Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Wednesday, June 6, 2018

Sumpahan Untuk Si Puteri prolog & bab 1

Note : Ini adalah mini novel yang dibuat untuk projek kelas beberapa tahun lalu (macam dah lama sangat) haha. Sudah dipost di wattpad sengaja post balik dekat blog (tak ada bahan le tuu..) 😤 anyway,,, enjoyyyy.

Prolog
"Dan Puteri Gunung Ledang telah meletakkan 7 syarat kepada Sultan Mahmud, Syarat-syarat itu terdiri daripada 7 dulang..."
Aku menguap. Bosan bila mendengar kisah yang sama berulang kali. Kadang-kadang terasa lucu bila membaca kembali sejarah-sejarah yang tertulis di buku sejarah. Banyak perkara yang telah bercanggah dengan apa yang aku pernah alami sendiri.
 Ya. Aku pernah alaminya. Malah aku sudah melalui beberapa kurun dan zaman. Tapi aku masih di sini. Berjalan seperti mayat hidup. Terus mendiami dunia ini tanpa perlu merisaukan apa-apa. Sementara ramai kenalan aku semakin tua ataupun mereput di dalam kubur. Aku masih berjalan dengan wajah yang sama seperti berkurun dahulu. Wajah ketika aku berusia 23 tahun.
 Aku terpaksa berpindah dari satu tempat ke satu tempat setiap kali mereka mempersoalkan tentang wajah dan diri aku yang tidak pernah menunjukkan tanda-tanda penuaan. Aku berjalan dengan perlahan bila keluar dari bilik kuliah. Setelah hidup berkurun lamanya, aku mula bosan untuk berkejaran seperti orang di sekelilingku. Aku pastinya bukan penghisap darah yang orang muda zaman sekarang kenali sebagai vampire. Dan pastinya juga aku boleh berjalan di tengah panas. Satu hari nanti aku yakin yang aku akan menjalani kehidupan seperti manusia biasa bersama si dia.
"Hulubalang Melaka."
Aku memberhentikan langkah kaki bila terlihat seorang lelaki yang memakai baju seperti hulubalang Melaka suatu ketika dahulu. 
Dia berkulit hitam manis. Tubuhnya sasa kelihatan lebih gagah bila menggenggam keris lama. Kemudian keris diselitkan ke dalam sarung yang dipakai seperti samping. Dia tersenyum sambil membetulkan tanjak yang di atas kepala. Aku teringat pada zaman dulu, hulubalang dan para pembesar hanya menggunakan sehelai kain untuk menutup dan menampakkan kekemasan pada rambut mereka. Bila merenung lelaki itu, aku terasa kembali ke zaman dulu. Hati yang sudah lama kosong tiba-tiba terasa seperti mahu meletup dengan segala rasa yang sudah lama aku pendamkan. 
Aku cuba mengangkat kaki yang mula memberat mahu mendekati dia. Senyumannya masih sama. Seperti kali terakhir aku dan dia berjumpa. Kami berpandangan seketika. Ada rasa takut yang datang menjelma. Ada rasa rindu yang hampir membuatkan aku menangis. Dan ada rasa cinta yang tidak pernah surut. Mungkinkah ini masanya untuk menamatkan sumpahan yang menyeksakan ini?
"Wahai Puteri gunung ledang, sudah bersedia untuk mengadap Sultan Melaka?"
Pertanyaannya membuatkan aku tersedar. Senyuman tawar yang mampu aku ukirkan untuk menutup kekeruhan di wajah. Aku bosan mendengar nama itu. Sultan Melaka dan Puteri Gunung Ledang. Kalau bukan kerana mereka, kisah ini takkan wujud. Aku akan hidup dan mati seperti yang lain bersama seorang lelaki yang aku cintai.
"Maaf. Saya bukan Puteri Gunung Ledang. Saya tidak secantik Gusti Puteri."
Dia ketawa lagi. Sejak kali pertama aku berjumpa dengan dia, terlalu banyak persamaan yang mampu aku senaraikan. Apatah lagi ketika dia mengenakan busana seperti hulubalang Melayu Melaka.
"Awak begitu menjiwai cerita PGL. Dan saya rasa awak lebih cantik dari Puteri Gunung Ledang. Awak selalu datang masa sesi latihan, tak berminat nak terlibat dalam pementasan ni ke? Saya jadi hulubalang dan awak jadi dayangnya."
Aku tersenyum nipis. Cuba membayangkan aku berkerja di bawah Delia, wanita yang memegang watak Gusti Puteri. Perbezaan watak Delia dan Gusti Puteri ibarat langit dan bumi. Walaupun hidup berkurun lama, aku takkan dapat mengumpul kesabaran untuk menjadi dayang kepada Delia.
" Ada watak sebagai adik bongsu Sultan Melaka?"
Kerutan di dahinya membuatkan aku tersenyum penuh makna. Kenangan lama mula menjelma kembali seperti baru semalam semuanya berlaku...


Bab 1

Kurun ke-15
       “Jadi kanda Sultan mahu menghantar rombongan peminangan hanya kerana dia mimpikan Seorang perempuan di Gunung Ledang?” 

         Aku agak terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Puteh, salah seorang dayang istana yang sangat rapat denganku. Puteh mengangguk laju sambil tangannya perlahan-lahan menyikat rambutku. Selepas kemangkatan permaisuri, Sultan Mahmud lebih banyak berdiam diri. Malah ada juga pembesar yang berusaha mencarikan penganti permaisuri supaya Sultan Mahmud tidak bersedih lagi. 

         “Siapakah perempuan itu Puteh? Adakah dia orang kebanyakkan?” 

        Aku agak teruja mahu mendengar jawapan dari Puteh. Kalau kanda Sultan boleh jatuh cinta dan berkahwin dengan orang kebanyakan, kenapa aku tidak boleh melakukan hal yang sama?.

      “Dari kata-kata orang istana, perempuan itu adalah Puteri dari Pulau Jawa. Gusti Puteri Raden Adjeng."terang Puteh.

        Puteri di Gunung Ledang. Orangkah atau bunian? Fikirku sambil mengerutkan dahi. Hidupku hanya di dalam kawasan istana. Jadi banyak yang aku tidak tahu tentang dunia luar. Mujur ada Puteh dan dayang-dayang yang lain sebagai temanku.

      “Jadi Gusti Puteri menjadi pilihan Sultan? Entahkan mahu, entahkan tidak Gusti Puteri itu menerima pinangan daripada kanda Sultan.” Kataku dengan nada sedikit sinis. 

         Setelah Puteh siap mendandankan rambutku, aku berdiri menuju ke jendela. Kelihatan beberapa hulubalang sedang mengawasi istana. Aku mencari ‘dia’ di dalam sekumpulan hulubalang itu.

       “Jaga-jaga tuan puteri.., Mulut orang bukan seperti mulut tempayan yang boleh ditutup. Nanti sampai ke pengetahuan baginda sultan. Teruk padahnya.”

       Senyuman yang tadinya terukir di wajahku kini hilang. Mendengar kata-kata Puteh membuatkan tubuhku menggeletar. Aku tidak takut dengan musibah yang akan menimpa aku jikalau kanda Sultan Mahmud tahu mengenai percintaan aku dengan orang kebanyakan. Tapi aku takut kalau ‘dia’ yang akan diapa-apakan oleh Sultan.

        “Tiada yang akan tahu Puteh. Tidak lama lagi dia akan mencari jalan untuk membawa beta keluar dari sini. Ingat Puteh, biar pecah di perut, jangan pula pecah di mulut.”

             Puteh mengangguk perlahan. Aku mengemaskan busana yang sedang tersarung di badan.

           “Beritahu dia, beta tunggu di tempat biasa.”

            Pesanku kepada Puteh sebelum berjalan keluar dari kamarku. Tidak sabar untuk berjumpa dia. Tidak sabar menunggu untuk keluar dari istana ini.

           “Tuan Puteri..”

           Aku tersenyum lebar bila berdepan dengannya. Kelihatan lesung pipit di pipi kanannya bila dia mengukirkan senyuman. Aku berjalan mendekatinya.

        “Kanda terlambat malam ini. Penat dinda menunggu di sini.”

        Dia tertawa kecil kemudian menarik aku dengan perlahan untuk duduk dibawah pokok bunga yang merimbun.

        “Maaf ya tuan puteri. Kanda terpaksa menyelesaikan kerja sebelum datang ke sini tadi.” Katanya dengan lembut. Seperti mahu memujuk hati yang merajuk ini.

            Aku tersenyum lebar dan kemudian menyandarkan kepala di bahunya.

          “Kan bagus kalau kita lari dari sini.”

     Aku cuba mencari matanya. Dia kelihatan serba salah. Aku tahu dia sendiri takut untuk memikirkan tentang masa depan kami berdua.

         “Kita lari dari sini Kanda.”Pujukku lagi. 

          Dia memberi senyuman nipis dan kemudian mencium dahiku.

        “Selepas rombongan peminangan puteri di gunung ledang nanti. Kanda janji dengan dinda yang kanda akan bawa dinda pergi dari sini.”

            Aku memeluknya dengan gembira. Dia tertawa kecil kerana keterujaan aku itu. Dadanya yang sasa bergetar bila tertawa.

           “Tapi, kenapa mesti menunggu? Kenapa tidak sekarang?”

      Aku menegakkan badan dan melepaskan diri dari pelukannya. Kenapa mesti menunggu. Sedangkan inilah saat yang sesuai untuk melarikan diri dari sini. Di saat rakyat melaka sedang sibuk membuat persiapan untuk rombongan peminangan itu.

          “Kita tidak boleh terburu-buru dinda. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.”

           Kata-katanya sedikit sebanyak memujuk hatiku supaya bersabar untuk sedikit masa lagi. Walaupun hati ni terasa tidak tenang. Seperti ada sesuatu yang akan terjadi di masa depan. Aku merenung wajahnya. 
             Dia kelihatan tenang walaupun sesekali putera di hatiku itu mengeluh perlahan. Mungkin juga merasa perasaan tidak senang seperti yang aku rasa sekarang ini. Lebih cepat kami pergi dari istana ini adalah lebih baik.

           “Kanda..”

        Aku cuba menarik perhatiannya sekaligus menganggu khayalannya yang hanya sebentar. Dia memandang ke arahku.

         “Kalau dinda bukan puteri raja, cintakah kanda kepada dinda?”

         Dia mengerut dahi. Kelihatan tidak senang dengan soalan tadi.

      “Kenapa dinda bertanya soalan yang mengarut seperti itu. Kanda cintakan dinda bukan kerana darjat. Cinta itu hadir dihati bila kali pertama bertentang mata dengan dinda. Senyuman dan tutur bahasa dinda membuatkan hati yang beku menjadi cair. Dinda pula? Kenapa dinda sudi menerima seorang hamba seperti kanda”

        Aku tertawa kecil. Seorang hulubalang yang sasa boleh meluahkan perasaan seperti begitu. Tentu sekali aku terasa bangga menjadi seseorang yang berjaya mencairkan hatinya.

        “Jangan berkata seperti itu kanda. Tiada beza hamba dan raja. Dinda mula cintakan kanda apabila kanda selamatkan dinda daripada lemas di dalam tasik. Sejak itu kanda mula memenuhi hati dinda yang kosong.”

            “Maaf Tuan Puteri. Sultan sedang mencari tuan puteri.”
Aku mengeluh hampa bila Puteh datang membawa berita kedatangan kanda Sultan. Entah kenapa dia mempunyai masa untuk melawat aku pada hari ini. Bukahkah dia sibuk dengan urusan peminangan gusti puteri dari gunung ledang itu.
            
           “Dinda terpaksa mengadap Sultan. Kita jumpa lain kali lagi ya Kanda.”
Dia mengangguk dan mengukirkan senyuman. Dia kelihatan berat hati mahu melepaskan diriku. Pegangan tangan perlahan-lahan kami lepaskan. Entah bila lagi kami berpeluang untuk berjumpa lagi tanpa pengetahuan Sultan dan warga istana. 


                                                                                                               ðŸ‘‰- (Bab 2) ðŸ‘ˆ

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37