Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Tuesday, June 19, 2018

Sumpahan Untuk Si Puteri Bab 7

Bab 7
            “Ayah awak ada di rumah?”
            Akhirnya setelah lama menunggu, hari ini aku dapat berjumpa dengan Ayah Darul. Darul mengangguk laju. Dia menarik kunci kereta dan menyimpannya ke dalam poket seluar. Aku terasa serba salah kerana menipu Darul. Dia tentu berfikir yang aku beria-ia mahu membuat kajian mengenai keris-keris melayu.
            “Ada. Dia baru balik kelmarin. Jom.”
            Aku mengikut langkah Darul. Takut sesat di dalam rumah yang tersergam indah. Kelihatan seorang lelaki dan seorang wanita sedang duduk di kerusi taman. Dari jauh lagi aku melihat pasangan itu merenung ke arahku. Mungkin itulah ayah dan mak Darul. Ayah Darul bercekak pinggang bila kami sudah berada dekat dengan meja taman. Darul tersengih melihat tingkah ayahnya itu.
            “Assalammualaikum yah. Ma.”
            Aku cuma mendiamkan diri. Terasa janggal bila ayah dan mak Darul seperti terkejut bila melihat wajahku.
            “Inilah kawan yang Darul cakap tu. Amira Aisya. Dia nak minta pertolongan ayah mengenai keris warisan melayu.”
            Aku cuba mengukir senyuman. Ayah dan mak Darul kelihatan terkaku dan kemudian berpandangan sesama sendiri sebelum kembali merenung wajahku semula. Aku merenung ke arah Darul. Kelihatan kerutan muncul di dahinya.
            “Hello... Ada orang tak ni?”
            Kata Darul sambil melambai-lambaikan tangannya di hadapan wajah ayahnya. Kelihatan ayah Darul seakan tersedar dan kemudian mengucap perlahan.
            “Astagfirullah al azim. Maafkan saya. Saya ingatkan Darul balik ke rumah dengan hanya membawa pulang keris yang hilang. Tidak sangka pula dia pulang membawa puteri yang hilang juga.”
            Aku tersentak bila mendengar bicara ayah Darul itu. Darul menarik muka masam dan kemudian membuka beg galasnya dan mengeluarkan keris yang selalu dibawanya ketika latihan teater.
            “Ayah ni pun. Tak payahlah sindir-sindir orang. Saya pinjam sekejap je pun. Nak menjiwai watak sedikit.”
            Mak Darul tersenyum lebar melihat muka masam anaknya itu.
            “Kamu berlakon sebagai hulubalang Melaka. Keris jenis ni hanya dipakai oleh pegawai-pegawai tinggi dan keluarga diraja.”
            Jawab ayahnya pula.
            “Dahlah tu..jemput duduk Amira.”
            Mak Darul cepat memberhentikan bunga-bunga pertelingkahan lidah antara Darul dan Ayahnya. Aku mengangguk perlahan dan mengambil tempat duduk berhadapan dengan mak Darul.
            “Tapi tidak mustahil kalau seorang hulubalang memiliki keris seperti itu. Contohnya nenek moyang kita.”
            Kata Darul lagi. Aku terdiam mendengar bicaranya. Ayah Darul tertawa kecil.
            “Itu yang menjadi persoalan sekarang ni. Seorang hulubalang memiliki keris yang mempunyai ukiran diraja. Apa pandangan kamu Amina?”
            Sekali lagi aku tersentak. Darul tertawa kecil.
            “Amiralah ayah. Bukan Amina.”
            Aku cuba mengukir senyuman.
            “Apa salahnya dengan nama Amina. Nama itu melambangkan kemelayuan. Orang zaman sekarang ni lebih suka memperagungkan nama barat.”
            Jawab Ayahnya pula.
            “Mungkin hadiah dari seseorang.”
            Aku tiba-tiba mencelah perbualan ayah dan anak itu. Memandangkan Ayah Darul sudah mengajukan kepadaku sebentar tadi. Ayah Darul seakan berfikir sebentar dan kemudian mengangguk perlahan.
            “Mungkin juga. Nanti kita boleh bincang lagi mengenai perkara tu, sekarang kita menjamu selera dulu. Jemput makan Amira.”
            Mak Darul meletakkan sepinggan bihun di hadapanku. Kali ini barulah aku sempat memerhati wajahnya. Sudu yang hampir menyuap ke mulut aku letakkan kembali ke pinggan. Aku kenal mak Darul. Senyuman dan lesung pipit itu sangat melekat di dalam memoriku. Aku cuba berlagak seperti biasa sehinggalah aku masuk ke dalam ruangan pameran di dalam rumah Darul. Album-album lama tersusun di dalam rak buku. Hatiku mula berdebar.
            “Semua ni gambar-gambar keluarga ayah. Sayangnya gambar-gambar keluarga mak terbakar sebelum dia berkahwin dengan ayah.”
            Debaran dihatiku tiba-tiba hilang selepas mendengar penjelasan Darul itu. Ayah Darul masuk ke bilik pameran dengan membawa beberapa buku yang mungkin mengenai keris warisan melayu.
            “Amira Aisya.”
            Ayah Darul tersenyum sambil menyerahkan buku-buku itu kepadaku.
            “Nama secantik orangnya. Bersyukur kepada Allah kerana kehidupan telah dipermudahkan.”
            Aku yang sedang membelek buku-buku yang diberikan sebentar tadi hanya terdiam. Kata-kata Ayah Darul seperti ada maksud yang tersirat. Setelah hidup beratus tahun, aku tidak pernah perlu terasa khuatir kalau-kalau ada orang yang mengetahui rahsia yang aku simpan selama ini. Tapi sekarang, ayah dan mak Darul seperti tahu sesuatu mengenai diriku. Ayah Darul mengambil replika keris yang dikembalikan oleh Darul tadi.
            “Satria Sari sudah lama menunggu masa untuk kembali kepada tuannya. Entahkah sempat, entahkan tidak saya kembalikan Satria Sari kepada tuannya kembali.”
            Ayah Darul berkata perlahan. Aku memerhati kesemua pameran di dalam bilik itu. Pandanganku terhenti tetap di hadapan almari yang mempamerkan satu replika buku lusuh yang bertulisan jawi. Catatan Dahari. Tak mungkin.
Klik untuk Bab Seterusnya  👉Bab 6👈 👉Bab 8👈

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37