Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Tuesday, October 12, 2021

Tiada Drama di Kampus Bab 11

Bab 11

Kafi berdiri di luar balkoni sambil menekapkan telefon bimbit di telinganya. Dia menunduk memandang lantai sambil mengeluh panjang. Mamanya masih membebel sambil cuba memujuk hatinya.

“Dia ada di sini?” tanya Kafi dengan pendek, “Nantilah Kafi cuba cari dia kalau tak sibuk,” jawab Kafi perlahan. Dia tahu jawapannya akan membuatkan ibunya memanjangkan ceramah, “okay bu. Assalammualaikum,” kata Kafi sebelum menamatkan panggilan.

Kafi mengeluh panjang sebelum melangkah masuk semula ke ruang tamu. Kelihatan Lokman sedang tersenyum sendiri di meja belajar. Kafi merenyukkan kertas contengan di atas meja sebelum dilontarkan tepat ke muka Lokman.

“Kau dah kenapa? Jumpa mangsa baru lagi ke?” tanya Kafi apabila Lokman memandang ke arahnya.

Senyuman Lokman bertambah lebar.

“Kali ni bukan mangsa. Tapi bidadari yang aku tunggu selama ini.”

Kafi kegelian mendengar jawapan dari Lokman. Menyesal dia bertanyakan soalan. Dia membuka laci meja dan mengeluarkan sekotak rokok bersama mancis.

“Aku nak ambil angin kejap. Kau tak nak ikut ke?” tanya Kafi sebelum menyarungkan jaket Angsana di badannya.

“Wei.. coach dah bagi amaran kan?”

Kafi hanya menjongket bahu sebelum keluar dari rumah mereka.

~~~~

Sayd memakai earphone sambil berjoging di dalam kawasan Kampus menuju Kolej Kediaman mereka. Langkahnya terhenti beberapa meter dari Kompleks Renang. Dia menendang sebuah batu sebesar penumbuk di tepi jalan. Sayd tersenyum sebelum menggeleng kepala. Dia terus duduk mencangkung sambil berusaha mengorek batu tersebut dan menggoyangkan batu itu sehingga dapat dialihkan.

“Degil sangat apasal,” bebelnya sebelum membaling batu ke tempat yang lebih selamat. Dia mengelap peluh di dahi dan kemudian menyapu kedua-dua tangannya sebelum meneruskan lariannya menuju ke Kolej Kediaman.

~~~~~

“Selamat malam, boleh saya ambil pesanan?”

Afid yang sedang menatap buku menu terus mengangkat pandangan. Terbit keluahan di bibirnya apabila melihat pelayan lelaki yang sedang berdiri di tepi mejanya. Dia memandang ke arah kaunter. Mencari bayangan si gadis.

“Um, kalau abang belum sedia nak order, saya boleh datang balik nanti,” kata Shen apabila mendengar keluhan Afid.

“Eh tak, um...” Afid menggaru kepala yang tidak gatal, “pekerja perempuan yang rambut paras leher. Dia kerja tengah hari tadi. Dia dah balik ke?” mata Afid meliar ke sekeliling Kafe.

“Rambut pendek? Kalau kerja tengah hari tadi,” Shen mengerut dahi dan memandang ke arah kaunter, “rasanya dia dah balik. Sebab shift tengah hari habis jam empat tadi,” jawab Shen.

“Oh.” Hampa.

Afid tersenyum nipis.

“Bagi Apple pie dan Americano, satu,” Afid membuat pesanan dan menutup buku menu. Dia mengeluh panjang selepas Shen berlalu dari mejanya. Afid meraup muka. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia ada di situ. Mati dia kalau Eryn tahu yang dia kembali ke Kafe itu. Lagi bermasalah jika Eryn tahu dia datang semata-mata untuk mencari semula si gadis tadi. Afid menggeleng kepala. Dia mengeluarkan duit dari dompet dan meletakkan di atas meja sebelum keluar dari Kafe itu. 

Klik sini untuk baca 👉Bab 10👈👉Bab 12👈

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37