Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Thursday, March 17, 2022

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37

 

Topeng

Topeng di wajah bertukar silih berganti biarpun di hati hanya ada satu rasa - Nadya.

Nadya mengangkat kepala apabila pintu pejabat kecil yang terletak di hujung galeri ditolak dari luar. Dia menjongket kening apabila Faril menarik kerusi di hadapan mejanya. Dia tersenyum tepi bila Faril selamba duduk tanpa dijemput. Nadya membuka laci meja dan mengeluarkan sekeping cek yang telah siap di tandatangan berserta jumlah.

"Sepuluh ribu?" Faril memandang cek yang sudah bertukar tangan. Faril memandang Nadya sebelum melemparkan cek tersebut di atas meja.

"Sepuluh ribu dah lebih dari cukup." Kata Nadya sambil merenung cek di atas mejanya, "dan ini yang terakhir." tambah Nadya lagi.

Faril membulatkan mata apabila mendengar kata-kata Nadya.

"Apa maksud kau terakhir? Oh, jadi sekarang kau tak kisahlah kalau aku sebarkan video yang aku ambil dari telefon kau tu?" Faril mengetap rahang bila melihat Nadya masih kelihatan selamba bila mendengar ugutannya.

Nadya mengeluarkan beberapa keping gambar dari laci meja.

"Well, fine. Kau kena ingat ni. Kau yang menyebabkan maruah abang aku hancur." Faril kemudian terdiam apabila Nadya meletakkan beberapa keping gambar di hadapannya. Faril kemudian menarik hingus dan menggosok hidungnya.

Nadya tersenyum tepi bila melihat tingkah Faril.

"Nasihat dari akak, jangan percaya sangat kawan-kawan Faril. Senang sangat kena beli. Untung akak berjaya dapat gambar ni sebelum tersebar." Kata Nadya sambil tersenyum dengan yakin.

Faril mengetap bibir geram. Pandangan matanya menikam memandang Nadya sebelum dia mengumpulkan kesemua gambar tersebut dan mengoyak kesemua gambar sehingga menjadi cebisan kecil.

"Akak dah call beberapa tempat rehab. Lebih baik Faril pergi sebelum keluarga Faril tahu tentang ni. " Nadya menghulurkan beberapa keping risalah kepada Faril. Dia meletakkan risalah tersebut di atas meja bila Faril hanya memerhatikannya dengan pandangan mata yang tajam.

"Eh! Kau tak payah berlakon baiklah. Kau bukan kakak aku!" Faril menampar tangan ke meja. "Aku dah lama jangka yang kau ni cuma berlakon depan semua orang. Pijak semut pun tak mati. Kau tak payah nak tunjuk baik depan akulah sial!"

Nadya menarik nafas panjang sebelum dia berdiri dan memandang Faril yang masih duduk di hadapannya.

"Baik. Aku tak berlakon lagi di depan kau. Kau dengar sini, aku nak kau padam video Ashrul dan jangan terfikir nak gunakan video tu untuk dapatkan duit dari aku lagi. Ashrul tu bapa kepada anak-anak aku dan kalau kau atau adik-beradik kau yang lain cuba sakitkan dia lagi, aku akan pastikan dia berhenti dari syarikat korang tu. Kau fikir tanpa Ashrul, Kak long kau akan dapat jaga syarikat tu? Atau Achik kau yang lari ke Toronto tu?" Nadya tersenyum tepi apabila Faril terdiam memandangnya.

Cek yang dilemparkan oleh Faril tadi disorong ke arah Faril.

"Take this. Go to the rehab. Jangan muncul depan aku atau Ashrul lagi selagi kau masih tak betulkan perangai kau." Nadya terus membuka pintu buat Faril.

Faril memandang kertas cek tadi dari siring mata. Dia mendengus kuat sebelum mengambil kertas cek tersebut dan dimasukkan ke dalam poket seluar. Sempat dia memberi jelingan tajam kepada Nadya ketika melangkah keluar dari ruangan tersebut.

"Delete the video and don't ever mentioned the video to a single soul." Kata Nadya dengan tegas kepada Faril.

Faril berhenti melangkah.

"Kau memang gilakan sangat harta abang aku kan? Sampai kau tutup mata dengan kecurangan dia. Perempuan macam kau ni memang menyedihkan." Kata Faril dengan senyum sinis.

Nadya tersenyum kecil.

"Kau memang black sheep kan dalam keluarga. Langsung tak tahu apa yang berlaku dalam keluarga kau. Kenapa Achik lari sampai ke Toronto pun kau tak tahu sebabnya. Atleast perempuan yang menyedihkan nilah yang masih menjaga maruah abang kau. Tak macam kau adik-beradik." Nadya terus menghempas pintu pejabatnya di hadapan Faril.

Nadya mencekak pinggang sambil memandang pintu yang telah tertutup rapat. Dadanya berdegup kencang dek menahan amarah.

"Oh..my..god!" Desi muncul di sebalik pintu.

Nadya menarik nafas lega apabila melihat Desi. Fikirnya Faril muncul kembali untuk memanjangkan pergaduhan mereka.

"Aku tak sangka kau berani buat macam tu." Kata Desi sambil melangkah masuk ke dalam pejabat.

Nadya memegang dadanya dan menarik nafas panjang.

"Aku tak berani sebenarnya." Jawab Nadya dengan jujur, "Kalau dia menganas tadi, aku tak tahu nak buat apa. Taekwondo aku dah berkarat. Lawan mulut dengan dia tadi pun dah penat semacam." Tambah Nadya sebelum melabuhkan punggung di atas kerusinya.

Desi tergelak kecil mendengar luahan Nadya. Kemudian dia tersedar perubahan wajah Nadya yang mula muram.

"Waktu ayah aku masukkan beg dalam kereta dan memandu pergi, aku salahkan diri aku dan janji yang aku akan cuba jadi lebih baik. Tapi tak sempat sebab ayah aku meninggal dalam kemalangan dua jam selepas dia keluar dari rumah. Lepas tu aku janji aku akan jadi anak yang baik untuk mak aku. Jaga dia sebaik yang boleh..."

Nadya pandang Desi.

"Mama aku pula tinggalkan aku selepas ayah aku dikebumikan." Nadya tergelak kecil sebelum senyuman di wajah kembali hilang. 

Desi pandang Nadya dengan simpati. Dulu waktu waktu mula-mula mereka berjumpa, Nadya seorang yang pendiam dan pemendam. Agak susah untuk memecahkan benteng yang dibina oleh Nadya. Desi mengambil masa sepuluh tahun untuk mendapatkan kepercayaan Nadya.

"Perkara tu buat aku faham yang takkan mudah orang luar untuk terima aku bila keluarga aku sendiri tak nak aku. Aku tak kisah pun. Tapi aku usaha untuk masuk dalam keluarga diorang sebab aku tahu yang keluarga penting buat Ashrul. Dan aku dah pernah lalui betapa kosongnya tanpa keluarga." Nadya mengeluh perlahan.

"Tapi jauh di sudut hati, aku rasa yang Ashrul akan hidup lebih baik tanpa keluarga dia." Tambah Nadya sebelum menjongket bahu.

Desi menganggukkan kepala.

"Rasa? Aku bukan rasa lagi. Aku yakin hidup Ashrul tu lebih baik tanpa adik beradik dia. Rimas aku tengok la perangai sorang-sorang. Darah aku ni bergelora je tengok perangai adik beradik dia layan kau macam sampah."

Nadya tergelak mendengar komen Desi. Ini bukan kali pertama dia dan Desi bergosip mengenai keluarga Ashrul.

"Entahlah Des.. kadang-kadang aku rasa diorang betul. Aku terlalu bermuka-muka sampai aku sendiri dah lupa dengan diri aku yang sebenarnya." Nadya tersenyum nipis, "lagipun siapalah aku ni... cuma anak yatim yang nak menumpang kasih. Tak ada apa yang membangga pun Des...Betullah peribahasa tu, enggang sama enggang..." Kata Nadya perlahan.

Desi menggeleng kepala bila mendengar kata-kata Nadya.

"Enggang sama enggang, pipit sama pipit,... po lahh! Yang kaya tu bapa dia. Diorang tu kalau tak ada duit keluarga, hah... entah-entah kerja setaraf dengan kita je." Bebel Desi lagi bersama gerakan tangan yang membuatkan Nadya tergelak kecil.

"Eh tapi..." Desi mendekatkan badan ke meja seperti mahu berbisik walhal hanya mereka berdua sahaja bertugas pada hari ini, "Mamat macho hari tu... single lagi ke?"

Nadya mengangkat kening sebelah apabila mendengar soalan Desi.

"Haah... single. Kenapa? Kau nak ke? Abang kau si Suraj tu nak letak mana? Kata sayang, cinta mati. You die. I die." balas Nadya bertalu-talu.

Desi menarik muncung bila mendengar respon Nadya.

"Eh... baru tanya sikit dah bertalu-talu peluru kau lontar. Defensive sangat. Takut aku kacau line lah tu..." usik Desi sebelum mengkebil-kebilkan matanya.

Nadya terus memeluk tubuh.

"Defensive apa pula. Mana ada..."

~~~~~~

Andi yang baru datang ke galeri tersenyum nipis apabila mendengar perbualan Nadya di sebalik pintu pejabat. Dia memasukkan tangan ke dalam poket seluar sebelum berlalu dari situ. 

Bersambung...

Minggu depan lagi ya...  

XOXO.


Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 36

 

Rahsia Hati

Berlari dari realiti ternyata mudah. Namun kesannya perlahan-lahan memakan hati - Nadya

Kereta milik Nadya dipandu perlahan memasuki garaj kereta. Kelihatan kereta Ashrul diletakkan di tepi jalan agar tidak menghalang laluan kereta Nadya. Dia mencapai beberapa keping gambar Faril dari tempat duduk penumpang dan disembunyikan ke dalam laci dashboard. Kemudian Nadya mencapai beg tangan sebelum keluar dari kereta. Kedengaran suara riuh anak kembarnya bercerita dengan seseorang di gazebo.

"Dya dah balik?" Seorang wanita berusia awal 60an tersenyum kepada Nadya.

Nadya membalas senyuman sebelum menghulurkan tangan untuk bersalaman.

"Kenapa tak Mama tak bagitahu nak datang? Kalau tahu tadi, saya balik awal." Kata Nadya sebelum mengambil tempat duduk di sebelah Ashrul.

"Eh takpelah. Kami baru lepas hantar Acik tadi ke airport. Kelam kabut nak balik Toronto. Macam panas punggung bila kena suruh tinggal lama kat sini." Bebel Puan Sri Ayu, "Saja Mama nak singgah sini. Nak tengok cucu mama. Mama pun tak tahu macam mana budak-budak ni bermain sampai tangan Afiq jadi macam tu."

"Budak-budak ma... semua lelaki pula tu. Mesti main lasak," Kata Nadya berbasah basi. Saja mahu menyenangkan hati ibu mertuanya. Sempat dia melihat dari hujung mata yang Ashrul sedang menjuih bibir.

"Anak Kak Long tu yang nakal sangat. Anak kita tak mengacau orang pun." Ashrul menjongket bahu bila Nadya menyiku lengan Ashrul.

"Apa cakap macam tu depan mama..." bisik Nadya tidak puas hati.

"Kak kamu tu pun satu. Susah nak ditegur. Dia je yang betul. Sampai ke anak dia pun macam tu juga. Anak dia je yang betul." Puan Sri Ayu menyokong kenyataan anaknya.

Ashrul tersenyum lebar bila Puan Sri Ayu memihak kepadanya manakala Nadya hanya mampu tersenyum nipis sebelum menggeleng kepala kepada Ashrul.

Afiq menguap besar ketika Mak Timah menghantarkan segelas minuman panas buat Nadya yang baru sampai. Ashraf membantu untuk menutup mulut kembarnya dengan mata yang kuyu.

"Afiq, Ashraf... kalau mengantuk pergi ikut Mak Timah masuk dalam dulu. Cuci kaki sebelum tidur." Kata Nadya selepas melihat Afiq menguap buat kali kedua.

"Mama nak cakap sikit." Kata Puan Sri Ayu selepas kedua-dua cucunya dibawa masuk ke dalam rumah dan hanya tinggal mereka bertiga sahaja di gazebo tersebut. "Arwah papa dah takde," Puan Sri Ayu tersenyum nipis bila mengingati arwah suaminya, "Jadi, Mama tak halang kalau kamu berdua nak daftarkan penceraian kamu."

Nadya dan Ashrul berpandangan sesama sendiri apabila Puan Sri Ayu membuka topik tersebut.

"Dan mama pun tak halang kalau kamu nak bersama semula." Tambah Puan Sri Ayu lagi. "Tapi sebelum kamu berdua buat apa-apa keputusan, fikirkan nasib anak-anak kamu. Kasihan diorang masih kecil." Puan Sri Ayu tersenyum nipis sebelum mengalihkan pandangan ke arah Nadya. "Mama tahu, Nadya tak gembira hidup dengan kami. Jadi mama terima apa je keputusan Nadya." Kata Puan Sri Ayu sebelum menepuk perlahan tangan Nadya.

"Kalau betul kamu berdua nak bersama semula, kita lupakanlah perkara lama. Mula semula macam kain putih yang kosong. Belum tercela..." Puan Sri Ayu memandang Nadya dan menggenggam tangan Nadya dengan penuh pengharapan namun terselit penegasan buat Nadya.

Ashrul sedang menunduk memandang lantai tanpa menyedari pandangan yang dihantar oleh Puan Sri Ayu kepada Nadya.

Sebuah kereta hitam memasuki perkarangan rumah.

"Makcik Yuni dah sampai. Mama dah pesan supaya dia datang ambil mama tadi." Puan Sri Ayu mencapai beg tangannya sebelum berdiri.

"Ash boleh hantar mama," kata Ashrul bingkas berdiri.

"Eh tak apa. Mama nak beli barang lagi. Tak payah susah-susah. Makcik Yuni dah ada ni." Puan Sri Ayu menyambut huluran tangan Nadya dan Ashrul sebelum melangkah masuk ke dalam kereta.

Ashrul dan Nadya berpandangan selepas kereta milik Puan Sri Ayu hilang dari pandangan. Ashrul kemudiannya memandang ke arah rumput dan Nadya pula pandang ke arah langit sebelum kedua-duanya mengeluh.

"Dya..."

Nadya berpaling ke arah Ashrul.

"I nak beritahu you sesuatu sebelum kita bincang mengenai...kita." Ashrul memandang ke arah Nadya. Dia membuka mulut dan menutup semula mulutnya tanpa berjaya mengeluarkan suara. Ashrul melarikan pandangan dari Nadya dan menunduk merenung ke bawah.

"Kita tak perlu bincang malam ni juga. Dua tahun. I pernah janji dengan you, I akan cuba kenalpasti perasaan I selama dua tahun kita berpisah. Masih ada tiga bulan." Nadya bersuara selepas melihat Ashrul mengalami kesukaran mengungkapkan ayat.

"No. I rasa you perlu tahu tentang ni sebelum you buat apa-apa keputusan." Ashrul mengetap bibir. Riak bersalah terlukis di wajahnya. Apatah lagi apabila Nadya memandang terus ke matanya.

"Apa dia?" Hampir tidak terkeluar suara Nadya apabila mengajukan soalan tersebut.

"I khilaf. I sepatutnya beritahu you perkara ni lebih awal lagi tapi I tak tahu macam mana nak cakap dengan you." Ashraf mengeluh panjang. Sesal menyelebungi hatinya. "Malam selepas kita bergaduh besar..." Ashrul mengerutkan dahi apabila Nadya terus melarikan pandangan darinya.

"Ash... I macam rasa penatlah. Kita bincang lain kali ya?" Nadya mencapai beg tangan yang masih terbaring di atas meja gazebo.

Ashrul jadi hairan melihat tingkah Nadya yang tiba-tiba itu. Tangan Nadya digapai perlahan apabila Nadya mula melangkah pergi. Dan kemudian, Ashrul mula menyedari yang Nadya sering mengelak setiap kali dia ingin berbicara mengenai perkara ini.

"You dah tahu." Kata Ashrul perlahan dengan mata yang membulat besar.

Nadya menarik tangannya.

"I..." Nadya membasahkan bibir yang terasa kering, "Kita..." Dadanya terasa berdegup kencang dan matanya terasa panas, "I need to go..." kata Nadya yang sedaya upaya mengelak dari membincangkan topik tersebut.

"No. Please. I nak kita bincang juga perkara tu. You kena tahu apa yang jadi sebenarnya. I... I khilaf. I betul-betul tak sedar waktu tu. Mungkin I dah hilang kewarasan sebab marah." Ashrul memegang kedua-dua tangan Nadya, "tapi sumpah Dya... selama kita berkahwin atau selama kita kenal. Hati I tak pernah terdetik khianati you. I tak sengaja ti..."

"Stop it!" Nadya menutup telinganya. "Stop it..." ulang Nadya dengan perlahan. "I tak nak dengar benda tu dari mulut you. Sebab kalau I tak dengar dari mulut you, I masih boleh anggap perkara tu tak pernah jadi..."

Ashrul terundur ke belakang.

"Hati I sakit." Nadya pandang Ashraf dengan mata yang berkaca. "I selalu cakap yang diri I kuat. I anggap yang semua perkara yang dan jadi kepada I takkan dapat menyakitkan hati I lagi. Tapi Ash... it still hurt. Semua yang berlaku semenjak Pekan Teluk, masih menyakitkan hati I . So please... please biarkan I menganggap perkara tu tak pernah jadi pun."

"Dya..." Ashrul memandang Nadya dengan muka penuh simpati dan rasa bersalah.

"tahu apa yang berlaku and I maafkan you. So kita tak perlu bincangkan perkara ni lagi." Kata Nadya dengan tegas.

"Dya... kenapa you sentiasa lari?" tanya Ashrul dengan penuh kehampaan.

~~~~~~

"Apa dah jadi? Kau okay?"

Nadya yang sedang duduk di buaian mendongakkan kepalanya. Dia memandang Andi yang datang dengan baju T-shirt putih pagoda bersama jaket hitam dan dilengkapkan dengan kain pelikat.

Andi yang faham dengan renungan Nadya terus memandang ke arah pakaian yang tersarung di badannya.

"Kau call tadi sambil menangis. Kelam kabutlah aku. Macam mana kau tahu rumah aku di sini?" Kata Andi yang berjalan menghampiri Nadya dengan berselipar jepun. Dia duduk di atas buaian yang bersebelahan dengan Nadya.

"Mungkin aku tahu lebih banyak dari yang aku tunjukkan." Jawab Nadya dengan perlahan.

Mendengar jawapan Nadya membuatkan Andi tersenyum nipis.

Buat seketika, hanya bunyi besi buaian sahaja yang kedengaran.

Andi mendongak memandang ke arah langit yang gelap.

"Dah lama kita tak tengok bintang sama-sama kan?" kata Andi yang masih mendongak ke langit.

Nadya masih menunduk memandang tanah sambil berayun perlahan.

"Salah ke kalau aku lari dari semua masalah? Salah ke kalau aku utamakan diri aku daripada orang lain?" Nadya berhenti berayun sebelum memandang ke arah Andi.

Andi mengeluh perlahan sebelum memandang ke arah Nadya.

"Tak salah Nad. Kau boleh lari sejauh mana yang kau mahu atau selaju mana yang kau boleh. Tapi Nad, kau mesti ingat..." Andi tersenyum nipis, "perkara-perkara yang kau tinggalkan jauh di belakang tu akan sentiasa mengejar kau. Cepat atau lambat, benda tu semua akan berjaya mengejar kau. Kau boleh berlari dan terus berlari. Tapi sampai bila? Lama kelamaan kau mesti rasa penat juga kan?"

Soalan dari Andi membuatkan setitis demi setitis air mata jatuh ke pipi Nadya. Sememangnya dia kian penat. Tangisan Nadya semakin kuat. Hatinya begitu terpukul dengan soalan Andi tadi. Dia penat. Penat mempertahankan benteng di hati yang sering retak.

Andi bingkas berdiri sebelum menundukkan badan di hadapan Nadya.

Nadya mendongakkan kepala apabila Andi berada di hadapannya dan mengelap air mata yang membasahi pipi.

"Aku rindu Nadya yang dulu. Nadya yang sangat kuat dan takkan lari dari semua benda. Tapi kalau Nadya tu masih tak berani muncul. It's okay. Aku akan tunggu."

Tangisan Nadya semakin menjadi-jadi. Malam itu, dia biarkan benteng yang dibinakan jatuh menyembah bumi. 

Bersambung...

Vote and Comment. 

XOXO



Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 35

 

Untuk Dia

Semuanya terasa lebih jelas, bila akhirnya kau lepaskan masa lalu yang telah lama menghambat jiwa- Andi

"Damn it Andi! Grow up!" Jerit Nadya bila Andi masih berkeras tidak mahu beredar dari restaurant tersebut. Merah padam muka Nadya cuba menahan Andi dari meluru ke arah Faril semula. Nadya menarik tangan Andi dan membawa Andi masuk ke dalam galeri yang kosong dan mengunci pintu galeri agar tiada yang mengganggu mereka.

"Aku masih tak boleh terima kau tumbuk dia!" Nadya mencekak pinggang dan menarik nafas panjang. Jantungnya masih berdegup kencang selepas kejadian tadi.

"Sebab kau biarkan dia cakap kau macam tu!" Marah Andi pula. Dia turut mencekak pinggang dengan muka geram.

"Dan itu penyelesaian yang kau dapat fikir? Kekerasan? Kau nak balun dia sampai dia..."

"Apa masalah dengan penyelesaian aku? Selama ni kau tak rasa salah dengan cara aku selesaikan masalah dengan orang-orang yang berani pijak kau macam mamat tadi tu. Kenapa sekarang kau ada masalah pula dengan cara aku?" Andi memintas ayat Nadya.

Nadya meraup muka sebelum mendengus kuat. 

"That's 15 years ago! Kita tak matang lagi. Apa kau nak gunakan cara yang sama sampai kau dah bertongkat ke? Matang lah sikit Andi..." Nadya memandang Andi dengan muka penat. Kesal bila menyedari frekuensi mereka sekarang ini tetap berbeza biarpun Andi di hadapannya itu adalah Andi yang dirindui olehnya.

Andi menarik nafas panjang. Tangannya menggeletar menahan amarah.

"Kenapa dia minta duit dengan kau? Siapa dia?" Andi merenung Nadya dengan tajam.

Nadya melarikan pandangan dan memeluk tubuhnya.

"Bukan masalah kau." Jawab Nadya perlahan.

"Sebab apa dia ugut kau? Kenapa kau macam tunggul bila dia hina kau macam tu?" Andi tidak mahu mendengar alasan Nadya malah terus melemparkan bertubi-tubi soalan, "Nadya, jawab soalan aku." Tegas Andi.

"Ini bukan masalah kau Andi! Aku tahu macam mana nak uruskan hidup aku. Lima belas tahun," Nadya merenung terus ke mata Andi, "itu jumlah masa aku berdikari tanpa kau. Dan selama tempoh tu, aku mampu uruskan sendiri semua masalah aku." Nadya menekankan satu persatu ayatnya agar Andi faham.

"Kau tak boleh tiba-tiba muncul semula dalam hidup aku, haru birukan jadual harian aku, perasaan aku, dan berlagak macam kau akan selesaikan semua masalah aku. Lima belas tahun Andi. Aku boleh hidup sendiri tanpa bantuan kau." Nadya terus mengelap air mata yang cuba mengalir ke pipinya.

Andi menarik nafas panjang.

"Aku nak berehat. Kau tolong keluar dari sini." Kata Nadya sebelum melangkah masuk ke dalam bilik pejabat yang terletak di hujung galeri.

Andi mengetap bibir dan mengusutkan rambutnya.

~~~~~

"Encik Andi, Puan Sheila kata dia ada mesyuarat di Pulau Pinang jadi dia takkan masuk pejabat sampai hari khamis." Vivian mengejar langkah Andi yang baru keluar dari lif, "dan jam 3 nanti ada mesyuarat dengan staf bahagian marketing."

"Bagi saya maklumat suami dan keluarga suami Nadya." Andi menolak pintu pejabat dan menuju ke meja kerjanya. Jaket hitam dibuka dan disangkutkan pada kerusi. "Batalkan mesyuarat petang ni." Katanya sebelum membuka komputer riba.

Vivian membesarkan mata bila mendengar arahan veto dari Andi. Melihat air muka Andi membuatkan dia tidak berani membantah arahan Andi itu. Dia cepat-cepat mengambil fail yang tersimpan di rak yang terdapat dalam bilik Andi dan kemudian menyerahkan fail tersebut kepada Andi.

Andi terpana bila mengetahui fail yang diperlukannya hanya terletak beberapa kaki dari meja kerjanya. Dia sepatutnya memeriksa fail tersebut sebelum mendekati Nadya. Silapnya kerana terlalu gopoh. Kini dia dan Nadya sudah tidak senada. Sering gagal mencapai kesefahaman.

"Ini, siapa dia?" tanya Andi sambil menunjuk ke arah sekeping gambar seorang lelaki. Lelaki yang berani menghina Nadya. Marah di hati Andi masih bergelora.

"Itu adik bongsu Encik Ashrul. Faril Ashri. Dia belajar di US dan pernah membuka beberapa bisnes tapi semuanya gagal sebab Encik Faril tak pernah serius dengan bisnes yang dia jalankan. Disebabkan status Tan Sri Azam sebagai ahli politik, dia selalu menyelamatkan Faril dari beban hutang." Jelas Vivian yang kelihatan sudah menghafal maklumat yang terdapat dalam fail tersebut.

Andi menyelak sekeping demi sekeping gambar yang terselit pada fail tersebut dan kemudian matanya melekat memandang gambar Nadya yang sering termenung di hadapan galeri.

"Macam mana dengan Nadya?" tanya Andi sambil melihat sekeping gambar Nadya yang memandang jauh seperti sedang memerhatikan seseorang.

"Dia mempunyai ijazah seni lukis. Berkenalan dengan Encik Ashrul sejak zaman universiti dan berkahwin dua tahun selepas menamatkan pengajian. Puan Nadya menyambung pengajian Master dan PhD dalam bidang yang sama selepas berkahwin dengan Encik Ashrul." Vivian mengerut dahi bila mendengar keluahan di bibir Andi.

"Hubungan dia dengan in-law  pula?" Andi bersuara perlahan.

"Well... she's an orphan. Tambahan pula dia langsung tak ada any extended family. Keluarga Tan Sri Azam pula sentiasa menjadi perhatian masyarakat sekeliling. Beberapa orang ahli keluarga Tan Sri Azam tak dapat menerima kehadiran Puan Nadya dalam keluarga mereka." Vivian tersenyum bila teringat yang ini bukan kali pertama dia menceritakan hal yang sama kepada Andi.

"Sebab itu Puan Nadya dihantar untuk melanjutkan pelajaran selepas berkahwin dengan Encik Ashrul. Sebab pada mereka, Puan Nadya tak setaraf dengan Ashrul, jadi atleast Puan Nadya boleh cuba untuk kurangkan jarak sosial mereka dengan pencapaian akademik . Encik Andi pun pernah cakap yang keluarga Tan Sri Azam perlahan-lahan membentuk Nadya supaya sesuai dengan acuan keluarga mereka."

Vivian mengeluh perlahan.

"Ironinya, keluarga itu juga menggunakan kisah perkahwinan Encik Ashrul dan Puan Nadya untuk menaikkan undian Tan Sri Azam. Mereka melabelkan perkahwinan Encik Ashrul dan Puan Nadya ibarat The Modern Cinderella. Semua orang suka dengan cerita tu. Sekali gus menunjukkan yang keluarga Tan Sri Azam ni keluarga yang sering merendah diri dan tidak memandang status sosial."

"Awak tahu kenapa Nadya dan Ashrul bercerai?"

Pertanyaan Andi membuatkan dahi Vivian terus berlapis-lapis.

"Bercerai? Saya takde pula dengar berita mengenai perkara tu. Kalau diorang bercerai, mesti ada artikel mengenai penceraian mereka.Vivian terus mengeluarkan telefon bimbitnya, "media sosial yang dibuat khas untuk Puan Nadya dan Encik Ashrul pun masih tak cerita apa-apa pasal penceraian."

Vivian mengerut dahi seperti sedang berfikir.

"Unless diorang tak dapat umumkan penceraian disebabkan PRU-14 tahun lalu." Kata Vivian sambil mengaru dagunya.

Andi mengetap rahang. Jadi Nadya terus digunakan oleh keluarga Ashrul? Andi mengasingkan gambar Faril dan menghulurkan gambar Faril.

"Cari tahu pasal dia ni. Saya nak tahu semua pasal mamat ni. Biarpun sekecil kuman maklumat tu. Saya nak tahu." Kata Andi dengan tegas.

"Okay..." Vivian mengambil sekeping gambar yang diberikan oleh Ashrul. Rasanya dia sudah patut meminta kenaikan gaji dari bosnya itu kerana diberikan kerja diluar dari bidang kerjanya, "Oh, sebelum saya lupa..." Vivian mengorek poket baju dan menyerahkan sebuah pemacu pena kepada Andi.

"Ini maklumat mengenai dua orang lelaki yang Encik suruh saya cari tu. Pengawal Dato Deris." Jelas Vivian setelah pemacu pena bertukar tangan. "Saya keluar dulu, Encik Andi."

Andi memandang pemacu pena di tangannya. Dia menarik nafas perlahan sebelum menyimpan pemacu pena ke dalam laci meja. 

Bersambung...

Jangan lupa Vote ya.. 

Thank you atas sokongan semua  ❤️

XOXO


Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 34

 

Untuk Aku

Aku mahu ceritakan pada dia sebuah cerita yang indah dan berwarna warni. Malangnya, apa yang aku lihat sekarang ini hanyalah kegelapan yang tiada penghujung. - Nadya.

"Tadaa..." Desi muncul tiba--tiba di galeri sambil menunjukkan lukisan baru yang berjaya diperolehnya, "aku beli ni dari sebuah galeri di New York. Bagi aku, pelukis ni ada potential. Apa yang kau nampak dari lukisan ni?" tanya Desi apabila Nadya berdiri di tepinya.

Nadya memegang dagu sambil matanya melihat setiap inci lukisan yang baru di beli oleh Desi.

"Menarik. Semua elemen dalam ni agak kucar-kacir. Chaotic and dark. Another white supremacy issue or satire to the world system?" tanya Nadya selepas cuba membaca lukisan tersebut.

"Indirectly cuba ceritakan mengenai serang Masjid Al Noor dan racism terhadap minority." Desi menjongket kening bila Nadya kelihatan tidak memberikan tumpuan kepada lukisan di hadapan mereka. Selalunya Nadya yang teruja melihat lukisan baru.

"Kau kenapa?" tanya Desi tanpa berbasa basi.

Nadya tersenyum paksa.

~~~~~~

"Unbelievable! Adik ipar kau si Faril tu datang rumah kau lagi? Dia nak apa lagi wei... baru dua bulan lalu kau bagi dia duit RM10 000. Takkan dah habis? Nadya... Aku dah puas merayu dengan kau. Tolonglah... tolong beritahu Ashrul pasal adik dia yang tolol tu. Aku geram sangat bila dengar nama budak tu." Desi meletakkan gelas yang hampir kosong di atas meja makan dengan penuh perasaan. Dia tidak mengendahkan mata-mata pelanggan restaurant yang memandang ke arah mereka.

"Aku dah berbuih mulut cakap benda ni dengan kau tapi aku nak ulang lagi benda yang sama." Kata Desi sambil menyinsing lengan bajunya, "you have done enough. Aku tahu kau tak nak hubungan Ashrul dan adik beradik dia porak peranda dan kau cuba sedaya upaya bertahan sebab kau tak nak Ashrul jauh dari keluarga dia. Tapi ini bukan berpunca dari kau. Aku ulang balik, ini bukan salah kau."

Nadya mengeluh panjang sambil menyandarkan badan di kerusi.

"Mungkin sebab aku dah penat. Dah malas nak hadap semua masalah ni. Sekarang ni aku cuma nak penyelesaian masalah yang ringkas. Faril akan diam kalau aku bagi duit. Dan Kak Long? Kak Long akan diam kalau aku tak muncul di depan dia." Nadya menjongket bahu.

Desi memandang Nadya dengan muka tiada puas hati sambil menggelengkan kepalanya selepas mendengar jawapan dari Nadya.

"Budak tu minta berapa kali ni? Kat mana lagi kau nak korek duit tu?" tanya Desi sebelum matanya terpandang seseorang yang datang mendekati meja mereka. Desi ternga-nga sebelum mendekatkan badannya ke meja untuk membisikkan sesuatu pada Nadya.

"Jangan pandang belakang tapi lelaki selalu tengok kau dari jauh bila kita makan di restauran ni tengah berjalan ke arah kita tapi hari ni dia nampak lain sikit sebab dia tak pakai kemeja tapi baju tshirt dan jaket hitam." Kata Desi menarik nafas panjang selepas menoktahkan ayatnya. Kemudian dia hanya mampu menjulingkan mata bila Nadya tetap berpaling ke belakang untuk melihat gerangan lelaki yang dimaksudkan oleh Desi.

Desi terpinga-pinga bila lelaki itu menarik kerusi di sebelah Nadya. Lebih menghairankan dirinya bila Nadya kelihatan selamba memandang lelaki itu sebelum menyuap makanan ke mulut.

"Hai, saya Andi." Andi memperkenalkan diri apabila melihat tiada tanda-tanda Nadya akan bercakap dengannya apatah lagi memperkenalkan dia kepada wanita di hadapan Nadya itu.

"Oh, Desi..." Desi tersenyum janggal sebelum memandang Nadya untuk mendapatkan penjelasan.

"Dia yang aku cerita tu." Jelas Nadya dengan ringkas.

Kerutan di dahi Desi kelihatan bertambah selepas mendengar jawapan Nadya. Dia langsung tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Nadya.

"I'm the 17 years old boy in 32 years old body." Jelas Andi pula. Melihat perubahan di wajah Desi menunjukkan yang Nadya telah ceritakan mengenaikan kepada wanita itu. Andi pandang Nadya.

"Nady... ada," Andi menunjuk tepi bibirnya, "sesuatu.." tambahnya bila Nadya memandangnya dengan pandangan tepi. Masih marahlah tu... bisik hati Andi tanpa mengambil hati dengan jelingan tajam dari Nadya.

Nadya mengeluh dan mengelap tepi bibirnya.

"Erm...ada lagi." Kata Andi lagi.

Nadya mengelap tepi bibir dengan lebih kasar.

Desi mengecilkan mata untuk melihat apa yang melekat di tepi bibir Nadya.

"Ada lagi tu..."

Nadya akhirnya mendengus sebelum berpaling ke arah Andi di tepinya dengan muka yang cukup masam.

"Apa? Apa yang melekat di bibir aku? Kau nak cakap aku comot ke bila makan?" kata Nadya sebelum mencebik dengan mata yang tajam menikam ke arah Andi.

"Eh mana ada aku cakap macam tu. Aku nak cakap, ada sesuatu di muka kau bila kau masam macam ni. Kau tertelan asam keping ke?" tanya Andi dengan muka penuh dengan kesucian.

Nadya mengetap bibir selepas mendengar soalan selamba dari Andi.

"Ke asam jawa?" tanya Andi lagi.

Nadya memalingkan muka dari Andi.

Desi terkebil-kebil. Apa yang sedang berlaku sebenarnya.

"Takkan limau nipis kot?" Andi tidak mengalah.

"Atau lemon kampung yang Mak Joyah tanam di depan rumah dia dulu tu?" tambah Andi lagi sehingga dia terdengar semburan gelak dari Nadya.

"Andi!" jerit Nadya bila dia tidak dapat mengekalkan muka beku di hadapan Andi.

"Hah! Kan dah lawa tu. Tadi muka kau dah serupa macam limau bali aku tengok tadi."

"Andi stop it...!" Nadya tidak dapat menyembunyikan senyumannya di hadapan Andi, "Aku sepatutnya marah dengan kau sekarang ni. Kau jangan buat aku gelak." Nadya memberi amaran sambil membesarkan matanya.

"Okay- okay... aku, Andi berjanji akan menerima segala macam hukuman yang dijatuhkan oleh Nadya, wanita tercantik di alam semesta."

Desi ternga-nga bila Nadya tergelak besar disebabkan ayat seringkas itu.

"Amboi... mesra nampak?"

Senyuman di bibir Nadya terus hilang apabila seseorang berdiri di tepi meja mereka.

"Faril nak apa?" tanya Nadya dengan nada serius. Dia perasan yang mata Faril sedang memandang Andi yang duduk di sebelahnya.

Faril tersenyum mengejek apabila memandang semula ke arah Nadya.

"Tak sangka ek? Berani juga kau bermain cinta dengan orang lain biarpun kau masih tak nak lepaskan abang aku. Jalang juga kau ni kan?" Faril tersenyum tepi bila air muka Nadya berubah. Gembira rasa hati bila dapat mengores hati Nadya.

"Ayat tu boleh cantik sikit tak?" Andi pandang Faril seperti harimau yang sudah lama kelaparan. Bila-bila masa sahaja boleh menerkam mangsa.

Faril tergelak sebelum memandang Andi.

"Kau siapa? Anak ikan dia ke? Jalang ni bayar kau untuk hiburkan dia ke?" Faril pandang Nadya, "Bukan main eh kau. Kau guna duit siapa bayar anak ikan kau ni? Duit abang aku kan?"

Andi berdeham kuat dan memandang ke arah Nadya sambil menjongket kening sebelah bila Nadya memandang sekilas ke arahnya. Seakan bertanya kepada Nadya kenapa Nadya masih membiarkan lelaki itu bercakap.

Nadya memegang tangan Andi sebagai tanda agar Andi tidak berkata apa-apa.

"Akak akan transferkan duit dengan Faril. Jangan kacau abang Ashrul. Dia dah ada banyak benda nak diselesaikan." Di dalam hati Nadya berdoa agar Faril cepat berlalu dari situ selepas dijanjikan duit darinya.

"Oh, so kau nak aku tutup mulut pasal ni? Kau ingat harga masih sama ke?" Faril tersenyum lebar. Ternyata rezekinya murah hari ini. Niat ingin menyerang Nadya di galeri disebabkan semalam dia gagal untuk meminta duit dari Nadya kerana Ashrul ada bersama. Tidak sangka pula dia dapat melihat kemesraan Nadya bersama seorang lelaki di sebuah restauran tidak jauh dari galeri.

"Nadya... dia masih bercakap." Kata Andi yang masih cuba untuk bertenang. Matanya sejak tadi menikam memandang Faril yang kelihatan kurang ajar kepada Nadya.

Faril pandang Andi sekali lagi sebelum menunjuk ke arah Nadya.

"Kau nak ke jalang ni? Careful bro... dia tak selamanya boleh bayar kau. Sampai bila je dia boleh bodoh-bodohkan abang aku dengan nasi kangkang dia tu..."

Desi yang sejak tadi menjadi pendengar sudah tidak tahan dengan kata-kata Faril. Namun belum sempat dia membuka mulut. Faril sudah terbaring di tepi kakinya.

Andi mengurut sedikit pergelangan tangannya sambil melihat Faril memegang muka sambil terbaring di atas lantai. Ternyata biarpun sudah berusia, penumbuknya itu masih sama seperti dulu dan agak rugi bila Faril hanya merasa sekali penangannya itu.

"Andi!" Nadya terus menarik baju Andi bila melihat Andi sudah bersedia untuk melontarkan penumbuk buat kali kedua. Dia meletakkan kedua-dua tapak tangan di dada Andi untuk menahan Andi dari melangkah mendekati Faril.

"Stop it." Kata Nadya dengan perlahan namun cukup tegas, "stop it." ulang Nadya lagi sambil memandang tepat ke mata Andi. Kali ini, hanya kedinginan tergambar pada mata Nadya. 

Bersambung...

Jangan lupa Vote + Comment. 

XOXO


Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 33

 

Terapung

Bagai terapung tanpa melihat daratan. Tiada arah yang nyata dan tiada tempat untuk dituju. Yang ada hanyalah kedinginan membalut tubuh - Andi

Andi memasukkan telefon bimbit ke dalam poket seluar selepas Nadya menamatkan panggilan telefon bimbit. Dia memandang Farhan yang sedang mencari sesuatu di laci meja. Kelihatan beberapa fail bersusun di atas meja Farhan begitu juga di atas kerusi lelaki itu. Ruang pejabat di Balai Polis Pekan Teluk agak lengang memandang sudah jam lima petang.

"Ressa suruh bagi sesuatu dekat kau." Kata Farhan yang masih mencari sesuatu di dalam kesemakan meja kerja tersebut.

Satu keping gambar terkeluar dari salah satu fail yang diangkat oleh Farhan. Andi terpana melihat gambar tersebut.

"Ressa kata, dua bulan lalu kau ada hantar mesej dekat dia. Kau suruh dia cari sesuatu di kawasan tapak rumah kau. Tapi dia tak sempat pergi sehinggalah selepas kau dan Nadya jumpa Alfi." Farhan masih tidak sedar gambar yang sedang dipegang oleh Andi. Satu kertas putih yang kekuningan kelihatan di bawah timbunan fail.

"Ah... ini dia." Kata Farhan sebelum terkebil-kebil melihat gambar di tangan Andi.

"Ini gambar..." Andi memandang Farhan, "Ini gambar dua pengawal peribadi yang datang bersama Dato ke pengebumian Alfi tadi kan?"

Farhan mengerut kening sebelum mengambil gambar tersebut dari Andi.

"Oh... Haah. Diorang berdua ni dah lama jadi pengawal peribadi Dato." Kata Farhan sebelum menyelitkan gambar tersebut ke dalam fail sebelum sebelum dia mengalihkan timbunan fail ke rak di belakang meja kerjanya.

Andi pandang Farhan sambil mengecilkan mata. Melihat kegugupan Farhan yang kelam-kabut mengemas fail-fail di hadapannya membuatkan dia tertanya-tanya.

"Itu... surat yang kau nak Ressa baca." Farhan menunjuk ke arah kertas yang berlipat di atas mejanya. "Kau nak beritahu dia yang kau nampak dua orang lelaki sedang mengangkat seorang pelajar yang cedera parah kemudian masuk ke dalam kereta Gen-2 putih. Kau rasa itu Alfi?"

Andi membaca sekilas lalu surat yang ditulis sendiri olehnya. Tiada langsung memori mengenai surat di tangannya. Andi meletakkan surat tersebut di atas meja sebelum meraup wajahnya. Ini yang dimaksudkan oleh Nadya. Sekali gus beberapa cebisan memori mengenai apa yang tertulis di kertas itu menyapa memorinya.

"Dua orang lelaki yang aku nampak tu..." Andi mengangkat pandangan ke arah Farhan, "mereka berdua adalah orang di dalam gambar tadi." Kata Andi dengan serius.

Farhan yang sedang mengemas timbunan fail yang hampir terjatuh terus terkaku apabila mendengar kenyataan Andi itu.

"Hish! Media di Malaysia ni cepat je nak cari cerita. Dah cari cerita, memandai pula buat kesimpulan. Kau tahu diorang siap kata Darwish ada rakan subahat yang tolong dia larikan duit kilang tu." Pegawai polis yang baru masuk dalam pejabat terus mengetap bibir selepas bertentang mata dengan Andi. 

Andi memandang pegawai tersebut sementara kepalanya berselirat memikirkan cerita yang disampaikan oleh pegawai tersebut.

Farhan sibuk membesarkan mata sambil membuat isyarat agar rakan sekerjanya tidak berkata apa-apa lagi.

"Rakan subahat?" ulang Andi seperti mendapat satu idea. Dia pandang Farhan, "Darwish? Encik Darwish yang hilang seminggu sebelum Andi hilangkan dirikan? Lima belas tahun lalu dia dituduh melarikan duit syarikat tempat dia bekerja. Kehilangan Andi ada kaitan dengan kes tu ke? Mungkin Andi ternampak sesuatu?"

"Aku... keluar hisap rokok dulu." Kata pegawai tadi sebelum cepat-cepat keluar dari tempat itu.

Farhan mengetap bibir melihat tingkah rakan sekerjanya yang mahu menyelamatkan diri sendiri. Farhan kemudian mengeluh panjang.

"Apa-apa pun, kita dah jumpa Alfi. Biarpun aku sendiri tak setuju tapi aku tak ada kuasa untuk melawan. Kes Alfi akan ditutup." Farhan mengalih timbunan fail di kerusinya sebelum dia melabuhkan punggung di atas kerusi dengan muka yang penat. Farhan mengeluh panjang.

"Maksudnya kita takkan tahu apa yang dah jadi dengan Alfi?" Andi mendengus apabila melihat anggukan perlahan dari Farhan. Dia kemudiannya menyebak rambut ke belakang.

"Aku pengecut." Kata Andi perlahan. "Kalau aku..."

"Kalau kau cuba selamatkan Alfi waktu tu, kau pun takkan ada di sini." Farhan cepat menangkis ayat Andi. Dia melarikan pandangannya ke meja Ressa yang terletak di sebelah mejanya.

"Kau dah buat keputusan yang tepat." Satu suara menyampuk perbualan mereka.

Andi dan Farhan sama-sama memandang ke arah pintu belakang pejabat tersebut. Kelihatan Ressa sedang berdiri di depan pintu sambil memeluk tubuh.

"Kau juga buat keputusan yang tepat untuk keluar dari Pekan ni. Hal Alfi biar kami yang uruskan. Kau dah jumpa dia. Itu dah cukup." Kata Ressa sebelum mengambil beg galas dari mejanya. "Aku balik dulu." Katanya sebelum berlalu dari situ.

Farhan dan Andi mengekori langkah Ressa yang menghilang di sebalik pintu. Kemudian Andi memandang Farhan.

Farhan lebih selesa memandang fail-fail yang bersusun di atas mejanya.

"Kau tak nampak terkejut dengan apa yang aku tulis dalam surat ni. Macam ini bukan berita baru untuk kau dan Ressa." Kata Andi yang masih memandang Farhan.

Farhan menggaru lehernya apabila mendengar kata-kata Andi. Farhan berdiri di sebelah Andi dan bersandar di tepi meja kerjanya. 

"Andi... kau ada cakap dengan aku yang apa dah jadi dengan kau ni macam peluang kedua untuk kau dan Nadya.  Kau nak perbaiki silap kau dekat Nadya. Tapi sekarang kau di sini. Dan Nadya?" Farhan menjongket kening sebelah. 

Andi mengeluh panjang. Ada benarnya kata-kata Farhan itu. Andi tahu Nadya sedang marahkan dirinya kerana berkeras mahu mencari tahu kes Alfi. Andi mendongak memandang Farhan. 

"Kalau ada apa-apa maklumat baru, aku janji akan beritahu kau. Tapi buat masa sekarang ni, kau kena tahu fokus kau. Kau nak kehilangan Nadya lagi ke?" tanya Farhan lagi. 

Andi berdiri dengan lemah sebelum memasukkan tangan ke dalam poket jaket. 

"Okay. Kau call aku kalau ada apa-apa." Kata Andi dengan hampa kerana masih tidak dapat merungkai tanda tanya di dalam kepalanya. "Aku balik dulu," tambah Andi sambil menepuk bahu Farhan sebelum melangkah keluar dari balai tersebut. 

Andi: 

Jangan marah lama-lama ya Nady. Aku balik malam ni. 0700PM

~~~~~~~

Nadya membaca mesej dari Andi dan kemudian mengeluh panjang. Dia menyandarkan badan di kerusi kereta sambil matanya memandang jalan raya yang lengang. Nadya kemudiannya memandang ke arah Ashrul yang fokus memandu kereta. Bersama lelaki di sebelahnya itu, mudah. Semuanya boleh dijangka. Ashrul yang kuat bekerja tapi penuh sabar melayan kerenahnya. Kadang-kadang rasa sebal bila Ashrul terlalu bersabar dengannya sehingga dia sengaja mencari walau secebis kesalahan lelaki itu. Lelaki itu juga memberikan hidup yang stabil untuk dia dan anak-anak. Dia akui, Ashrul mampu berikan semua yang wanita impikan dari seorang suami. 

"Kenapa? You nak singgah RNR ke?" 

Nadya mengeluh lagi sebelum memandang ke depan semula apabila ditanya oleh Ashrul. 

"No. Dah nak sampai dah pun. Kita terus balik." Jawab Nadya. 

Cuma satu sahaja kelemahan Ashrul di mata Nadya. 

Ashrul bukan Andi. 

Andi membuat hidupnya seakan menaiki Rollercoaster. Emosinya turun dan naik. Andi membuat perasaannya bercampur baur bagaikan Air batu campur. Beraneka rasa namun menyejukkan. Andi yang sentiasa mempunyai cara tersendiri untuk membuatkan bibirnya mengukir senyuman dan hatinya melompat girang. 

"Eh, itu Uncle Daus..." kata Afiq bila kereta Ashrul masuk ke perkarangan rumah mereka. 

"Dia nak apa lagi ni..." kata Ashrul perlahan sambil meletakkan kereta di hadapan garaj. "You duduk kejap dalam kereta. I suruh dia balik." Pesan Ashrul dengan muka tegang. 

Nadya menyandarkan badan di kerusi kereta. Ini satu lagi masalah... Nadya mengomel di dalam hati sambil menarik nafas panjang untuk menenangkan hatinya. 

Bersambung...

Note: Panjang pula chapter kali ni... Terima kasih kerana sudi baca. Sorry lambat update sebab line internet tak berapa okay.  Jangan lupa vote ya. 

Xoxo


Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37