Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Wednesday, December 8, 2021

Cinta yang akan selalu aku rindu - 14

Aku, Kau & Dia

 Ada kata yang tak terungkap dan ada rasa yang belum terungkai – Nadya.

Come on Andi. Relax. Ingat sekuriti di kawasan perumahan aku ni cikai sangat ke? Motorsikal kau takkan hilang punya. Paling-paling pun tayar je hilang.” Nadya mengusik lagi apabila keretanya mula bergerak masuk ke kawasan perumahan rumahnya. Dia menahan senyum apabila menerima jelingan tajam dari Andi.

Hujan renyai-renyai membasahi cermin depan kereta.

“Nad, kau makin kejam. Kurang makan sayur ke?” Andi memeluk tubuh.

Nadya tersenyum lagi.

“Eh… apa kaitan pula dengan tak makan sayur. Aku amalkan diet yang seimbang tau!” Nadya tergelak kecil apabila Andi memandangnya dengan muka tidak puas hati. Satu notifikasi diterima di telefon bimbitnya. Nadya memegang stereng dengan tangan kanan manakala tangan kirinya mengapai telefon bimbit di atas dashboard.

Puan, saya terpaksa balik kampung malam ni. Ada hal kecemasan di kampung. Tuan Ashrul dah hantar twin balik dan temankan twin sampai Puan balik.

– Mak Timah, 0830 pm.

Senyuman Nadya terus mengecut.

“Ada apa?” Andi menjongket kening sebelah apabila Nadya tiba-tiba terdiam selepas membaca pesanan ringkas di telefon bimbit.

“Um., tak ada apa-apa.” Jawab Nadya bersama senyuman nipis sebelum dia mengeluh perlahan apabila kereta bergerak masuk ke dalam perkarangan rumah. Kelihatan kereta Ashrul diletakkan di hadapan rumah namun tetap memberi ruang kepada kereta milik Nadya bergerak masuk ke dalam garaj kereta.

Hujan yang tadinya renyai tiba-tiba menjadi lebat. Mereka berpandangan seketika sebelum keluar dari kereta.

Andi mengerut dahi melihat kereta yang diletakkan di hadapan garaj kereta. Dia bergerak menuju ke motorsikal miliknya namun tangannya ditahan oleh Nadya.

“Masukkan dulu motor kau kat dalam garaj. Hujan kuat ni. Macam mana kau nak balik.” Kata Nadya sambil meletakkan tangan di atas kepala agar tidak terkena hujan, “jom berteduh dulu,” tambah Nadya sambil berlari anak menuju ke beranda rumahnya.

Andi menolak motorsikalnya ke dalam garaj dan mengekori Nadya dari belakang. Dia berdiri di hadapan pintu rumah sambil menyapu air hujan yang sempat jatuh di kepalanya.

“Kejap. Aku ambilkan tuala,” kata Nadya apabila melihat Andi menarik kerusi taman yang tersedia di beranda rumah.

“Mama!”

Andi memandang ke pintu apabila mendengar suara budak-budak sebaik sahaja Nadya membuka pintu.

“Tunggu kejap ya Andi,” kata Nadya lagi sebelum masuk ke dalam rumah bersama si kembar. Pintu rumah dibiarkan terbuka.

“Papa mana?” tanya Nadya kepada Ashraf.

“Papa masak,” jawab Ashraf sebelum sambung bermain bersama kembarnya.

Nadya menganggukkan kepala sebelum bergerak ke dapur. Entah kenapa dia seperti pesalah yang sedang menerima hukuman. Dadanya berdebar-debar biarpun dia tidak sepatutnya rasa begitu.

“Hei..” tegur Nadya di hadapan pintu dapur.

Ashrul yang sedang memotong sayur mengangkat pandangan seketika. Dia mengeluh melihat baju Nadya yang basah dek air hujan.

“Pergi mandi dulu. Ajak kawan you masuk, makan sekali.” Kata Ashrul sebelum membilas sayur sawi yang dipotongnya sebelum dimasukkan ke dalam tumisan bawang.

“Hurm. Okay.” Seperti biasa, Ashrul takkan cakap panjang lebar. Namun entah kenapa dia terasa serba salah. Nadya berlalu dari dapur dan menuju ke bilik cuci kain. Satu tuala yang baru dicuci, dia ambil dari atas rak baju, “Afiq, tolong hantar tuala ni dekat uncle kat luar. Ajak dia masuk sekali ya,” katanya sebelum menyerahkan tuala tadi kepada Afiq.

Nadya sempat memandang ke dapur sekali lagi. Pandangannya bertembung dengan Ashrul sebelum lelaki itu mencekak pinggang.

“Mandi.” Gerak bibir Ashrul menyebut apabila Nadya masih terpacak di hadapan pintu dapur.

~~~~~~~~~~~~

Nadya turun ke dapur setelah selesai mandi seringkasnya. Rasa tidak senang meninggalkan Andi dan Ashrul begitu sahaja. Dia terasa lega sedikit apabila melihat Andi sibuk bermain permainan video bersama si kembar manakala Ashrul masih di dapur.

Bagus. Bisik hati Nadya. Senang kerana masih belum ada interaksi antara Andi dan Ashrul.

“Cedok sup ayam kat dalam kuali tu,” kata Ashrul sebaik sahaja Nadya melangkah masuk ke dapur.

Nadya yang sedang mengelap rambut terus menarik muncung. Tuala disidai pada kerusi sebelum dia mencapai mangkuk dari rak pinggan.

“Ish..” Nadya sekali lagi menarik muncung ketika sedang menyendukkan kuah sup dan kelihatan potongan lobak merah terapung di permukaan sup.

Ashrul tersenyum tepi apabila mendengar keluhan dari Nadya.

“Sengajalah tu..” Komen Nadya apabila melihat senyuman Ashrul. Walhal Ashrul tahu dia tidak sukakan lobak merah.

Ashrul menjongket bahu. Dia pandang Nadya yang sedang menolak rambut ke belakang telinga. Laju tangannya mengambil getah sayur dan berdiri di belakang Nadya untuk mengikat rambut Nadya.

Nadya dan Ashrul berpandangan seketika selepas Ashrul selepas mengikatkan rambutnya. 

“Mama… Nak air.”

Ashrul dan Nadya terus menjarakkan diri apabila anak sulung mereka, Ashraf melangkah masuk ke dapur sambil mengelap mulut yang comot dengan cebisan biskut.

“Oh, nak air? Kejap ya,” Nadya meletakkan mangkuk di atas kaunter sebelum mengambil gelas buat anaknya. Dadanya masih berdegup kencang namun Ashrul masih kelihatan selamba sambil menyenduk sayur tumis ke dalam pinggan.

Terkebil-kebil Nadya melihat mulut Ashraf yang comot. Dia pandang Ashrul.

Don’t look at me. I dari tadi masak kat dapur.” Cepat-cepat Ashrul membela diri.

“Ashraf…kan mama selalu pesan. No cookies before dinner,” kata Nadya sebelum menghulurkan gelas kepada anaknya. Sehelai tisu ditarik sebelum dia duduk mengelap mulut Ashraf. Mesti Ashrul yang bagi. Berbuih mulut membebel namun Ashrul masih tidak mahu mendengar kata-katanya. Suka membeli jiwa anak kembar mereka dengan jajan.

Uncle yang bagi.”

Serentak dengan jawapan itu, Nadya pandang Ashrul. Jadi serba salah kerana mengumpat Ashrul sebentar tadi.

Well?” Ashrul menjongket kening sebelah selepas Ashraf berlari keluar dari dapur kerana tidak mahu ketinggalan bermain bersama kembarnya.

“Apa? You nak membebel dengan guest ke?” Nadya sambung menyendukkan sup ayam.

Bias nampak? Dengan boyfriend tak berani nak membebel,” kata Ashrul sambil memotong daun sup.

He’s not my boyfriend. Dia cuma kawan lama yang perlukan bantuan I. Itu je.” Nadya menarik sehelai tisu dapur dan mengelap tepi mangkuk sebelum meletakkan mangkuk tadi di hadapan Ashrul.

Really? Cuma kawan?” Ashrul menaburkan daun sup ke dalam sup bersama bawang goreng, “So, you pergi mana dengan dia dari pagi?” Ashrul memeluk tubuh sambil menjongket kening.

Nadya terkebil-kebil di hadapan rak pinggan.

“Melaka,” jawab Nadya dengan nada yang agak perlahan sebelum cepat-cepat mengangkat sup ayam ke meja makan. 

Ashrul tersenyum nipis apabila mendengar jawapan Nadya. 

Bersambung...

KLIK sini untuk baca 👉 CYASAR 13 | CYASAR 15

IKLAN: 

Jom dapatkan Ebook Tiada Drama Di Kampus di Esentral Sekarang!

Cuma RM15 Sahaja. 

Ikuti kisah Feralina dalam menempuhi kehidupan di Kampus bersama The Four Hot Guys Universiti Angsana. 



No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37