Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Sunday, January 23, 2022

Tiada Drama di Kampus Extra : Bab 44

 Afid mengangkat baju T-shirt berwarna merah jambu yang diberikan oleh Lokman. Baju rasmi Karnival Pinky Promise anjuran Fakulti Lokman. Afid pandang Kafi. Mereka berpandangan seketika sebelum memandang ke arah Lokman yang sedang memakai Tshirt dengan rekaan dan warna yang sama.

Lokman sengaja memilih untuk memakai baju bersaiz kecil untuk menampakkan otot-otot di badan dan kelihatan cukup bangga dengan pemilihan baju tersebut.

"No."

Afid terus meletakkan baju T-shirt tadi di atas meja belajar milik Lokman.

Lokman pandang Afid yang sedang mengemas beg gim dan kemudian Kafi yang perlahan-lahan mengundurkan langkah, menjauhi baju T-shirt tersebut.

"Maaf. Aku ada cakap yang korang ada pilihan ke?" Lokman memeluk tubuh dan mengangkat kening sebelah kepada Afid dan Kafi.

Kafi dan Afid memeluk tubuh dan berpandangan sesama sendiri sebelum mengundur beberapa langkah dari Lokman.

"Aku baru lepas tukar ekzos kereta semalam," kata Kafi dengan nada berbisik, "kau?" tanyanya kepada Afid pula.

Afid mengeluarkan telefon bimbitnya dan memeriksa baki akaun miliknya, "Aku dah habiskan elaun aku bulan ni untuk buat surprise party untuk Eryn dan bayar duit shopping girlfriend Lokman," kata Afid.

Kafi kelihatan terkejut dan kemudian mengerut dahinya kepada Afid.

Afid mengeluh, "panjang ceritanya. Mamat ni tolong aku pujuk Eryn," jelas Afid dengan ringkas.

Kafi menganggukkan kepala. Tidak perlu dijelaskan kerana dia juga selalu terkena dan terpaksa menerima bantuan berbayar dari Lokman.

Afid mengucap panjang apabila melihat Lokman sengaja menunjukkan otot yang tertonjol di sebalik baju sendat berwarna merah jambu. Terasa seperti melihat sesuatu yang cukup tragis.

"Maggi Sayd cukup sampai hujung bulan ni kan?" Afid pandang Kafi dan kemudian matanya memandang beberapa kontena makanan milik Sayd. Dia kemudian mengeluh dan mengeluarkan buku cek dari laci mejanya. Dia memandang ke arah Lokman sebelum menarik nafas panjang sebelum menulis sejumlah amaun di atas helaian cek tersebut.

Lokman menjongket kening sebelah apabila dihulurkan sekeping cek dari Afid dan Kafi. Dia tersenyum penuh muslihat.

"Maaf. Kami tidak memerlukan sumbangan duit dari anda," kata Lokman namun matanya tetap melirik ke arah jumlah cek di tangan Afid sebelum merentap sehelai cek tersebut, "kami cuma perlukan bantuan dan khidmat anda," tambah Lokman sambil melipat cek tersebut dan menyelitkan sehelai cek ke dalam poket seluarnya.

"Korang tetap kena participate," kata Lokman dengan serius.

Kafi dan tercengang melihat cek yang kini bertukar milik.

"Aku tak nak pergi," ujar Kafi sebelum menarik kerusi belajar miliknya.

"Aku pun," tambah Afid dengan pantas sambil menzipkan beg gimnya.

"Wei! Program ni untuk komuniti setempat. Kumpukan derma untuk anak-anak yatim. Korang tak nak ke sucikan jiwa yang dah gelap tu?" Lokman mencekak pinggang melihat tingkah Afid dan Kafi.

"Kena pakai baju tu?" Kafi menggeleng kepala dengan laju, "takpe. Aku sedekah kat Masjid je hari jumaat minggu depan," tambah Kafi.

"Oh, okay. Tapi aku dah kata bantuan aku bukan percuma." Lokman mengeluarkan telefon bimbitnya sambil memandang ke arah Kafi, "Hello, Rey. Aku ni Lokman. Pasal kerja kursus kau tu," Lokman tersenyum sinis apabila telefon miliknya dirampas oleh Kafi.

"Kau menang," kata Kafi sebelum menyerahkan semula telefon bimbit Lokman selepas menamatkan panggilan. Dia mengambil sehelai baju merah jambu di atas meja Lokman.

"Sebab kerja kursus pun kau boleh kena ugut sampai macam ni. Memalukan," kata Afid sebelum berjalan perlahan-lahan ke meja Lokman dan menarik sehelai lagi baju merah jambu. Dia bertukar pandang dengan Lokman dan kemudian menganggukkan kepala seperti sedang mencapai persefahaman tanpa perlu berkata apa-apa. Hubungan dia dengan Eryn agak baik kebelakangan ini. Dia tidak mahu mengambil risiko.

Pintu bilik ditolak dari luar dan kelihatan Sayd bersama beg gim dengan muka lesu. Dia terus melabuhkan punggung di atas kerusi milik Afid.

"Sayd, baju pink tu kau kena pakai untuk karnival," kata Lokman sambil menunjuk ke arah sehelai lagi baju Tshirt merah jambu yang tinggal.

Sayd menganggukkan kepala, "okay, thank you. Tapi, aku lambat sikit nanti," jawab Sayd.

Kafi dan Afid memandang Sayd dengan muka muka penuh curiga.

"Apa yang kau dah buat untuk Sayd?" tanya Kafi sebelum melirik ke arah Lokman dan kemudian Sayd.

Sayd bertukar pandangan dengan Lokman dan kemudian menggaru belakang lehernya.

"Um, tak ada apa-apa," jawab Sayd sebelum bangun dan berjalan ke bilik air sementara Lokman tersengih bak kerang busuk dan terus keluar dari bilik tanpa memberikan peluang untuk Kafi dan Afid bertanyakan soalan.

Comment + Vote kalau tak keberatan ❤️

xoxo

xoxo


No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37