Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Monday, March 5, 2018

...yang Hilang 11


Rafiq mengemekkan botol air yang telah kosong dan cuba melontak masuk ke dalam tong sampah. Rafiq mengeluh bila botol air yang dilontarkan tadi tidak masuk tepat ke tong sampah. Dia memandang ke arah Rafiq, dan Rafiq memandang ke arahnya.
“Kau tahu kan yang kau kena berdiri dan masukkan sampah tu ke dalam tong sampah?” Rafiq mengangkat kening. Dia memeluk tubuh sambil memandang Rafiq.
“Kan bagus kalau Ren ada.” Dia menyandarkan badan di kerusi.
“Telefonlah Ren.” Cadang Rafiq setelah lama dia dan Rafiq merenung botol air kemek di tepi tong sampah tanpa cuba untuk melakukan apa-apa.
Ren masuk ke dalam pejabat dan kemudian terlanggar botol kemek yang dibuang oleh Rafiq. Ren memandang mereka berdua yang sedang menongkat dagu memandang ke arahnya.
“Cuma satu botol air.. tak susah mana pun.” Rungut Ren perlahan sambil mengeluh dan mengambil botol kemek tadi dan membuang ke dalam tong sampah.
“Kami tak pekak lagi… jangan banyak merungut.” Dia menahan gelak, manakala Rafiq tersenyum sambil mengemas meja. “Okay.. aku gerak dulu.” Rafiq berjalan melalui Ren yang masih berada di tepi tong sampah dan sempat menepuk baru Ren sebelum keluar dari pejabat.
“Dia lalu sini juga..” Ren kelihatan kecewa.
Dia tergelak kecil. Fon kepala dikeluarkan dari laci meja dan kemudian dia membuka satu fail MP3 dalam komputer. Dia mencucuk wayar fon kepala ke komputer dan memakai fon kepala, selama beberapa saat dunia sekeliling terasa sunyi dan perlahan-lahan alunan MP3 yang dibukanya menutup kesunyian tadi. Dia menutup mata dan menyandarkan badan pada kerusi.
Nah.. kau punya hadiah.” Dia membuka kotak yang dibaling ke atas pangkuannya. Seutas rantai yang mempunyai ukiran namanya di dalam kotak itu. Dia memandang ke arah si pemberi namun kelam.. Farhan tersenyum sambil memakaikan rantai di lehernya.
Tangan kanannya diletakkan di atas meja. Lagak seperti sedang bermain piano. Jarinya bermain mengikut alunan lagu yang sedang didengarinya.
Pintu almari tempatnya berkurung terbuka luas. Dia mendongak melihat siapakah gerangan yang membukakan pintu.. “Farhan!” dia menangis dan memeluk lelaki itu.
“Siapa kurung kau dalam ni?”
Dia memandang ke wajah Farhan selepas melepaskan pelukan.
“Tak ada sesiapa. Dia bukan sesiapa.” Dia melangkah setapak ke belakang. Melihat disekeliling stor itu. Bau hapak memenuhi rongga hidung. Pandangannya samar-samar kerana hanya diterangi cahaya lampu dari satu mentol yang tergantung di atas siling. Barang-barang lama bertempiaran di atas lantai.
“Bunyi apa tu?” Farhan membulatkan mata dan terus memandang ke tingkap yang telah ditutup dengan papan nipis, “tembakan?” Farhan memandang ke arahnya.
Dia membuka mata. Dadanya berdegup kencang. Dia kemudian menguatkan lagi kelantangan alunan tadi sebelum menutup matanya semula.
“Bunyi apa tu?” Farhan membulatkan mata dan terus memandang ke tingkap yang telah ditutup dengan papan nipis.
Kedengaran bunyi cengkerik atau mungkin juga unggas-unggas yang berterbangan di sekeliling stor itu.
“Bunyi apa.. tak ada bunyi apa-apa pun.”
Dia menarik nafas panjang. Dadanya berdegup normal semula.
Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, rumput-rumput yang memanjang di kawasan gazebo bergerak ke kiri dan ke kanan. Dia memandang lelaki di sebelahnya.
“Farhan..”
Tapi bukan.. bukan Farhan. Farhan mempunyai kulit sawo matang. Tangan yang sedang menggenggam tangannya berwarna kuning langsat.
“I’ll be here,” dia memandang lelaki tidak berwajah itu, “Always.”
Dia mencabut fon kepala dan meletakkan ke atas meja. Dia meraup wajah dan menarik nafas panjang. Dia merenung fon kepala untuk seketika dan kemudian memakai kembali fon kepala selepas menarik nafas panjang. Lagu kembali bermain di telinganya.
Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, rumput-rumput yang memanjang di kawasan gazebo bergerak ke kiri dan ke kanan. Dia memandang lelaki di sebelahnya.
“Farhan..” Dia mendongak memandang wajah lelaki itu.
Farhan tersenyum lebar dan kemudian menggosok kepalanya.
“Ya, aku.” Farhan memandang ke arahnya sambil mengangkat kening.
Dia tersenyum lebar.
“Puan Ressa.. Puan Ressa..”
Dia perlahan-lahan membuka matanya. Kelihatan seorang pegawai polis berdiri di hadapan mejanya. Fon kepala ditolak dan dibiarkan bersangkut di leher.
“Ya.” Dia mengecilkan kelantangan alunan lagu tadi.
Pegawai tadi meletakkan satu dokumen di atas meja.
“Laporan forensik yang Puan suruh ambil tadi.”
Dia mengambil laporan forensik tadi dan menyelak secara rawak.
Pegawai tadi meminta diri namun menghentikan langkah apabila tangan pegawai tadi secara tidak secara terlanggar timbunan fail yang berada di tepi mejanya.
“Oh.. Maaf Puan.” Kata pegawai itu sebelum mengutip fail-fail yang terjatuh di atas lantai.
“Tak apa, meja saya yang semak.” Katanya dengan senyuman sambil terus membelek laporan forensik di hadapannya. Disebabkan mereka hanya menjumpai sejambak bunga ros kering di pusat akuatik itu, laporan forensik lebih tertumpu kepada setiap elemen di dalam bunga itu termasuklah fabrik yang digunakan untuk mengikat gubahan bunga tersebut. Terdapat beberapa set cap jari yang dijumpai pada fabrik tersebut.
Dia mengangkat pandangan bila melihat pegawai tadi sedang memegang sekeping gambar dan menggaru kepala. Pegawai tadi tersengih bila sedar yang dia sedang memandang.
“Saya tak tahu gambar ni dari fail yang mana satu.” Kata pegawai tadi sambil menyerahkan sekeping gambar kepadanya.
Ternyata dia terlupa lagi untuk menyimpan gambar bukti kemalangan beberapa bulan lalu ke bilik bukti. Selepas pegawai tadi meminta diri, dia meletakkan gambar tadi di atas meja. Dia kembali membaca laporan forensik dan memandang gambar gubahan bunga yang dihiasi fabrik berwarna merah.
Dia menutup laporan forensik dan meletakkan di atas timbunan fail tadi. Gambar kemalangan dipandang sekilas. Kali ini matanya terpandang gubahan bunga ros dengan reben merah berada di atas jalan raya berdekatan kereta yang mengalami kemalangan. Dia mengangkat kening sebelah dan menarik nafas panjang setelah melihat timbunan fail di hadapannya. Gambar tadi diletakkan bersama-sama timbunan fail.  

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37