Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Tuesday, October 12, 2021

Tiada Drama di Kampus Bab 14

Bab 14

Feralina berdiri di hadapan pintu Kafe. Kepalanya mendongak melihat hujan yang semakin lebat. Sesekali dia mengelak percikan air dari terkena kakinya. Kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket baju. Feralina mengeluh perlahan.

Sebuah kereta berhenti di hadapan pintu masuk Kafe.

“Kami tutup awal hari ni,” kata Feralina apabila melihat Lokman keluar dari kereta dengan memegang payung.

“Baru nak singgah beli supper tadi. Awak balik naik apa? Nak saya hantar balik?” tanya Lokman sambil menutup payung sebelum berdiri di sebelah Feralina. Lokman pandang Feralina yang kelihatan teragak-agak untuk menerima pelawaannya, “Saya hantar awak balik rumah,” katanya pula dengan yakin.

Feralina mengetap bibir. Dia memandang hujan yang semakin lebat. Mustahil untuk dia berjalan kaki menuju ke perhentian bas dan balik ke Kampus. Tapi dia juga tidak mahu Lokman atau Sayd tahu dia adalah salah seorang dari pelajar Angsana. Cukuplah dia terserempak dengan Afid dua malam yang lalu.

“Rumah saya empat puluh kilometer dari sini,” kata Feralina sambil memandang reaksi Lokman.

Okay, boleh.” Lokman menjawab dengan terus tanpa berfikir panjang. Dia tersenyum apabila Feralina seakan terkejut dengan jawapan yang diberikan olehnya.

“Jom,” Lokman membuka payungnya semula.

Feralina tersenyum. Dia mengeluarkan telefon bimbit dan mengambil gambar Lokman. Dia tersenyum apabila melihat lelaki itu terpinga-pinga.

“Saya hantar dengan Erna,” katanya sambil menghantar gambar tersebut melalui khidmat pesanan ringkas, “untuk keselamatan,” tambahnya.

Lokman tersenyum sambil menggeleng kepala. Dia memayungkan gadis itu sehingga masuk ke dalam kereta. Kemudian dia berlari ke tempat pemandu dan menyimpan payung di kerusi belakang. Lokman menghidupkan enjin kereta.

Feralina mengerut dahi. Terasa seperti dia terduduk sesuatu. Dia mengangkat punggungnya sedikit dan mengambil objek berbentuk silinder sebesar jari yang terbaring di kerusi tempat duduk.

Hampir tersembul mata Lokman apabila melihat objek yang dipegang oleh Feralina.

“Oh, kat situ rupanya,” Lokman menelan liur namun cuba mengekalkan senyuman, “adik saya bising cari gincu dia dari semalam,” Lokman tersengih ke arah Feralina. Minah mana pula yang tinggalkan gincu di dalam kereta aku ni, Lokman membebel di dalam hati.

“Awak boleh tolong simpankan kat gincu tu kat dalam glove compartment.” Berpeluh. Lokman tetap kelihatan tenang sambil memandu kereta biarpun jantung berdegup kencang.

Feralina menganggukkan kepala. Tangannya membuka ruang penyimpan yang dimaksudkan oleh Lokman, “oh..” Feralina tercengang melihat bendasing sewaktu memasukkan gincu tersebut. Dia memegang tali yang tergantung di tepi laci kereta dengan dahi yang berkerut.

Lokman yang sedang memandu kereta terus memandang sekilas ke arah Feralina yang sedang menarik sesuatu dari laci keretanya. Matanya terbeliak melihat objek tersebut. Kereta yang dipandu tersasar dari laluan untu beberapa saat. Peluh jantan membasahi dahinya.

~~~~~

“Kau dah masukkan kat benda tu dalam kereta dia?” tanya Afid yang sedang duduk di birai katil apabila Kafi masuk ke dalam bilik yang dikongsi bersama.

Kafi tergelak jahat sambil menganggukkan kepala, “petang tadi aku dah letak,” jawab Kafi sebelum bertepuk tangan dengan Afid.

“Wei, ‘cermin mata’ yang tercampur dalam laundry aku tadi korang letak mana? Korang jangan simpan benda tu kat dalam loker aku pula. Nanti ada spot-check, nahas aku,” kata Sayd yang tiba-tiba muncul di depan pintu bilik.

Pertanyaan dari Sayd membuatkan Kafi dan Afid bertambah gelak.

~~~~~~

Sorry, saya ada housemate yang gila. Entah bila masa diorang simpan benda tu dalam kereta saya,” kata Lokman selepas dia memberhentikan kereta di hadapan sebuah rumah.

Feralina masih tergelak kecil kemudian menggelengkan kepala. Dia tergelak lagi apabila teringat bagaimana cuaknya muka Lokman apabila melihat benda di tangannya, “terima kasih,” Feralina pandang Lokman, “saya dah lama tak ketawa macam ni,” katanya dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.

“Jadi, ini rumah awak,” selepas membukakan pintu buat Feralina, “kalau tak silap rumah kawan saya dekat-dekat sini juga,” tambah Lokman sambil memandang rumah yang gelap di hadapan mereka.

“Ya. Dulu," kata Feralina perlahan sambil merenung rumah di hadapannya. Kemudian dia mendongak ke langit. Mujur hujan sudah berhenti.

“Hah?” Lokman mengerut dahi apabila mendengar jawapan Feralina.

“Terima kasih sebab hantar saya. Jumpa lagi,” Feralina tersenyum sebelum berjalan menuju ke pagar rumah.

Lokman mengaru kepala namun tidak memikirkan panjang mengenai jawapan gadis tadi selepas melihat Feralina mula membuka pagar rumah. Lokman menghidupkan enjin kereta semula selepas melihat gadis itu melangkah masuk ke dalam rumah tersebut. 

Klik sini untuk baca 👉Bab 13👈👉Bab 15👈

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37