Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Thursday, March 17, 2022

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 33

 

Terapung

Bagai terapung tanpa melihat daratan. Tiada arah yang nyata dan tiada tempat untuk dituju. Yang ada hanyalah kedinginan membalut tubuh - Andi

Andi memasukkan telefon bimbit ke dalam poket seluar selepas Nadya menamatkan panggilan telefon bimbit. Dia memandang Farhan yang sedang mencari sesuatu di laci meja. Kelihatan beberapa fail bersusun di atas meja Farhan begitu juga di atas kerusi lelaki itu. Ruang pejabat di Balai Polis Pekan Teluk agak lengang memandang sudah jam lima petang.

"Ressa suruh bagi sesuatu dekat kau." Kata Farhan yang masih mencari sesuatu di dalam kesemakan meja kerja tersebut.

Satu keping gambar terkeluar dari salah satu fail yang diangkat oleh Farhan. Andi terpana melihat gambar tersebut.

"Ressa kata, dua bulan lalu kau ada hantar mesej dekat dia. Kau suruh dia cari sesuatu di kawasan tapak rumah kau. Tapi dia tak sempat pergi sehinggalah selepas kau dan Nadya jumpa Alfi." Farhan masih tidak sedar gambar yang sedang dipegang oleh Andi. Satu kertas putih yang kekuningan kelihatan di bawah timbunan fail.

"Ah... ini dia." Kata Farhan sebelum terkebil-kebil melihat gambar di tangan Andi.

"Ini gambar..." Andi memandang Farhan, "Ini gambar dua pengawal peribadi yang datang bersama Dato ke pengebumian Alfi tadi kan?"

Farhan mengerut kening sebelum mengambil gambar tersebut dari Andi.

"Oh... Haah. Diorang berdua ni dah lama jadi pengawal peribadi Dato." Kata Farhan sebelum menyelitkan gambar tersebut ke dalam fail sebelum sebelum dia mengalihkan timbunan fail ke rak di belakang meja kerjanya.

Andi pandang Farhan sambil mengecilkan mata. Melihat kegugupan Farhan yang kelam-kabut mengemas fail-fail di hadapannya membuatkan dia tertanya-tanya.

"Itu... surat yang kau nak Ressa baca." Farhan menunjuk ke arah kertas yang berlipat di atas mejanya. "Kau nak beritahu dia yang kau nampak dua orang lelaki sedang mengangkat seorang pelajar yang cedera parah kemudian masuk ke dalam kereta Gen-2 putih. Kau rasa itu Alfi?"

Andi membaca sekilas lalu surat yang ditulis sendiri olehnya. Tiada langsung memori mengenai surat di tangannya. Andi meletakkan surat tersebut di atas meja sebelum meraup wajahnya. Ini yang dimaksudkan oleh Nadya. Sekali gus beberapa cebisan memori mengenai apa yang tertulis di kertas itu menyapa memorinya.

"Dua orang lelaki yang aku nampak tu..." Andi mengangkat pandangan ke arah Farhan, "mereka berdua adalah orang di dalam gambar tadi." Kata Andi dengan serius.

Farhan yang sedang mengemas timbunan fail yang hampir terjatuh terus terkaku apabila mendengar kenyataan Andi itu.

"Hish! Media di Malaysia ni cepat je nak cari cerita. Dah cari cerita, memandai pula buat kesimpulan. Kau tahu diorang siap kata Darwish ada rakan subahat yang tolong dia larikan duit kilang tu." Pegawai polis yang baru masuk dalam pejabat terus mengetap bibir selepas bertentang mata dengan Andi. 

Andi memandang pegawai tersebut sementara kepalanya berselirat memikirkan cerita yang disampaikan oleh pegawai tersebut.

Farhan sibuk membesarkan mata sambil membuat isyarat agar rakan sekerjanya tidak berkata apa-apa lagi.

"Rakan subahat?" ulang Andi seperti mendapat satu idea. Dia pandang Farhan, "Darwish? Encik Darwish yang hilang seminggu sebelum Andi hilangkan dirikan? Lima belas tahun lalu dia dituduh melarikan duit syarikat tempat dia bekerja. Kehilangan Andi ada kaitan dengan kes tu ke? Mungkin Andi ternampak sesuatu?"

"Aku... keluar hisap rokok dulu." Kata pegawai tadi sebelum cepat-cepat keluar dari tempat itu.

Farhan mengetap bibir melihat tingkah rakan sekerjanya yang mahu menyelamatkan diri sendiri. Farhan kemudian mengeluh panjang.

"Apa-apa pun, kita dah jumpa Alfi. Biarpun aku sendiri tak setuju tapi aku tak ada kuasa untuk melawan. Kes Alfi akan ditutup." Farhan mengalih timbunan fail di kerusinya sebelum dia melabuhkan punggung di atas kerusi dengan muka yang penat. Farhan mengeluh panjang.

"Maksudnya kita takkan tahu apa yang dah jadi dengan Alfi?" Andi mendengus apabila melihat anggukan perlahan dari Farhan. Dia kemudiannya menyebak rambut ke belakang.

"Aku pengecut." Kata Andi perlahan. "Kalau aku..."

"Kalau kau cuba selamatkan Alfi waktu tu, kau pun takkan ada di sini." Farhan cepat menangkis ayat Andi. Dia melarikan pandangannya ke meja Ressa yang terletak di sebelah mejanya.

"Kau dah buat keputusan yang tepat." Satu suara menyampuk perbualan mereka.

Andi dan Farhan sama-sama memandang ke arah pintu belakang pejabat tersebut. Kelihatan Ressa sedang berdiri di depan pintu sambil memeluk tubuh.

"Kau juga buat keputusan yang tepat untuk keluar dari Pekan ni. Hal Alfi biar kami yang uruskan. Kau dah jumpa dia. Itu dah cukup." Kata Ressa sebelum mengambil beg galas dari mejanya. "Aku balik dulu." Katanya sebelum berlalu dari situ.

Farhan dan Andi mengekori langkah Ressa yang menghilang di sebalik pintu. Kemudian Andi memandang Farhan.

Farhan lebih selesa memandang fail-fail yang bersusun di atas mejanya.

"Kau tak nampak terkejut dengan apa yang aku tulis dalam surat ni. Macam ini bukan berita baru untuk kau dan Ressa." Kata Andi yang masih memandang Farhan.

Farhan menggaru lehernya apabila mendengar kata-kata Andi. Farhan berdiri di sebelah Andi dan bersandar di tepi meja kerjanya. 

"Andi... kau ada cakap dengan aku yang apa dah jadi dengan kau ni macam peluang kedua untuk kau dan Nadya.  Kau nak perbaiki silap kau dekat Nadya. Tapi sekarang kau di sini. Dan Nadya?" Farhan menjongket kening sebelah. 

Andi mengeluh panjang. Ada benarnya kata-kata Farhan itu. Andi tahu Nadya sedang marahkan dirinya kerana berkeras mahu mencari tahu kes Alfi. Andi mendongak memandang Farhan. 

"Kalau ada apa-apa maklumat baru, aku janji akan beritahu kau. Tapi buat masa sekarang ni, kau kena tahu fokus kau. Kau nak kehilangan Nadya lagi ke?" tanya Farhan lagi. 

Andi berdiri dengan lemah sebelum memasukkan tangan ke dalam poket jaket. 

"Okay. Kau call aku kalau ada apa-apa." Kata Andi dengan hampa kerana masih tidak dapat merungkai tanda tanya di dalam kepalanya. "Aku balik dulu," tambah Andi sambil menepuk bahu Farhan sebelum melangkah keluar dari balai tersebut. 

Andi: 

Jangan marah lama-lama ya Nady. Aku balik malam ni. 0700PM

~~~~~~~

Nadya membaca mesej dari Andi dan kemudian mengeluh panjang. Dia menyandarkan badan di kerusi kereta sambil matanya memandang jalan raya yang lengang. Nadya kemudiannya memandang ke arah Ashrul yang fokus memandu kereta. Bersama lelaki di sebelahnya itu, mudah. Semuanya boleh dijangka. Ashrul yang kuat bekerja tapi penuh sabar melayan kerenahnya. Kadang-kadang rasa sebal bila Ashrul terlalu bersabar dengannya sehingga dia sengaja mencari walau secebis kesalahan lelaki itu. Lelaki itu juga memberikan hidup yang stabil untuk dia dan anak-anak. Dia akui, Ashrul mampu berikan semua yang wanita impikan dari seorang suami. 

"Kenapa? You nak singgah RNR ke?" 

Nadya mengeluh lagi sebelum memandang ke depan semula apabila ditanya oleh Ashrul. 

"No. Dah nak sampai dah pun. Kita terus balik." Jawab Nadya. 

Cuma satu sahaja kelemahan Ashrul di mata Nadya. 

Ashrul bukan Andi. 

Andi membuat hidupnya seakan menaiki Rollercoaster. Emosinya turun dan naik. Andi membuat perasaannya bercampur baur bagaikan Air batu campur. Beraneka rasa namun menyejukkan. Andi yang sentiasa mempunyai cara tersendiri untuk membuatkan bibirnya mengukir senyuman dan hatinya melompat girang. 

"Eh, itu Uncle Daus..." kata Afiq bila kereta Ashrul masuk ke perkarangan rumah mereka. 

"Dia nak apa lagi ni..." kata Ashrul perlahan sambil meletakkan kereta di hadapan garaj. "You duduk kejap dalam kereta. I suruh dia balik." Pesan Ashrul dengan muka tegang. 

Nadya menyandarkan badan di kerusi kereta. Ini satu lagi masalah... Nadya mengomel di dalam hati sambil menarik nafas panjang untuk menenangkan hatinya. 

Bersambung...

Note: Panjang pula chapter kali ni... Terima kasih kerana sudi baca. Sorry lambat update sebab line internet tak berapa okay.  Jangan lupa vote ya. 

Xoxo


No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37