Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Sunday, January 17, 2021

Cinta yang akan selalu aku rindu 10

 

Dia

Bagaikan perahu di atas lautan, terumbang-ambing melawan arus. Kadang ke kiri, kadang ke kanan. Tanpa pelaut yang mahir, maka karamlah ia - Nadya.

"Saya dah penat!" 

Suara dari arah dapur kedengaran ketika Nadya sedang memakai kasut di hadapan pintu rumah. Tangannya menggeletar sehingga kepayahan untuk mengikat tali kasut. 

"Perlahankan suara awak. Kalau Dya dengar, macam mana?" 

Walaupun suara itu berbisik, telinga tajam Dya masih dapat mengangkap perbalahan itu. 

"Macam mana dengan perasaan saya? Saya penat hidup macam ni.. hidup dengan awak" 

Ini bukannya kali pertama.. dan bukan juga yang kedua. Nadya menarik nafas panjang. Kasut yang masih gagal diikat dibuka semula dan dibuang untuk melepaskan rasa hati. 

"...dan Dya? awak nak letak dia kat mana? Eh, awak tu mak dia tau" 

Kasut sekolah yang dibuang tadi tiba-tiba di letakkan di hadapan Nadya yang sedang menunduk memandang lantai. 

Perlahan-lahan Nadya mendongakkan kepala. Kaki kanannya ditarik perlahan dan kemudian kasut tadi disarungkan ke kakinya. 

"Oh, sebab saya Mak dia. Saya yang kena jaga dia? dan awak? senang lenang dengan hidup awak?" 

"Siapa yang nak bersenang-lenang ni? Saya ke awak? tak boleh kena tegur.. setiap minggu outstation, pulang tengah malam.."

Nadya menundukkan kepala. Malu bila ada telinga lain yang mendengar perbalahan itu. Tali kasutnya diikatkan dengan kemas tanpa ada tanda-tanda yang putera kacak yang menyarungkan kasut sekolah jenama JAZZ Pallas di kakinya terganggu dengan perbualan di dapur.

"Eh! Saya kerja tau.. bukan suka-suka balik lewat. Jalan sana sini. Saya kerja!" 

Nadya dan Andi berpandangan selepas Andi mengetatkan ikatan tali kasut milik Nadya. 

"Jom" Andi menghulurkan tangan kepada Nadya. 

Nadya menyambut huluran tangan Andi dan suara perbualan di dapur semakin sunyi apabila mereka melepasi pagar rumah. 

"Nad.. itu awan" Andi mendongak ke atas langit ketika dalam perjalanan mereka ke arah perhentian bas. 

Nadya tersenyum nipis dan memandang seketika ke arah langit. Dia menarik nafas panjang. 

"Nad, itu pokok" kata Andi lagi apabila mereka hampir sampai di perhentian bas.

Senyuman Nadya lebar sedikit. 

"Nad, ini batu" Andi menendang perlahan kelikir ke arah kasut Nadya. 

Nadya dan Andi berdiri beberapa langkah dari perhentian bas. Beberapa pelajar yang menunggu bas memandang ke arah Andi dengan kerutan di dahi namun tiada sesiapa memberi tumpuan sepenuhnya dengan tingkah Andi. 

"Nad, itu Sofian. Playboy kampung pisang. Tengok je.. jangan dekat" 

Pelajar yang memakai walkman dan baju yang tidak di masukkan dengan kemas ke dalam seluar dan rambut depan yang disisir menutup mata sebelah kanan menjadi mangsa Andi seterusnya. 

Nadya mengetap bibir dengan kuat. Menahan gelak. 

Mujur pelajar yang dimaksudkan oleh Andi tidak dengar namanya disebut. 

"Nad... ini aku" Andi memegang tangan Nadya dan melihat tepat ke mata Nadya sambil membelai lembut tangan gadis itu. 

"Aku yang akan selalu dengan kau" tambah Andi sambil tersenyum.

Senyuman Nadya semakin melebar. 

"Bila kau sedih, atau suara di dalam kepala kau terlalu kuat sampai kau tak boleh fikir apa-apa. dan waktu tu aku tak ada dengan kau.. Kau ambil masa, tengok sekeliling. Tenangkan diri, tengok bawah.. kau masih berpijak di tanah. Ketepikan semua benda yang kau tak boleh kawal. Fokus kepada diri kau" 

Bas berhenti dan beberapa pelajar mula berebut untuk naik ke dalam bas sementara Nadya dan Andi masih berdiri di tempat yang sama. 

"Tarik nafas panjang-panjang. Jangan biarkan orang lain merosakkan hari kau" 

"Hoi! naiklah cepat" 

Hon bas berbunyi. 

Andi tergelak sebelum menarik tangan Nadya.

~~~~~~~~~~~

Nadya menarik nafas panjang. Dia masih belum keluar dari kereta biarpun kereta sudah di letakkan di garaj. Usai menghantar Andi pulang ke rumah, Nadya terus memandu pulang dengan seribu satu macam perkara di dalam kepalanya. 

"Nad...itu awan" 

Stereng kereta, bisik hati Nadya. 

Kasut, beg, cermin, botol air , Nadya memandang botol air milik Ashraf yang tertinggal di kerusi belakang melalui cermin depan. 

Tangannya memegang stereng kereta. 

Tarik nafas... 

"Aku penat Nad.. Aku sangat penat"

Tiba-tiba, suara itu hadir di dalam memorinya. 

Nadya menarik nafas panjang. Terasa sesak di dalam kereta. Dia cuba membuka pintu kereta yang masih berkunci dengan tangan yang menggeletar. Nadya mula tercungap-cungap. Dia kelam kabut membuka kunci kereta dan cepat-cepat menolak pintu kereta. Sekali lagi Nadya menarik nafas panjang. 

"Tolonglah faham Nad.. aku penat" 

 Nadya terduduk di atas lantai garaj dan mula teresak-esak. 

Klik Sini CYASAR 9 | CYASAR 11


1 comment:

ayyn said...

Terima kasih. Entah kenapa semua cerita awak lebih kurang jalan cerita hidup saya. Walaupun mungkin hidup saya tak ada happy ending, saya harap cerita awak akan ada happy ending. Itu pun dah cukup.

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37