Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Wednesday, December 22, 2021

Tiada Drama di Kampus : Extra Bab 35 & 36

 


Lokman melipat semula surat tersebut dan menyelit kembali ke dalam jurnal miliknya. Dia mengeluh panjang. Baru sahaja dia mahu mengangkat punggung dari kerusi, telefon bimbit yang di letakkan di atas meja berbunyi. Lokman mengerut dahi apabila melihat nama pemanggil.

“Ya coach?” Lokman menelan air liur. Beribu soalan bermain di fikirannya. Dia terlupa ada latihan hari ni ke? Hari ini hari apa? Lokman mula cemas.

“Hah! Kamu ada masa lima minit untuk datang sini. Sekarang!” Panggilan terus ditamatkan begitu sahaja.

Lokman bagaikan dikejar kerbau jantan yang sedang mengganas. Dia terus berlari keliling rumah untuk mencari beg gim sebelum berlari selaju mungkin menuju ke Kompleks Renang. 

~~~~~~~~~~

Lokman tercungap-cungap sebaik saja sampai sahaja di Kompleks Renang. Kelihatan Afid, Kafi dan Sayd dalam posisi regang papan (planking) di atas lantai kolam sambil diperhatikan oleh Jurulatih Ibrahim, lelaki berusia empat puluh tahun yang mempunyai misai seperti A.Galak, pesara polis dalam drama Gerak Khas namun agak berisi dua kali ganda dari pelakon tersebut.

“Buat apa lagi di sana tu? Cepat!” Jerit Sarjan, eh Jurulatih Ibrahim kepada Lokman. Hampir sahaja Lokman terkucil bila dijerit seperti itu.

“Memalukan! Tambah lagi seminit,” jerit Jurulatih Ibrahim sebelum meletakkan jam jangka di atas kerusi panjang. Dia memberikan jelingan tajam sebelum dia meninggalkan The Four Hot Guys yang masih dalam posisi regang papan.

Lengan Lokman mula menggeletar, peluh laju mengalir ke mukanya. “Okay, sekarang masa terbaik untuk korang terangkan dengan aku kenapa coach tiba-tiba naik angin?”. Perutnya mula terasa tegang.

Sayd mendengus perlahan, “diorang berdua curi-curi masuk Kolej Cempaka,” Sayd menundukkan kepala. Mula terasa penat.

“Kenapa pula dia yang emosi pasal hal tu? Korang skodeng anak dara dia ke?” Lokman pandang Afid dan Kafi yang mendiamkan diri sejak tadi.

“Kau ni, nama je budak media tapi selalu ketinggalan bas,” bebel Sayd. Dia melihat ke arah Jurulatih Ibrahim yang sedang melatih pasukan renang perempuan. Sayd meletakkan kakinya ke lantai dan meluruskan tangannya untuk seketika. Lega.

Diorang bergaduh sebab Kafi cakap sesuatu pasal Eryn,” Sayd cepat-cepat kembali ke posisi regang papan apabila Jurulatih Ibrahim memandang ke arah mereka.

Lokman tergelak kecil mendengar cerita Sayd.

“Macam-macamlah korang ni. Dah bosan sangat ke sebab tak ada pertandingan?” sindir Lokman.

Kafi mengetap bibir. Peluhnya laju menitik ke lantai. Urat-urat di tangannya mula timbul disebabkan berada dalam posisi tersebut dalam tempoh yang agak lama.

Afid merenung tajam ke arah Lokman yang betul-betul di hadapannya.

Diorang masuk Kolej Cempaka untuk jumpa Fera,” tambah Sayd dengan selamba.

Lokman membesarkan mata.

“Fera? Korang jumpa Fera tak ajak aku?” Lokman mengesot mendekati Afid.

“Wei!” Sayd menampar bahu Lokman agar Lokman kembali ke tempat asal sebelum Jurulatih Ibrahim melihat ke arah mereka.

“Diamlah wei, aku dah tak larat ni,” Afid mengetap rahang. Sesekali dia tertunduk memandang lantai kerana tidak larat untuk mengangkat kepalanya. Bahunya terasa berdenyut-denyut.

“Apa lagi yang bising-bising tu?” jerit Jurulatih Ibrahim dari jauh.

Mereka berempat terus menutup mulut. 


Jom dapatkan Tiada Drama di Kampus di aplikasi E-Sentral & Google Play (RM 15 Sahaja)
Google Play : https://bit.ly/3BBQiuu
E-Sentral : https://www.e-sentral.com/book/info/347079
ROMANCE | THRILLER | MYSTERY


No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37