Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Monday, December 14, 2020

Cinta yang Akan Selalu Aku Rindu 5

 

Kita

Terlalu banyak yang ingin aku ucapkan setiap kali menatap wajahnya, namun melihat senyuman di bibirnya membuatkan aku ikut sama tersenyum dan terlupa apa yang ingin diucapkan.  - Andi. 

Pemandangan dari Ferris Wheel terasa sangat indah. Kelihatan lampu-lampu dari setiap rumah menerangi pekan kecil itu.  Andi memandang wanita yang sedang sibuk menaip sesuatu di telefon bimbit. Tidak sampai beberapa saat, telefon itu berbunyi lagi. Sesekali terdengar keluhan dari bibir wanita di sebelahnya. 

Kemudian Andi tergelak kecil.

Nadya mengangkat kepala.

"Apa dia?"

"Nothing." 

Nadya mengerut dahi dan tidak puas hati dengan jawapan Andi. 

Andi pandang Nadya. 

"Aku teringat waktu Cikgu Maria denda kau lepas telefon kau berbunyi di kelas" Andi menahan gelak. 

Nadya mengerut dahi. 

"Cikgu Maria suruh kau berdiri di atas kerusi dan baca mesej yang kau baru dapat tu" Andi menjongket kening sambil tersenyum nakal. 

Nadya perlahan-lahan menggelengkan kepala. Wajahnya masih berkerut. 

Senyuman Andi mengecut. Tiada tanda-tanda yang Nadya mengingati peristiwa yang melucukan bagi Andi. Malam itu tiba-tiba terasa sunyi. Entah kenapa sosok yang duduk di sebelahnya terasa seakan asing sekali. Sunyi.. kerana tinggal dia sendiri yang berenang di dalam kenangan lalu yang dia sendiri tidak sedari semuanya telah lama berlalu. Baginya, semua itu semua itu baru berlaku semalam.

"Kenapa kau takde waktu aku bangun?" Sosok pertama yang dicarinya setelah bangun dari koma adalah Nadya. Tapi sayang sekali, hanya ada ibunya dan adik beradiknya. Lama dia tunggu namun Nadya masih tidak kunjung tiba. 

Nadya yang sedang menaip mesej terkaku. 

"Setakat apa yang aku masih ingat.." Andi memandang Nadya, "Kita okay.."

Nadya merenung ke depan dan menarik nafas pendek sebelum memandang Andi. 

"Banyak yang berlaku Andi dan kalau kau ingat semua kenangan yang  dah hilang dari memori kau" Nadya memandang Andi, "kau mesti dah tak nak jumpa aku".

"Mustahil" 

Andi memandang tajam ke arah Nadya. Jelas riak tidak puas hati tergambar di wajahnya. 

"Hati aku dah tertulis nama Nadya Hj Farouk..Mustahil untuk aku mengelak dari berjumpa dia dan mustahil untuk aku lupakan dia" Andi tersenyum nipis, "Sebab hanya dia, gadis yang aku cinta" kata Andi dengan serius. 

Wajah Nadya menjadi merah. Malu, terkejut? 

Andi tergelak kecil. Terasa lega bila dapat meluahkan apa yang terbuku dijiwanya. 

"Berbulan aku berlatih nak cakap macam tu.." Andi memandang Nadya yang masih mendiamkan diri, "sebab itu aku beria-ia nak bawa kau datang sini" katanya ingin menjelaskan rancangan yang telah dirancang olehnya berbelas tahun yang lalu. 

~~~~~~~~~~~~~

"Woah! cantiknya pemandangan pekan kita dari atas ni" Nadya mendekatkan muka pada pagar Feris Wheel. 

Andi beberapa kali berdehem dan mengelap tangan yang berpeluh di seluarnya. 

"Oh! Tu kedai Apek Jason" Nadya menunjuk ke arah satu bangunan yang kelihatan begitu kecil bila dilihat dari atas Feris Wheel. Roda berhenti seketika, kelihatan kakitangan Funfair membukakan pintu untuk pelanggan lain. 

"Nad.." 

"Oh tu bukit tempat kita selalu joging" 

Nadya masih teruja dan masih tidak sedar yang Andi sedang melutut dibelakangnya. 

"Nady..." panggil Andi lagi. 

Nadya berpaling menghadap Andi. Matanya terkebil-kebil bila melihat Andi yang sedang melutut. 

"Nadya Hj Farouk.. Aku kenal kau sejak kita darjah satu. Kau jahat dan selalu buli aku sebab dulu aku lebih rendah dari kau. Kau selalu makan bekal yang aku bawa dan suruh aku beli macam-macam bila waktu rehat. Aku benci bila kau guna pemadam aku dan rosakkan sudut yang bersih. Aku sangat tak suka bila kau tak susun balik pensil warna yang kau pinjam..." 

"Aku harap kau ada point penting yang kau nak cakap..." kata Nadya sambil bercekak pinggang. 

Andi tergelak. 

"My point is, Nadya.. kita dah lama kenal. Aku tahu buruk dan baik kau, kau tahu baik dan buruk aku.. Aku tahu yang kita masih lagi muda, masih banyak yang belum kita terokai di dunia ni. Tapi setiap kali aku terbayang hidup aku selepas SPM, setiap saat pasti ada kau. Di mana saja aku pergi lepas ni, aku nak kau ada dengan aku. Sebab aku tak boleh bayangkan hidup tanpa kau..." 

Andi mengorek poket seluar dan mengeluarkan sebentuk cincin berwarna putih. 

"Nadya Hj Farouk, be my girl?" 

~~~~~~~~~~~~

"Telefon siapa yang berbunyi?" 

Nadya menutup mata dan mengetap mulut. Terasa getaran handphone dari poket baju kurung sekolahnya. 

"Malaun mana yang tak berhenti hantar mesej ni" bisik Nadya perlahan sambil menyeluk poket baju dan menekan-nekan punat telefon supaya telefon itu berhenti berdering. Silapnya kerana terlupa meletakkan telefon dalam mood senyap. 

Cikgu Maria semakin mendekat. 

"Nadya!" 

Perlahan-lahan Nadya mengangkat kepala. Sedaya upaya mimik mukanya dibuat menjadi muka sepuluh sen. Mengharap agar Cikgu Maria tidak mengambil telefon bimbitnya. 

Kedengaran bunyi ketawa yang cukup Nadya kenali. 

Di barisan hadapan, sebelah kiri kelas.. kelihatan Andi tergelak dengan kawan-kawannya yang lain. Tangan Andi berada di dalam laci meja. 

Pasti angkara Andi! Jerit hati Nadya. 

"Keluarkan telefon bimbit kamu" arah Cikgu Maria. 

Dengan muka berserah, Nadya perlahan-lahan meletakkan telefon bimbit di atas meja. Ini mesti  angkara Andi yang ingin membalas dendam. Dia menyembunyikan kasut Andi pagi tadi sehingga lelaki itu pergi ke medan perhimpunan dengan hanya memakai stokin. 

"Buka mesej tu dan baca kuat-kuat. Biar kawan-kawan awak dengar" 

Darah Nadya seperti berhenti mengalir ke muka. Pucat! Namun dia lagi pucat bila menerima renungan tajam dari Cikgu Maria. 

"Dear Nadya, entah apa yang mengganggu aku malam tadi. Semakin aku cuba untuk tidur, semakin mata aku terbeliak" Nadya cuba untuk tidak menjulingkan mata bila membaca mesej itu. 

Kelas mereka mulai riuh. Andi semakin galak ketawa. 

"Dear Nadya," Nadya mengetap bibir. Serba salah. Patutkah dia baca atau tidak. 

"Baca sampai habis" kata Cikgu Maria. 

"Sesungguhnya tiada tandingan lagi kecantikan yang ada pada kau.. tidak Juliet dan tidak juga Cikgu Maria yang dapat melawannya"  Dengan perlahan Nadya menyebut nama Cikgu Maria sambil di dalam hati berbakul makian buat Andi, " Kecuali Makcik Bedah, sungguh kecantikan Makcik Bedah tiada tandingannya."  Gila! bisik hati Nadya. 

Seisi kelas ketawa dengan kuat. 

"Sebenarnya siapa yang dia rasa cantik ni? Makcik Bedah ke kamu? Kasanova sangat" Komen Cikgu Maria membuatkan ketawa yang hampir surut mencanak naik.

Nadya mencebik. Memang kasanova!

"Tapi jangan bimbang, hati aku, si Romeo tetap pada kau, Bedah eh Nadya.. sincerely yours, Romeo idaman malaya, yang hensem lagi tampan." Sepanjang masa Nadya memandang tajam ke arah Andi yang sedang menggelakkan dirinya. 

"Siapa Romeo Idaman Malaya yang hensem lagi tampan tu" tanya Cikgu Maria. 

"Saya Cikgu!" Akui Andi tanpa segan silu sambil terus berdiri tegak. 

Pelajar yang lain bertepuk tangan apabila Andi mengaku tanpa segan silu. 

"Suruh masuk pertandingan puisi taknak.. tapi mengarang mesej cinta laju pula kamu. Dua-dua pergi pusing padang seround sekarang juga!"

"Di padang ya Andi.. kamu jangan pergi kantin untuk stalk makcik Bedah pula" tambah Cikgu Maria sebelum Andi dan Nadya keluar dari kelas. Murid lain mula bersorak bila mendengar komen dari Cikgu Maria. 

Klik Sini  CYASAR 4 | CYASAR 6

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37