Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Thursday, January 28, 2021

Cinta yang akan Selalu Aku Rindu 11

 

Pergi...

Perginya dia membawa meninggalkan satu kerinduan yang tidak terhingga, ingin mengejar tapi kaki bagai terbenam ke dalam pasir jerlus. Semakin melawan, semakin dalam diri tertimbus - Andi

Andi tersenyum melihat gambar-gambar lama yang dikeluarkan dari stor. Album yang menyimpan seribu satu kisah remajanya. Di situ, Nadya selalu ada untuk dia dan dia ada untuk Nadya. Andi mengeluh perlahan. Di mana mulanya, semua berubah tiga ratus enam puluh darjah. 

“Andi tengok apa?” Ibu Suri datang mendekati anaknya yang sejak dari menghabiskan masa di dalam stor.

Andi tersentak sedikit dan kemudian dia tersenyum nipis bila ibunya tiba-tiba muncul dibelakangnya.

“Andi cuma tengok-tengok je” katanya sambil menutup album gambar dan masukkan ke dalam kotak.

“Ibu,” panggil Andi bila ibunya mahu melangkah pergi, “Nadya dengan Andi, apa sebenarnya yang berlaku?”

Ibu Suri mengeluh perlahan.

“Kenapa Andi tak tanya Nadya?” tanya Ibu Suri kemudian dia tersenyum nipis bila melihat Andi menundukkan merenung lantai.

“Nadya, macam buku yang mempunyai kulit buku yang sama tapi isi buku yang berbeza” jawab Andi sambil mengeluh.

Ibu Suri mengelengkan kepala.

“Salah tu”

Andi memandang Ibunya.

Ibu Suri tersenyum dan melabuhkan punggung di sebelah Andi. Album gambar yang disembunyikan oleh Andi tadi. Gambar-gambar lama ketika Andi masih bersekolah ditatap lama.

“Andi baca buku yang masih ditulis dan bukan buku cerita yang sudah ada penamat” Ibu Suri memandang ke arah Andi, “Nadya, masih buku yang sama, jalan cerita Nadya masih ditulis dan Andi hanya sempat baca ceritanya di permukaan”

~~~~

“Hey Nad!” Andi berlari-lari mengejar langkah Nadya.

Nadya memandang sekilas ke arah Andi yang masih mengejar dari belakang. Dia sempat menjeling tajam ke arah Andi sebelum cuba melajukan langkah. Namun usahanya hanya sia-sia apabila Andi sudah ada di hadapannya tanpa mengeluarkan peluh langsung.

“Kaki pendek, ada hati nak tinggalkan aku” sindir Andi dengan nada bersahaja.

Nadya menghentikan langkah dan kemudian berpaling ke belakang dan meneruskan perjalanan menuju ke arah bertentangan.

Andi mengerut dahi apabila menyedari Nadya tiada di sisinya. Dia berpaling ke belakang dan kemudian mengejar langkah Nadya.

Okay-okay”

Nadya menghentikan langkahnya. Dia berusaha menyembunyikan senyuman yang perlahan-lahan terukir di wajahnya.

Okay?”

Andi mengeluh panjang.

Okay,” Andi memandang sekeliling mereka. Memandangkan pasar pagi dibuka setiap hari ahad, keadaan sekeliling agak sesak. Bunyi motosikal dan kereta berselang seli melalui jalan besar di pekan tersebut.

“Aku jadi model kau” kata Andi dengan perlahan.

Nadya tersenyum lebar. Beg yang penuh dengan kelengkapan melukis diserahkan kepada Andi sebelum dia menarik tangan Andi menuju ke tasik buatan tidak jauh dari kawasan Pasar pagi.

“Kau duduk sini” Nadya menolak bahu Andi supaya lelaki itu duduk membelakangkan pemandangan Tasik. Kelihatan beberapa swan boat di atas tasik.

Andi mengaru belakang lehernya. Kelihatan beberapa orang sedang berjogging memandang ke arahnya yang disuruh berposing oleh Nadya.

“Andi, jangan gerak” Nadya memberi amaran sambil mengecilkan matanya.

Andi berdehem perlahan sebelum kembali ke posisi yang ditetapkan oleh Nadya.

“Lama lagi ke?” Peluh mula membasahi wajah Andi setelah hampir lima belas minit dia mengeraskan badannya untuk dilukis oleh Nadya. Andi menurunkan tangan apabila melihat Nadya leka memandang kertas lukisan. Dia menelengkan kepala untuk melihat wajah Nadya di sebalik buku lukisan Nadya. Andi ikut tersenyum apabila Nadya tersenyum. Andi melakukan regangan badan sebelum berpindah duduk di sebelah Nadya.  Senyumannya mengecut bila melihat kertas lukisan Nadya.

“Nadya!” Mata Andi menjengkil apabila melihat lukisan yang sedang disiapkan oleh Nadya.

Bahu Nadya terjongket sedikit dan matanya membulat bila sedar Andi sudah ada disebelahnya. Tanpa sebarang kata, dia lari bersama kertas lukis. Gelaknya pecah bila Andi gagal membaling kasut ke arahnya.

“Aku penat-penat posing!” Andi sempat mengambil kasut yang dibalingnya tadi sebelum mengejar Nadya.

“Pemandangan belakang tu lebih menarik dari kau” jerit Nadya dari jauh.

“Kau tunggu kat situ! Jangan lari”

“Dah petang, aku balik dulu” Nadya menjelir lidah sebelum berlari jauh dari Andi.

Andi mengeluh panjang sebelum kembali mengemaskan barang-barang Nadya yang tertinggal.

“Nah” Nadya memberikan sekeping kertas kecil yang mempunyai lakaran wajah Andi yang dilakar secara ringkas, “simpan tau. Lagi tujuh tahun, lukisan ni akan jadi mahal sebab ada tandatangan aku”

Andi menggelengkan kepala sambil mengeluh panjang. Namun kertas kecil itu tetap dilipat dan diselitkan ke dalam dompetnya. Dia memandang Nadya dan kemudian tangannya menggosok kepala Nadya dan sekali gus mengusutkan rambut milik gadis itu.

“Andi!” Nadya mahu membalas Andi dengan mencuba untuk mengusutkan rambut lelaki itu. Nadya menjengketkan kaki disebabkan tangannya tidak dapat mencapai ke kepala Andi.

Andi terus menjengketkan kaki bila Nadya cuba mencapai rambutnya.

“Pendek” kata Andi sambil menggosokkan kepala Nadya.

Nadya mendengus kuat. Nadya meniup kuat rambut yang berada di wajahnya dengan laju dia memanjat kerusi yang tersedia di pondok perhentian bas dan kemudian berpaut di leher Andi.

“Auch… Nad! Nad!”

Andi mengeluh perlahan sambil meniup rambut yang berada di hadapan wajahnya. Dia memandang riak wajah puas hati yang terukir di muka Nadya.

“Nad, you’re one of a kind” Andi mengeluh panjang.

Nadya tersenyum lebar bila melihat wajah kepenatan milik Andi.

~~~~

Andi berhenti melangkah biar dia terlihat susuk tubuh yang sangat dikenalinya sedang duduk di kerusi panjang bersama buku lukisan kecil. Andi memandang kertas lukisan yang mempunyai lakaran Swan Boat di tengah tasik.

“Lukisan kau masih tak berubah dari dulu”

Nadya berhenti melukis dan kemudian memandang ke arah pemilik suara. Dia tersenyum kecil.

“Cantik atau tidak?” Nadya beralih sedikit ke kiri untuk memberi ruang kepada Andi.

Andi menarik nafas dan memandang ke arah lukisan Nadya.

“Tak baik menipu” kata Nadya sebelum Andi sempat menjawab.

Andi tergelak kecil.

“Berapa aku dapat kalau aku jual ni?”

Nadya tersenyum nipis dan kemudian menjongket bahu.

“Rm10? Atau RM5?” jawab Nadya sebelum memandang ke arah Andi, “aku dah lama tak melukis, takde masa” tambah Nadya sambil meneruskan lakarannya.

“Kau kata lukisan kau mahal kalau aku jual”

Nadya tergelak kecil.

“Itu imaginasi budak baru nak up. Tak berpijak di atas tanah”

Andi memuncungkan bibir bila mendengar jawapan Nadya. Dia menggeleng dengan laju.

“Tak, aku rasa budak tu ada misi yang jelas”

Nadya mendengus kecil.

“Kau sokong dia sebab kau…” sayang dia. Nadya mengetap bibirnya dan kemudian berdehem perlahan “budak tu mahu terbang terlalu tinggi, sampai lupa taufan selalu ada”

“Kau yang takut. Angin bertiup perlahan, matahari masih terik dan langit berwarna biru. Tapi kau dah buka payung”

Nadya tergelak kecil.

“Seronok jadi kau” kata Nadya perlahan sebelum memandang ke arah Andi. Mereka berpandangan seketika sebelum Nadya mengalihkan pandangannya.

“Andi, aku pun rindu. Bukan kau je” Nadya tersenyum nipis, “tapi hidup ni kena terus ke depan”

“Nadya, gear reverse pada kereta ada kepentingan dan kegunaannya”.

Nadya tersenyum geli hati. Dia kalah. Kali ini dia kalah dengan Andi.

Klik sini untuk bab lalu atau seterusnya 👉 CYASAR 10 | CYASAR 12

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37