Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Sunday, July 15, 2018

Open House Sekolah Cinta 2018 Part 7

Open House SekolahCinta part 7

'Sometime, saying I love You no longer can conceal the emptiness in heart'
Kereta yang dipandu oleh Taqiuddin akhirnya berjaya menemukan tempat letak kereta. Biarpun kereta terpaksa diletakkan di tepi jalan dan berharap agar keretanya tidak menganggu lalu utama.
Nieylla sekali lagi membuka bedak solek dan memandang wajahnya dari cermin bedak solek tadi. Kemudian memandang ke arah Taqiuddin dan membetulkan butang baju melayu yang kelihatan senget di baju Taqiuddin.
“Nieylla.. cuba bertenang. Saya boleh betulkan sendiri” kata Taqiuddin sambil cuba membataskan pergerakan tangan Nieylla dengan memegang lengan baju wanita itu dan menurunkan tangan Nieylla, “kenapa awak gemuruh sangat ni?” tanya Taqiuddin yang sedikit kelucuan dengan tingkah Nieylla pada hari itu.
Nieylla memandang Taqiuddin. Matanya berkelip tanpa mengeluarkan sebarang kata-kata.
“Saya tak ada jawapan untuk soalan awak” kata Nieylla dengan jujur setelah beberapa saat membiarkan Taqiuddin menanti jawapan darinya.
Taqiuddin mengerut dahi dan hanya mampu menggeleng dengan keletah Nieylla.
“Dah lah. Jom, nanti awak tak sempat tengok majlis angkat nikah kawan awak” kata Taqiuddin sambil menolak pintu kereta.
It’s okay.. kita datang ni pun dah cukup” kata Nieylla sebelum keluar dari kereta.
“Pengantin perempuan kan kawan awak, mesti dia nak awak datang awal” kata Taqiuddin sebelum mengunci kereta. Sebanyak lima buah kereta di harus dilalui mereka sebelum sampai ke pintu utama rumah pengantin.
“Ya, kawan waktu sekolah menengah” Nieylla menjongket bahu apabila Taqiuddin mengangkat kening sebelah bila mendengar responnya, “selepas sekolah menengah, semua sibuk dengan jalan masing-masing” kata Nieylla tanpa memberi penjelasan yang panjang.
“Oh… by the way, awak jangan percaya dengan alkisah tiga suku bila jumpa mana-mana kawan saya. Semua tu tipu belaka. Sumpah” kata Nieylla sambil membulatkan mata ke arah Taqiuddin.
Taqiuddin tersenyum menahan gelak.
“Ada apa-apa yang saya patut tahu ke?” tanya Taqiuddin sambil memberhentikan langkah.
“Um… tak” jawab Nieylla tanpa keyakinan, “tak ada” tambah Nieylla lagi yang cepat-cepat meneruskan perjalanan.
~~~~~~~~
“Jadi inilah rumah pengantin perempuan tu?” Amira memandang ke arah rumah besar di tepi mereka melalui cermin kereta.
Kereta yang dipandu mereka masih lagi berjalan dengan perlahan untuk mencari tempat meletakkan kenderaan.
“Inilah kot. Kyriell kata dia dan keluarga dalam perjalanan. Kita masuk dulu atau tunggu rombongan pengantin lelaki?” tanya Mukhriz sambil mencari tempat yang sesuai untuk meletakkan kereta.
“Mungkin kita patut tunggu Kyriell dan rombongan” cadang Amira.
Mukhriz menganggukkan kepala sambil perlahan-lahan meletakkan kereta di bahu jalan. Mujurlah perumahan itu mempunyai jalan yang besar dan tidak sibuk. Kebanyakan tetamu terpaksa meletakkan kereta di bahu jalan.
“Dua puluh lima tahun lalu, majlis kahwin tidak semudah ini. Majlis berlangsung selama seminggu sebelum majlis persandingan” komen Amira selepas mereka berdua lama terdiam sambil menunggu di dalam kereta.
“Dua puluh tahun lalu awak baru berusia dua tahun.. ” kata Mukhriz sambil mengerut dahi.
Amira terkebil-kebil.
“Saya tahu mengenai bacaan dan artikel sejarah” jawab Amira dengan tenang.
Mukhriz menggelengkan kepala.  
“Awak pelik” komen Mukhriz.
Amira memandang ke arah Mukhriz.
“Awak selalu bercerita pasal perkara yang berlaku lebih dari usia awak macam awak sendiri melalui zaman tu” kata Mukhriz sambil memandang ke arah Amira, “sama ada awak mendalami apa yang awak pelajari? Atau..” Mukhriz terpandang pasangan yang melalui kereta mereka.
“atau?” tanya Amira.
Mukhriz mengalihkan pandangan dari pasangan itu.
“atau.” kata Mukhriz tanpa mengulas lanjut.
“Atau apa? Cakaplah” kata Amira lagi.
Mukhriz menggaru tepi kepala.
“Ini teori Kyriell” tegas Mukhriz sebelum berkata lebih terperinci.
Amira menganggukkan kepala.
“Kyriell kata yang awak lebih tua dari usia yang tertulis di kad pengenalan awak” kata Mukhriz sebelum tersenyum tepi sambil menggelengkan kepala, “teori yang sangat tak masuk akal” tambah Mukhriz.
“Kenapa tak masuk akal?” tanya Amira sambil memalingkan sedikit tubuhnya agak bertentangan dengan Mukhriz. Belakang badan disandarkan sedikit pada pintu kereta.
Mukhriz mengerut dahi.
“Awak berguraukan?” tanya Mukhriz dengan nada sinis, “wajah awak hampir tak kelihatan macam orang yang berusia 27 tahun. Tua dari itu? Mungkin awak patut mula menjual petua kecantikan” jawab Mukhriz.
“Mulut awak terlalu manis” komen Amira.
Mukhriz tergelak.
“Jujur,” Mukhriz mengangkat tangan seperti ingin mengangkat sumpah, “saya cakap dengan jujur” kata Mukhriz dengan yakin.
Amira tersenyum nipis sambil membetulkan semula duduknya. Cermin tepi tingkap dipandangan dengan keluhan. Pujian Mukhriz membuatkannya resah. Semakin takut jika wajah dan umurnya akan kekal seperti bertahun-tahun lalu.
~~~~~~~~~~~~
So sorry. saya lambat sampai. Lepas tu berbual dengan bos awak sekejap tadi” kata Adam sambil mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Lana.
“Tak apa. Saya pun baru sampai” jawab Lana sambil menawarkan lemang yang baru diambil olehnya.
Adam mengambil garfu dan menyuapkan lemang yang dicicah dengan kuah kacang ke mulutnya. Terangguk-angguk kepalanya bila mengunyah lemang yang begitu lemak itu.
“Sedap” kata Adam sambil mengelap tepi bibirnya.
“Kan..” kata Lana sebelum matanya membulat apabila terpandang wajah yang amat dikenalinya. Beg tangan yang diletakkan di atas pangkuannya terus diletakkan di atas meja untuk menutup wajahnya.
“Awak nak tambah apa-apa ke? Saya nak ambil makanan” kata Adam.
“Erm.. tak apa, awak ambil dulu. Saya habiskan lemang ni dulu” kata Lana perlahan. Seleranya hilang berganti dengan rasa berdebar. Jantungnya seakan mahu terkeluar.
“Awak tak jumpa lontong ke tadi? Selalu awak yang hantu lontong” kata Adam yang baru kembali ke meja bersama sepinggan penuh ketupat dan lontong yang mempunyai pelbagai isi.
“Ah.. em. Tak apa. Awak makanlah dulu” kata Lana sambil cuba mengangkat garpu di dalam pinggannya. Matanya meliar mencari bayangan tadi. Mungkin dia tersalah pandang. Mungkin bukan dia. Bisik hati Lana.
“Kenapa? Tak ada selera?” tanya Adam sebelum menyuap ketupat ke mulut.
“Lemang pun tak habis lagi. Rambang mata tengok makanan banyak sangat” kata Lana. Hatinya mula tenang sedikit. Mungkin betul, dia tersalah pandang.
“Oh, lupa ambil air” kata Adam sebelum berdiri semula dan berjalan ke arah meja buffet.
Adam mengambil air mineral untuk Lana dan air sirap untuk dirinya. Meliar matanya mencari straw untuk air mineral. Tiba-tiba ada tangan yang menghulurkan bungkusan straw belum di buka.
“Nah” kata Amira sambil menghulurkan straw kepada lelaki yang berpusing-pusing di meja minuman. Kebetulan dia melihat kotak air mineral di tepi meja dan menjumpai straw minuman.
“Oh, terima kasih” kata Adam sebelum menatap wajah pemberi straw. Adam mengerut dahi, “Awak..” mata Adam membulat. Agak terkejut melihat kehadiran wanita itu di sini.
Amira terkebil-kebil. Mulanya dia tidak perasan yang lelaki tadi adalah Adam.
“Awak?” Amira juga terkejut. Sejak akhir-akhir ini dia sering terserempak dengan lelaki itu.
“Arghh!”
Tumpuan mereka terlari apabila seorang lelaki tanpa sengaja membasahkan lengan baju seorang wanita di tepi mereka.
You!” Nieylla merenung tajam ke arah Mukhriz sambil mengelap lengan bajunya dengan menggunakan kain lap kering yang dihulurkan oleh lelaki itu.
“Sorry, okay. Aku tak sengaja” kata Mukhriz kepada Nieylla selepas menyerahkan kain lap yang dijumpai di tepi meja.
“Oh…macam aku percaya sangat dengan kau. Aku tahu kau sengaja buat macam tu” Kata Nieylla sambil menunding jari ke arah Mukhriz. Nieylla cuba mengawal suara agak tidak menarik perhatian tetamu lain.
“Ei.. berbulu je aku dengan tuduhan gila kau ni. Apasal aku sengaja nak tuang minuman di baju kau? Kau ada dosa dengan aku ke?” kata Mukhriz pula dengan nada sinis dan perlahan.
Nieylla mengetap gigi.
“Dosa apa yang aku buat dengan kau? Kau tu yang tak habis-habis nak berdendam” balas Nieylla pula.
“Ehemm” tegur satu suara di tepi mereka.
Nieylla dan Mukhriz pandang ke arah Ken, salah seorang dari rakan mereka.
Korang kalau nak bergaduh bukan kan sini.. aku nak ambil air pun susah” kata Ken sebelum menyelit di antara Nieylla dan Mukhriz.
Nieylla dan Mukhriz terdiam sementara menunggu Ken mengambil air.
Ken pandang Nieylla dan Mukhriz.
“Tok Kadi masih ada kat dalam rumah tu. Kalau korang tak berhenti bergaduh lagi, aku suruh dia nikahkan je korang berdua” kata Ken sebelum berlalu bersama segelas air.
Nieylla memandang Mukhriz dengan muka geli.
“Ei.. Simpang Malaikat 44” kata Nieylla sebelum berlalu pergi namun sempat melanggar bahu Mukhriz dengan kuat. Biarpun bahunya juga berdenyut selepas melanggar lelaki itu, namun dia terasa puas hati sedikit selepas lelaki itu membasahkan lengan bajunya.
“Tak guna betul” marah Nieylla lagi sambil mengorek beg tangannya untuk mencari tisu.
“Kenapa?” tanya Taqiuddin yang baru mengambil makanan, “laa.. kenapa lengan baju awak tu?” tanya Taqiuddin apabila melihat lengan baju Nieylla sudah berwarna lain dari sebelumnya.
“Ada orang gila tumpahkan air di lengan baju saya” kata Nieylla sambil mengelap lengan bajunya menggunakan tisu basah.
“Dia yang gila” kata Mukhriz kebetulan lalu di meja Lana.
Nieylla mengetap gigi bila mendengar kata-kata perlahan dari Mukhriz yang lalu di tepinya.
“Takpe, sikit je. Lepas ni kita balik teruslah kalau awak tak selesa.” Pujuk Taqiuddin yang tidak terdengar perlian dari Mukhriz tadi.
“Yelah, lagipun dah tak ada nak pergi mana-mana lagi kan” Kata Nieylla sambil mengumpulkan tisu-tisu yang telah digunakan di dalam plastik kecil agar tidak bersepah.
“Oh ya, tadi dorang Amy dah pergi jumpa pengantin tadi. Kalau awak nak masuk rumah, pergilah. Saya tunggu kat luar je” kata Taqiuddin.
“Ye ke? Saya nak jumpa Nathalie sekejap” Nieylla mengangkat beg tangannya. Sempat juga menhadiahkan jelingan tajam bila terpandang ke arah Mukhriz, “tak apa kan awak tunggu sini? Kalau bosan, awak duduk dengan geng abang” kata Nieylla merujuk ke arah meja yang diduduki oleh abang kembarnya bersama rakan-rakan lelaki yang lain termasuk Mukhriz yang datang bersama seorang wanita.
Okay, pergilah jumpa kawan awak” kata Taqiuddin.
“Ops,” kata Lana yang hampir tersadung selepas terlanggar kaki kerusi namun sempat berpaut pada kerusi di tepinya. Gelas di tangan Lana terjatuh dan tergolek di atas tanah. Mujur gelas plastik. Bisik hati Lana. Kalau gelas kristal? Mahu dipotong gajinya oleh bos. Tapi dia tahu bosnya tidak seteruk itu.
“Gelas awak” kata seorang lelaki yang bangun dari kerusi dan mengambil gelasnya.
“Terima kasih,” Lana tersenyum dan mengangkat pandangan. Jantungnya berdegup laju, selaju train ekspress ERL di Putrajaya.
“Lana” kata Taqiuddin sebelum terkaku di hadapan Lana.
“Erm.. terima kasih” Lana mengambil gelas di tangan Taqiuddin sebelum terus berlalu dari situ dengan hati yang masih berdebar-debar. 


No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37