Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Friday, May 4, 2018

Cerpen : Cafe @ a.m part 1

Cafe @ a.m.

 Kay berlari masuk ke dalam cafe. Amir seperti biasa, bercekak pinggang sambil menggeleng kepala. Kay hanya mampu tersengih.
“Kay, kau pakai jam waktu apa?” soalan yang sama setiap pagi. Dia hanya mampu menjulingkan mata di belakang Amir sambil dia membuka laci dan mengambil apron yang dilipat olehnya.
“Lain kali kalau kau lambat lagi…”
“Eya , Encik Amir…” katanya sambil tersenyum paksa. Mesti lelaki itu mahu mengugut ingin memotong gajinya. Ugutan yang sama setiap hari. Bukan dia sengaja untuk lewat, cuma.. jam loceng seakan tidak berfungsi setiap pagi. Sumpah! Alasan yang diberikan kepada Amir jika lelaki itu masih membebel.
Kay kelam kabut menyusun barang-barang di station barista. Setiap hari, Kay menekan semua suis lampu dan mengidupkan suis peti ais dan yang paling utama, mesin kopi. Kemudian dia berlari ke arah peti sejuk untuk mengambil kek untuk diletakkan di kabinet paparan kek yang juga telah dihidupkan tadi.
“Kay! Jangan lupa check volume kopi dan coffee test” jerit Amir yang sudah sibuk menyediakan bahan-bahan di dapur sementara rakan sekerja yang lain sibuk membuat tugas masing-masing.
“Yup. Okay.” katanya sambil berjalan laju namun dalam masa yang sama cuba untuk tidak terjatuh dengan beberapa kontena kek yang sedang diangkatnya.
Amir berhenti membuat kerja dan memandang ke arahnya sambil bercekak pinggang. Kemudian lelaki itu memandang kasut yang sedang dipakainya, Kay turut memandang ke bawah. Kemudian tersengih.
“Nanti..nanti” katanya memahami renungan Amir tadi. Disebabkan permukaan lantai dapur yang licin, pekerja-pekerja cafe disarankan untuk memakai kasut yang sesuai. Dia tidak sempat untuk menukar kasut di bilik rehat pekerja.
“Jatuh nanti, jangan saman Cafe!” laung Amir. Ceh! Kedekut. Bisiknya sambil meneruskan perjalanan ke stationnya. Kay menyusun kek dengan secepat mungkin dan memanjat kerusi untuk mengisi biji kopi ke dalam mesin.
Gelas penyukat diletakkan di bawah mesin kopi dan menekan butang x. selepas kopi diisi ke dalam gelas penyukat, dia mengambil sudu kecil dan mengacau kopi tadi untuk memecahkan buih. Kay mendekatkan gelas di hidungnya. Haruman kopi menusuk ke deria bau. Setelah puas hati dengan kualiti kopi, dia meneruskan kerja-kerjanya dengan menyusun bahan-bahan yang digunakan sepanjang hari nanti.
Sesekali dia mengerling ke arah Amir apabila lelaki itu keluar dari dapur dan cepat-cepat melarikan pandangan bila Amir memandang ke arahnya.
“Selamat pagi uncle” pelanggan tetap yang lebih mesra dipanggil sebagai uncle datang membuat pesanan.
“macam biasa?” sapanya dengan girang apabila melihat pelanggan pertamanya pada hari itu.
“Macam biasa, tambah apple pie untuk auntie dengan mineral water.” jawab lelaki berusia mungkin dalam lingkungan usia 60-70 tahun itu. Dia sempat memandang Amir yang berhenti di stationnya.
“Buat kerja..” kata Amir dengan nada yang sangat perlahan supaya pelanggan tidak mendengar.
Uncle duduk dulu, nanti saya hantarkan” katanya sambil tersenyum dan sekali lagi mengerling ke arah Amir yang sedang menulis sesuatu di atas kaunter di stationnya.
Amir memandangnya dengan mata yang sengaja dibesarkan.
“Fokus buat kerja tu. Nanti tertuang air panas lagi” Bebel Amir. Kay menjuih mulut. Macamlah ini hari pertama dia bekerja. Kay meletakkan satu gelas kecil di bawah mesin kopi dan menekan butang X dan mengambil lagi satu gelas medium dan menekan butang S dan kemudian mengisi air panas panas gelas medium untuk Americano.
Kay mengeluarkan satu epal pie dari peti paparan dan meletakkan ke dalam microwave. Dia mencuit Amir.
“Pinggan” katanya sepatah bila Amir mengetap bibir, marah bila diganggu oleh Kay. Ingat sengaja kacau dia ke? Bebel hati Kay. Amir melangkah setapak ke kiri, memberi ruang untuk Kay mengambil pinggan.
Dia menghantar pesanan tadi kepada uncle dan Amir masih membelek beberapa dokumen di stationnya.
“Dengar kata, ada orang hantar rombongan minggu lalu” katanya menyandar pada kaunter sambil memandang ke ruang kafe, takut tidak perasan kalau ada pelanggan.
“Em. Ya. Senang ikat. Takut nanti ada yang perasan tak habis” Jawab Amir dengan sinis. Dia menjongket bahu seperti tidak kisah dengan sindiran Amir tadi.
“Ada kosong tiga lagi..” katanya dengan selamba. Amir mengeluh panjang dan menjelingnya sebelum mengemas semua dokumen dan masuk ke dapur. Dia tersenyum nipis sambil memandang uncle dan auntie yang sedang menjamu selera.  
~~~~~
Atau seperti dua pelanggan ini, yang selalu datang bersama setiap pagi untuk sarapan. Mungkin mereka pasangan kekasih, atau mungkin juga hanya rakan sekerja. Tapi mereka selalu berdua.
“Dua cappucino, satu medium dan satu large” dia menganggukkan kepala. Walhal dia sudah menekan pilihan kopi apabila pasangan ini melangkah sahaja ke kaunter.
“Ada apa-apa nak tambah lagi?” tanyanya sambil jarinya berhenti di pilihan kek. Lelaki itu memandang ke arah wanita di sebelahnya. Kemudian mereka berdua memandang ke arah paparan kek.
“Ya, lava kek” seperti biasa. Bisik hati Kay sambil tersenyum.
“Nanti kami hantarkan” katanya selepas pembayaran. Pasangan itu mengambil tempat duduk agak jauh dari kaunter namun masih kelihatan dari tempat Kay berkerja.
Kay mengambil susu dari peti ais dan menuang ke dalam pitcher. Dua gelas di cawan yang berbeza saiz diletakkan dibawah mesin dan dia menekan butang mesin. Susu tadi dipanaskan menggunakan muncung steam dari mesin kopi. Tangannya diletakkan dipermukaan pitcher untuk memastikan susu tidak melebihi suhu yang sesuai.
Dia menggerakkan cawan apabila selesai menuang susu ke dalam kopi. Bila buih-buih tetap di dalam gelas dan tidak tumpah, dia memindahkan dua cawan tadi ke dalam dulang bersama kek coklat lava yang telah dipanaskan.
“Rin, hantarkan.. hujung tu” katanya sambil membersihkan muncung steam pada mesin kopi agar tidak tersumbat.
Pintu ditolak dari luar.
“Pagi..” sapanya bila melihat Amir baru masuk kerja. Amir memandangnya sekilas sebelum masuk ke dalam dapur.
~~~~~~~~~
Okay.. I’m off” kata Kay sambil menanggalkan apron yang sedang dipakainya apabila Seri datang untuk mengantikan tempatnya. Amir berdiri di tepi kaunter, sedang mengira bajet mungkin.
“Kau patut pergi cepat, dia dah tunggu lama” kata Rin yang menghantar dulang kepada Seri. Kay mengambil telefon bimbit yang disimpan di dalam laci.
“Uhh.. kena tunggu.. yang mana?” tanya Seri sambil memandang sekeliling ruang makan. Kay menjulingkan mata.
“Tak payah sibuk. Kira duit tu cepat. Nanti short.. kau yang bayar” katanya sambil berdiri di tepi Seri yang sedang mengira duit di dalam mesin.
“Tak pernah-pernah kena tunggu..” komen Seri lagi sebelum mulut kembali terkumat-kamit mengira duit.
Just a friend. Aku kolaborasi projek akhir tahun dengan dia” jawabnya ringkas supaya rakan-rakannya tidak serkap jarang mengenai hubungannya dengan lelaki yang dimaksudkan oleh Rin tadi. Dia mengerling ke arah Amir yang tidak mengambil memberi sebarang respon dengan perbualan mereka.
Okay. Cukup. Tak ada kurang, tak ada lebih” Kata Seri sambil menutup mesin duit.
Okay, aku balik dulu”
“Kay..” Kay memandang ke arah Amir. Mereka berdua berpandangan seketika.
“Jangan lambat lagi, besok” Seri dan Rin menahan ketawa. Sudah arif dengan sikap Kay yang sering terlambat jika shift pagi. Kay menjulingkan mata dan meninggalkan station tanpa memberi respon kepada Amir.
~~~~~~~~
“Kalau macam nilah, baik kau berhenti kerja” Aina duduk sofa tunggal bersama secawan kopi panas. Kay terbaring di sofa berangkai tiga. Sedang diambang nyata dan mimpi.
“Bukannya kau tak dapat biasiswa. Eh, hello.. dengan majikan kau dah bagi biasiswa dan cuti bergaji tau untuk kau sambung belajar ni..” bebel Aina.
“Aina.. senyap” katanya perlahan dengan menggunakan tenaga yang masih tersisa di tubuhnya.
“Kenapa kau masih lagi kejar dia? Dia dah bertunang! Dah move on dengan perempuan lain. Dah habis dua tahun kau terkejar-kejar dekat cafe tu.. tak penat ke?” Dia menarik bantal kecil dan menutup telinganya. “Tak malu ke?” laung Aina.
“Aku terkejar-kejar pun, dapat juga sambil-sambil sambung PhD” jawab Kay dari bawah bantal dan kemudian dibaling lagi dengan beberapa bantal oleh Aina.
“Menjawab” bebel Aina. Dia duduk semula dan menarik air kopi yang ditinggalkan Aina. Sebenarnya, hatinya juga mulai tawar.. seperti kopi yang dibuat oleh Aina. Kopi atau air suling? Kadang-kadang dia masih mempersoalkan citarasa Aina.
~~~~~~
“Ice Latte. Medium dan baby cino, tolong buatkan bentuk hati boleh tak?” dia mengangkat pandangan dari skrin dan memandang pelanggan baru itu. Seorang. Tapi membuat dua pesanan kopi. Ini baru. Bisik hatinya. Kerenah baru.
“Semuanya lima belas ringgit” Kay mengambil satu gelas yang dikhaskan untuk minuman sejuk kemudian membuka penutup simpanan ais. Hampir setengah cawan ais dan satu per tiga susu, kemudian satu bahagian kopi. Guna sirap gula tebu disediakan dihujung station bagi pelanggan yang sukakan kemanisan.
Baby cino pula, dia memanaskan susu menggunakan muncung steam dan menuang ke dalam cawan. Stencil bercorakkan hati dipegang seinci dari atas cawan sambil tangan kanannya menuang serbuk koko di atas stencil.
Baby cino.. untuk si barista yang secomel cawan baby cino” kata Rin yang kembali semula dengan secawan susu panas. Dia mengerut dahi dan memandang ke arah pelanggan tadi.
“Kalau aku tahu, aku minta dia belikan Caramel Machiatto. Large” kata Kay perlahan. Rin tergelak kecil.
Kemudian mereka berdua cepat-cepat menyambung kerja apabila Amir berdehem dari pintu dapur.
~~~~~~~
Ice latte, dan Caramel Machiatto. Large” Ehh.. Kay pucat. Hari ini lelaki itu datang lagi. Dia dengar ke? Bisik hati Kay. Tebal juga telinga lelaki tu.
Extra caramel” tambah lelaki itu. Lelaki itu terus tersenyum sementara Kay mula cuak.  
Kay tersenyum sumbing untuk menutup rasa cuak dan menekan pilihan menu tanpa membuat sebarang komen. Mana tau hari ini lelaki itu datang berdua.
“Rin.. hantar” dia menjuih mulut menunjuk ke arah lelaki tadi.
“Caramel Machiatto untuk barista yang manis semanis caramel machiatto ni..” Rin mendekatkan diri pada kaunter, “dia dengar tak apa yang kita cakap semalam?” bisik Rin. Kay menggeleng kepala sambil memandang ke arah lelaki tadi. Tanpa sedar, dia menghirup Caramel Machiatto yang masih panas. Manis! Kay mengelap buih yang melekat di bibirnya.
Tanpa sedar Amir sedang memandang.
~~~~~~~
“Jadi? Awak nak berpisah?” Matanya basah tapi dilap dengan cepat.
“Ya” jawab Amir.
“Tapi kenapa?” tanyanya dengan nada tegas. Bukan baru sekarang dia dan Amir bersama. Dah tujuh tahun.
“Awak nak kahwin dan saya tak. Jadi kita berpisah. Awak boleh cari orang lain yang boleh kahwin bila-bila masa yang awak nak” kata Amir dengan serius. Beberapa pekerja kafe memandang ke arah mereka secara senyap-senyap biarpun mereka mengambil tempat yang tersorok.
Okay. Saya tak kan paksa awak lagi. Saya takkan mention pasal kahwin lagi” Amir mengalihkan pandangan dan mengeluh. Tidak puas hati dengan tawaran Kay.
“Sampai bila? Nanti tak sampai dua bulan awak akan bangkitkan hal kahwin lagi” rimas. Amir mula rimas. Malas berlama-lama di sana. Banyak lagi kerja yang menunggunya di dapur. Amir juga segan dengan pekerjanya. Kay seperti tiada kerja. Setiap hari muncul di kafe.
“Sampai sini je Kay. Please” Kata Amir menutup perbincangan mereka. Amir mengambil ice blended mocha yang hampir cair dan meninggalkan Kay.
~~~~~~~
“Siska, kau dapat dapat pekerja baru ke?” tanya Kay apabila Siska kebetulan datang ke kafe hari ini. Adik Amir, merangkap rakan kongsi Amir.
“Belum lagi lah.. hujung bulan ni kan?” tanya Siska dengan perlahan. Tiada siapa yang tahu rancangan Kay ingin berhenti kerana pengajiannya hampir selesai dan terpaksa balik bekerja semula.
“Haah, aku dah kena masuk kerja balik,” jawab Kay perlahan.
“Ke sebab kecewa?” tanya Siska dengan nada simpati. Kay tersenyum nipis.
“Hai.. Ice latte dan hot chocolate” lelaki yang sudah menjadi pelanggan tetap Kay setiap pagi tiba-tiba mencelah. Siska bergerak ke tepi.
“Um.. saya tak minum hot chocolate” kata Kay dengan penuh yakin sambil tersenyum. Membazir kalau lelaki itu menghantar semula hot chocolate kepadanya nanti kalau tidak diminum.
“Ah..um” lelaki itu menunjuk ke bawah. Kay berjengket melihat ke bawah kaunter. Seorang budak lelaki sedang berjengket merenungnya.
“Dia nak hot chocolate” kata lelaki itu sambil menggaru belakang leher.
“Owh” Kay kebingungan seketika. Wajahnya terasa panas “Oh..” katanya perlahan sambil tangannya menggigil menekan pilihan menu.
Ice latte dan ho..” Kay berdehem, “Hot chocolate” Senyum Kay., Senyum biarpun kau nak masukkan muka dalam peti ais. Bisik hati Kay yang malu berkati-kati.
“dan Ice Caramel Macchiato” tambah lelaki itu sambil tersenyum lebar. Dia menggigit bibir dan menundukkan pandangan sehinggalah lelaki dan budak itu mengambil tempat duduk.
“Siapa?” tanya Siska selepas dia mengambil pesanan.
Right now..my doom” kata Kay sambil menekup mukanya. Malu!

Klik untuk sambungan 👉CAFE @ AM LAST👈

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37