Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Saturday, December 11, 2021

Cinta yang Akan Selalu Aku Rindu - 15

Jarak 

Yang jauh bukan jarak, tapi hati - Andi

Andi terkebil-kebil melihat dua wajah yang hampir sama memandangnya dengan fokus tanpa berkelip mata. Mendengar dan melihat sememangnya dua perkara yang berbeza. Realiti seakan menampar Andi bila dia melihat si kembar dari jarak dekat. Ah! Nadya... dah jadi mak orang.

"Kawan macam mana?" tanya Ashraf sambil mendongak memandang Andi.

"Kawan lama tu lama macam mana?" tanya Afiq pula.

"Um..." Andi menggaru kepala yang tidak gatal. Hampir tidak terjawab soalan bertubi-tubi yang ditanyakan oleh si kembar. Andi menyeluk poket dan tersenyum. Hampir terlupa ada bungkusan biskut coklat cip kecil di dalam poket jaket. Sorry Nad... aku terpaksa rasuah budak-budak ni. Agaknya dapat greenlight tak kalau rasuah budak-budak ni dengan biskut? Andi pandang si kembar yang masih memandang dan menanti jawapan darinya.

"Nak biskut?" tanya Andi sambil tersenyum lebar.

Air muka Ashraf dan Afiq terus berubah 180 darjah!

"Nak!" Jerit Si kembar.

Andi serta merta meletakkan jari telunjuk di bibirnya apabila Si Kembar menjerit riang. Takut dia pula dibebel oleh Nadya. Andi tersenyum lega apabila fokus Si Kembar beralih kepada biskut. Dia tersenyum melihat wajah comot Si Kembar.

"Nak air?" tanya Andi selepas melihat biskut coklat cip hampir licin.

Ashraf menganggukkan kepala dengan laju.

Andi tersenyum sambil menggeleng kepala melihat mulut Ashraf yang comot. Habislah aku kalau mak dia nampak ni. Mahu sebulan tak habis membebel. Andi menyapu sikit serpihan biskut di tepi mulut Ashraf sebelum berdiri dan melangkah ke dapur.

Kakinya terhenti di pintu dapur. Andi menelan air liur yang kelat. Sekali lagi, realiti seakan menamparnya. Berkali-kali seperti mahu mengingatkan dia yang Nadya bukan untuknya seorang lagi. Saat dia dan Nadya sudah berlalu. Gadis yang selalu mengekorinya ketika di sekolah dulu bukan miliknya lagi.

"Uncle, Ashraf nak air..." Ashraf mendongakkan kepala dan kemudian mengerut dahi apabila melihat Andi berdiri statik di hadapan pintu dapur. Dia kemudian menjongket bahu dan terus melangkah masuk ke dapur.

"Mama... Nak air."

Andi terus bersembunyi di sebalik dinding apabila Nadya berpaling ke arah pintu dapur. Nafas terasa sesak apabila kali pertama bertentang mata dengan lelaki yang yang berjaya mengantikan tempatnya di sisi Nadya. Berbagai persoalan, beribu rasa menyerbu hatinya. Dia marah. Dia geram. Dia benci bila Nadya bukan lagi untuknya seorang. Lagi menyebalkan, dia sendiri tidak ingat perkara apa yang memisahkan dia dan Nadya.

"He's not my boyfriend. Dia cuma kawan lama yang perlukan bantuan I. Itu je."

Nada yang agak selamba. Mendatar tanpa sebarang perasan. Andi patut tahu. Nadya datang kembali kepadanya atas dasar persahabatan dan juga pujuk rayu mamanya. Andi sedar dia menipu dirinya sendiri. Sering berkata pada diri yang Nadyanya akan kembali. Cuma perlu masa. Dia cuma perlu ingatkan Nadya tentang memori indah mereka dulu. Namun kini dia sedar yang Nadyanya takkan kembali lagi.

Andi mengeluh panjang. Dia terus melangkah ke pintu depan dan menghidupkan motorsikalnya. Mujur hujan lebat sudah kembali redah. Andi sendiri tidak tahu di mana hendak di tuju. Sendirian di dunia yang asing membuat hati terasa sunyi apatah lagi tanpa Nadya. Jiwanya terasa kosong.

"Mama kau hampir buat search party untuk cari kau..."

Andi mendongakkan kepala apabila ada seseorang menegurnya ketika dia duduk termenung di kedai kopi Ah Sheng yang sudah bertukar menjadi restaurant Nasi Briyani. Kedai kopi yang dulunya sunyi itu kini menjadi tempat berkumpul anak-anak muda yang menonton perlawanan bola sepak. Semua sudah berubah kecuali dia.

Andi menolak kerusi buat si penegur tadi sebelum mengeluarkan telefon bimbit dari poketnya. Berpuluh panggilan dari mamanya. Beribu pesanan ringkas yang berupa bebelan dari Nadya kerana menghilang begitu sahaja dan juga berkenaan biskut yang diberikan buat si kembar.

"Take it easy... baru sebulan dua. Memang susah nak biasakan diri," kata tetamu yang tak diundang di sebelah Andi.

Andi membalas seringkasnya pesanan dari mamanya dan Nadya sebelum memandang ke sebelahnya. Farhan. Kawan baik Alfi ketika zaman sekolah. Andi dan Farhan juga berkawan. Cuba tidak serapat Alfi. Mereka mungkin bertegur sapa bila berjumpa. Namun Farhan sibuk dengan hal sendiri. Sama seperti Andi. Yang menghubungkan mereka adalah Alfi.

"Apa dah jadi di Pekan ni? Apa jadi dengan Alfi?" tanya Andi sambil matanya memandang sekeliling yang agak berbeza dari memorinya.

Farhan menarik nafas panjang. Berat.

"Aku harap aku ada jawapan untuk soalan kau," Farhan pandang Andi. Dia tahu keadaan Andi dari rakan-rakan sekolah, "tapi aku sendiri tak ada jawapan untuk soalan tu. Aku pun masih mencari jawapan yang sama."

"Aku tak sengaja tanya soalan dengan Ressa..."

Farhan tersenyum nipis bila Andi memandangnya.

"Dia okay. Kau tak bangkitkan apa-apa kenangan buruk pun waktu kau tanya soalan tentang Alfi dekat Ressa." Jawab Farhan sebelum meneguk teh tarik panas yang baru dihantar oleh pekerja restaurant.

"Ressa... dia rapat dengan Alfi. Sedikit sebanyak, soalan aku haritu mesti menguris hati dia," Andi mengeluh perlahan. Salah dia kerana terlupa.

Farhan menggeleng kepala.

"Kau tak menguris hati Ressa walau sedikit pun. She still living in there." Farhan pandang Andi, "in the past. She still in there. Barely existing in the present time. Malah bila kau bertanya mengenai Alfi, dia mungkin terkejut pada mulanya. Kerana ada orang lain yang ingat Alfi seperti dia ingat Alfi. Dia juga mungkin gembira kerana dia tidak bersendirian mengingat Alfi."

"Andi, dalam dunia ni ada dua jenis orang. Orang yang sentiasa mahu lari dari masa lalu dan orang yang hidup dalam masa lalu." Farhan meletakkan gelas di atas meja. "Sentiasa ada tanda yang nyata untuk membezakan keduanya."  

Bersambung....

KLIK sini untuk baca 👉BAB 14👈  👉BAB 16👈

Iklan: 

Jom dapatkan Ebook Tiada Drama di Kampus sekarang di E-Sentral / Google Playstore

Jom dapatkan Ebook Tiada Drama di Kampus sekarang di E-Sentral / Google Playstore


No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37