolej Kediaman.

“Fi, sorry lambat,” laung seorang pelajar lelaki berlari ke arah kereta itu.

“Tak apa. Aku baru je sampai.”

Feralina terus berpaling apabila mendengar suara pemilik kereta itu. Suara yang begitu dekat di hatinya. Tanpa sempat membuat apa-apa, Feralina hanya melihat kereta itu bergerak keluar dari Angsana. Feralina menjongket bahu sebelum masukkan tangannya ke dalam poket baju sejuk. Tak mungkin dia masih di sini, bisik hati Feralina sebelum dia mula melangkah.

Entah kenapa, Kompleks Renang seakan memanggil-manggilnya pada malam itu. Feralina memberhentikan langkah di hadapan Kompleks Renang. Dia memandang bangunan itu tanpa menyedari kakinya melangkah menuju ke pintu utama Kompleks tersebut.

“Pintu tu berkunci.”

Feralina yang memegang tombol pintu terus melepaskan tangannya. Dia mengundurkan langkah sebelum kakinya termasuk ke dalam longkang kecil di tepi kaki lima Kompleks dan membuatkan badannya hilang keseimbangan. Feralina menutup matanya.

Matanya berkedip-kedip apabila setitik demi setitik air menitik ke kelopak matanya. Feralina terus membuka mata apabila terdengar seorang lelaki berdehem begitu dekat dengannya. Feralina melopong melihat wajah lelaki itu. Tangannya terus menolak lelaki itu selepas dia menstabilkan dirinya.

Afid berundur selangkah untuk memberi ruang buat Feralina. Rambut basah ditolak ke belakang sebelum dia tunduk untuk mengambil beg sandang yang terjatuh di atas lantai. Afid menyeringai kesakitan sedikit ketika cuba mencapai beg tersebut. Dia kemudian meletakkan tali beg ke bahu namun mukanya masih menunjukkan ketidakselesaan yang dialami pada bahunya.

“Um, cuba angkat tangan awak tinggi dari paras kepala,” kata Feralina sambil menunjukkan kepada Afid cara untuk mengangkat tangan ke atas kepala.

Afid terkebil-kebil namun menuruti sahaja arahan dari gadis tersebut. Dia mengerang sedikit ketika cuba untuk mengangkat tangannya. Afid menurunkan tangan dan mengurut bahu kirinya.

“Letak ais dua puluh minit. Guna shoulder strap untuk kurangkan rasa sakit dan dapatkan rehat yang cukup sebelum latihan seterusnya,” Feralina mengetap bibir sebelum menutup matanya. Seakan tersedar dengan tiba-tiba, “sorry saya tertolak awak dan terima kasih sebab selamatkan saya dari terjatuh.” Feralina menarik nafas panjang apabila telinganya mula menangkap bunyi kocakan air kolam.

“Saya jalan dulu,” kata Feralina sambil mengundurkan langkah dengan laju dan cepat-cepat menjauhi Kompleks Renang tersebut.

Afid mengerut dahi dengan tingkah kelam kabut dari gadis itu. Dia memandang ke arah semak apabila terperasan ada pancaran lampu kamera menghala ke arahnya. Dia menggeleng kepala dan meneruskan perjalanan ke Kolej Kediaman. 

Klik sini untuk baca 👉Bab 12👈👉Bab 14👈

Tiada Drama di Kampus Bab 12

Bab 12

Feralina meletakkan pai daging cendawan di hadapan lelaki yang kini menjadi pelanggan tetap di kafe itu sejak kejadian ‘ballet berdarah’ tempoh hari.

Lelaki itu tersenyum lebar sehingga menampakkan lesung pipi di sebelah kanan. Feralina menyimpan buku nota ke dalam poket apron. Dia mengerut dahi apabila menerima renungan tajam dari seseorang.

“Makanan saya pula?”

Feralina terus tergelak kecil apabila melihat muka cemberut Sayd. Kelihatan lelaki itu sudah bersedia memegang sudu dan garpu.

“Sabar sikit boleh tak? Siapa suruh kau pesan banyak sangat. Ingat Fera nak layan kau sorang je ke? Bebel Lokman sebelum memberikan senyuman manis ala-ala Noah Centineo kepada Feralina.

Feralina tersenyum kecil.

“Kejap ya, sama ambil makanan Sayd pula,” kata Feralina sebelum berpaling semula ke kaunter.

“Nak saya tolong ke?” tanya Lokman kepada Feralina namun tangannya sempat menampar tangan Sayd yang cuba mencuri makanannya.

“Eh tak apa. Jemput makan,” jawab Feralina sebelum meneruskan perjalanan ke kaunter.

Sayd menggeleng kepala, “ulat bulu pun tahu berhenti wei,” sindir Sayd sambil memandang makanan milik Lokman. Dia menongkat dagu sementara menunggu pesanan makanannya.

Feralina mengangkat dulang dengan penuh berhati-hati. Dia tersenyum lebar apabila berjaya mengangkat semua makanan tersebut dengan selamat. Lebih gembira apabila Sayd bertepuk tangan seperti dia baru sahaja memenangi sesuatu pertandingan.

“Haah. Aku dengan Sayd masih di Love Kafe. Hah? Okay kejap,” Lokman pandang Sayd yang sedang membantu Feralina memindahkan makanan dari dulang ke meja, “kau ada bawa kunci rumah tak?” tanya Lokman.

Sayd mengorek poket seluarnya sebelum mengeluarkan segugus kunci.

Okay. Kau singgah sini. Ambil kunci aku,” kata Lokman sebelum menamatkan panggilan.

“Dia keluar lagi ke?” tanya Sayd.

“Biasalah. Kan sekarang tengah cuti semester kat UK,” jawab Lokman sebelum memasukkan telefon bimbit ke dalam poket. Hampir tersembul matanya melihat makanan yang terhidang di atas meja.

Enoki goreng dengan mayonaise pedas, panini daging bakar dengan keju, lasagna daging dan jus oren,” Feralina membacakan kembali pesanan Sayd, “untuk dessert saya hantar kemudian ya,” kata Feralina sebelum mengambil dulang dari Sayd, “selamat menjamu selera,” katanya sebelum melangkah semula ke belakang kaunter.

Sayd memercikkan jus oren dari strawnya apabila Lokman tidak berkelip memandang Feralina, “jangan buaya sangat boleh tak? Dah, makan!”

“Fera, ini makanan yang kau nak bawa balik nanti. Dua sandwich ayam. Satu untuk housemate kau ke?” tanya Erna setelah memasukkan pesanan Feralina ke dalam bungkusan makanan.

Feralina memandang sekilas bungkusan tersebut.

“Um. Ya,” katanya sebelum melangkah ke dapur.

Pintu kafe ditolak dari luar. Kafi mendekati Sayd dan Lokman.

“Aku terlupalah mana aku letak kunci rumah. Tertinggal di atas meja kot,” kata Kafi sambil melabuhkan punggung di tepi Lokman.

Lokman terus mengesot ke tepi untuk memberi ruang kepada Kafi. Kunci rumah miliknya dihulurkan kepada Kafi. Sesekali dia menjenguk ke arah kaunter untuk melihat Feralina.

Kafi mengerut dahi dan memandang ke arah kaunter.

“Budak tu ke mangsa terbaru buaya darat ni?” tanya Kafi kepada Sayd.

Sayd pandang Erna yang sedang membersihkan mesin kopi.

“Erna?” Sayd tergelak kecil sebelum menggeleng laju, “beranganlah dia kalau dia boleh dapatkan Erna.”

Kafi tergelak kecil sebelum memandang jam di tangannya, “aku gerak dululah. Coach suruh aku datang training  petang ni.”

Feralina keluar dari dapur bersama kek keju yang baru siap dibakar. Dia mengangkat pandangan apabila terdengar lonceng di pintu kafe berbunyi.

Kafi menolak pintu Kafe sambil tunduk memandang skrin telefon bimbitnya.

“Fera.”

Feralina terus mengalihkan pandangan ke arah Erna.

“Nanti kau tolong aku stok beg kertas sebelum kau balik nanti,” pesan Erna.

Feralina mengangguk selepas meletakkan kek ke dalam peti sejuk. Dia melangkah semula ke bahagian dapur.

Kafi memandang sekilas ke arah kaunter sebelum melangkah keluar dari Kafe itu.

Feralina muncul semula dengan membawa seikat beg kertas untuk diletakkan ke dalam laci di bawah kaunter.

“Erna, kau tahu kan yang Lokman dan Sayd agak terkenal di Angsana?” kata Feralina sambil menyusun stok beg kertas ke dalam laci. Serta merta terbayang lelaki yang menjadi mangsa peluknya ketika kejadian ‘ballet berdarah’ tempoh hari. Ternyata lelaki itu juga adalah salah seorang dari The Four Hot Guys menurut Erna.

“Haah.. tadi ada sorang lagi. Dia dah balik,” jawab Erna.

Feralina menganggukkan kepala. Dia hanya dapat melihat sekilas lelaki yang datang tadi. Tak sangka dalam pada dia mengelak dari drama, dia sudah berjumpa hampir tiga per empat dari ahli pasukan renang yang menjadi kegilaan di Angsana.

Klik sini untuk baca 👉Bab 11👈👉Bab 13👈

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37