Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Tuesday, June 19, 2018

Sumpahan Untuk Si Puteri Bab 10

Bab 10
            “Awak.. tolonglah berhenti sekejap.”
            Darul menarik perlahan lenganku bila aku tidak mengendahkan dirinya. Darul mengeluh bila aku tidak melayan dirinya.
            “Kenapa awak dah lama tak datang kelas? Waktu teater pun saya tak nampak awak datang? Awak pergi mana?”
            Aku cuba menarik tanganku dari pegangannya. Namun tidak masih berkeras tidak mahu melepaskan tanganku. Dia menarik fail ditanganku. Wajahnya tegang apabila membaca surat berhenti belajar di dalam fail.
            “Awak berhenti belajar? Dah nak habis pun semester ni. Kenapa nak berhenti. Apa yang mak dan ayah saya cerita waktu awak datang rumah saya hari tu? Sampai saya nampak awak keluar dari rumah saya dengan terburu-buru.”
            Aku mengetap bibir. Aku menguatkan hati untuk menatap wajahnya. Mungkin untuk kali terakhir.
            “Bukan sebab sesiapa. Saya berhenti  dari sini sebab saya tak sanggup lagi nak melihat muka awak.”
            Dahinya berkerut. Tidak memahami apa yang aku sampaikan. Mungkin Din dan Zahra belum menceritakan semuanya kepada Darul.  Selepas aku tahu Putehlah yang selama ini yang memisahkan aku dan dia. Aku sudah berhasrat untuk melupakan terus semua yang berlaku di masa lalu. Aku membina semula hidup aku tanpa bayangan Dahari. Walaupun sudah beratus tahun terlambat. Aku cuba untuk hidup untuk diriku sendiri. Bukan untuk orang lain.
            “ Apa yang awak cakap ni?”
            Dia kelihatan bingung.
            “Saya masuk universiti ni hanya untuk berada dekat dengan awak. Saya benci cerita puteri Gunung Ledang dengan sepenuh hati. Tapi saya sanggup datang ke sesi latihan semata-mata mahu berada dekat dengan awak. Selama ini saya  cuma menganggap awak sebagai pengganti dia. Jadi tolong lepaskan saya. Sebab semakin lama saya melihat wajah awak, hati saya semakin berdarah.”
            Aku sekali lagi cuba menarik tanganku dari pegangannya.
            “Baiklah kalau macam tu. Saya tak kisah kalau awak nak anggap saya ni sesiapa pun. Sebab saya sedar yang saya dah mula sukakan awak Amira. Saya tak mahu awak pergi dari hidup saya.”
            Aku tergelak kecil sambil menggeleng perlahan.
            “Kita tak boleh bersama Darul.”
            Kataku perlahan.
            “Kenapa tidak?”
            Soalnya pula.
            “Awak nak tahu kenapa?”
            “Ya.”
            Aku meminta Darul untuk menghantarku balik ke rumah. Darul mengerut dahi melihat rumahku.
            “Ini rumah awak?”
            Kata Darul menunjuk kepada banglo besar yang sunyi ini.
            “Ya. Pernah suatu ketika dulu, saya mengabaikan keluarga saya. Tapi alhamdulillah keluarga saya tidak pernah mengabaikan saya. Kecuali dalam buku sejarah. Saya pun tak rasa nama saya layak untuk tertulis di dalam sejarah.”
            Aku tersenyum bila mengingati bahawa Sultan Mahmud sanggup menurunkan wasiat kepada Raja Ahmad dan raja-raja yang seterusnya supaya terus menjaga diriku selepas menyedari yang aku langsung tidak dimamah usia. Aku disembunyikan dari orang ramai. Tapi aku berada di sana. Melihat setiap kematian ahli keluargaku. Satu demi satu. Perperangan demi perperangan aku jalani tanpa dapat berbuat apa-apa. Darul semakin hairan dengan setiap kata-kata yang keluar dari mulutku. Aku kemudiannya mengambil kotak besar yang mengandungi buku-buku catatan dan barang peninggalan Dahari. Aku mengeluarkan potret wajahku.
            “Ini adalah potret yang dilukis untuk saya.”
            Darul melihat tarikh pada lukisan itu dan kemudian tertawa dalam kebingungan.
            “Kurun ke-15?. Awak sihat ke tidak ni?. Apa yang awak nak sampaikan sebenarnya?”
            Aku mengeluarkan lagi satu-satunya album keluarga Zahra yang terselamat ketika rumahnya terbakar. Album itu aku serahkan kepada Darul. Dia menyelak helaian demi helaian dengan wajah yang berkerut.
            “Kebetulan wajah awak sama dengan wanita di dalam gambar ini. Apa masalahnya?”
            Aku mengeluarkan pula keris Satria Sari. Dan membuka sarung keris. Darul kelihatan terkejut bila melihat keris di tanganku adalah keris yang asli.
            “Ayah awak yang berikan keris ini kepada saya.”
            Aku menjawab persoalan yang bermain dikepalanya sebelum sempat dia bertanya.
            “Kenapa ayah saya bagi keris ini kepada awak?”
            Aku menyerahkan keris itu kepada Darul. Dia membelek-belek tulang keris itu sehingga terjumpa ukiran nama aku dan Dahari.
            “Amina, Dahari.”
            Darul mengangkat pandangan.  Dia kemudiannya melihat semula potret wajahku yang diletakkan di atas meja.
            “Tun Amina Aisya.”
            Aku berbalas pandangan dengannya. Darul membaca catatan pada album gambar kenangan emaknya.
            “Bersama Ibu Aisya dan mama.”  
            Dia meletakkan album gambar itu di atas meja.
            “Apa semua ni Mira?”
            Aku mengetap bibir.
            “Nama saya Amina Aisya. Dan saya dah hidup terlalu lama di bumi ni. Saya disumpah untuk menetap di muka bumi ini mungkin untuk selamanya.”
            Kataku tanpa mempamerkan sebarang reaksi. Darul tertawa kuat seperti ada yang menggelikan hatinya ketika ini.
            “Awak dah gila ke? Ataupun cerita-cerita ayah saya dah merosakkan fikiran awak.”
            Darul meraup wajah. Dia kelihatan kecewa.Lukisan potret tadi ditatapnya sekali lagi. Dia mengetap bibir sambil menggeleng kepala.
            “Saya dah berusia lebih 500 tahun.”
             Tambahku lagi. Darul meraup wajah sekali lagi. Potret dihempas ke atas meja.
            “Saya tak perlukan cerita-cerita sampah ini semua. Kalau awak tak nak terima cinta saya, awak boleh cakap terus-terang. Tak payah nak buat semua cerita bodoh ni. Terima kasihlah dengan semua cerita bodoh ni. Awak hiduplah dengan dunia cerita dongeng awak ni.”
            Kedengaran kereta Darul memecut keluar dari kawasan rumahku. Aku terduduk di atas lantai merenung ke atas siling. Aku akan hidup bersendirian bertemankan barang-barang peninggalan Dahari. Untuk beberapa minit. Aku hanya menangis meratapi nasib diri.
            Deringan telefon bimbit mengejutkan aku dari lena. Tidak sangka aku tertidur duduk di atas lantai sehingga ke malam. Aku menguap perlahan sambil mencapai telefon bimbit yang tidak berhenti berdering itu. Hampir terbeliak mata apabila melihat 48 panggilan yang tidak disambut. Aku cepat menarik ikon hijau ke kanan apabila telefon bimbit itu berdering lagi untuk kesekian kalinya.
            “Hello.. ha.. Zahra. Apa!”
            Telefon terhempas ke lantai. Kenapa terlalu cepat. Berita yang disampaikan tadi membuatkan aku kebingungan seketika. Aku berdiri tegak di tengah rumah. Tidak tahu apa yang patut aku buat. Darul kini tenat di hospital. Akhirnya aku menguatkan kaki untuk melangkah. Darul.. tolong tunggu aku. Tolong tunggu aku..
            Suara tangisan kuat dari bilik kecemasan membuatkan aku memperlahankan langkah. Tidak sanggup untuk menghadapi berita buruk. Kelihatan ramai yang menangis di hadapan bilik kecemasan. Kemungkinan mereka adalah kaum kerabat Darul. Kelihatan pula kakak dan abang sulung Darul terduduk di atas lantai. Aku tidak sanggup untuk meneruskan langkah. Mata pula sudah kabur kerana menangis sepanjang perjalanan ke hospital. Aku memberhentikan langkah di hadapan pintu bilik kecemasan. Kelihatan satu tubuh yang diselimuti kain putih.
            “Amina..”
            Tegur Din apabila menyedari kehadiran aku di situ. Matanya basah dengan air mata. Aku cuba mengucapkan sesuatu untuk menenangkan hati mereka. Aku patut cakap sesuatu. Takziah atau apa saja. Aku menggeleng kepala perlahan.
            “Maaf.. maaf..”
            Hanya itu yang mampu terucap sebelum berlari meninggalkan keluarga itu. Aku memandu tanpa arah tujuan sehinggalah aku sampai ke tapak lama istana Melaka. Tanah tempat aku membesar. Tempat semuanya bermula. Aku berjalan tanpa arah sehingga sampai di hadapan perigi lama.
            “Aku ada satu permintaan lagi.”
            Angin bertiup seperti selalunya. Aku tersenyum sinis.
            “Jangan harap aku akan tunduk kepada perigi bisu. Aku takkan berharap kepada benda khurafat seperti perigi ni lagi. Aku ada Tuhan! Aku takkan minta apa-apa dari perigi bisu. Biar aku hidup walau seribu tahun lagi. Aku takkan tunduk kepada kau!”
            Aku terduduk di atas tanah dan menyandarkan badan di tembok perigi. Terkenang Darul yang terbaring di atas hospital. Mungkin tidak lama lagi dia akan dibawa ke tanah perkuburan. Dunia kami sudah terpisah dua. Seperti dunia aku dengan Dahari. Aku menarik nafas panjang. Cuba mengikhlaskan hati menerima ketentuannya.
            “Allah.. jagakan mereka untuk aku.”
            Angin bertiup dengan kencang. Suasana yang tadinya suram tiba-tiba meriah dengan suara gelak ketawa dan bunyi kereta. Aku terundur kebelakang. Tembok perigi yang tadinya menyokong tubuhku kini tiada lagi. Aku mengangkat pandangan. Kelihatan beberapa orang memandang aku dengan pandangan pelik kerana aku duduk di atas jalan pejalan kaki berhadapan dengan replika Istana Melaka.
            “Ahhhhhhhhhhhhhhhh...”
            Sesuatu yang aneh di dalam diriku. Jantung mula terasa seperti dicengkam dari dalam. Masa seperti terhenti untuk beberapa saat. Mataku terbeliak menahan rasa sakit di dada. Dan kemudian semuanya kembali seperti biasa. Apa yang sudah berlaku? Aku menarik nafas dengan cepat. Dahiku mula dibasahi peluh.
            “Cik.. awak tak apa-apa?”
            Seorang lelaki datang dengan wajah risau. Aku mengeleng cepat.
            “Awak yakin? Saya nampak awak macam baru terkena serangan jantung.”
            Aku mengangguk. Sangat pasti. Aku terasa sangat sihat dan seperti ‘hidup’ semula.  
            “Tapi, lebih baik awak periksa dekat hos...”
            Aku menjeling pemuda itu. Rimas bila dia tidak berhenti bercakap. Aku berdiri tanpa menerima apa-apa bantuan darinya. Dan pergi dari tempat itu tanpa berkata apa-apa lagi kepada lelaki itu.
            “Terima kasih sebab ambil berat. Saya sihat je.”
            Aku membiarkan sahaja sindiran sinis dari lelaki itu.
            “Budi bahasa budaya kita!”
            Aku sempat terdengar jeritan lelaki itu lagi sebelum aku masuk ke dalam kereta. Aku mahu menghantar dia pergi. Sekurang-kurangnya aku berpeluang menghantar salah seorang dari ‘mereka’ pergi ke dunia yang satu lagi.
            Klik Untuk Bab Seterusnya 👉Bab 9👈 👉 Epilogue👈

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37