Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Tuesday, June 19, 2018

Sumpahan Untuk Si Puteri Bab 6

Bab 6
Masa kini
            “Apa ni! Kalau berlatih main-main macam ni, bila masa kita selesai latihan ni!”
            Jeritan Delia di atas pentas menghapuskan semua lamunan aku. Kelihatan dia tersenyum lebar di hadapan aku.
“Dah kembali ke alaf 21?”
Dia bertanya sambil tersenyum. Aku terduduk malu dengan usikannya itu. Lama sungguh aku terkhayal dengan kenangan lalu.
            “ Kenapa tak ikut latihan?”
            Pertanyaannya tadi aku balas dengan pertanyaan yang lain. Hairan bila melihat dia tenang duduk di kerusi penonton sambil melihat kawan-kawannya yang lain berdesing telinga mendengar jeritan Delia yang tidak sudah-sudah mengkritik itu dan ini.
            “Saja. Saya lebih suka duduk dekat dengan awak.”
            Sekali lagi aku tersenyum malu bila bertentang mata dengannya.
            “Atau awak takut dengan Delia?”
            Dia tergelak kecil dengan usikanku tadi. Kemudian dia meletakkan jari telunjuk di tepi bibirnya. Memberi isyarat senyap.
            “Jangan beritahu orang lain. Tapi bila Delia menjerit macam tu memang menakutkan. Sampaikan saya yang gagah ni pun boleh kecut perut.”
            Aku tertawa lucu.
            “Tidak nampak gagah pun..”
            Aku membuat riak muka yang tidak percaya sambil menilik ke arahnya. Kononnya mahu memastikan kebenaran dari bicaranya tadi.
            “Tak percaya?”
            Dia berdiri dan kemudian bergaya seperti ahli sukan bina badan. Aku tertawa kelucuan sebelum pandanganku singgah ke arah keris di dalam pegangannya itu. Ada sesuatu yang begitu biasa pada keris itu. Sesuatu yang mencetuskan memori pada keris itu.
            “Darul! Janganlah main-main. Cepat pergi tempat kau dekat pentas.”
            Dia tersengih bila Annur, salah seorang dari krew teater memanggil dirinya. Mungkin mereka baru tersedar yang salah seorang dari ‘hulubalang’ Melaka menghilangkan diri. Aku masih memerhatikan keris yang tidak lekang dari tangannya itu. Aku kenal keris itu kerana keunikan ukirannya.
            “Darul.”
            Aku memanggilnya perlahan. Dia berpaling dan tersenyum ke arahku.
            “Keris tu..”
            Dia mengangkat keris di tangannya. Kemudian tangan kirinya menunjukkan ke arah keris di sebelah tangan kanannya.
            “Ini keris peninggalan nenek moyang saya.”
            Dia tersenyum dengan penuh kenakalan.
            “Saya ambil dari koleksi pameran ayah saya.”
            Katanya lagi.
            “Awak tunggu sampai habis latihan?”
            Tanyanya pula. Aku mengangguk cepat. Dia tersenyum.
            “Darul! Cepatlah.”
            Sekali lagi namanya dipanggil. Darul turun dengan lajunya dan kemudian mengambil tempat di atas pentas. Nenek moyang? Adakah Dahari sempat meninggalkan keris itu kepada keluarganya? Aku kenal ukiran keris itu. Kerana aku sendiri yang menyerahkan keris itu kepada Dahari. Aku sabar menanti latihan teater itu selesai. Kata demi kata, serta aksi yang terlihat di hadapan mataku hampir membawa aku ke masa lalu. Aku berjalan mendekatinya apabila latihan itu selesai.
            “Amira.. Sanggup tunggu sampai habis latihan. Ada apa-apa ke?”
            Annur menjungkit kening tanda mengusik. Dahari tertawa kecil. Sambil memandang ke arahku yang sedang tersenyum malu. Pertanyaan Annur tidak berjawab. Sepanjang berkenalan dengan Annur, aku cukup arif dengan sikapnya. Gadis itu memang suka mengusik dan berjenaka. Bila bekerja, dia seorang yang komited dengan kerja-kerjanya. Tapi aku selalu menjauhkan diri dari menjadi terlalu rapat dengannya. Kali terakhir aku mempunyai kawan baik adalah lima puluh tahun lalu. Selepas itu, aku memilih untuk hidup bersendirian. Kerana semua orang akhirnya akan pergi meninggalkan aku.
             “Darul, ajak Amira sekali. Kita makan roti canai dulu di kedai mamak kat depan tu.”
            Darul merenung ke arahku. Seperti mahu meminta persetujuan dari aku. Aku mengangguk perlahan. Aku tidak akan menolak kalau diberi peluang untuk menghabiskan masa lebih lama bersama dia. Kelihatan dia menyimpan keris ke dalam beg galasnya. Aku sempat menyentuh hulu keris itu. Darul memberikan keris itu kepada aku.
            “Berminat dengan keris-keris melayu ke?”
            Katanya apabila aku meneliti sarung keris itu. Aku tersenyum bila mendengar soalannya.
            “Saya cuma berminat dengan keris ni. Ukirannya terlalu cantik.”
            Aku menjawab soalannya sambil mataku masih lagi cuba mencari sesuatu pada keris itu. Ukiran pada sampir keris agak berbeza daripada apa yang tersimpan di dalam memoriku. . Aku perlahan-lahan membuka keris itu. Kecewa.
            “Ah.. Ini cuma replika daripada keris sebenar.”
            Kata Darul seperti dapat melihat kekecewaan yang terukir di wajahku. Separuh dari hatiku yang tadinya bersorak gembira kerana menjumpai satu cebisan kenangan dari Dahari kini mula merintih.
            “Di mana keris sebenar?”
            Tanyaku perlahan. Dahari mengeluh perlahan. Kemudian menjungkit bahu.
“Maaf. Saya kurang pasti. Kali terakhir saya nampak keris yang asli adalah ketika saya berusia lima tahun. Lebih cantik ukirannya dari keris ni. Ayah kata, keris itu adalah amanat turun temurun dari nenek moyang lagi.”
            Aku mengerut dahi. Semakin tertarik mahu mengetahui siapakah nenek moyang Darul. Mereka berasal dari keluarga mana? Tapi menurut kata Annur, Darul adalah keturunan diraja Johor. Tengku Darul Fikri.
            “Saya sedang mengumpul maklumat mengenai keris warisan Melayu. Rasanya boleh tak saya minta pertolongan dari ayah awak?”
            Aku mencuba nasib.
            “Um.. nanti saya tanya dengan ayah. Rasanya sekarang ni dia tengah sibuk dengan ekskavasi di kawasan replika istana Melaka.”
            Aku mengangguk perlahan namun harapanku kian mengunung mahu bertemu dengan ayah Darul. Mungkin dia tahu di mana tersimpannya keris yang asli. 
            “Hah! Ekskavasi di istana Melaka? Seronok tu!”
            Aku terkejut apabila salah seorang kawan Darul, Azrin datang menyampuk perbualan kami.
            “Ayah kau betul-betul nak cari perigi misteri tu ke?”
            Darul mengangguk laju.
            “Perigi?”
            Tanyaku pula.
            “Ya. Perigi. Mira, kau mesti jumpa dengan ayah Darul ni. Dia tu sejarawan negara tau! Macam-macam benda menarik yang dia tahu.”
             Darul tersenyum sambil menggeleng kepala.
            “Nanti kalau dapat, saya bawa awak jumpa ayah saya. Mungkin dia boleh bantu awak mencari maklumat tentang keris-keris warisan melayu.”
Aku tersenyum. Perigi dan keris. Sesuatu yang menarik.  
                          Klik untuk bab Seterusnya   👉Bab 5👈   👉 Bab 7👈

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37