Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Sunday, October 24, 2021

Tiada Drama di Kampus Extra : Bab 17

 Kafi berdiri di atas starting platform. Kompleks Renang hanya diterangi lampu yang suram. Dia menarik nafas dan membuat regangan ringan sebelum melakukan terjunan. Dia muncul dari permulaan air dan serta merta menekan jam randik selepas selesai dua pusingan.

"Kau lama lagi ke?"

Kafi yang sedang duduk di tepi kolam terus mengangkat pandangan. Kelihatan Afid sudah berkemas untuk balik ke Kolej Kediaman.

"Aku balik lambat sikit hari ni," jawab Kafi sebelum berdiri dan mengambil tuala yang diletakkan di atas kerusi panjang.

"Aku tengok kau beberapa hari ni macam banyak masalah je. Dahla Sayd kena marah sebab lari dari training pagi tadi. Kau pula monyok macam jasad kau je yang datang training. Ada apa-apa yang aku boleh tolong ke?" tanya Afid sambil menjongket kening.

Kafi menggeleng laju selepas mengelap mukanya.

"Tak ada apa-apalah. Bulan ni banyak sangat pop kuiz, ujian. Tu yang aku short-circuit sikit," jawab Kafi sambil tersenyum nipis.

Afid menganggukkan kepala biarpun tidak begitu percaya dengan alasan Kafi. Sudah tiga tahun berkawan dengan Kafi, setiap tahun pada tarikh yang sama, Kafi akan mengasingkan diri dari mereka. Dia memandang tarikh hari ini di telefon bimbitnya, masih belum masanya untuk Kafi datang bulan untuk tahun ini.

"Okay, aku balik dulu."

"Okay," Kafi membuka telefon bimbitnya. Tangkapan skrin dari artikel pagi tadi membuatkan dia mengeluh panjang. Dia tersenyum melihat tali telefon yang kian lusuh. Jarinya menggosok perlahan pada tiga huruf yang hampir terpadam.

Afid berhenti melangkah apabila melihat Feralina di hadapan Kompleks Renang. Gadis itu termenung sambil memandang ke atas siling Kompleks Renang. Afid mengerut dahi sebelum ikut mendongak. Dia tersenyum melihat biasan air kolam yang kelihatan pada siling Kompleks Renang.

"Orang akan ingat yang awak ni peminat kipas-susah-mati yang setiap malam mengintip pasukan renang Angsana," kata Afid kepada Feralina.

Pandangan mereka bertembung sebelum Feralina tertunduk malu. Kantoi lagi dia dengan lelaki itu hari ini.

"Sorry," Feralina berpaling dari Afid.

"Eh tunggu."

Feralina terpijak tali kasutnya dan membuatkan badannya melayang ke hadapan. Dia terkebil-kebil bila mendengar Afid mendengus perlahan.

Afid menyelamatkan gadis itu dengan menarik hoodie Feralina. Dia memendamkan rasa ingin membebel kepada gadis itu. Setelah memastikan Feralina kini berdiri dengan stabil, Afid duduk mencangkung di hadapan Feralina dan membantu gadis itu mengetatkan ikatan tali kasut milik gadis itu yang kini terbuka.

Tali kasut dimasukkan ke lubang kasut yang berada di tengah sebelum Afid membuat simpulan riben sebanyak dua kali. Klik. Afid mengerut dahi dan memandang ke arah kirinya apabila terasa ada pancaran lampu untuk beberapa saat.

"Terima kasih," Feralina menundukkan kepalanya. Pipinya mula terasa panas.

"Jalan slow-slow. Jangan lari, nanti jatuh lagi." Afid menggeleng kepala sebelum meninggalkan Feralina. Macam mana agaknya gadis itu boleh selamat kalau berseorangan. Afid mengeluh panjang sebelum mengerling ke arah Feralina yang berjalan perlahan di belakangnya.

"Awak ambil course apa kat sini?"

Feralina mendongak memandang Afid. Dia cakap dengan aku ke? Feralina berpusing ke belakang untuk memastikan tiada orang lain di situ selain mereka.

"Medik?" tanya Afid.

"Um tak," jawab Feralina.

Feralina menonong menuju ke pagar kolej.

"Tunggu."

Feralina terus terkaku sebelum berpaling ke arah Afid.

"Pagar tu dah tutup," kata Afid sebelum memberi isyarat agar gadis itu mengikut langkahnya.

Feralina terkebil-kebil namun kakinya ringan mengekori langkah lelaki itu. Mereka melalui sebuah taman yang dinamakan taman orkid. Terdapat satu pintu besi kecil yang menyambungkan taman tersebut dengan kawasan kolej. Afid mengeluarkan kunci dan membuka pintu tersebut.

"Kenapa saya rasa macam kita tengah buat benda yang haram bila masuk guna jalan ni?" Feralina padang Afid.

Afid membukakan pintu buat Feralina.

"Awak nak demerit sebab balik kolej lambat atau lalu jalan ni?"

Pilihan yang diberikan oleh Afid membuatkan Feralina berfikir seketika. Kalau markahnya habis dipotong sebelum habis semester, bermakna dia akan menerima tindakan tatatertib. Dia terus mengetap bibir dan berlagak seperti sedang menzipkan bibir sebelum melangkah masuk ke dalam kawasan kolej kediaman. 

Kini boleh didapatkan melalui aplikasi 𝗚𝗼𝗼𝗴𝗹𝗲 𝗣𝗹𝗮𝘆 & 𝗘-𝗦𝗲𝗻𝘁𝗿𝗮𝗹

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37