Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Saturday, June 9, 2018

Sumpahan untuk Si Puteri Bab 3

Aku tidak betah untuk duduk diam melihat pertarungan yang sedang berlangsung ini. Semua di sini kelihatan seronok dan bersorak melihat dia dan seorang lagi hulubalang istana berlaga di dalam gelanggang. Kanda Sultan pula kelihatan bangga melihat para pendekarnya bertarung sesama sendiri. Kenapa acara seperti ini dianjurkan. Marahku di dalam hati. Kalau tersilap langkah, dia akan tercedera. Aku dan dia sempat berbalas pandangan. Dia tersenyum lebar. Mungkin mencuba menghilangkan kerisauan di hatiku ini.
“Baik-baik kanda.”
Bisikku perlahan. Dia seperti boleh membaca gerak bibir ku, kemudian mengangguk kepala perlahan.Puteh menepuk bahuku perlahan. Aku mengalihkan pandangan kepada Puteh. Dia sedang tersenyum.
“Jangan risau tuan puteri. Dia pasti akan menang.”
 Bisik Puteh perlahan. Takut didengari oleh kanda Sultan. Aku tersenyum kecil. Cuba bertenang setiap kali lawannya menghunus keris ke arahnya. Timbul rasa bangga bila dia dengan senang mematahkan serangan dari pihak lawan.
“Hulubalang Dahari hebat!”
Kedengaran Raja Ahmad menyuarakan pendapatnya dengan penuh keterujaan. Aku tersenyum panjang.
“Laksamana Hang Tuah lagi hebat.”
Usikku perlahan kepada Raja Ahmad. Dia tersenyum lebar.          
            “Tapi Laksamana tidak bertarung hari ini.”
            Jawabnya dengan pintar. Kanda Sultan hanya tersenyum mendengar anakandanya petah berkata-kata.
            “Argh!”
            Aku terus memandang ke arah kekasihku bila terdengar jeritan itu. Kelihatan Dahari sedang memegang bahunya yang sudah membuak-buak darah yang mengalir. Aku mahu menjerit dan berlari ke arahnya. Namun Puteh cepat menarik bahuku perlahan.
            “Tuan Puteri..”
            Pandangannya seperti memberi amaran. Hancur hati bila aku tidak dapat melakukan untuk merawat dirinya. Kanda Sultan tenang memerhati kekecohan itu. Aku terkaku melihat Dahari  di bawa keluar dari gelanggang pertarungan.
            “Dinda mahu beristirehat di kamar.”
            Kataku memohon izin dari kanda Sultan untuk beredar dari acara itu.
            “Baiklah. Bawa Raja Ahmad sekali.”
            Aku mengangguk perlahan. Lemah.
            “Mari Raja muda.”
            Kataku sambil menghulurkan tangannya. Kami berjalan perlahan meninggalkan keramaian itu. Raja Ahmad yang masih menggenggam tanganku, menggoncangkan tanganku perlahan. Mungkin mahu menarik perhatianku.
            “Jangan risau ibu Amina. Hulubalang Dahari seorang pendekar. Dia akan cepat sembuh.”
            Aku tersenyum kecil dan kemudian menyamakan kedudukanku dengan Raja Ahmad.
            “Ibu juga harap macam begitu raja kecil yang petah. Melaka beruntung mendapat pemangku raja seperti Raja Ahmad.”
            Aku memandang Puteh yang sedari tadi sama mengekori langkah aku dan Raja Ahmad.
            “Boleh sampaikan salam takziah dari kami berdua kepada Dahari. Katakan kepada dia semoga cepat sembuh.”
            Puteh mengangguk perlahan dan meminta diri untuk mencari Dahari. Aku menghantar Raja Ahmad ke kepada inangnya selepas itu barulah aku kembali ke kamarku. Menunggu Puteh yang membawa khabar dari kekasihku. Pintu kamar di buka perlahan. Aku tersenyum kecil dan meluru ke arah Puteh. Tidak sabar mahu mengetahui keadaan dia. Puteh tersenyum.
            “Dia baik-baik saja Tuan Puteri. Jangan dirisaukan sangat. Dua, tiga hari lagi baiklah dia.”
            Aku mengucap syukur di dalam hati. Tidak sabar untuk berjumpa dengannya lagi.
~~~~~~~~~~~~~
            “ Hah! Susun baik-baik dulang itu. Jangan ada yang terjatuh.”
            Riuh rendah kedengaran Sang Setia mengarahkan orang-orang istana menyiapkan 7 dulang hantaran yang akan dipersembahkan kepada Puteri Gunung Ledang. Aku tersenyum melihat kesibukan seisi istana dalam menguruskan persiapan untuk peminangan kanda Sultan itu.
            “Pastikan tiada satu pun barang-barang yang jatuh, kalau ada yang jatuh, satu penampar buaya melayang di muka kamu.”
               Aku tergelak kecil. Sang Setia yang baru menyedari kehadiran aku disana kelihatan malu. 
            “Ah.. Tuan Puteri.. Maafkan hamba, hamba tidak sedar kehadiran Tuan Puteri tadi.”
            Aku tersenyum panjang. Sebenarnya aku tidak menumpukan perhatian langsung dengan kata-kata Sang Setia itu. Pandanganku terarah kepada Dahari yang baru datang membawa barang persembahan. Dia sempat menghadiahkan senyuman manis sebelum menyiapkan kerja-kerjanya semula. Senang hati aku melihat dia sudah sihat.
            “Ada apa yang boleh hamba bantu Tuan Puteri?”
            Aku mengalihkan pandangan kepada Sang Setia dan kemudian menggeleng perlahan.
            “Tiada apa-apa Sang Setia. Beta cuma mahu melihat perkembangan di sini. Sila teruskan kerja tuan hamba. Beta tidak mahu menganggu.”
            Sang Setia mengangguk perlahan.
            “Tuan Puteri, barang-barang ini mahu dibawa ke mana?”
            Puteh datang membawa sebakul barangan yang berisi benang-benang emas dan kain baldu. Aku tersenyum lebar. Tiba-tiba mendapat satu buah fikiran yang bernas.
            “Sang Setia, bolehkah Beta meminjam kekuatan seorang pendekar Melaka untuk membawa barangan Beta itu ke pondok di taman istana?”
            Aku sempat memandang ke arah Dahari yang sedang mencuba untuk menyembunyikan senyumannya. Aku tersenyum lebar. Mujur Sang Setia tidak perasaan dengan kelakuan kami itu. Puteh tertawa kecil.
            “Sudah tentu boleh Tuan Puteri. Ah. Umar, tolong angkatkan barang-barang Tuan Puteri.”
            Senyuman di bibir tiba-tiba mengecut bila mendengar arahan Sang Setia itu. Puteh tertawa kecil dibelakangku.
            “Beta mahu hulubalang di hujung sana untuk mengiringi beta.”
            Kataku memaksudkan Dahari untuk mengiringiku. Sang Setia mengerut dahi. Hairan dengan permintaanku. Aku cuba mengekalkan wajah yang serius.
            “Baiklah Tuan Puteri. Dahari, tolong angkatkan barang-barang Tuan Puteri”
            Dahari tersenyum lebar sambil berjalan mengambil barang-barang dari Puteh.
            “Terima kasih Sang Setia.”
            Kataku dan kemudian melangkah ke arah taman istana sambil diekori oleh Dahari dan Puteh. Dahari melabuhkan punggung di hadapanku. Puteh senyap menyediakan persiapan untuk menekat.
            “Tidak sangka Puteri Melaka ini nakal juga orangnya.”
            Aku tersenyum malu mendengar usikan dari dia.
            “Kalau tidak, manakan kita dapat berjumpa dengan hulubalang Melaka yang perkasa seperti kanda ini.”
            Dia tersenyum sambil menggeleng kepala perlahan.
            “Jangan beri pujian yang tinggi melambung. Takut kelak kepala hanya mendongak merenung langit. Riak melampaui batasan.”
            Aku mengangguk perlahan. Mengakui kebenaran kata-kata itu.
            “Kanda akan turut serta dalam rombongan peminangan?”
            Dia mengangguk. Aku mengeluh panjang.
            “Kalau dinda merayu agar kanda jangan pergi?”
            Dia kelihatan serba salah.
            “Itu titah Baginda Tuanku. Siapalah Kanda untuk menderhaka.”
            Kata-katanya membuatkan aku terdiam. Adakah dia ingat janjinya untuk membawa aku pergi dari Melaka berdaulat ini dan menderhaka kepada Sultan?.
            “Dinda khuatir Kanda. Hati dinda tidak tenang sejak akhir-akhir ini.”
            Kataku meluahkan rasa hati. Wajahku berubah sugul.
            “Jangan sedih dinda. Itu cuma mainan perasaan.”
            Pujuknya perlahan. Aku mengeleng perlahan. Ada sesuatu yang akan berlaku. Hatiku terasa sungguh yakin.
            “ Hati-hati ya Kanda. Janji dengan dinda. Kanda mesti pulang kepada dinda semula.”
            Dia tersenyum dan menarikku ke dalam pelukannya.
            “Kanda janji dengan dinda hanya maut menjadi penghalang kanda untuk kembali kepada dinda. Walau kaki hancur sekalipun, kanda tetap akan kembali kepada dinda. Dinda cuma perlu tunggu kanda pulang semula.”
            “Dinda pegang janji kanda.”
            Kataku perlahan.
                                                                                              ðŸ‘‰Bab 2👈           ðŸ‘‰Bab 4👈

 Bersambung.. 

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37