Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Thursday, March 17, 2022

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 34

 

Untuk Aku

Aku mahu ceritakan pada dia sebuah cerita yang indah dan berwarna warni. Malangnya, apa yang aku lihat sekarang ini hanyalah kegelapan yang tiada penghujung. - Nadya.

"Tadaa..." Desi muncul tiba--tiba di galeri sambil menunjukkan lukisan baru yang berjaya diperolehnya, "aku beli ni dari sebuah galeri di New York. Bagi aku, pelukis ni ada potential. Apa yang kau nampak dari lukisan ni?" tanya Desi apabila Nadya berdiri di tepinya.

Nadya memegang dagu sambil matanya melihat setiap inci lukisan yang baru di beli oleh Desi.

"Menarik. Semua elemen dalam ni agak kucar-kacir. Chaotic and dark. Another white supremacy issue or satire to the world system?" tanya Nadya selepas cuba membaca lukisan tersebut.

"Indirectly cuba ceritakan mengenai serang Masjid Al Noor dan racism terhadap minority." Desi menjongket kening bila Nadya kelihatan tidak memberikan tumpuan kepada lukisan di hadapan mereka. Selalunya Nadya yang teruja melihat lukisan baru.

"Kau kenapa?" tanya Desi tanpa berbasa basi.

Nadya tersenyum paksa.

~~~~~~

"Unbelievable! Adik ipar kau si Faril tu datang rumah kau lagi? Dia nak apa lagi wei... baru dua bulan lalu kau bagi dia duit RM10 000. Takkan dah habis? Nadya... Aku dah puas merayu dengan kau. Tolonglah... tolong beritahu Ashrul pasal adik dia yang tolol tu. Aku geram sangat bila dengar nama budak tu." Desi meletakkan gelas yang hampir kosong di atas meja makan dengan penuh perasaan. Dia tidak mengendahkan mata-mata pelanggan restaurant yang memandang ke arah mereka.

"Aku dah berbuih mulut cakap benda ni dengan kau tapi aku nak ulang lagi benda yang sama." Kata Desi sambil menyinsing lengan bajunya, "you have done enough. Aku tahu kau tak nak hubungan Ashrul dan adik beradik dia porak peranda dan kau cuba sedaya upaya bertahan sebab kau tak nak Ashrul jauh dari keluarga dia. Tapi ini bukan berpunca dari kau. Aku ulang balik, ini bukan salah kau."

Nadya mengeluh panjang sambil menyandarkan badan di kerusi.

"Mungkin sebab aku dah penat. Dah malas nak hadap semua masalah ni. Sekarang ni aku cuma nak penyelesaian masalah yang ringkas. Faril akan diam kalau aku bagi duit. Dan Kak Long? Kak Long akan diam kalau aku tak muncul di depan dia." Nadya menjongket bahu.

Desi memandang Nadya dengan muka tiada puas hati sambil menggelengkan kepalanya selepas mendengar jawapan dari Nadya.

"Budak tu minta berapa kali ni? Kat mana lagi kau nak korek duit tu?" tanya Desi sebelum matanya terpandang seseorang yang datang mendekati meja mereka. Desi ternga-nga sebelum mendekatkan badannya ke meja untuk membisikkan sesuatu pada Nadya.

"Jangan pandang belakang tapi lelaki selalu tengok kau dari jauh bila kita makan di restauran ni tengah berjalan ke arah kita tapi hari ni dia nampak lain sikit sebab dia tak pakai kemeja tapi baju tshirt dan jaket hitam." Kata Desi menarik nafas panjang selepas menoktahkan ayatnya. Kemudian dia hanya mampu menjulingkan mata bila Nadya tetap berpaling ke belakang untuk melihat gerangan lelaki yang dimaksudkan oleh Desi.

Desi terpinga-pinga bila lelaki itu menarik kerusi di sebelah Nadya. Lebih menghairankan dirinya bila Nadya kelihatan selamba memandang lelaki itu sebelum menyuap makanan ke mulut.

"Hai, saya Andi." Andi memperkenalkan diri apabila melihat tiada tanda-tanda Nadya akan bercakap dengannya apatah lagi memperkenalkan dia kepada wanita di hadapan Nadya itu.

"Oh, Desi..." Desi tersenyum janggal sebelum memandang Nadya untuk mendapatkan penjelasan.

"Dia yang aku cerita tu." Jelas Nadya dengan ringkas.

Kerutan di dahi Desi kelihatan bertambah selepas mendengar jawapan Nadya. Dia langsung tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Nadya.

"I'm the 17 years old boy in 32 years old body." Jelas Andi pula. Melihat perubahan di wajah Desi menunjukkan yang Nadya telah ceritakan mengenaikan kepada wanita itu. Andi pandang Nadya.

"Nady... ada," Andi menunjuk tepi bibirnya, "sesuatu.." tambahnya bila Nadya memandangnya dengan pandangan tepi. Masih marahlah tu... bisik hati Andi tanpa mengambil hati dengan jelingan tajam dari Nadya.

Nadya mengeluh dan mengelap tepi bibirnya.

"Erm...ada lagi." Kata Andi lagi.

Nadya mengelap tepi bibir dengan lebih kasar.

Desi mengecilkan mata untuk melihat apa yang melekat di tepi bibir Nadya.

"Ada lagi tu..."

Nadya akhirnya mendengus sebelum berpaling ke arah Andi di tepinya dengan muka yang cukup masam.

"Apa? Apa yang melekat di bibir aku? Kau nak cakap aku comot ke bila makan?" kata Nadya sebelum mencebik dengan mata yang tajam menikam ke arah Andi.

"Eh mana ada aku cakap macam tu. Aku nak cakap, ada sesuatu di muka kau bila kau masam macam ni. Kau tertelan asam keping ke?" tanya Andi dengan muka penuh dengan kesucian.

Nadya mengetap bibir selepas mendengar soalan selamba dari Andi.

"Ke asam jawa?" tanya Andi lagi.

Nadya memalingkan muka dari Andi.

Desi terkebil-kebil. Apa yang sedang berlaku sebenarnya.

"Takkan limau nipis kot?" Andi tidak mengalah.

"Atau lemon kampung yang Mak Joyah tanam di depan rumah dia dulu tu?" tambah Andi lagi sehingga dia terdengar semburan gelak dari Nadya.

"Andi!" jerit Nadya bila dia tidak dapat mengekalkan muka beku di hadapan Andi.

"Hah! Kan dah lawa tu. Tadi muka kau dah serupa macam limau bali aku tengok tadi."

"Andi stop it...!" Nadya tidak dapat menyembunyikan senyumannya di hadapan Andi, "Aku sepatutnya marah dengan kau sekarang ni. Kau jangan buat aku gelak." Nadya memberi amaran sambil membesarkan matanya.

"Okay- okay... aku, Andi berjanji akan menerima segala macam hukuman yang dijatuhkan oleh Nadya, wanita tercantik di alam semesta."

Desi ternga-nga bila Nadya tergelak besar disebabkan ayat seringkas itu.

"Amboi... mesra nampak?"

Senyuman di bibir Nadya terus hilang apabila seseorang berdiri di tepi meja mereka.

"Faril nak apa?" tanya Nadya dengan nada serius. Dia perasan yang mata Faril sedang memandang Andi yang duduk di sebelahnya.

Faril tersenyum mengejek apabila memandang semula ke arah Nadya.

"Tak sangka ek? Berani juga kau bermain cinta dengan orang lain biarpun kau masih tak nak lepaskan abang aku. Jalang juga kau ni kan?" Faril tersenyum tepi bila air muka Nadya berubah. Gembira rasa hati bila dapat mengores hati Nadya.

"Ayat tu boleh cantik sikit tak?" Andi pandang Faril seperti harimau yang sudah lama kelaparan. Bila-bila masa sahaja boleh menerkam mangsa.

Faril tergelak sebelum memandang Andi.

"Kau siapa? Anak ikan dia ke? Jalang ni bayar kau untuk hiburkan dia ke?" Faril pandang Nadya, "Bukan main eh kau. Kau guna duit siapa bayar anak ikan kau ni? Duit abang aku kan?"

Andi berdeham kuat dan memandang ke arah Nadya sambil menjongket kening sebelah bila Nadya memandang sekilas ke arahnya. Seakan bertanya kepada Nadya kenapa Nadya masih membiarkan lelaki itu bercakap.

Nadya memegang tangan Andi sebagai tanda agar Andi tidak berkata apa-apa.

"Akak akan transferkan duit dengan Faril. Jangan kacau abang Ashrul. Dia dah ada banyak benda nak diselesaikan." Di dalam hati Nadya berdoa agar Faril cepat berlalu dari situ selepas dijanjikan duit darinya.

"Oh, so kau nak aku tutup mulut pasal ni? Kau ingat harga masih sama ke?" Faril tersenyum lebar. Ternyata rezekinya murah hari ini. Niat ingin menyerang Nadya di galeri disebabkan semalam dia gagal untuk meminta duit dari Nadya kerana Ashrul ada bersama. Tidak sangka pula dia dapat melihat kemesraan Nadya bersama seorang lelaki di sebuah restauran tidak jauh dari galeri.

"Nadya... dia masih bercakap." Kata Andi yang masih cuba untuk bertenang. Matanya sejak tadi menikam memandang Faril yang kelihatan kurang ajar kepada Nadya.

Faril pandang Andi sekali lagi sebelum menunjuk ke arah Nadya.

"Kau nak ke jalang ni? Careful bro... dia tak selamanya boleh bayar kau. Sampai bila je dia boleh bodoh-bodohkan abang aku dengan nasi kangkang dia tu..."

Desi yang sejak tadi menjadi pendengar sudah tidak tahan dengan kata-kata Faril. Namun belum sempat dia membuka mulut. Faril sudah terbaring di tepi kakinya.

Andi mengurut sedikit pergelangan tangannya sambil melihat Faril memegang muka sambil terbaring di atas lantai. Ternyata biarpun sudah berusia, penumbuknya itu masih sama seperti dulu dan agak rugi bila Faril hanya merasa sekali penangannya itu.

"Andi!" Nadya terus menarik baju Andi bila melihat Andi sudah bersedia untuk melontarkan penumbuk buat kali kedua. Dia meletakkan kedua-dua tapak tangan di dada Andi untuk menahan Andi dari melangkah mendekati Faril.

"Stop it." Kata Nadya dengan perlahan namun cukup tegas, "stop it." ulang Nadya lagi sambil memandang tepat ke mata Andi. Kali ini, hanya kedinginan tergambar pada mata Nadya. 

Bersambung...

Jangan lupa Vote + Comment. 

XOXO


No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37