Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Thursday, February 24, 2022

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rintu 31

...Yang Terakhir : Part 2

Saat jenazah Alfi diturunkan ke liang lahat dan disambut oleh beberapa orang rakan sekolah mereka termasuk Farhan dan Alfi, Nadya sempat memandang sekeliling. Mencari satu susuk tubuh yang sepatutnya ada di situ. Nadya tersenyum nipis kepada Andi yang sempat memandang ke arahnya selepas memanjat keluar dari liang lahad selepas membantu menurunkan jenazah Alfi.

Farhan yang kelihatan tenang bermula dari saat Alfi ditemui sehinggalah saat jenazah Alfi diturunkan ke liang lahad kini mengalirkan air mata. Seluar dan baju yang penuh dengan selut tidak menjadi hal bagi Farhan yang terduduk di tepi pusara. Farhan mengepal tanah dan memasukkan tiga kepalan tanah ke dalam pusara sambil membaca doa sementara air matanya semakin laju mengalir. Mungkin mula menyedari yang itu adalah kali terakhir dia dapat melihat dan memegang Alfi. Dia terus menatap jenazah di tepi lubang kubur sehinggalah ditutup perlahan-lahan dengan tanah.

Nadya terus mengalihkan pandangannya dari Farhan sambil cepat-cepat menekup mulutnya agak tidak mengeluarkan bunyi tangisan yang kuat. Simpatinya tumpah apabila melihat tingkah Farhan yang kini berseorangan menghantar Alfi.

Andi terus mencangkung di sebelah Farhan dan menepuk bahu lelaki itu. Dia juga sempat memandang ke arah Nadya dengan mata basah. Andi mengelap airmatanya dengan lengan baju yang masih bersih dari selut.

“Ressa…” Nadya memandang ke arah seorang wanita yang berdiri agak jauh dari kawasan pengebumian. Selesai pusara ditimbus, wanita tersebut pun terus berlalu dari situ.

Andi memandang ke arah Nadya dengan dahi yang berkerut apabila Nadya seakan terkhayal memandang ke satu tempat.

Nadya pandang Andi dan kemudian menggelengkan kepala dan tersenyum nipis. Dia mengelap mata yang terasa berat kerana tidak berhenti menangis sejak pagi tadi. Mulanya dia terasa ralat bila Alfi hanya dihantar oleh Farhan walhal waktu dulu, Farhan, Ressa dan Alfi seperti belangkas. Di mana-mana pun mereka akan bertiga. Rupanya Ressa hanya mampu menghantar pemergian Alfi dari jauh.

Bab terakhir Alfi kini berakhir selepas talkin selesai dibaca. Farhan orang terakhir yang melangkah pergi dari pusara Alfi. Itupun setelah Andi menepuk bahu Farhan untuk menyedarkan Farhan yang seakan terkhayal lama di tepi pusara.

Are you okay?” tanya Ashrul kepada Nadya yang mendekati keretanya. Dia terpaksa menunggu di kereta untuk menjaga anak kembar mereka yang kepanasan di bawah terik matahari.

Nadya memandang Ashrul dan kemudian menggeleng kepala.

Ashrul terus menarik Nadya ke dalam pelukannya.

I’m sorry… I tak tahu macam mana nak buat you berhenti menangis.” Kata Ashrul perlahan ke telinga Nadya.

Nadya menekupkan mukanya ke dada Ashrul dan menangis lagi.

I’m sorry…” ulang Ashrul lagi sambil menggosok bahu Nadya dan membiarkan Nadya bertenang di dalam pelukannya.

~~~~~

“Aku sangka aku akan jumpa dia lagi dan hari ni cuma mimpi yang buruk.” Farhan tersenyum nipis sambil memandang kopi ais yang dipesan olehnya. Farhan menarik nafas panjang sebelum memandang sekeliling kedai makan. Persinggahan mereka selepas majlis pengebumian Alfi.

“Aku masih berharap yang Alfi akan muncul bila-bila masa je dari sekarang dan minta maaf dengan aku sebab biarkan aku sorang-sorang jaga Ressa,” Farhan meramas rambutnya sebelum tergelak kecil, “Ressa sendiri pun tak nak datang tengok Alfi untuk kali terakhir. Dia masih percaya yang Alfi masih hidup.” Mata Farhan berkaca apabila mengatakan yang Alfi masih hidup.

“Dia ada datang.”

Andi pandang Nadya yang duduk di sebelah Ashrul.

“Ressa ada datang sekejap tadi. Dia pulang sebelum bacaan talkin.” Jelas Nadya bermain dengan gelasnya.

Farhan tersenyum nipis.

“Aku tak tahu apa nak buat dengan dia.” Farhan menelan air liur kesat, “selepas pemergian mak dan ayah dia, Ressa abadikan hidup dia untuk mencari Alfi. Dan sekarang…” Farhan mengeleng kepala, “aku tak tahu apa lagi yang tinggal untuk dia. Mungkin dia akan terus mencari Alfi atau mungkin...” Farhan seakan tersedar sesuatu dan terus menutup mulutnya sebelum mengeluh panjang.

“Dia akan terima juga nanti. Mungkin kau patut bagi dia masa untuk terima semua ni.” Andi menepuk bahu Farhan.

Farhan tersenyum kecil dan menganggukkan kepala.

By the way, tadi Datuk Bandar ada datang ke majlis pengebumian. Dia ada kaitan dengan arwah ke?” tanya Andi setelah mereka semua lama terdiam.

Farhan terdiam sambil merenung air kopi yang semakin berkurang.

“Ramai juga rombongan yang dia bawa tadi.” Tambah Nadya pula.

“Oh, Dato tu kebetulan ada di Pekan ni. Jadi dia tahu mengenai kes Alfi. Sebab tulah dia sempat melawat tadi.” Jelas Farhan sebelum memasukkan tangannya ke dalam poket baju melayu yang tersarung di badannya.

“Aku perasan ada dua orang lelaki berbaju kot hitam dengan kaca mata hitam mengiring Dato tu tadi. Siapa diorang tu?” Andi pandang Farhan tanpa menyedari Nadya memandang ke arahnya dengan dahi yang berkerut.

Farhan mengerut kening.

“Mungkin pengawal peribadi Dato. Dato selalu pergi mana-mana dengan dua pengawal dia tu. Kenapa? Kau kenal diorang ke?” tanya Farhan pula.

“Oh. Tak ada apa-apa. Aku cuma tanya je,” Andi terus menjongket bahu sebelum terpandang Nadya yang masih memandangnya.

Why?” tanya Nadya kepada Andi dengan gerak bibir tanpa mengeluarkan suara.

Andi hanya tersenyum sebelum menggelengkan kepala sebagai jawapan untuk soalan Nadya.

~~~~~

“I dah hired orang untuk bawa kereta you balik. You balik dengan I.” Jelas Ashrul sewaktu Nadya menghulurkan beg pakaian kepadanya.

“Okay.” Jawab Nadya sebelum memandang ke lobi hotel. Dia masih tidak nampak Andi sejak mereka masing-masing naik ke bilik untuk berkemas.

“I nak beritahu sesuatu dengan you…” Ashrul yang baru selesai menyusun beg pakaian, memandang ke arah Nadya. Ashrul turut memandang ke lobi sebelum memandang ke arah Nadya semula, “you nak tunggu dia?” tanya Ashrul.

Nadya pandang Ashrul dengan muka serba salah.

“Boleh tak tunggu sekejap?” tanya Nadya sebelum menggigit bibirnya.

Ashrul memandang Nadya buat seketika. Bibirnya seakan ingin berkata sesuatu. Namun akhirnya Ashrul hanya menganggukkan kepalanya dengan rasa berat hati.

Nadya tersenyum lebar.

Thank you. You tunggu kejap ya.” Kata Nadya sebelum ingin berlari masuk ke dalam lobi.

Ashrul memegang tangan Nadya.

“Dia minta I beritahu you tadi. Dia tak jadi balik hari ni.” Kata Ashrul apabila berjaya menahan Nadya dari pergi.

Senyuman di bibir Nadya terus hilang. Nadya terus mencari kereta sewa Andi di tempat letak kereta tersebut. Dia juga mencari motorsikal milik Andi. Namun ternyata tiada lagi kesan Andi di motel tersebut.

“Apa you cakap dengan Andi?” Nadya terus menatap Ashrul dengan tajam. Rahangnya diketap kuat.

“Apa maksud you tanya I macam tu?” tanya Ashrul pula.

You tu… apa yang you cakap dengan Andi sampai dia pergi tanpa jumpa I? You cerita pasal kita kan? Pasal perjanjian dua tahun kita?” Marah Nadya dengan air mata yang mula membasahi pipinya. Rasa takut mula menyelubungi hatinya. Takut kehilangan Andi lagi.

Or you bagitahu dia yang I masih lagi isteri you?” Nadya mendongak memandang Ashrul. 

Bersambung...

Next Week lagi ya.. In shaa Allah. 

Xoxo.

IKLAN Tiada Drama Di Kampus


No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37