Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Thursday, June 7, 2018

Sumpahan untuk Si Puteri : Bab 2

      Aku termenung di tepi jendela. Rasa bosan kerana terperangkap di dalam istana ini. Tiada apa yang aku lakukan selain bermain dengan dayang-dayang. Setelah beberapa minit mendiamkan diri di tepi jendela, Aku ternampak kelibat Puteh berjalan ke arah taman dengan lajunya. Aku mengerut dahi. Hairan dengan sikap Puteh pada akhir-akhir ini.
 Puteh sentiasa menghabiskan masa dengan termenung. Aku berlari-lari anak ke arah taman dan cuba mengejar langkah Puteh. Satu-satunya kawasan yang tidak mempunyai hulubalang-hulubalang yang berkawal. Namun tiada langsung kelibat Puteh kelihatan di sekitar taman itu. 
Aku berjalan di sekitar taman sehingga aku sampai ke kawasan pintu lama di belakang istana yang sudah lama terbiar. Kelihatan satu lubang kecil di sebalik semak. Tanpa berfikir panjang, aku menyusup keluar dari kawasan taman istana melalui ruangan yang kecil itu.
            “Di mana pula Puteh ni pergi?”
            Aku seperti baru melintasi pintu ajaib. Terkaku melihat kawasan di sebalik taman istana itu.Walaupun hanya dipisahkan dengan tembok istana, kawasan di sebalik taman itu kelihatan menyeramkan. Sungguh berbeza dengan kawasan istana yang selalu aku lawati. 
Pokok-pokok beralun mengikut angin. Mereka seperti sedang berbicara sesama sendiri. Tidak kelihatan pokok yang rendang. Kawasan itu dipenuhi dengan pokok-pokok yang tinggi lampai dan berdahan besar. Tanah pula diselaputi dengan rumput yang layu. Kawasan sekitar kelihatan suram. Seperti hutan yang tidak bernyawa.
 Aku memaksa kaki untuk terus melangkah. Mahu mencari Puteh. Langkah demi langkah sehingga aku ternampak susuk tubuh yang berdiri di hadapan perigi yang cukup indah binaannya. Kawasan di sekitar perigi itu kelihatan ceria. Rumput-rumput menghijau dan bunga-bunga hutan tumbuh meliar.
            “Puteh....”
            Panggilku dengan ragu-ragu.
            “Tuan Puteri!”
            Puteh berpaling mengadap aku dengan wajah yang cukup terkejut. Aku menarik nafas lega bila yakin orang itu adalah Puteh. Aku melangkah ke arah Puteh sekali gus aku mendekati perigi itu dan melihat ke dalamnya. Gelap.
            “Perigi apakah ini Puteh?”
            Puteh kelihatan ragu-ragu mahu menjawab soalan yang aku ajukan tadi.   Aku menjengilkan mata. Pantang bila soalan yang aku ajukan dibiar tanpa jawapan.
            “Puteh.”
            Aku menekankan panggilan namanya sebagai tanda amaran.
            “Orang-orang mengatakan yang perigi ini akan menunaikan tiga permintaan kita. Jadi, hamba tertarik untuk melihat perigi ini.”
            Aku tertawa kecil. Perigi yang bisu ini menunaikan permintaan. Bukankah itu sesuatu yang melucukan. Puteh mengerut dahi. Mungkin kehairanan bila mendengar aku tertawa. Angin bertiup yang bertiup lembut seperti menusuk masuk ke dalam tulang putih. Sejuk. Aku memeluk tubuh.
            “ Jangan begitu tuan puteri. Takut nanti terkena sumpahan daripada perigi ini.”
            Tempat ini terasa semakin sejuk.
            “Apa permintaan kamu kepada perigi ini Puteh?”
             Puteh kelihatan segan.
            “Setiap orang punyai impian tuan puteri. Impian hamba adalah untuk mendapatkan cinta sejati.”
            Aku tersenyum lebar melihat Puteh tunduk malu. 
            “Cinta itu adalah sesuatu yang pelik. Datang tanpa diundang, dan perginya tanpa dihalau.”
             Aku memetik satu bunga melor putih yang sekian lama menjadi kegemaran ku. Aku merenung ke dalam perigi itu lagi.
            “Beta juga ada permintaan wahai perigi.”
Aku tersenyum melihat wajah Puteh yang kelihatan keliru.
            “Semoga apa juga permintaan Puteh akan termakbul.”
            Serentak dengan itu, aku membuang bunga melor putih itu ke dalam perigi. Angin serta merta bertiup dengan kencang dan pokok bergoyang dengan kuat mengikut arah angin. Aku dan Puteh terus merapatkan diri antara satu sama lain. Terkejut dengan kejadian itu. Langit juga mula menjadi suram dan gelap. Kejadian itu berlaku selama beberapa minit sebelum keadaan menjadi tenang semula.
            “Sudahlah Puteh. Baik kita pergi dari sini sebelum berlaku apa-apa.”
            Puteh mengangguk dan cepat mengikut langkahku yang semakin laju. Mahu cepat pulang ke kawasan istana.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
            “Kanda..Kanda...Kanda! tolong Dinda!”
            Aku sedang berdiri di atas tembok perigi. Memanggil dia yang berada tidak jauh dariku. Dia seperti memanggil-manggil namaku. Namun tiada suara yang sampai ke telingaku. Semuanya seakan sunyi. Dalam sekelip mata, aku menjadi seperti penonton peristiwa itu. Tidak dapat berbuat apa-apa. Hanya mampu melihat diriku terjun ke dalam perigi. Dan dia berlari laju ke arah perigi. 
Aku terkaku di tepi melihat semua yang berlaku dengan begitu pantas. Aku masih terkaku bila melihat dia terjun ke dalam perigi itu. Hanya mampu menjerit mahu meminta tolong. Namun sayangnya, tiada suara yang terkeluar dari kotak suaraku. Aku menjerit dan menjerit.
            “Kanda!”
            Peluh merintik di dahi. Aku memerhatikan sekeliling kamar yang gelap gelita. Kelihatan seorang dayang berlari-lari anak membawa pelita.
            “Kenapa Tuan Puteri?”
            Tanyanya dengan wajah risau. Mungkin dia terkejut dengan jeritanku sebentar tadi. Aku termenung di atas pembaringanku. Mimpi yang aku alami tadi terasa begitu nyata. Ia bagaikan satu petanda. Ada sesuatu malapetaka yang akan berlaku.
            “Apa yang merunsingkan hati tuan Puteri?, hamba sudi menjadi pendengar masalah itu Tuan Puteri.”
Aku mengeleng perlahan. Cuma mimpi buruk. Pujuk hatiku sendiri. Beberapa minit selepas itu, Puteh masuk ke kamar aku dengan muka runsing.
            “Ada apa Puteh?”
            Aku bertanya kepada Puteh. Dayang yang tadinya menemani aku sudah meminta diri untuk keluar dari kamarku.
            “Bolehkah Puteri melawat kamar Raja Ahmad? Inangnya sudah tidak tahu macam mana mahu memujuk Raja Ahmad. Putera muda mencari bondanya.”
            Aku mengeluh perlahan. Kasihan dengan nasib pemangku raja itu. Kecil-kecil lagi dia sudah kehilangan kasih sayang seorang ibu. Aku bangkit dari tempat beradu dan bersiap secara ala kadar. Puteh setia mengikut langkahku menuju ke kamar Raja Ahmad. Kelihatan Kanda Sultan mengeluh perlahan melihat tangisan Raja Ahmad walaupun di dalam tidur. Mungkin Raja Ahmad juga mendapat mimpi buruk. Aku berjalan mendekati Raja kecil itu. Perlahan-lahan aku mengusap ubun-ubun kepalanya.
            “Anakanda Ahmad...”
            Panggilku perlahan.
            “Bonda..”
            Aku dan Kanda Sultan berpandangan. Walang rasa hati bila melihat kerinduan Raja Ahmad kepada bondanya itu.
            “Ahmad.. ini ibu Amina. Bangun nak.”
            Raja Ahmad akhirnya terbangun. Namun matanya sudah basah dengan air mata. Dia terus memeluk diriku.
            “Ibu..”
            Aku mengelap air mata yang masih mengalih di wajah anak buah kesayanganku itu. Kanda Sultan kemudian mengambil Raja Ahmad dari pelukanku dan perlahan-lahan memujuk Raja Ahmad supaya tidak menangis lagi.
            “Pergilah beradu dinda. Biar kanda yang memujuk Raja Ahmad.”
            Aku mengangguk perlahan. Aku mencium ubun-ubun kepala Raja Ahmad sebelum keluar dari kamarnya. Raja Ahmad permata hati seluruh istana. Cinta kanda Sultan kepada Raja Ahmad tiada berbelah bagi. 
                                                        klik untuk bab lain  👉Bab satu 👈      👉Bab 3👈

  Bersambung...

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37